Tuesday 31 July 2018

Polis cekup pencuri lembu



BACHOK 31 Julai - Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita selepas membawa dua ekor lembu dipercayai dicuri dalam sebuah kenderaan di Kampung Beris Panchor, Tawang, di sini awal pagi tadi. 

Empat suspek terbabit berusia antara 27 hingga 45 tahun ditahan oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan tugas ronda cegah jenayah di sekitar kampung terbabit pada pukul 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, ketika meronda, anggota polis terserempak dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra yang dipandu dalam keadaan yang mencurigakan. 

Menurutnya, anggota yang bertugas kemudiannya mengekori kenderaan berkenaan sehingga tiba di lokasi kejadian dan menahan mereka.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua ekor lembu berwarna coklat berada di tempat duduk belakang.
"Turut ditemukan ialah peralatan menyumpit dan ubat pelali dipercayai digunakan terhadap haiwan terbabit sebelum mengangkutnya ke dalam kenderaan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Menurutnya, empat suspek tersebut direman sehingga 3 Ogos ini untuk siasatan lanjut. 

"Kami juga meminta pemilik lembu untuk tampil ke IPD Bachok bagi mengenal pasti lembu yang dirampas memandangkan sehingga kini tiada lagi individu tampil membuat laporan polis tentang kehilangan lembu mereka.

"Kes ini disiasat di bawah seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya. - UTUSAN ONLINE

AYAH MATI DIBUNUH KOMUNIS, IBU DAN ADIK MATI DALAM KEMALANGAN



PADA 15 Julai 1976, Mejar Zainal Abdul Rashid dan lima anggotanya berjaya mengesan sekumpulan 15 pengganas komunis di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, Kedah.

Setelah berjaya membunuh dua pengganas komunis, Zainal meluru dengan berani ke arah musuh sambil memberi kata-kata semangat agar anggotanya terus berjuang.

Ketika itulah seorang pengganas wanita yang tercedera dalam pertempuran tadi telah membaling sebutir grenad (bom tangan) ke arahnya.

Zainal meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah. Namun dalam insiden berbalas tembak itu, kumpulan yang dipimpin oleh Zainal telah berjaya membunuh enam daripada 15 orang pengganas dan merampas selaras mortar 60 mm, tujuh pucuk repal, peluru, bom dan peralatan lain.

Setelah kematian Zainal, tinggallah isterinya, Puan Azizah Ismail bersama dua anak kecil mereka, Hazem Shah dan Nurulaini.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, tidak sampai setahun kemudian, Azizah dan Nurulaini pula meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Segamat, Johor.

Maka tinggallah Hazem Shah Zainal, yang baru berusia tiga tahun ketika itu sebagai anak yatim piatu. Dia kemudian dibela oleh datuknya.

Namun semua insiden ini tidak mematahkan semangat Hazem untuk cemerlang dalam pelajarannya hingga berjaya memasuki Maktab Tentera Diraja.

Begitulah kisah Hazem yang kini sudah pun berusia dalam lingkungan 40-an dan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

BERIKUT adalah komen Hazem dalam blog bekas juruterbang. xnuripilot.blogspot.com:
" Bismillahirrahmanirrahim..Saya,(Ex-3005760, TJP 57 Divisyen Kadet MTD),(Ex-431505, Divisyen Putera Maktab Tentera DiRaja 7th Form 1 Intake 1986-1990). Untuk makluman Tuan, Alhamdullah sekarang ini saya sudah pun bekeluarga dan mempunyai karier mengikut tahap kebolehan yang tak seberapa setakat ini,Alhamdullilah itulah rezeki saya setakat ini.

" Sepatutnya saya dah "join service" sewaktu di Kadet, atas sebab medical injury saya membuat keputusan utk beralih ke dunia swasta.

" Namun begitu hingga sekarang, tidak dapat saya sangkal bahawa jiwa saya sebenarnya kekal abadi didalam dunia "Hijau". Kasut; masih kilat tangan,pakaian;masih lagi "sharp". Susun barang;masih lagi ke kanan lurus; gaya jalan; masih lagi short and sharp..malahan tidur masih lagi mengigau mimpi suasana diperbatasan memakai "complete FSMO siap kena bom, kena tembak pun ada!.

" M16 tu sehingga sekarang kalau tutup mata pun Insyaalah boleh lagi buka dan pasang balik. itulah hakikat yang saya tidak boleh lari dalam kehidupan saya.Motto; Taat Setia, Sentiasa DiHadapan, Kepada Allah Berserah.."

- Mohd Hazeem Shah Zainal

SAK: Malangnya cerita-cerita sebegini tidak menarik minat segelintir anak bangsa yang mahu sejarah komunis diangkat dan dimasukkan dalam teks buku sejarah.

 

Monday 30 July 2018

Ikat jamin Jamal dibatal, Jamal kekal di Penjara Sungai Buloh



KUALA LUMPUR 30 Julai - Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini masing-masing menarik semula jaminan terhadap Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. 

Yunos atas dua pertuduhan menceroboh dua premis perjudian di Taman Kosas, dua tahun lalu.
Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali dan Majistret Haslinda A. Raof memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nurhashimah Hashim dan Raihanah Abd. Razak untuk menarik balik jaminan masing-masing berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin yang telah diberikan pada 25 Mei lalu ketika kes itu dituduh di Hospital KPJ Ampang Puteri.
Terdahulu, Nurhashimah dan Raihanah memohon jaminan terhadap Jamal ditarik balik berikutan khuatir tertuduh akan melarikan diri lagi.

Sehubungan itu, mahkamah membatalkan jaminan terhadap Jamal bagi dua pertuduhan menceroboh dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan di hadapan Haslinda, Jamal bersama lima lagi lelaki yang telah dituduh dan empat lagi yang masih bebas didakwa melakukan pencerobohan di premis hiburan keluarga Happy Toys, No. 23 Jalan Kosas 1/2 Taman Kosas di sini. 

Sementara itu, di hadapan Muhamad Firdaus, tertuduh didakwa bersama seorang yang telah dituduh dan seorang yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan sama di Kedai Starcom Trading and Services No. 23&25, Jalan Kosas 13, di taman yang sama. 

Jamal yang diwakli peguam, Khairul Anuar Kashim didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu antara pukul 3.30 dan 3.40 petang pada 29 Disember 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pada 5 Julai lalu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu mengaku tidak bersalah dengan sengaja telah melepaskan diri daripada jagaan pihak polis yang ditahan secara sah di sisi undang-undang bagi kesalahan yang telah dipertuduhkan iaitu dua kes di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ampang dan satu kes mengikut Seksyen 290 kanun sama di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Puteri, dekat sini, antara pukul 2 dan 3 petang, 25 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kes di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan, Jamal tidak dibenarkan bebas dengan jaminan.
Selepas selesai prosiding, Jamal terus dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Selangor. - UTUSAN ONLINE

Sunday 29 July 2018

SAYA TAK PERLU MINTA MAAF - CHIN PENG



Aku sempat menemubual Chin Peng secara eksklusif dalam satu pertemuan sulit di Hadyai, Thailand tidak lama sebelum dia mati. Pertemuan itu berlangsung di Hotel Lee Garden, tempat yg sama waktu PKM menandatangani perjanjian damai dengan Malaysia pada tahun 1989 dulu.

Dan ini ayat yang dia kata padaku dan akan aku ingat sampai bila-bila. Aku tanya pada dia, U tak nak minta maaf ke pada anggota-anggota keselamatan kami yang kamu bunuh?

"Saya tak perlu minta maaf. Dalam perang kalau kita tak membunuh, kita yang akan dibunuh!"

Pada golongan yang nak sangat negara menyanjung perjuangan komunis pasca 'Malaysia Baru' ni, tahukah korang, sepanjang 12 tahun era darurat iaitu dari tahun 1948 hingga 1960, seramai 4,425 orang anggota pasukan keselamatan telah terkorban dan cedera angkara kezaliman PKM.

Daripada jumlah itu, seramai 1,346 anggota polis terbunuh dan 1,601 cedera. Jumlah anggota polis yang meninggal dunia ini merupakan 72.2% daripada jumlah keseluruhan ahli pasukan keselamatan yang terkorban iaitu seramai 1,865 orang.

'Arkitek' kepada segala kejadian tersebut tak lain dan tak bukan adalah Chin Peng sendiri.
Selamat 'menulis semula' buku sejarah. Pasti Chin Peng orang paling gembira ketika ini kalau dia masih hidup!

#diariwartawanjenayah
Syahril A. Kadir

Tuesday 17 July 2018

Pemandu Grab dibogelkan tiga lelaki



PULAU PINANG 17 Julai - Seorang guru lelaki kini hidup dalam keadaan ketakutan selepas mendakwa dirompak dan dibogelkan tiga lelaki termasuk seorang yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang juga seorang pemandu Grab dalam perjalanan menghantar salah seorang daripada lelaki terbabit yang juga pelanggannya ke Plaza Gurney di sini, kira-kira pukul 2.30 pagi, Sabtu lalu.

Difahamkan, lelaki tersebut cuba memperdayakan mangsa termasuk menyuruhnya berhenti di kawasan lain berhampiran sebuah tempat cuci kenderaan di Jalan Seri Tanjong Pinang.

Suspek kemudian membawa bersama dua rakannya termasuk seorang lelaki yang memakai topi keledar yang didakwa menunjukkan kad kuasa sebagai seorang anggota polis.

Suspek yang dipercayai menyamar sebagai seorang anggota polis itu didakwa turut mengambil kunci kereta mangsa, menariknya keluar serta cuba menyelongkar kereta terbabit.

Menurut mangsa, telefon bimbit serta dompetnya turut dirampas, malah dia juga dituduh berkhidmat sebagai ejen pelacuran selain menyamar sebagai pegawai imigresen.

Dakwa mangsa, suspek juga memaksanya menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,000, namun enggan berbuat demikian sebelum dia dibogelkan dan gambarnya dirakam oleh suspek.

Suspek juga dikatakan memaksa mangsa mengeluarkan wang tunai sebanyak RM500 dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang kemudiannya digunakan untuk bermain mesin kuda.

Pada masa yang sama, mangsa juga mendakwa diugut untuk menjual telefon bimbitnya serta tidak membuat sebarang laporan polis jika tidak mahu keluarganya terancam.

Mangsa bagaimanapun tampil membuat laporan polis di Balai Polis Batu Feringghi, daerah Timur Laut kira-kira pukul 10.26 pagi, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti pemerasan atau mengugut.

“Ketika ini, satu tangkapan telah dilakukan awal pagi tadi manakala dua lagi suspek masih diburu polis,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pemandu-grab-dibogelkan-tiga-lelaki-1.710693#ixzz5LUpCBfuK
© Utusan Melayu (M) Bhd

AKAUN BANK NAJIB TIDAK LAGI DIBEKUKAN



KUALA LUMPUR 17 Julai – Akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi dibekukan oleh pihak berkuasa mulai semalam, kata sumber rapat kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Sumber tersebut berkata, tindakan itu dikatakan dilakukan secara senyap-senyap, berbeza dengan publisiti siasatan terhadap Najib.

Jelas sumber berkenaan, akaun tersebut tiada kena mengena dengan politik dan tidak mempunyai kaitan dengan perkara yang disiasat oleh pihak berkuasa.

“Hakikatnya mereka membuka semula akaun itu secara senyap-senyap membuktikan mereka salah membekukan akaun itu pada awalnya.

“Difahamkan akaun bank itu digunakan Najib untuk membayar bil dan perbelanjaan keluarga,” kata sumber itu seperti dipetik daripada laporan portal Free Malaysia Today hari ini. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/akaun-bank-najib-tidak-lagi-dibekukan-1.710598#ixzz5LUm67uo6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday 15 July 2018

Pemandu treler negatif dadah - Polis



KUALA LUMPUR: Pemandu treler yang terbabit kemalangan dengan beberapa kenderaan menyebabkan empat maut di Kilometer 445 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Rawang, Selangor, semalam, didapati negatif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, pihaknya membawa pemandu berusia 45 tahun itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk diambil keterangan.

"Dia diambil keterangan di IPD sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh selepas menerima rawatan atas kecederaan dialami akibat kemalangan itu.

"Hasil ujian awal saringan air kencing lelaki berkenaan mendapati dia negatif dadah.
"Lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas prosedur siasatan selesai.

Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

NSTP melaporkan empat individu maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Mereka yang maut adalah pemandu MPV Toyota Vellfire, pemandu MPV Alza dan dua penumpang kenderaannya iaitu Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48; Nur Fitrah Rosman, 24, Nurbaya Mohd Zaki, 24 dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24. Semua disahkan maut di lokasi kejadian.

Selain itu, penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, Ezzudin Noorakhirludin Alam, 10, masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu adalah treler tanpa muatan, kereta Perodua Myvi, kereta Nissan Almera, MPV Perodua Alza, MPV Toyota Vellfire, kereta BMW dan bas ekspres.

- Berita Harian - 

Wednesday 11 July 2018

Penghargaan kerana derma darah 260 kali



KUALA LUMPUR: "Saya menderma darah sejak 1981 lagi dan berharap bakti tidak seberapa ini dapat menjadi penyambung nyawa mereka memerlukan," kata Sarjan Mejar Mohd Zaini Ahmad.

Anggota polis di Bahagian Audit Dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu menjadi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) paling banyak menderma darah kepada Pusat Darah Negara.

Sehingga kini, Mohd Zaini sudah menderma darah sebanyak 260 kali dan mengakui ia sudah menjadi sebahagian rutin kehidupannya biarpun sibuk dengan tugas sebagai warga PDRM.

