Thursday 30 August 2018

SST: Harga rokok akan naik



KUALA LUMPUR – JT International Bhd (JTI Malaysia) hari ini mengumumkan harga rokok bagi semua jenama yang diedarkannya di Malaysia akan meningkat susulan penguatkuasaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September.

“Pengenalan cukai jualan pada 10 peratus bagi produk tembakau di Malaysia akan bermakna peningkatan bagi semua jenama rokok kami, dengan mengambil kira perbezaan kadar kenaikan daripada kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilevikan ke atas rokok,” kata Pengarah Urusan JTI Malaysia, Cormac O’Rourke dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata harga rokok tidak disemak semula selepas GST berkadar sifar pada Jun 2018 susulan arahan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan.

O’Rourke berkata syarikat itu kecewa kerajaan tidak kembali semula kepada cukai jualan lima peratus yang dikenakan daripada sebelum pengenalan GST dan menambah peningkatan harga ini akan memberi kesan negatif dalam merapatkan jurang harga antara rokok yang dijual secara sah dan haram.

“Kami percaya ini akan memburukkan lagi situasi penjualan rokok haram yang telahpun berada pada tahap kritikal 58 peratus dan akan menyebabkan lebih ramai pengguna beralih kepada rokok haram yang lebih murah.

“Oleh itu, kami menggesa kerajaan meningkatkan usaha penguatkuasaan dalam menangani situasi penjualan rokok haram,” katanya.  - Bernama

Tuesday 28 August 2018

Empat pegawai kanan PDRM naik pangkat serta-merta

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat membabitkan empat pegawai kanannya berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Pengumuman itu dimaklumkan Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad.

Menurutnya, mendahului senarai pertukaran ialah Pegawai Turus Pentadbiran Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Timur Laut baharu.

Manakala, ACP Lembaga Parol (III), Kementerian Dalam Negeri Putrajaya, Asisten Komisioner Rosman Omar menggantikan jawatan Che Zaimani.

"Seterusnya, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar pula ditukarkan sebagai ACP Lembaga Parol (III), Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.

“Turut terlibat dalam pertukaran tersebut, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Sepang, Deputi Superintendan Hasron Nazri Hashim dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kampar, Perak dengan memangku pangkat Superintendan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

- Sinar Harian - 

Monday 27 August 2018

Harga gula turun 10 sen



PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan penurunan harga gula sebanyak 10 sen bermula 1 September ini.

Pengumuman itu menjadikan harga gula pasir kasar baharu RM2.85 sekilogram dan gula pasir halus RM2.95 sekilogram.

Menteri KPDNHEP, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah tersebut selari dengan trend harga gula mentah di pasaran dunia yang semakin menurun.

“Diharapkan dengan turunnya harga gula akan dapat mengurangkan jangkaan kesan berangkai ke atas harga makanan dan minuman di pasaran,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata gula merupakan barang kawalan yang dikawal bekalan dan harganya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 bagi memastikan bekalannya sentiasa mencukupi dan dijual pada harga terkawal.

“Hasil penurunan ini tidak bermakna kerajaan menyokong pengambilan gula berlebihan,”katanya.
Saifuddin turut mengingatkan para peniaga bahawa penjualan melebihi atau di bawah harga kawalan yang ditetapkan adalah dilarang tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan.
AKAN MENYUSUL

- Sinar Harian - 

Friday 24 August 2018

Bayaran BR1M akan dikurangkan sebelum dimansuh, kata Dr Mahathir


KERAJAAN akan menjadi tidak popular apabila Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dikurangkan dan dihapuskan sedikit masa lagi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Namun ia terpaksa dilakukan kerana pentadbiran Najib Razak terlalu “memanjakan” rakyat, kata Dr Mahathir yang menegaskan, rakyat tidak patut rasa berhak mendapat wang tanpa melakukan sebarang kerja.

Friday 17 August 2018

Sesi saringan UTK di Pulapol patuhi SOP



KUALA LUMPUR - Sesi saringan pemilihan bagi menyertai Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulalol) Bukit Sentosa adalah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sewaktu proses pemilihan sedang dijalankan, seramai 60 orang anggota telah mengalami strok haba dan terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Menurutnya, sebelum ini ada 80 anggota yang menyertai sesi saringan ini, namun 20 orang daripada mereka telah gagal.

