Thursday 13 September 2018

WAJAH SUSPEK BUNUH KUCING DIDEDAHKAN



VIDEO-->
 
GOMBAK: Polis Daerah Gombak mendedahkan gambar tiga suspek lelaki berdasarkan rakaman video penganiayaan seekor kucing yang dimasukkan dalam mesin pengering kedai dobi layan diri, dekat Taman Gombak Ria, Selasa lalu.

Sehubungan itu, polis memohon bantuan orang ramai mengesan tiga suspek berkenaan bagi menyelesaikan kes itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata tiga lelaki berkenaan dipercayai berusia lingkungan sekitar 30 tahun hingga 40 tahun dicari bagi membantu menyelesaikan kes yang disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh haiwan.

Katanya, menerusi rakaman kamera litar tertutup di premis itu, polis berjaya memperoleh gambar ketiga-tiga lelaki terbabit dan sedang mengesan mereka bagi menyelesaikan kes berkenaan.

“Menerusi rakaman CCTV, polis berjaya mendapatkan foto ketiga-tiga lelaki berkenaan.
“Orang ramai yang melihat atau mengetahui lokasi ketiga-tiga lelaki itu diminta untuk menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Samsor berkata, polis memerlukan kerjasama orang ramai untuk menyelesaikan kes itu dan segala maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Najmi di talian 017-9291359 atau menghubungi terus mana-mana balai polis berdekatan.

Selasa lalu, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, dua lelaki didapati melakukan kezaliman dengan membunuh seekor kucing terbiar yang sedang bunting dengan meletakkan dalam mesin pengering pakaian sedang berputar.

Perbuatan kejam dua lelaki berkenaan bagaimanapun berjaya dirakam oleh CCTV premis berkenaan dan tular di media sosial.

Bangkai haiwan itu ditemui seorang pelanggan lain pada jam 10.30 pagi apabila mahu menggunakan mesin pengering berkenaan.

Sebuah pertubuhan yang memperjuangkan nasib haiwan kemudian membuat laporan polis menerusi rakaman yang diperoleh.

0 comments:

Post a Comment