Thursday 22 March 2018

8 kanak-kanak tunggang basikal lajak ditahan



KUALA KUBU BHARU: Lapan kanak-kanak berusia 12 hingga 14 tahun ditahan kerana beraksi dengan basikal lajak di Kilometer 74.5, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Kalumpang di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi, kesemua basikal lajak berkenaan turut disita oleh pihak polis.

Aksi tunggangan berbahaya mereka dikesan pasukan penguat kuasa trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor ketika menjalankan Op Lampu Merah dan Rondaan Cegah Kemalangan di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai, berkata operasi itu diterajui Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Hulu Selangor, Asisten Superintendan Oon Kim Cheng.

"Lapan penunggang basikal lajak berasal dari Kalumpang itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kalumpang untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kesemua basikal lajak berkenaan disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala penunggangnya diambil tindakan bawah Peraturan 42 LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.

Katanya, Kim Cheng juga sudah berjumpa dengan ibu bapa kanak-kanak terbabit dan memberi penerangan serta nasihat berhubung aktiviti basikal lajak yang berbahaya kepada penunggang sendiri dan pengguna jalan raya lain.

0 comments:

Post a Comment