Tuesday 8 January 2019

Hasrat kaut untung berkali ganda di Thailand gagal




KOTA BHARU - Hasrat tiga lelaki mengaut keuntungan empat kali ganda
dalam cubaan menyeludup ketum ke negara jiran tersekat apabila ditahan
polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Siput, Pasir Mas, semalam.

Tiga mereka yang berusia antara 20 hingga 41 tahun ditahan sepasukan
anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat
Polis Kontinjen Kelantan pada jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya menerima
maklumat awam berhubung kegiatan mereka dan melakukan intipan sebelum
menemui tiga lelaki terbabit bersama 450 kilogram daun ketum di bahagian
bawah rumah.




Hasanuddin (kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas pasukan serbuan
semalam.


“Kesemua ketum dalam ikatan kecil berjumlah 2,000 ikat bernilai RM13,500
dijumpai di atas lantai dan dipercayai bertujuan untuk seludup ke negara
jiran.

“Mengikut pasaran tempatan, ketum dijual dengan harga sekitar RM20
hingga RM30 sekilogram, manakala di negara jiran (Thailand) harga
melambung sehingga RM80 sekilogram,” katanya pada sidang media, di IPK,
hari ini.

- SINAR HARIAN -

0 comments:

Post a Comment