Berkongsi kisah bagaimana derma darah sudah menjadi rutin kehidupannya, Mohd Zaini berkata, ia bermula apabila seorang pegawai kerap menasihatinya serta rakan lain untuk menderma darah berikutan pada ketika itu, Pusat Darah Negara kekurangan bekalan darah.

"Pada waktu itu tahun 1981, saya baru masuk perkhidmatan polis dan ada seorang pegawai ini, beliau kerap menasihati saya dan rakan lain untuk menderma darah kerana kurangnya penyumbang darah di negara ini.

"Atas nasihatnya itu, saya mula kerap menderma darah sebelum melakukannya secara konsisten setiap dua minggu sekali sehingga kini," katanya ketika ditemui pada Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman di sini, hari ini.

Mohd Zaini adalah salah seorang daripada tiga warga PDRM yang mendapat penghargaan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun kerana banyak menderma darah kepada Pusat Darah Negara.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Yamin.

Turut mendapat penghargaan adalah Asisten Superintendan Mohd Reimie Sudirman yang sudah menderma darah sebanyak 131 kali sejak tahun 1997 dan Inspektor Mohamad Nizan Mohamad Nor yang sudah menderma darah sebanyak 98 kali sejak tahun 1999.

Mohd Reimei, ketika ditemui berkata, rutin menderma darah itu dilakukan ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak.

"Selain berkhidmat sebagai polis menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, saya tidak tahu bagaimana untuk membantu masyarakat kerana sibuk dengan tugas seharian.

"Jadi, saya harap dengan darah yang saya derma ini, setidak-tidaknya saya dapat menolong mereka yang memerlukannya," katanya.

Dalam program yang bermula jam 8 pagi tadi, seramai 400 pegawai dan anggota polis hadir menderma darah.

Sementara itu, Mohamad Fuzi, ketika mengulas mengenai program berkenaan berkata, PDRM sudah menjadikannya sebagai program tahunan sejak 2006 apabila menyambut Hari Polis.

"Kita berharap, ia setidak-tidaknya dapat membantu mencukupkan tabung darah di Pusat Darah Negara.

"Ini kerana kami dimaklumkan bahawa setiap hari, Pusat Darah memerlukan sekitar 2,000 beg darah bagi kegunaan 1,000 pesakit di seluruh negara," katanya.

- Berita Harian -

Thursday 5 July 2018

Palestin kecam peraturan baru beku wang



RAMALLAH: Pegawai kanan Palestin, hari ini mengecam undang-undang baru Israel yang membekukan pemindahan wang kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) sebagai hukuman terhadap bayaran kepada keluarga pejuang yang melancarkan serangan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat, berkata tindakan itu mengancam kewujudan PA yang dilanda krisis kewangan.

Perundangan itu diluluskan lewat semalam dan memberikan kuasa kepada kerajaan Israel menahan sejumlah wang berdasarkan apa yang dibayar kepada banduan dan keluarga mereka oleh PA.

Israel memperoleh kira-kira AS$127 juta (RM513 juta) dalam bentuk levi duti kastam ke atas barangan bagi pasaran Palestin yang singgah di pelabuhan Israel dan kemudian dipindahkan kepada PA.

"Ini adalah keputusan amat bahaya yang membawa kepada pembatalan PA dan adalah satu bentuk rampasan dan kecurian.

"Rejim Zionis mencuri tanah dan wang penduduk Palestin dan ini adalah keputusan Presiden Donald Trump, yang menyokong Israel," katanya.

Penyokong perundangan baru itu berkata, PA membayar kira-kira AS$330 (RM1.3 bilion) setahun kepada banduan dan keluarga mereka, merangkumi tujuh peratus bajetnya. - AFP

Jamin ditolak, Jamal masuk lokap



KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas satu pertuduhan melarikan diri daripada jagaan pihak polis di Hospital KPJ Ampang Puteri di sini, 25 Mei lalu.

Jamal, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali.

Mengikut pertuduhan, Jamal didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan pihak polis yang mana dia sudah ditahan secara sah di sisi undang-undang.

Dua daripada tiga kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan (ceroboh) yang sudah dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pada Mei lalu manakala kesalahan di bawah Seksyen 290 Kanun sama (khianat) dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam, pada bulan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Jamal di Hospital KPJ Ampang Puteri di sini, antara jam 2 hingga 3 petang, 25 Mei lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 30 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datuk Razali Che Ani selain dua Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin dan Mahathir Mohd Khairuddin manakala Jamal diwakili peguam Khairul Annuar.

Pada 26 Mei lalu, media melaporkan Jamal dipercayai menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini ketika proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang disiapkan berhubung tiga pertuduhan yang dihadapinya.