Monday 7 January 2019

Polis teliti rakaman trafik tendang remaja



KOTA BHARU - Polis Kelantan meneliti rakaman anggota trafik yang
menendang seorang remaja hingga tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kes dipercayai
melibatkan seorang remaja berusia 17 tahun yang dikatakan berlaku di
Jalan Kampung Sireh, di sini, pada jam 3 petang semalam.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana
anggota yang didapati terlibat dengan kesalahan tatatertib hingga
mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Maklumat awal yang diperolehi mendapati ketika kejadian itu empat
anggota trafik melakukan rondaan sebelum terserempak dengan remaja
berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Remaja itu didakwa tidak berhenti apabila diarah dan kemudian berlaku
pergelutan sebelum ditahan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati remaja itu dikatakan menunggang tanpa
lesen dan cukai jalan yang tamat tempoh,” katanya kepada pemberita.

Rakaman sepanjang 25 saat terbabit memaparkan perlakuan anggota trafik
beruniform beberapa kali bertindak menendang seorang remaja sambil
memarahi mangsa.


Rakaman turut disertai dengan gambar dimuat naik di laman facebook dan turut dikongsi melalui aplikasi Whatsapp.



“Setakat ini polis masih belum menerima apa-apa laporan berkaitan
kejadian itu, bagaimanapun siasatan dalaman akan dijalankan dan
mana-mana anggota yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan
tindakan tatatertib.

"Setakat ini maklumat yang diperolehi cuma sedikit dan siasatan
selanjutnya akan dilakukan.

“Kami sukar mengenalpasti anggota yang terlibat berikutan imej video
yang ditularkan itu kurang jelas,” katanya.

- SINAR HARIAN -

0 comments:

Post a Comment