Monday 31 December 2018

Platun Tiger PGA tu apa ???



Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur dapat hidup aman damai tanpa kacau bilau. Mungkin ramai yang tidak tahu atau tidak pernah mengambil tahu bahawa keamanan yang dikecapi ini juga merupakan jasa dan pengorbanan pasukan-pasukan keselamatan yang ada di Malaysia, antaranya pihak polis dan tentera.

Dalam pasukan polis ini, terdapat beberapa pasukan elit dan skuad khas yang ditubuhkan bagi tugasan-tugasan istimewa, rahsia dan lebih mencabar. Sekiranya pasukan tentera Malaysia terkenal dengan kehebatan unit komandonya (antaranya PASKAL dan PASKAU), pasukan polis juga mempunyai beberapa pasukan elit antaranya Platun Tiger atau Tiger Platoon.





Dalam kes rusuhan kuil Kuil Sri Mariamman di USJ 25 baru-baru ini, telah tersebar satu gambar seperti di atas dimana orang ramai tertanya-tanya apakah maksud logo harimau berwarna kuning yang dipakai pada lengan anggota unit keselamatan tersebut.

Terima kasih kepada pengguna Twitter @ProjekHitam yang telah memberikan jawapan. Bagi yang tidak tahu, itulah unit khas dalam Pasukan Gerakan Khas (PGA) iaitu Platun Tiger.

Tidak dapat dipastikan mengapa pasukan sehebat Platun Tiger itu diarahkan untuk hadir ke situ tapi ianya menunjukkan betapa seriusnya seriusnya pihak kerajaan untuk membendung perkara yang lebih buruk daripada terus berlaku.

Walaupun kewujudan Platun Tiger ini sudah lama ditubuhkan, mungkin ramai yang tidak menyedari kewujudannya. Oleh itu, pihak Iluminasi ingin berkongsi sedikit sebanyak info menarik mengenai Platun Tiger ini sebagai tanda menghargai jasanya kepada negara kita.

Sudah wujud sejak zaman darurat

platun tiger zaman darurat
Walaupun unit Platun Tiger ini jarang diperkatakan, agak menarik dimana pasukan ini sebenarnya telah lama wujud sejak zaman darurat dahulu dan antara tugasan utamanya pada ketika itu adalah bagi menjaga keamanan negara daripada ancaman dan kekacauan pengganas komunis.



Pasukan ini juga berfungsi sebagai pasukan khas kepada Pegawai Pemerintah dan setiap anggotanya mempunyai pelbagai kebolehan dan berkemahiran tinggi dan mampu untuk melakukan pelbagai tugasan dalam skop memelihara keselamatan dalam negeri dan ketenteraan awam.

Mempunyai pelbagai kebolehan dan berkemahiran tinggi

latihan platun tiger
Platun Tiger merupakan skuad khas di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia. Setiap anggotanya perlu menjalani pelbagai latihan yang menguji fizikal dan mental sebelum terpilih untuk menyertai skuad khas ini.

Keanggotaan skuad ini juga tidaklah begitu ramai. Ia terdiri daripada seorang Platun Komander, seorang Platun Sarjan, 3 orang Seksyen Komander dan anggota infantri. Setiap anggota akan menjalani pelbagai latihan bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka.



Antara latihan yang akan dijalani oleh setiap ahli kumpulan ini adalah:
  1. Latihan Mencari dan Menyelamat
  2. Tempur tanpa senjata/karate
  3. Latihan PORU
  4. Teknik tempur jarak dekat (CQB)
  5. Latihan peperangan di hutan
  6. Pengendalian menggunakan tali
  7. Pengendalian enjin sangkut
  8. Kepakaran menembak pantas
  9. Rondaan jarak jauh
  10. Teknik perisikan

Berjaya menumpaskan pengganas Abu Sayyaf

pasukan gerakan am
Suatu ketika dahulu, negara kita digemparkan dengan kegiatan jenayah kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang gemar menculik orang awam untuk dijadikan tebusan bagi mengugut kerajaan Malaysia membayar sejumlah wang kepada mereka.



