Wednesday 13 September 2017

MYANMAR MESTI HENTIKAN KEGANASAN TERHADAP ROHINGYA - NAJIB RAZAK


WASHINGTON DC: Malaysia dan Amerika Syarikat mendesak Myanmar menghentikan segera keganasan terhadap kaum Rohingya dan membenarkan bantuan sampai kepada mangsa.

Presiden Donald Trump dan Datuk Seri Najib Razak mahu krisis kemanusiaan yang menyayat hati yang menjadikan kaum Rohingya sebagai sasaran kekejaman dihentikan segera.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan Perdana Menteri dengan Trump semalam, mereka sependapat perlu ada kerjasama kukuh membabitkan masyarakat antarabangsa bagi menangani keganasan terhadap ribuan mangsa, termasuk yang telah melarikan diri ke Bangladesh.

Sementara itu, seperti yang dijanjikan kepada rakyat Malaysia, Najib berkata beliau telah membawa isu itu dalam pertemuan dengan Trump semalam.

Perdana Menteri berkata, Trump berkongsi kesedihan beliau dalam isu itu dan masing-masing mahu ia dihentikan.

Katanya, beliau tidak boleh bercakap bagi pihak AS, tetapi kemungkinan besar akan ada bantuan kemanusiaan dihulurkan bagi membantu kesengsaraan Rohingya yang dunia tidak boleh abaikan begitu sahaja.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Forum Banyan Tree Leadership di Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CISS), di sini tengah hari waktu tempatan hari ini.

Acara dianjurkan bersama oleh CSIS dan Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).Ia dihadiri oleh sarjana, ahli akademik, pemikir, penggubal dasar dan pegawai kanan kerajaan.

- BERITA HARIAN -

0 comments:

Post a Comment