KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia menahan tiga
suspek lelaki tempatan disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan
pengganas Daesh di Perak, Melaka dan Selangor pada Jumaat dan Ahad
lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tangkapan pertama
pada Jumaat (8 Sept) lepas di Bagan Serai, Perak melibatkan seorang
suspek berusia 21 tahun yang tidak bekerja dan telah berbaiah serta
menyertai kumpulan pengganas itu sejak awal tahun ini.
Beliau berkata suspek juga mempunyai hubungan dengan anggota kumpulan
pengganas Al-Qaeda dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG)
"Suspek juga mengaku pernah mendapatkan tunjuk ajar daripada Dr Mahmud
Ahmad (rakyat Malaysia yang telah menyertai kumpulan Daesh di Selatan
Filipina) dan seorang pakar bom kumpulan pengganas Daesh dari Arab Saudi
untuk menghasilkan 'Improvised Explosive Deivce' (IED) berskala besar.
"Susulan itu suspek juga telah membuat tiga percubaan untuk menghasilkan IED," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohamad Fuzi berkata selain itu suspek juga telah menerima arahan
daripada seorang rakyat Malaysia yang merupakan anggota kanan kumpulan
Daesh di Syria untuk membeli pistol, Rifle M-16, Rifle AK-47 dan bom
tangan dari sebuah negara jiran.
"Ia digunakan untuk tujuan melancarkan serangan ke atas orang-orang bukan Islam dan tempat-tempat ibadat mereka di Malaysia.
"Turut dirampas dalam serbuan di rumah suspek adalah bahan-bahan kimia untuk menghasilkan IED," katanya.
Manakala tangkapan kedua pada Ahad lepas (10 Sept) di Melaka, polis
menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penjual
cendol.
"Suspek berkenaan aktif mencetak dan mengedarkan bendera kumpulan
pengganas Daesh bagi mempromosikan perjuangan kumpulan pengganas
berkenaan," katanya.
Mohamad Fuzi berkata suspek juga merancang untuk menyertai kumpulan
pengganas Daesh di Selatan Filipina dan kumpulan militan di Rakhine,
Myanmar.
Bagi tangkapan ketiga, pada hari yang sama (10 Sept) , polis menahan
seorang lelaki berumur 41 tahun dari Petaling Jaya yang bekerja sebagai
pemandu bas.
"Suspek merancang untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria pada akhir tahun ini," katanya.
Mohamad Fuzi berkata kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan
kesalahan di bawah BAB VIA 'kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun
Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
-- BERNAMA