Friday 7 July 2017

Ada keperluan untuk wujudkan satu lagi jawatan Timbalan KPN



BATU PAHAT
: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak keperluan bagi mewujudkan jawatan dua orang Timbalan Ketua Polis Negara seperti yang dianalisis oleh sebuah akhbar tempatan.

Pengumuman mengenai cadangan itu hanya akan dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata memang terdapat keperluan untuk mewujudkan jawatan berkenaan dan mewujudkan semula Jabatan Anti Pengganas berikutan ancaman keganasan yang semakin berleluasa di rantau ini.

“Saya tidak menolak, tidak mengesahkan dan tidak mahu menafikan analisis yang dibuat melalui akhbar mengenai keperluan bagi mewujudkan jawatan dua orang Timbalan Ketua Polis Negara kerana sebagai Menteri Dalam Negeri yang mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis, pengumuman akan hanya dibuat selepas mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis mengesah atau menolak cadangan berkenaan,” katanya dalam sidang media pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Batu Pahat 2017 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Bahagian Umno Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno serta Setiausaha Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) jelasnya harus memperkukuhkan serta menaiktaraf  keanggotaan didalam Unit Anti Keganasan kepada sebuah jabatan di Bukit Aman.

Menurutnya lagi, sekiranya cadangan tersebut diluluskan oleh suruhanjaya pasukan polis, personaliti yang akan dilantik perlu menerima perkenan Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri.

- AWANI -

0 comments:

Post a Comment