Monday 27 July 2015

Polis rekod keterangan 5 pelajar kes pukul junior



GEORGETOWN: Polis hari ini mengambil keterangan lima pelajar bagi membantu siasatan kes pelajar tingkatan satu yang mendakwa dipukul pelajar senior di asrama sebuah sekolah menengah di Jalan Masjid Negeri, di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid, berkata lima pelajar lelaki berusia 17 tahun itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini.

"Polis akan panggil beberapa lagi pelajar senior sekolah berkenaan termasuk 17 pelajar tingkatan satu yang didakwa menjadi mangsa dalam kejadian itu untuk membantu siasatan.

"Mereka dijangka hadir di IPD Timur Laut esok atau Rabu," katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam kejadian malam Rabu lepas, seorang mangsa yang juga adik lelaki seorang pelakon wanita, bersama 16 rakannya yang baru pulang membeli makanan, dikatakan dimarahi sekumpulan pelajar tingkatan lima.

Selain dimarah, pelajar tingkatan satu berkenaan mendakwa dipukul sehingga lebam di beberapa bahagian badan kerana keluar dari asrama tanpa kebenaran.
Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Mior Faridalatrash, berkata bapa kepada seorang daripada pelajar yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu menarik balik laporannya hari ini.

"Walaupun laporan polis ditarik balik oleh anggota keluarga mangsa, kami tetap meneruskan siasatan kerana polis telah membuka kertas siasatan.

Kertas siasatan yang telah lengkap akan diserah kepada Bahagian Perundangan untuk tindakan lanjut," katanya.

- BERNAMA

Like Facebook: Friends Of PDRM​ (CLICK)

0 comments:

Post a Comment