"Ini adalah simulasi pertama dan sebahagian proses latihan untuk sertai UTK.
"Proses pemilihan tersebut adalah bagi memilih anggota yang terbaik di kalangan mereka bagi menyertai pasukan UTK dan perkara sebegitu adalah normal dan biasa berlaku apabila setiap kali sesi pemilihan berjalan di mana ada di antara mereka yang tidak mampu meneruskan cabaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Operasi Khas Rondaan Cegah Jenayah - Pelatih Pulapol Kuala Lumpur dan Perasmian Pondok Bit Polis Bantuan di Esplanade KLCC di sini, hari ini.

Tambahnya, kesemua mereka itu bukanlah pelatih baharu seperti yang tular di media sosial malah ada di antara mereka yang telah berkhidmat melebihi lima hingga 10 tahun.

Katanya, PDRM akan melihat sekiranya terdapat keperluan untuk menambah baik cabaran dalam setiap sesi pemilihan.

"Bagaimanapun, cabaran yang harus dilalui sebelum dapat menyertai UTK bukanlah mudah kerana integriti PDRM perlu dipelihara dan mereka yang terpilih mestilah yang terbaik," katanya.

Mengulas sama ada anggota tersebut gagal atau tidak dalam saringan tersebut, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu.

"Kita tiada tolak ansur dalam menekankan hal-hal dalam latihan ini, ini baru proses permulaan.. hendak atau tidak ia perlu dijalankan," katanya.

Hari ini, akhbar tempatan melaporkan kira-kira 61 pelatih Pusat Latihan Polis ( PULAPOL) Bukit Sentosa di sini, dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba ketika menjalani latihan tengah hari, semalam, dan daripada jumlah itu, seramai 16 mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Kesemua mereka dikejarkan dengan menaiki ambulans ke beberapa hospital sekitar Selangor, termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.

- Sinar Harian -

Semua saman AES dibatalkan



Kerajaan membatalkan semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang belum berbayar.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata, operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 September depan, dan ia akan dikuatkuasakan dengan tegas dan tiada lagi diskaun.

Katanya, langkah itu dilaksanakan selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dua syarikat konsesi pemgendali sistem AES yang tamat pada 31 Ogos ini.

"Kerajaan telah 'berkorban' untuk tidak mengutip saman AES ini maka semua saman AES setakat ini yang masih belum dibayar oleh orang ramai telah dibatalkan.

"Jumlah saman adalah sebanyak 3.1 juta. Dengan setiap saman AES adalah RM150, maka semua jumlah adalah RM435 juta," katanya selepas menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.

Tuesday 14 August 2018

3,407 PR keturunan India diiktiraf warganegara



KUALA LUMPUR 14 Ogos - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan 3,407 individu keturunan India yang memegang status pemastautin tetap (PR) dan berusia 60 tahun akan diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Beliau berkata, pemastautin tetap yang berusia bawah 60 tahun pula layak mendapat taraf warganegara sekiranya mereka memenuhi syarat yang digariskan.

Jelas beliau, antara syaratnya adalah lahir di negara ini dan salah seorang daripada ibu atau ayah mereka merupakan warganegara Malaysia.

“Janji yang terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) adalah menyelesaikan masalah kerakyatan kaum India yang memegang kad pengenalan warna merah iaitu seramai 3,407 orang dan semuanya berusia lebih 60 tahun. Mereka ini kita akan terus bagi kad biru dan dianggap sebagai warganegara.

“Yang muda lagi itu, kalau ada asas umpama anak yang dilahir oleh satu ibu atau bapanya orang Malaysia berhak dianggap menjadi warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Monday 13 August 2018

Berdepan tindakan jika gagal bendung rasuah, judi: KPN



KUALA LUMPUR - Dikenakan tindakan tatatertib, arahan pindah antara langkah tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pegawai dan anggotanya yang gagal menangani permasalahan judi, rasuah dan pelbagai salah laku.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pegawai serta anggota dan tindakan sudah diambil termasuk dipindahkan.

Menurutnya, pihaknya serius terhadap isu salah laku bukan saja berkaitan judi, tetapi juga meliputi rasuah serta peras ugut terutama jabatan membabitkan ‘front liner’ (barisan hadapan) seperti bahagian trafik, jenayah dan lain-lain.

“Tindakan tatatertib dan arahan pindah bukan saja membabitkan Ketua Polis Daerah, malah Ketua Polis Negeri. Malah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri juga telah dipanggil oleh jabatan untuk peringatan.

"Mereka yang dipindahkan ini turut berdepan tindakan susulan daripada jabatan," katanya pada sidang media di Bukit Aman selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman, hari ini.

Mengulas tentang sama ada pegawai atau anggota terbabit boleh dibuang kerja, Mohamad Fuzi menjelaskan, ia bergantung kepada merit kes.

Malah, beliau turut akui banyak aduan terhadap salah laku PDRM yang diterima pihaknya dan itu amat mendukacitakan dan menegaskan tidak sama sekali berkompromi dengan perkara ini.

"Hal ini dah lama, tindakan drastik akan diambil dalam usaha menangani permasalahan ini. Kita cari jalan penyelesaian, hendak kata 100 peratus selesai, ia agak sukar tetapi kita sedang usahakannya," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, seramai 926 pegawai dan anggotanya dikenakan tindakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.

“Adalah mendukacitakan apabila melihat kepada statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merekodkan seramai 149 warga PDRM ditahan atas pelbagai kesalahan rasuah, tahun lalu. Manakala tahun 2016, seramai 179 warga PDRM ditahan oleh SPRM. Walaupun jumlah ini menunjukkan penurunan, namun persepsi masyarakat terhadap ketelusan PDRM masih negatif,” katanya.

2 Ogos lalu, Mohamad Fuzi mengesahkan kegagalan menangani jenayah perjudian merupakan salah satu faktor pertukaran jawatan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, baru-baru ini.

Friday 10 August 2018

Harga Proton naik RM1,500 ke RM3,000 lepas SST



SHAH ALAM - Proton Edar Sdn Bhd menjangka harga kenderaan jenama tempatan akan meningkat sekitar RM1,500 hingga RM3,000 apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula September depan.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Abdul Rashid Musa menasihatkan orang ramai membeli kereta itu sekarang, iaitu ketika dalam tempoh peralihan daripada kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada SST untuk menikmati penjimatan.     
  
"Kita menjangka harga kenderaan Proton akan meningkat selepas pelaksanaan SST, cuma angka tepat belum dapat dipastikan memandangkan kerajaan belum lagi mengumumkan mekanisme cukai ini.         

"Pengiraan peningkatan harga ini (RM1,500-RM3,000) dibuat berdasarkan tindakan kerajaan terdahulu memperkenalkan GST bagi menggantikan SST di mana terdapat pengurangan dalam harga kereta Proton sekitar RM1,500 hingga RM3,000 pada waktu itu.  
  
"Justeru, apabila SST diperkenalkan semula, kami menjangka akan ada peningkatan harga dalam kuantum sama," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah program 'Proton Wealth on Wheels (WOW) Challenge' di sini hari ini.    

Abdul Rashid berkata, semua kenderaan Proton masih boleh ditempa memandangkan stok masih mencukupi untuk memenuhi permintaan dalam tempoh peralihan sistem percukaian itu daripada kadar sifar GST kepada SST.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya jangan terlalu memilih warna kereta dan varian sekiranya mahu kenderaan diserahkan kepada mereka dengan kadar segera.

WOW adalah program hasil kerjasama Proton dan Grab Malaysia bagi memberi cabaran kepada pemandu perkhidmatan itu untuk menamatkan cabaran berdasarkan penggunaan bahan api dan perbatuan tertinggi.
       
Dipecahkan kepada tiga kategori iaitu kereta Proton Iriz, Saga dan Persona, setiap pemenang membawa pulang 'baucar jualan' untuk pembelian kereta Proton baharu bernilai RM6,888.

- Bernama

Thursday 9 August 2018

PDRM umum pertukaran 17 pegawai kanan



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 17 pegawai kanannya yang akan berkuatkuasa 12 September depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, berkata pertukaran berkenaan membabitkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din yang dilantik sebagai Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman, manakala Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSK) Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar pula dilantik sebagai Ketua Polis Kedah.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim, pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dan Timbalan Pengarah I Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah.

“Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Sahabudin Abd Manan pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah I Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman.

“Selain itu, turut ditukar adalah SAC Kepolisan AM KDNKA Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat yang dilantik sebagai Komander Pasukan Polis Marin KDNKA Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asmawati berkata, turut ditukar adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan Standar (Siasatan/Perundangan/Kajian Kes) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Allaudeen Abdul Majid yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Terengganu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Idris Abdullah, pula dilantik sebagai SAC Kepolisan AM KDNKA Bukit Aman.

Turut ditukar adalah Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), KDNKA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim, yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan Standard (Siasatan/Perundangan/Kajian Kes) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman.

“Antara pegawai kanan lain yang ditukar adalah Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Johor, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Kelantan dan tempatnya diganti oleh Komandan Maktab PDRM kuala Kubu Bharu, Selangor, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim.


RAMLI Din


ABD Rahim Jaafar


ZAINAL Abidin Kasim