Thursday 16 July 2015

Bukit Aman Nafi Remaja Melayu Rancang Pergaduhan Besar



KUALA LUMPUR: Bukit Aman menafikan mesej di media sosial bahawa remaja Melayu diminta membawa senjata dan berkumpul di pusat bandar untuk pergaduhan besar.

Polis juga meminta rakyat Malaysia supaya tidak menyebarkan mesej berbaur kebencian seperti memanggil pergaduhan kaum atas nama agama dan maruah bangsa.

“Semua mesej ini tidak benar dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat untuk menghancurkan keamanan dan keharmonian negara,” kata Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) PDRM, Datin Asmawati Ahmad.

Beliau berkongsi dua mesej yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp yang memperincikan bagaimana penerima mesej mendapat maklumat ‘boleh dipercayai’ dari sumber untuk tidak memprovokasi orang Melayu dan menjauhi kawasan yang dipenuhi kaum Cina.

Ia juga termasuk maklumat anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) akan pulang dari Syria untuk menyembelih kaum Cina berikutan insiden di Plaza Low Yat minggu lalu.

Asmawati berkata polis tidak melihat pergaduhan pada hujung minggu lalu ada kaitan dengan isu perkauman.

Malah, katanya keadaan sudah kembali tenang.

“Tiada rancangan untuk pergaduhan kaum. Ia adalah kerja pihak tidak bertanggungjawab di media sosial yang cuba memanipulasi isu ini bagi mencetuskan ketegangan kaum.

“Kami akan menyiasat mereka yang menyebarkan mesej ini di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sumber: www.barumalaysia.com

0 comments:

Post a Comment