Wednesday 2 January 2019

Terus konsisten, tegas dengan prinsip - TMJ



KUALA LUMPUR 2 Jan. - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah akan terus konsisten dan berpegang teguh dengan prinsipnya menyuarakan pendapat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi kesejahteraan rakyat.

Titah Tunku Ismail, baginda telah melakukan perkara yang sama iaitu menyuarakan pendapat sejak zaman pentadbiran kerajaan terdahulu dan berterusan sehingga hari ini.

Sambil mengharapkan kerajaan untuk berjaya, Tunku Ismail bertitah sanggup menjadi musuh nombor satu kerajaan sekiranya perlu dalam memberikan apa yang terbaik untuk rakyat.

Malah, Tunku Ismail juga mahu kerajaan mula mentadbir negara dengan berkesan dan berhenti berperang antara satu sama lain serta mempolitikkan setiap isu yang berlaku.



“Saya bangun setiap hari dengan harapan bahawa pendapat saya salah tetapi mereka tetap membuktikan saya betul. Sekadar mahukan yang terbaik untuk rakyat. Sesetengah mungkin tidak suka apa yang saya katakan tapi itulah cabarannya.

“Untuk terus bersuara demi rakyat yang tidak dapat menyuarakannya. Biarkan saya menjadi musuh anda No. 1 (nombor satu) sekiranya perlu. Saya konsisten dan tegas dengan prinsip saya. Tolong... Tolonglah mulai mentadbir,” katanya dalam laman Facebook rasmi baginda hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut menzahirkan kemaafan di atas segala kesilapan yang dilakukan sepanjang tahun lalu dan meminta semua pemimpin menjalankan amanah berkhidmat kepada rakyat.



Menurut Tunku Ismail, kerajaan dan institusi diraja harus bekerjasama dan menerima ruang serta tugas masing-masing untuk memberi yang terbaik kepada negara.

“Kadang-kala saya salah. Semua orang membuat kesilapan. Untuk kesilapan yang saya buat, saya memohon maaf. Saya fikir kita semua harus mengimbas kembali tahun 2018 dan meminta maaf atas kesilapan-kesilapan.

“Kini sudah 2019, ayuh kita lakukan yang sepatutnya sekarang. Ayuh kita kurangkan berpolitik. Ayuh kita kurang mempopularkan apa yang ada di media sosial. Ayuh kita melakukan keputusan yang lebih baik. Ayuh kita bekerjasama dan menerima ruang dan tugas masing-masing. Ayuh kita berkhidmat kepada rakyat dan melaksanakan yang terbaik untuk negara kita,” titah Tunku Ismail lagi.

- UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment