Wednesday 26 August 2015

Polis tumpas geng curi lembu di Temerloh


KETUA Polis Temerloh, ACP Anuar Othman ( dua dari kanan) menunjukkan senapang angin buatan sendiri yang berjaya dirampas, dipercayai digunakan untuk mencuri lembu di sekitar daerah Temerloh pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh. - Foto Nazirul Roselan


TEMERLOH: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan pencuri lembu dengan tertangkapnya enam lelaki termasuk seorang warga Indonesia dalam serbuan di sebuah pondok di Kampung Jambu Rupit, Gantok dekat Mentakab, petang Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Anuar Othman, berkata semasa serbuan dijalankan pada pukul 5 petang, polis hanya menahan empat lelaki termasuk warga Indonesia itu.

"Namun tidak lama selepas itu, polis menahan dua lagi suspek yang menaiki sebuah lori bersama dua lembu dipercayai baru dicuri yang datang ke pondok itu.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat laras senjata buatan sendiri dan tiga sarung paip berwarna hitam yang mengandungi ubat pelali dipercayai digunakan untuk melemahkan lembu yang hendak dicuri.

"Turut ditemui sebuah Proton Satria berwarna perak yang dilaporkan hilang pada 21 Mac di kawasan Bandar Jengka," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurutnya, siasatan awal polis mendapati senjata berkenaan dibuat seorang anggota kumpulan berkenaan yang mempunyai kemahiran dalam bidang itu.

Katanya, senjata itu dipercayai digunakan untuk menembak dengan menggunakan ubat pelali ke atas lembu yang hendak dicuri. Polis, katanya, turut menyiasat sama ada ubat pelali berkenaan dibeli atau dibuat sendiri memandang ada anggota kumpulan itu mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati dua daripada ahli kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kesalahan dadah, samun dan merusuh.

"Polis percaya dengan tertangkapnya enam suspek ini, kita telah dapat menyelesaikan empat kes curi lembu yang dilaporkan di daerah ini," katanya. Semua suspek yang berumur antara 20 dan 40 tahun kini ditahan reman sehingga 28 Ogos ini dan akan didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih setahun atau didenda tidak lebih RM500 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment