Tuesday 28 February 2017

2 Wanita Didakwa Bunuh Warga Korea Utara

SEPANG – Dua wanita asing didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Kim Chol, seorang warga Korea Utara, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam bersama-sama empat orang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2, kira-kira 9 pagi, pada hari berkenaan.

Pihak berkuasa telah mengesahkan pembawa pasport yang tertera dengan nama Kim Chol adalah sebenarnya Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.Pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan.

Siti Aisyah merupakan tertuduh pertama manakala Thi Huong adalah tertuduh kedua.
Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Siti Aisyah dan Thi Huong kelihatan tenang ketika dibawa masuk secara berasingan ke dalam mahkamah kira-kira pukul 10.10 pagi.

Hakim Mahkamah Sesyen Harith Sham Mohamed Yasin, yang bertindak sebagai Majistret, menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor Muhamad Iskandar Ahmad manakala Siti Aisyah diwakili barisan lima peguam diketuai Gooi Soon Seng dan Thi Huong diwakili peguam S. Selvam.

Kedua-dua tertuduh selepas itu dihantar ke Penjara Kajang. – BERNAMA

Monday 27 February 2017

Ikat Perut Sejak Muda, Gadis Berjaya Kumpul Aset Lebih RM1 Juta



SHAH ALAM
: Sanggup ikat perut pada usia muda nyata memberi pulangan kepada seorang eksekutif jualan yang kini memiliki tiga aset hartanah bernilai lebih sejuta ringgit.


Berkongsi rahsia kejayaannya, Siti Nursyafieqah Abu Bakar, 25, juga mengorbankan masa berhibur pada usia muda untuk melakukan kerja sampingan dengan bekerja separuh masa di pasar raya, lapor Sinar Harian.
“Saya pernah mengikat perut demi memenuhi tabung simpanan malah tiada masa untuk bersosial dengan kawan.
“Sehinggakan saya pernah dikatakan ‘gila’. Selama bertahun saya tetap dengan cara sendiri nyata ‘diet’ kewangan ketat yang diamalkan sejak zaman diploma menjadi sandaran sehingga kini,” katanya dilapor portal itu.
Maka tidak hairan kegigihan Syafieqah menular di laman sosial sejak tahun lalu apabila pada usia 24 tahun ketika itu beliau berjaya memiliki rumah teres jenis ‘superlink’ dan kereta mewah Subaru XY.
Ketika itu Syafieqah bekerja di sebuah bank dan dibayar RM1,600 sebulan, namun sikapnya yang berjimat cermat dan pandai menguruskan kewangan menjadi faktor kejayaannya.
“Sedangkan rakan lain dibayar RM2,000 sebulan, saya tidak cemburu dengan mereka, tetapi cuba untuk meningkatkan pendapatan dengan bekerja separuh masa di pasar raya.
“Bukan itu sahaja, duit komisen dan OT yang dibayar pihak bank akan dibahagi dua untuk simpanan dan pelaburan ASB.
“Dengan RM1,600 itu, saya belanjakan untuk rumah sewa, pengangkutan, perbelanjaan makan dan minum serta duit saraan ibu bapa,” katanya.

Wednesday 22 February 2017

Status Setiausaha Kedua Kedutaan Jadi Teka-Teki

KUALA LUMPUR – Hyon Kwang-song, yang dikenal pasti polis sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara di Malaysia, dan sedang dicari untuk membantu siasatan berhubung kematian Kim Jong-nam, tidak tersenarai sebagai staf kedutaan itu.

Semakan Bernama terhadap senarai Perwakilan Diplomatik dan Konsul Malaysia yang terdapat dalam laman sesawang Kementerian Luar menunjukkan individu yang menyandang jawatan setiausaha kedua di kedutaan itu bernama Yu Yong Nam.

Senarai yang kali terakhir dikemas kini pada Disember lepas itu mengandungi nama mereka yang bertugas di Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi di Malaysia.

Tidak jelas bilakah Kwang-song mula berkhidmat di kedutaan itu. Bagaimanapun, Duta Besarnya disenaraikan sebagai Kang Chol, iaitu Duta Besar sekarang. Kesemuanya terdapat 14 nama termasuk nama duta besar itu dalam senarai berkenaan.

Bagaimanapun ketika dihubungi, jurucakap Kementerian Luar memberitahu Bernama bahawa maklumat yang terkandung dalam senarai itu diberi Kedutaan Korea Utara dan bukan daripada kementerian itu.

Panggilan telefon ke kedutaan itu untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perkara tersebut tidak dijawab.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar hari ini berkata seorang daripada dua suspek yang dikehendaki berhubung siasatan kematian abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un itu Isnin lepas, dikenal pasti sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara di Malaysia.

Selain Hyon Kwang-song, 44, seorang lagi suspek yang sedang dicari polis ialah pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Koryo Air, dikenal pasti sebagai Kim Uk-il, 37.

