Friday 15 January 2016

BAHAGIAN E8 BUKIT AMAN...WIRA DALAM DIAM!



Pegawai dan anggota polis yang siap bersenjata api dan memakai topeng muka dalam gambar ini adalah dari Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman. Unit elit ini adalah terdiri daripada mereka yang bertanggungjawab memerangi jenayah keganasan yang bersifat subversif, ekstremis dan sabotaj di negara kita.


Ramai yang tidak menyedari kewujudan unit ini kerana sifat mereka yang 'low profile' dan tidak pernah menonjolkan diri . Ini kerana tugas mereka sangat berisiko dan mencabar kerana perlu menangani 'manusia gila' yang berselindung di balik nama bangsa dan agama. Dalam konteks sekarang, lebih tepat, mereka perlu memerangi gerakan IS yang semakin hari semakin mengganas di seluruh dunia.
Operasi mereka sangat sulit. Sebab itu mereka sering dilihat memakai sarung muka (balaclava) kerana perlu menjalankan tugas-tugas risikan, penyiasatan dan pelbagai lagi tugasan lagi yang memerlukan identiti mereka dirahsiakan daripada pengetahuan masyarakat umum.


Yang pasti, setakat ini E8 boleh dikatakan berjaya menjalankan tugas yang diamanahkan di bahu mereka dengan sangat cemerlang. Berpuluh atau mungkin beratus anggota IS di negara ini berjaya mereka tangkap 'senyap-senyap' . Mereka dah berjaya menangkap beberapa ketua pengganas dari dalam dan luar negeri yang berada negara ini. Mereka berjaya menggagalkan beberapa percubaan untuk mengebom dan mencetuskan huru-hara di beberapa tempat utama di ibu negara. Mereka berjaya merampas senjata dan bahan letupan. Malah mereka berjaya setakat ini menggagalkan begitu banyak perancangan dan agenda IS yang mahu mencetuskan kekacauan dan penumpahan darah di bumi Malaysia.


Mungkin ramai yang tidak percaya tetapi begitulah hakikatnya. Di saat kita tidur lena, pegawai dan anggota E8 bermati-matian di luar sana untuk membendung kegiatan ini daripada terus menimbulkan ketakutan serta kerisauan di bumi bertuah ini. Dan atas dedikasi E8 khususnya dan seluruh anggota PDRM amnya, sehingga kini belum terjadi lagi kegiatan pengeboman dan keganasan di negara kita berbanding nasib yang menimpa rakyat negara-negara jiran kita, Alhamdulilah.
Namun E8 memerlukan lebih banyak maklumat dan informasi daripada kita semua bagi membantu mereka bergerak memerangi pengganas dan keganasan ini. Justeru marilah kita membantu E8, PDRM dan agensi-agensi perisikan negara dengan memberi maklumat sekiranya mengetahui atau mengesyaki sesuatu yang 'pelik' di sekeliling kita.
SALUTE E8!

Penulis - Syahril A. Kadir


Friday 1 January 2016

Kes Nur Amirah: TINDAKAN TEGAS MESTI DIAMBIL

SHAH ALAM – Remaja hilang yang kononnya diculik, Nur Amirah Athirah Abdul Majid perlu dikenakan tindakan tegas kerana melakukan dakwaan palsu berhubung kehilangannya.

Pengerusi  kumpulan pemerhati jenayah MyWatch, Datuk Seri Sanjeevan R berkata, tindakan yang dilakukan remaja terbabit bukan sahaja menyusahkan ibu bapa tetapi turut menyusahkan pihak polis dan orang awam yang ramai bersimpati mengenai keselamatan dirinya.

“MyWatch mengutuk sekerasnya tindakan remaja 14 tahun, Nur Amirah yang mereka cerita dengan mendakwa dirinya diculik supaya beliau dapat keluar bersama teman lelakinya.

“Mywatch menggesa tindakan tegas dikenakan kepada remaja ini di bawah  Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. Teman lelaki remaja ini juga harus didakwa kerana bersubahat dalam kes penipuan ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Nur Amirah yang hilang sejak Ahad lepas ditemui selamat bersama teman lelakinya di dalam sebuah kereta di Banting, Selangor oleh pasukan polis jam 8 malam tadi.
Menurut Sanjeevam, pihaknya percaya sekiranya tiada tindakan tegas diambil, kes seperti ini akan berulang pada masa akan datang.

“Ini bukan kes yang pertama kalinya berlaku. Sebelum ini pada hujung tahun 2014, seorang pelajar Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang turut bertindak mereka cerita kononnya diculik oleh tiga lelaki di hadapan rumah sewanya di Pasir Gudang hanya kerana mahu melepaskan diri setelah gagal menghantar tugasan yang  diberi pensyarah.

“Bagaimanapun, MyWatch memuji risikan berkesan pihak polis yang berjaya menjejaki remaja ini dan teman lelakinya. MyWatch turut menghargai rasa simpati dan ambil berat masyarakat dalam kes jenayah ini,” katanya lagi.