Thursday 10 January 2019

Kerbau macam kawan - Mohd Syukur [8 GAMBAR]





KUALA TERENGGANU: “Tak pernah terlintas di fikiran minat dan kelebihan saya bermanja dengan kerbau membuatkan saya terkenal sehingga ke luar negara,” kata Mohd Syukur Khamis, 14, yang foto memaparkan aksi manjanya bersama haiwan itu tular di media sosial.

Pelbagai aksi pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu dengan kerbau peliharaan bapanya mendapat pujian pengguna media sosial, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang menyatakan kekagumannya terhadap keakraban dan kemesraan Mohd Syukur bersama haiwan itu yang disifatkannya begitu ikhlas.

Gambar tular itu dirakamkan jurugambar dikenali sebagai Dollah Deen Photography yang berasal dari Kelantan tetapi bekerja di Kuala Terengganu dan Mohd Nazri Sulaiman dari Johor yang berkahwin dengan orang Kuala Terengganu dan kini menetap di Bangi, Selangor.




Keunikan gambar itu melayakkan Mohd Nazri yang menetap di Kuala Lumpur memenangi anugerah Street/People Photographer of The Year Asian Geographic -Image of Asia 2018 dan Remarkable Award di Siena International Photography Award 2018, Italy.

Malah, selain Mohd Nazri, sebelum ini sudah ramai jurugambar yang memenangi anugerah hasil gambar memaparkan momen Mohd Syukur bersama haiwan ternakan itu.

Mohd Syukur berkata, sejak usia sekecil empat tahun dia sudah terbiasa mengikut bapanya, Khamis Jusoh, 63, ke kandang kerbau di Kampung Kubang Bujuk, di sini, menyebabkan hubungannya dengan haiwan itu sangat rapat dan akrab.

Malah, ketika mengikuti Mohd Syukur ke kandang kerbau itu haiwan berkenaan umpama taat dan mendengar kata, serta menurut segala arahan remaja itu lantas memudahkan sesi fotografi.


Mohd Syukur yang mesra disapa Kur di kalangan ahli keluarganya berkata, dia tidak takut bermanja dengan peliharaan itu yang dianggap sebagai rakannya.

“Ada orang kata saya ada ilmu penunduk sedangkan tidak. Mungkin sebab saya dah biasa dengan mereka sejak kecil jadi mereka kenal tuan dan mendengar kata. Tetapi sebenarnya saya bukan saja akrab dengan kerbau, tetapi juga lembu, kambing dan angsa peliharaan bapa.

“Cuma untuk sesi fotografi, jurugambar cenderung memilih kerbau kerana jumlahnya yang banyak sehingga lebih 100 ekor,” katanya yang menjadi perhatian jurugambar seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dan India sejak 2016.



Kebanyakan kerbau, lembu dan kambing yang akrab dengannya diberi nama seperti Awang, Wahab, Saat dan Boy dan haiwan ini boleh bergaul dengan Mohd Syukur seperti manusia, malah ada yang tidur bersamanya ketika kecil.

“Kalau kambing pula saya rapat dengan Saat. Selepas tiga hari dia lahir, ibunya mati dan saya menyusukannya setiap hari dan menjaganya sehingga bawa tidur bersama di atas rumah. Kerbau yang sangat rapat dengan saya dan sering menjadi teman ketika fotografi bernama Awang juga sudah mati,” katanya.

Anak bongsu dari lapan beradik itu berkata, walaupun sering didatangi jurugambar yang mahu merakam gambarnya, keluarganya tidak pernah menetapkan sebarang bayaran, sebaliknya tumpang gembira apabila jurugambar bertuah memenangi pertandingan antarabangsa.

“Cuma kebanyakan jurugambar ada memberi ‘tips’ dan jika ada saya terima, jika tak ada pun tak mengapa. Saya bersyukur kerana dengan kelebihan saya ini, sehingga kini saya dapat menyimpan kira-kira RM1,000 hasil ‘tips’ yang diterima,” katanya yang bercita-cita menjadi penternak.

Mohd Syukur berkata, selepas tular dan dikenali ramai dia menerima ucapan tahniah daripada guru dan rakan sekolahnya yang turut datang ke kandang untuk merakamkan gambar bersamanya dan kerbau berkenaan.

“Saya tidak bangga apabila menjadi tular, tetapi gembira sebab dulu ayah sering dihina kerana pekerjaannya sebagai penternak kerbau. Tetapi hari ini, saya seronok kerana dapat buat ayah bangga dan mengubah persepsi orang terhadap pekerjaan ayah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Katong di sini, hari ini.

- BERITA HARIAN - 

 

 Gambar-gambar - NSTP , FB Syukor Khams - Kampong Boy


0 comments:

Post a Comment