Sunday 22 October 2017

Bekas pensyarah muat naik gambar jelik, Ditangkap



KUALA LUMPUR: Seorang bekas pensyarah kolej swasta di ibu negara ditahan kerana memuat naik gambar Perdana Menteri dan isteri yang diubah suai menjadi jelik, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata tangkapan ke atas lelaki berusia 58 tahun itu dibuat di sebuah rumah di Persiaran Capsquare di sini, pada jam 9.45 malam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Mahkamah membenarkan reman tiga hari terhadap suspek sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut.

"Saya ingin menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan dan memuat naik gambar yang boleh mengaibkan mana-mana individu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, suspek dikatakan memuat naik gambar Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang diubah suai dengan berpakaian menyerupai penganut agama Hindu.

Perbuatan itu mendatangkan kemarahan netizen yang mahu tindakan diambil pihak berkuasa terhadap lelaki itu kerana melakukan penghinaan.

- BERITA HARIAN -

0 comments:

Post a Comment