Mungkin ramai yang tidak tahu, pasukan Platun Tiger inilah yang telah memainkan peranan penting sebagai pasukan khas bagi melumpuhkan kegiatan pengganas Abu Sayyaf pada ketika itu. Kehebatan pasukan Platun Tiger ini menumpaskan pengganas Abu Sayyaf nyata mendapat perhatian daripada negara-negara Jiran.
tiger platun platoon pdrm polis hutan
Ingat lagi peristiwa pencerobohan di Lahad Datu tidak lama dahulu? Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pasukan selain pasukan VAT69, Platun Tiger juga telah menyumbangkan kepakaran mereka bagi menjaga keselamatan negara pada ketika itu.
Kredit:
  1. WikiPedia
  2. FB Polis Hutan
  3. FB Batalion 1 PGA
  4. The Star
Daripada Blog - https://iluminasi.com

Tinggal sebilik tapi tak buat apa-apa



MELAKA: Angkara ingin melepaskan rindu sebelum bertolak balik ke kampung halamannya, seorang penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) bersama teman lelakinya, dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), sempena Ops Ambang Tahun Baharu, awal pagi ini.

Pasangan kekasih berusia 22 tahun itu, ditahan di sebuah hotel bajet di Batu Berendam, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi.



Lelaki yang bekerja kilang di daerah ini mendakwa, teman wanitanya itu dalam perjalanan untuk pulang ke kampung halaman di Kelantan dari Selangor namun terlebih dulu singgah di Melaka untuk bertemunya.



Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani, berkata operasi itu diadakan bagi memastikan sambutan tahun baharu tidak dicemari kegiatan maksiat.

Beliau berkata, sebanyak enam hotel bajet diperiksa dan hasilnya enam individu ditahan selepas didapati tinggal berdua-duaan dengan pasangan bukan mahram.

“Tiga pasangan yang ditahan itu berusia antara 22 hingga 27 tahun, dan ketika pemeriksaan dilakukan mereka gagal menunjukkan dokumen sah mengatakan mereka adalah pasangan yang sah.

“Malah penguat kuasa mengambil masa kira-kira 30 minit mengetuk pintu didiami pelajar IPTA itu sebelum mereka memberikan kerjasama dan membukanya,” katanya.

Rahimin berkata, pasangan ini memberikan bermacam alasan antaranya cuma singgah sekejap, hanya tinggal sebilik tetapi tidak melakukan apa-apa untuk tidak diambil tindakan.

“Alasan itu hanya sia-sia kerana perbuatan bersekedudukan atau berkurung sehingga mendatangkan syak adalah suatu kesalahan.

“Semua mereka ini akan ditahan dalam tempoh 24 jam untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua enam individu ini akan disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung mendatangkan syak.

- BERITA HARIAN - 

Pesta liar tahun baharu diserbu



AYER KEROH: Keghairahan lebih 500 individu yang sedang berpesta sempena menyambut ambang tahun baharu berakhir apabila kumpulan itu diserbu penguat kuasa dalam Operasi Bersepadu di sebuah taman tema air, di sini, tengah malam tadi.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 12.20 tengah malam, pengunjung sedang asyik menari di pentas malah ada yang sedang mandi-manda dalam kolam.



Pesta berkenaan yang mendapatkan kelulusan permit daripada pihak berwajib bagaimanapun dikatakan bertukar menjadi pesta liar apabila ada dalam kalangan pengunjung dipercayai menyediakan bekalan dadah dan minuman keras.





Difahamkan, pengunjung yang inginkan suasana ‘luar biasa’ hanya perlu membayar tambahan RM70 untuk mendapatkan bekalan dadah.

Malah, seorang pengunjung lelaki nyaris maut akibat lemas selepas dia yang cuba melarikan diri daripada ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terjatuh ke dalam sebuah tasik.

Kebanyakan lelaki dan wanita terbabit dipercayai berasal dari luar negeri ini dan berkunjung ke taman tema air itu semata-mata untuk menyertai aktiviti tidak bermoral berkenaan.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati 22 pengunjung termasuk tujuh gadis berusia antara 15 hingga 25 tahun ditahan selepas didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mahani Masban, berkata operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Jabatan Imigresen bagi memeriksa dan mengesan premis yang melanggar syarat lesen, selain membendung gejala sosial.

Beliau berkata, penganjuran pesta itu mendapat kelulusan permit bagaimanapun ianya didapati melanggar syarat ditetapkan apabila berlangsung melebihi waktu ditetapkan selain terdapat penyalahgunaan dadah dan alkohol.

“Untuk itu kita akan memanggil pihak penganjur bagi merakamkan keterangan serta siasatan mengenai perlanggaran permit.



“Susulan pesta ini juga difahamkan sebanyak tiga laporan polis dibuat penduduk sekitar kerana terganggu dengan suasana bising,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Mahani berkata, hasil operasi yang turut diadakan di empat premis lain di sekitar Ayer Keroh dan Batu Berendam, pihaknya turut mengeluarkan 10 kompaun membabitkan kesalahan lesen perniagaan tamat tempoh, langgar syarat lesen dan premis kotor.

“Selain itu JAIM turut mengeluarkan surat Perintah Hadir mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kepada 10 gadis kerana berpakaian tidak sopan,” katanya.

- BERITA HARIAN - 

Gadis menangis selepas ditahan polis



SUNGAI PETANI: Seorang gadis hanya mampu menangis selepas ditahan polis atas pelbagai kesalahan trafik, di Jalan Badlishah, di sini, awal pagi tadi.

Gadis berusia lingkungan 20-an yang ditahan sekitar jam 1 pagi itu nyata terkejut dan tidak menyangka skuter yang ditunggang bersama seorang lagi rakan perempuan akan disita.

Kesalahan jelas ialah motosikal itu tidak mempunyai nombor pendaftaran pada bahagian depan dan nombor pendaftaran pada bahagian belakang berbentuk digital yang tidak mengikut spesifikasi.



Malah gadis yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kawasan sekitar itu juga disaman kerana cukai jalan sudah tamat tempoh.

“Tolonglah encik...tolonglah,” hanya itu sahaja yang mampu diucapkan gadis berkenaan sebelum menekup mukanya di atas meter motosikal.

Gadis berkenaan hanya diketahui menangis selepas polis memanggilnya untuk memberikan kertas saman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah (Ambang Tahun Baru) 2019 itu sebanyak 993 kenderaan diperiksa.

“Dalam operasi bermula jam 9.30 malam hingga 5 pagi itu 212 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Selain 35 kenderaan turut disita merangkumi tujuh kereta dan 28 motosikal,” katanya.
Katanya, operasi berkenaan juga turut dijalankan secara bersepadu bersama Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

- BERITA HARIAN - 



Harga Petrol Ron95 dan Diesel belum turun




 KUALA LUMPUR 31 Dis. - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini mengumumkan harga runcit petrol RON95 akan dikekalkan pada harga RM2.20 seliter untuk tempoh beberapa hari.

Beliau berkata, penetapan itu turut melibatkan petrol RON97 pada harga RM2.50 seliter dan diesel RM2.18 seliter.


Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, pengekalan harga itu mengambil kira pandangan semua pihak.  Menurutnya, kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit petroleum secara mingguan.


"Sehubungan itu, pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri yang akan bermesyaurat pada 2 Januari 2019 dan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan diperolehi ke atas permintaan PDAM.

"Dan juga memastikan penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum. Perdana Menteri juga akan bertemu dengan PDAM dalam amasa terdekat." kata Guan Eng.

Justeru menurut beliau harga berkenaan akan kekal dalam tempoh beberapa hari.


Menurut Guan Eng kerajaan tetap berhasrat melaksanakan penetapan harga runcit petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras penurunan harga petroleum dunia.

Penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun baru 2019.



Sebelum ini, media melaporkan, Guan Eng berkata, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari 2019.

Penetapan harga secara bulanan di bawah mekanisme harga automatik (APM) akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia menurun.

Katanya, dalam keadaan harga minyak dunia naik, kenaikan harga minyak runcit akan dikawal dan dihadkan kepada RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel.

Pengekalan harga tersebut adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan pada pertengahan tahun 2019.


Bermula 7 Jun lalu, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter.

Pada 22 Disember lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan telah mengenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas petrol RON95 sejak awal Disember.

Menurutnya, berdasarkan harga Brent semasa iaitu sekitar AS$52 setong, harga petrol RON95 sepatutnya dikenakan antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak berbanding RM2.20.

“Belanjawan 2019 diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan andaian harga minyak dunia Brent pada harga AS$72 satu tong pada awal bulan lalu tetapi selepas itu, harga minyak dunia telah terus jatuh menjunam.

“Harga Brent ialah di sekitar AS$52 satu tong, sebagai perbandingan harga Brent semasa Barisan Nasional (BN) kalah ialah AS$73 satu tong dan harga RON95 ialah RM2.20 satu liter.

“Ini bermakna, sejak awal bulan lepas, kerajaan Pakatan Harapan telah kenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas RON95,” kata Najib.- UTUSAN ONLINE




Semua anak pergi sekelip mata: Bapa



DUNGUN - “Mereka sepatutnya ke sekolah esok tetapi ketiga-tiga anak kami
telah ‘pergi’ sekelip mata”.

Demikian luah Zawawi Abd Wahad, 42, yang berdepan dengan insiden
menyedihkan pada akhir 2018 apabila kesemua tiga anaknya Nurain Fatma
Zawawi, 10, Nurain Sofia, 8, dan Nurain Sasabila, 6, ditemukan lemas
pagi tadi di Pantai Sura Tengah di sini.

“Kali terakhir saya menatap wajah anak-anak kesayangan itu pada pagi
semalam (Ahad) selepas menghantar mereka mengambil buku teks di Sekolah
Kebangsaan Perol, Kelantan,” katanya.

Zawawi berkata, dia menerima perkhabaran sedih itu menerusi panggilan
telefon daripada anggota keluarganya pada kira-kira jam 7 malam hari
yang sama dan bergegas ke tempat kejadian bersama isterinya, Nur Syahida
Abdullah, 36.


Mereka sekeluarga baru sahaja pulang daripada bercuti di Hatyai,
Thailand Sabtu lalu sebelum ketiga-tiga anaknya itu mengikut ibu saudara
mereka, Suriani Abdullah, 41, serta beberapa anggota keluarga lain
bercuti di Dungun.

"Saya serta isteri tidak turut serta kerana kepenatan dan menguruskan
beberapa urusan kerja serta persekolahan anak-anak memandangkan sesi
persekolahan Pantai Timur bakal bermula esok. Semua kelengkapan
persekolahan telah disiapkan.

"Tak dapat digambarkan betapa hancur dan luluhnya perasaan kami apabila
semua anak ‘pergi’ sekali gus," katanya dalam keadaan sugul ketika
ditemui pemberita di Hospital Dungun.

Suasana sedih dan pilu itu bukan sahaja menyelubungi anggota keluarga
tetapi juga pihak media yang turut sama berada di situ terutama apabila
melihat ibu kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak bermaya dan
terpaksa dipapah oleh keluarga.


Dalam kejadian pada kira-kira jam 6.40 petang semalam, ketiga-tiga
mangsa yang berasal dari Kampung Peringat, Kelantan dihanyutkan setelah
dipukul ombak besar ketika bermain di pesisir pantai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata
mayat Nurain Sofia ditemukan pada jam 7.48 pagi lima kilometer dari
lokasi kejadian manakala adiknya Nurain Sasabila dijumpai kira-kira
pukul 9.40 pagi, satu kilometer dari tempat kejadian.

Mayat kakak mereka, Nurain Fatma dijumpai oleh orang awam terdampar di
pesisir pantai pada kira-kira 11.03 pagi, lebih kurang lima kilometer
dari lokasi kejadian.

"Jenazah tiga beradik berkenaan dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun
untuk siasatan lanjut dan akan dibawa pulang untuk dikebumikan di
kampung nenek sebelah ibu mereka di Rantau Panjang, Kelantan,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pantai Sura Tengah itu
dijalankan oleh 73 anggota termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan
Awam Malaysia (APM). - Bernama

You ingat you besar sangat ka?



PARIT – Padah berkelakuan tidak senonoh akibat mabuk, seorang kontraktor
ladang sawit ditahan selepas bertindak agresif di Balai Polis Parit,
malam tadi.

Kejadian pada jam 12.10 tengah malam itu berlaku di hadapan kaunter
pertanyaan balai melibatkan dua anggota polis berpangkat koperal dan
lans koperal yang ketika itu sedang bertugas.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah
berkata, lelaki berusia 35 tahun berkenaan bukan sahaja meludah dalam
balai, malah bertindak menyimbah air minuman yang dipegangnya kepada
seorang anggota.


Menurutnya, meskipun ditenangkan, lelaki terbabit tetap cuba membuat
provokasi secara fizikal serta mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur
perkauman.

“Kejadian berlaku ketika lelaki itu datang ke balai dengan memandu
kereta pikap jenis Nissan Navara untuk membuat laporan berkenaan
kehilangan wang simpanan berjumlah RM5,000.

“Bagaimanapun, dia bercakap dengan nada tinggi dan mengeluarkan kata
kesat seperti 'You ingat you besar sangat ka? You tak tau sapa saya'
sebanyak lebih tiga kali kepada anggota bertugas ketika diminta
mengalihkan kenderaannya yang menghalang laluan.

“Meskipun diminta bersabar, lelaki terbabit cuba membuat provokasi
secara fizikal kepada anggota dengan meludah dalam balai dan mencurah
air ke atas anggota,” katanya.


Mohamad Zainal berkata, lelaki terbabit kini direman selama empat hari
untuk disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 atas kesalahan
melakukan kekecohan.

“Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana
menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 510 akta sama kerana
berkelakuan mabuk di tempat awam,” katanya.

- SINAR HARIAN -

Sunday 30 December 2018

Tiga beradik berpelukan sebelum ditelan ombak



DUNGUN: “Mereka berpelukan sebelum ditelan ombak,”, kata Aqif Khairullah Azhar, 7, sepupu kepada tiga beradik yang ditarik ombak ketika bermain di tepi Pantai Sura Tengah, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.40 petang, tiga beradik terbabit, Nur Ain Fatma Zawawi, 10, Nur Ain Sofea Zawawi, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, dari Kampung Pegal Pisang, Peringat, Kelantan, dikhuatiri lemas dan gerakan mencari dan menyelamat mangsa segera dilakukan pihak berkuasa.

Tiga beradik terbabit mengikuti ibu saudara mereka bercuti dan menginap di sebuah rumah inap di depan pantai terbabit.

Aqif berkata, dia bersama kakaknya Anis Maisarah, 8, serta tiga beradik itu berada di tepi pantai dengan ditemani seorang ibu saudara mereka.


“Mula-mula Nur Ain Sasabila bermain di tepi dan dua kakaknya datang untuk mengajak adiknya itu naik ke tebing.

“Tiba-tiba ombak besar datang dan memukul mereka sebelum ditarik ke laut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, bapa Aqif, Azhar, 43, berkata, mereka datang bercuti di Dungun dengan menaiki lima kereta.

“Kedua-dua ibu bapa mereka (mangsa) tidak turut serta. Kami tiba di homestay kira-kira jam 5 petang.

“Saya dan isteri dengan anak saudara serta ipar yang lain berehat di homestay itu, manakala dua anak dan mangsa turun ke pantai,” katanya.

Katanya, ketika terlelap dia dikejutkan isterinya yang memaklumkan tiga anak saudaranya dihanyut ombak.

“Saya bersama ahli keluarga yang lain turun ke pantai dalam jarak 300 meter dan mendapati ketiga-tiga mangsa sudah hilang.

“Saya meminta ahli keluarga yang lain supaya segera menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Mohamad, berkata bomba terima panggilan kira-kira jam 7.14 petang.



Katanya, seramai 10 anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, anggota polis dengan bantuan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

“Sehingga jam 9 malam ini usaha mencari dan menyelamat mangsa masih belum berhasil,” katanya.

- BERITA HARIAN - 


20 PASANGAN PDRM DIRAI [200 GAMBAR]



RAIKAN CINTA WARGA PDRM: 20 PASANGAN DIRAI DALAM MAJLIS EKSKLUSIF ANJURAN BANK MUAMALAT


Kuala Lumpur, 29 Disember 2018 - Seramai 20 pasangan pengantin baharu warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diraikan penuh meriah dalam Majlis Raikan Cinta Raja Sehari Warga PDRM anjuran Bank Muamalat Malaysia Berhad di Dewan Pengaman, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, pagi tadi.

Semua pasangan yang terdiri daripada satu pasangan pegawai kanan polis, 16 pasangan pegawai rendah polis dan tiga pasangan pegawai awam, sebelum itu dinikahkan beramai-ramai oleh lima juru nikah yang diketuai oleh Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) (Agama) merangkap Kadi PDRM, ACP Haji Ghazali Haji Daud di Masjid Salehin, PULAPOL Kuala Lumpur.

Majlis bersejarah tadi juga telah disaksikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dato' Mohd Redza Shah Abdul Wahid bersama isteri, Datin Mumtazah Faikhullah Khan Bagi pasangan pengantin baharu, Inspektor Nur Raifana Shamsuddin dan suami, Mohd Firdaus Jamil, menganggap mereka sangat bertuah kerana berpeluang menjadi peserta yang diraikan dalam majlis penuh gilang-gemilang sambil disaksikan pucuk pimpinan PDRM, ahli keluarga dan sanak sudara terdekat.


"Syukur Alhamdulillah, kami begitu terharu kerana dipilih menyertai program ini dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bank Muamalat Malaysia Berhad yang telah sudi menaja majlis raja sehari buat warga PDRM pada hari ini," ucap Inspektor Nur Raifana ketika ditemui pada majlis itu.

Disamping menaja majlis perkahwinan beramai-ramai ini, Bank Muamalat Malaysia Berhad turut berbesar hati menghadiahkan pakej penginapan satu malam di Hotel Boulevard, Mid Valley, dekat sini, buat semua pasangan pengantin yang diraikan. Sementara itu, Tan Sri Mohamad Fuzi berkata, PDRM amat berbesar hati dan menyambut baik usaha murni Bank Muamalat Malaysia Berhad untuk tampil membantu meringankan beban pasangan pengantin baharu daripada kalangan warga PDRM.

Hadir sama adalah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Seri Alwi Haji Ibrahim dan isteri, Datin Seri Roba’ Aishah Mohd Ghazali, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim dan isteri merangkap Pemangku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Datin Sri Shahriza Saad @ Mansor, barisan Pengarah PDRM, wakil-wakil media dan para pegawai kanan dari PDRM serta Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Tahniah dan selamat pengantin baharu buat semua pasangan yang diraikan!

Daripada Facebook -

Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )