Tuesday 8 January 2019

'Kematian Najib meragukan'



“MEMANG kematian anak saya agak meragukan, bukan seperti mangsa kemalangan jalan raya,” kata ibu tunggal, Salmah Abdullah, 47, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chuah di Port Dickson, hari ini.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan Muhammad Najib Goh Abdullah meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada 6.30 petang Khamis lalu selepas motosikal ditunggang terbabas.

Ketika kejadian, anak bongsu daripada empat beradik itu dikatakan keluar rumah pada 8 pagi untuk ke tempat kerjanya di kilang di D’Ambang Kota Lukut sebelum ditemui terbaring dalam keadaan parah di tepi jalan di jalan kebun di Kampung Jimah Lama di Port Dickson.




“Maklumat saya terima dari majikan arwah yang menghubungi saya pada 12.30 tengah hari mengatakan, arwah parah di kepala, patah leher dan tangan kanan kerana motosikal milik syarikat yang ditunggangnya terbabas.

“Apa yang meragukan saya, bagaimana motosikal ditunggang arwah tidak mengalami kerosakan teruk sedangkan dia parah,” katanya yang membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Katanya, dia berat hati kerana tidak mahu menyeksa jenazah arwah sekiranya kes disiasat semula, tapi dalam masa sama berharap perkara yang meragukan itu dapat dijawab.

“Jika arwah mangsa jenayah, biar polis tangkap pelakunya. Sebagai ibu, saya cukup sedih dengan kehilangan Najib secara mengejut.

“Semua empat anak lelaki saya dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) lembam dan arwah satu-satunya anak yang mampu bekerja menyara kami sekeluarga. Kini dia sudah tiada,” katanya.

Seorang kenalan Salmah yang juga penduduk kampung, Azman Zit, 42, berkata, dia hairan bagaimana polis dan pegawai perubatan forensik mengeluarkan laporan mengatakan kematian Najib akibat parah kemalangan motosikal.

“Saya berharap polis membuka kembali kertas siasatan dan menangkap pihak bertanggungjawab jika arwah mangsa jenayah. Saya dan penduduk kampung yakin arwah disamun dan dipukul, bukan kerana kemalangan.

“Buktinya motosikal yang ditunggang mangsa tidak rosak malah dalam keadaan elok sedangkan kecederaan Najib agak teruk,” katanya yang mengenali rapat keluarga arwah.

Hasil bedah siasat, polis melaporkan kematian Najib adalah kerana parah akibat kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan ibu mangsa pagi Khamis lalu meminta polis melakukan siasatan lanjut berhubung keraguannya.

“Hasil bedah siasat, doktor forensik melaporkan mangsa meninggal selepas parah akibat kemalangan.
“Saya difahamkan ibu mangsa berpuas hati ketika diberi penerangan oleh pegawai perubatan dan tidak timbul isu lain,” katanya ketika dihubungi tadi.

- HARIAN METRO - 

0 comments:

Post a Comment