Wednesday 2 January 2019

Polis Berjaya Cekup 'Bapa Ayam' tersohor

- Gambar Hiasan - 


POLIS menahan seorang lelaki juga bapa ayam terkenal di negara ini yang menjadikan lebih 30 wanita tempatan sebagai pelacur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal November lalu.

Lelaki berusia 30 tahun itu menjadikan penuntut universiti tempatan sebagai pelacur dan mengiklankan perkhidmatan itu di laman sosial dan aplikasi WeChat.

Difahamkan suspek yang bergiat aktif sejak empat tahun lalu akan mencari pelanggan di laman web dan amat terkenal dalam kalangan orang kenamaan (VIP).


Suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman selepas risikan selama setahun dijalankan.

Suspek yang menggunakan nama samaran Jason Cock itu melakukan kesalahan menjadi orang tengah dan hidup atas hasil persundalan.

Sumber berkata, suspek kini ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) selama 60 hari sebelum didakwa di mahkamah.

“Modus operandi suspek adalah mencari penuntut universiti tempatan yang ingin mencari pekerjaan sambilan dengan pendapatan lumayan.

“Suspek sangat licik dan menggunakan rangkaiannya bagi mengelakkan kegiatannya dihidu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, suspek mengaut keuntungan ribuan ringgit sehari dengan mengambil komisen dari wanita berkenaan.


“Setiap hari wanita yang dijadikan pelacur itu akan menawarkan perkhidmatan seks sebanyak lapan hingga 12 kali.

“Setiap sesi seks, suspek akan menerima komisen sebanyak RM50 hingga RM100 bagi setiap slot yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa ketika dihubungi mengesahkan berhubung penahanan berkenaan.

“Suspek ditahan pada awal November lalu dan kini dalam tahanan POCA untuk siasatan lanjut.

“Siasatan berhubung kegiatan suspek akan terus dijalankan sebelum proses pendakwaan dilakukan,” katanya.

- Harian Metro -

0 comments:

Post a Comment