Sunday 6 January 2019

Anggota polis cedera ditikam ketika tahan suspek



KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis cedera pada bahu selepas dipercayai ditikam oleh seorang lelaki disyaki warga asing di Jalan Tun Razak, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, berkata kejadian berlaku selepas anggota berkenaan menahan sebuah kereta yang dinaiki suspek.

Katanya, kira-kira jam 11 malam, anggota dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah menahan sebuah kereta yang dinaiki dua orang warga asing di Jalan Binjai.


“Mereka kemudian menemui beberapa alat yang disyaki digunakan untuk pecah masuk rumah pada badan suspek ketika pemeriksaan lanjut dilakukan.

“Seorang suspek kemudian melarikan diri dan dikejar oleh seorang anggota polis sebelum berjaya ditahan di Jalan Tun Razak. Ketika dalam proses penangkapan, suspek mengeluarkan pemutar skru dan menikam anggota polis berkenaan pada tangannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shaharuddin berkata, selepas menikam mangsa, suspek lari melintasi Jalan Tun Razak sebelum dilanggar oleh sebuah kereta.

“Suspek patah kaki dan dihantar ke hospital manakala anggota polis yang ditikam turut dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Saya baru melawat anggota polis terbabit dan dia berada dalam keadaan stabil.

“Setakat ini, siasatan akan dilakukan kerana mencederakan anggota polis manakala rakan suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

- BERITA HARIAN - 

0 comments:

Post a Comment