Wednesday 2 January 2019

Kes pukau di JB: Polis minta orang ramai berhati-hati



JOHOR BAHRU - Polis menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati
terutamanya ketika berurusan mengenai perihal kewangan dengan individu
yang baharu dikenali.

Saranan itu diberikan berhubung penularan poster mengenai seorang wanita
dikatakan mengamalkan ilmu 'pukau' yang masih bebas di bandar raya ini.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan,
Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, perkara itu belum
disahihkan selain tidak menerima sebarang laporan berhubung kegiatan
jenayah itu.


"Semakan dapati tiada sebarang laporan polis dibuat di JBS.

"Mengenai ini berita palsu ke, saya tidak pasti, kita kena semak
kesahihan dengan mangsa dahulu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Afzanizam berkata, sekiranya ada sesiapa yang menjadi mangsa berhubung
perkara ini, mereka dialu-alukan untuk membuat laporan bagi membolehkan
siasatan lanjut dibuat.

Sehubungan itu, katanya, sebagai langkah berjaga-jaga dan mengelakkan
berlaku perkara tidak diingini, masyarakat harus sentiasa berhati-hati
terutama ketika dengan orang yang tidak dikenali.

"Masyarakat hendaklah sentiasa berhati-hati dengan orang yang baharu
dikenali atau orang luar (stranger). Perlu selidik latar belakang
seseorang dan jangan mudah percaya.



"Jika perlu, buat semakan dengan pihak berwajib untuk menentukan
kesahihannya," katanya.

Terdahulu, tular satu poster yang memaparkan wajah seorang wanita
dipercayai mengamalkan ilmu pukau untuk mendapatkan wang. Wanita itu
juga dikatakan berada dalam bandar raya ini.

Menurut poster tersebut, wanita dikenali sebagai Ziah itu didakwa telah
mengambil ratusan ribu ringgit daripada mangsanya.

- SINAR HARIAN -

0 comments:

Post a Comment