Thursday 14 September 2017

Tiga Lelaki Ditahan Disyaki Terlibat Daesh - KPN


KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia menahan tiga suspek lelaki tempatan disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh di Perak, Melaka dan Selangor pada Jumaat dan Ahad lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tangkapan pertama pada Jumaat (8 Sept) lepas di Bagan Serai, Perak melibatkan seorang suspek berusia 21 tahun yang tidak bekerja dan telah berbaiah serta menyertai kumpulan pengganas itu sejak awal tahun ini.

Beliau berkata suspek juga mempunyai hubungan dengan anggota kumpulan pengganas Al-Qaeda dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG)

"Suspek juga mengaku pernah mendapatkan tunjuk ajar daripada Dr Mahmud Ahmad (rakyat Malaysia yang telah menyertai kumpulan Daesh di Selatan Filipina) dan seorang pakar bom kumpulan pengganas Daesh dari Arab Saudi untuk menghasilkan 'Improvised Explosive Deivce' (IED) berskala besar.

"Susulan itu suspek juga telah membuat tiga percubaan untuk menghasilkan IED," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Fuzi berkata selain itu suspek juga telah menerima arahan daripada seorang rakyat Malaysia yang merupakan anggota kanan kumpulan Daesh di Syria untuk membeli pistol, Rifle M-16, Rifle AK-47 dan bom tangan dari sebuah negara jiran.

"Ia digunakan untuk tujuan melancarkan serangan ke atas orang-orang bukan Islam dan tempat-tempat ibadat mereka di Malaysia.

"Turut dirampas dalam serbuan di rumah suspek adalah bahan-bahan kimia untuk menghasilkan IED," katanya.

Manakala tangkapan kedua pada Ahad lepas (10 Sept) di Melaka, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penjual cendol.

"Suspek berkenaan aktif mencetak dan mengedarkan bendera kumpulan pengganas Daesh bagi mempromosikan perjuangan kumpulan pengganas berkenaan," katanya.

Mohamad Fuzi berkata suspek juga merancang untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh di Selatan Filipina dan kumpulan militan di Rakhine, Myanmar.

Bagi tangkapan ketiga, pada hari yang sama (10 Sept) , polis menahan seorang lelaki berumur 41 tahun dari Petaling Jaya yang bekerja sebagai pemandu bas.

"Suspek merancang untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria pada akhir tahun ini," katanya.

Mohamad Fuzi berkata kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah BAB VIA 'kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment