Saturday 21 April 2018

Ringgit lemah jika kerajaan bertukar



KUALA LUMPUR 20 April- Ringgit mungkin merosot dalam tempoh terdekat, berikutan kemungkinan pengaliran keluar modal oleh pelabur asing, jika berlaku pertukaran kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dalam laporan Penyelidikan Globalnya, Kumpulan HSBC menegaskan bahawa parti pembangkang telah merancang antara lain, mengkaji semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), subsidi bahan api dan pelaburan China di Malaysia.
“Pembaharuan GST dan subsidi telah meningkatkan kewangan fiskal Malaysia, dengan itu membantu negara untuk mengelak penarafan menurun serta menyokong keyakinan pelabur asing terhadap aset Malaysia dan ringgit.

“Sementara itu, pelaburan langsung asing (FDI) China kini merangkumi hampir separuh daripada jumlah FDI ke Malaysia, yang menjadi lebih penting bagi ringgit berbanding lebihan akaun semasa yang semakin mengecil,” katanya.

Justeru, potensi perkembangan ini boleh menyebabkan mata wang yang lemah, sekurang-kurangnya dalam tindak balas segera, katanya.

Dalam senario kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14, kekukuhan ringgit akan terus didorong oleh dasar campur tangan pertukaran asing Bank Negara Malaysia dan peraturan pertukaran asing yang menyokong ringgit. 

“Kes asas kami adalah untuk dolar US dan ringgit akan jatuh ke nilai saksama 3.70 menjelang akhir tahun kerana penukaran mandatori oleh pengeksport di tengah-tengah pengumpulan simpanan pertukaran asing yang beransur-ansur oleh bank pusat,” katanya.

Peningkatan dalam FDI dan aliran masuk portfolio daripada pelabur asing dengan prospek kesinambungan dasar di bawah tadbir BN pasti akan membantu juga, katanya.

“Sekalipun teori di sebalik kelemahan mata wang tempatan selepas pilihan raya adalah benar, dan penduduk ingin memperoleh lebih banyak pertukaran asing atau aset asing disebabkan risiko politik masa depan, kami dapati terdapat had berhemah sejak Disember 2016 yang boleh menyekat pengaliran keluar modal,” tambahnya.

Justeru, penentu domestik yang penting dalam prospek ringgit berikutan keputusan pilihan raya tersebut adalah dasar pertukaran asing bank pusat, kata laporan berkenaan.
“Risiko utama (kenaikan) kepada ramalan dolar/ringgit ialah dasar ini, yang setakat ini ke arah untuk menyokong kenaikan ringgit.

Risiko kenaikan yang lain adalah faktor luaran. Ketegangan perdagangan antara AS dan China semakin meningkat dan mungkin, dalam senario terburuk, mengakibatkan gangguan perdagangan global dan meningkatkan pengelakan risiko dalam pasaran kewangan global,” katanya.

Memandangkan keterbukaan Malaysia untuk berdagang dan pendedahannya kepada permintaan dari Amerika Syarikat dan China, ringgit mungkin akan menjadi antara mata wang yang lebih terjejas, katanya.- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment