Monday 13 July 2015

Suspek curi telefon di Plaza Low Yat didakwa esok




KUALA LUMPUR: Suspek yang ditangkap kerana mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat kelmarin akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta, pagi esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, berkata suspek berusia 22 tahun itu akan didakwa pada jam 9 pagi mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

"Suspek direman selama tiga hari sejak Sabtu lalu. Siasatan ke atas suspek sudah lengkap dan akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta esok.

"Selain suspek, 18 suspek yang terbabit dalam insiden pergaduhan dan rusuhan di Plaza Low Yat masih ditahan reman," katanya kepada pemberita selepas hadir membuat pemantauan ke pusat beli belah itu sebentar tadi.

Beliau berkata, buat masa ini polis sudah membuka empat kertas siasatan berhubung insiden rusuhan semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 148 kanun sama kerana merusuh menggunakan senjata.

Zainuddin turut menggesa saksi bebas yang menyaksikan kejadian rusuhan di Plaza Low Yat dan Jalan Davis semalam agar tampil memberi maklumat pada polis.

Ditanya mengenai tahap keselamatan di Plaza Low Yat dan sekitar Bukit Bintang, Zainuddin berkata pihaknya menempatkan anggota polis yang secukupnya bagi tugas kawalan dan pemantauan 24 jam.

- BERITA HARIAN -

0 comments:

Post a Comment