Pada 13 Februari, Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) sekitar 8 pagi untuk menunggu penerbangan ke Macau apabila seorang wanita datang dari arah belakang dan menekup mukanya dengan kain dipercayai mengandungi racun.

Jong-nam, yang tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Februari, mendapatkan bantuan di kaunter perkhidmatan dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan. – BERNAMA

Bilionair Melayu kaya tapi ‘Low Profile’ , APA CERITA?


TAN SRI SYED AZMAN SYED IBRAHIM: BILIONAIR MELAYU ‘LOW PROFILE’ YANG MEMILIKI 4 JET EKSEKUTIF, LEBIH 40 BUAH HELIKOPTER!

Beliau asalnya adalah seorang pegawai perisikan tentera yang berkhidmat selama 13 tahun dalam ATM hingga memperoleh pangkat Mejar. Pada tahun 1993, setelah berhenti dari tentera, beliau dan isteri memulakan perniagaan kereta terpakai. Anak jati Sungai Petani, Kedah ini kemudiannya mula berulang-alik ke London untuk membeli kereta terpakai sebelum menjualnya di Malaysia. Masa tu beliau tidak memiliki AP namun dia berkongsi AP dengan rakan-rakan yang memiliki permit tersebut. Lama kelamaan beliau berjaya juga memiliki AP dari kerajaan dan perniagaan keretanya semakin menjadi sebutan.

Kemudian kerajaan mengambil keputusan memberhentikan pemberian AP terbuka dan hanya menawarkan franchise AP. Untuk mendapatkan franchise AP, Syed Azman perlu dilantik oleh syarikat kereta asing sebagai pengedar then barulah permit itu dianugerahkan kepadanya. Nasib menyebelahinya apabila beliau berjaya mendapatkan kepercayaan daripada Honda untuk melantiknya sebagai pengedar beberapa jenis kereta tersebut di Malaysia antaranya Honda Jazz. Kemudian Syed Azman mendapat hak untuk mengedar pula Chevrolet dan Suzuki.


Dalam satu temubual dengan akhbar The Star tak lama dulu, Syed Azman berkata, selama menjalankan urusan perniagaan, beliau bosan kerana masanya banyak habis di jalan lalu rakannya mencadangkan beliau membeli helikopter saja untuk ke sana dan ke sini.



Pada tahun 2003, beliau membeli sebuah helikopter dengan harga US$1.5 juta bagi kegunaan hariannya, bila heli itu tidak digunakannya, beliau sewakan saja pada mereka yang berminat. Ketika itulah beliau sedar yang permintaan untuk helikopter ini tinggi di Malaysia.

5 tahun kemudian, beliau berjaya mendapatkan kontrak pertama untuk menyediakan perkhidmatan helikopter untuk membawa pekerja sektor minyak dan gas ke pelantar.

Dan hari ini, pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS) itu memiliki lebih 40 buah helikopter, empat buah jet persendirian dan beliau juga memiliki kontrak bernilai RM8 billion bagi membawa pekerja pelantar minyak hingga menjadikannya antara lelaki Melayu terkaya di Malaysia ketika ini.

Ini belum campur perniagaan peluru berpandu, peralatan pertahanan, hartanah, kenderaan, pembinaan etc. Walaupun harta dan asetnya mencecah bilion ringgit, Syed Azman enggan menyatakan jumlahnya. Beliau hanya menjawab: “Saya tak boleh beritahu jumlah harta saya, mak saya tak suka”
Hehehe…comel tak jawapan tu?
Sumber asal : Syahril A. Kadir

Sah 2 Suspek Termasuk S/U Kedutaan Korea Utara - KPN



KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan salah seorang daripada dua suspek diburu dikenal pasti Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, suspek tersebut dikenali sebagai Hyon Kwang-song, 44 dan seorang lagi suspek yang baru dikenal pasti merupakan pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Kim Uk-il, 37.

“Kedua-dua suspek warga Korea Utara itu disyaki masih lagi berada di negara ini dan kami telah minta mereka tampil untuk bantu siasatan kes kematian yang berlaku pada minggu lalu.

“Sekiranya mereka masih lagi enggan, waran tangkap akan dikeluarkan,” tegas Khalid dalam sidang akhbar khas yang diadakan di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau ketika mengulas perkembangan kes melibatkan abang tiri Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam itu turut menyatakan bahawa pihak polis merujuk identiti mangsa sebagai Kim Chol.

Kakitangan kedutaan Korea Utara itu tiba di Malaysia pada 20 September 2016 manakala petugas syarikat penerbangan Korea Utara itu pula didapati tiba di Malaysia sejak 29 Januari lalu.

Khalid berkata kedua-dua rakyat Korea Utara itu masih berada di dalam negara dan polis akan mencari mereka jika tidak hadir bagi membantu siasatan.

Polis ujar beliau juga sedang memburu seorang lagi warga Korea Utara yang dipercayai terlibat aktif dalam pembunuhan itu dikenali sebagai Ri Ji U, 30, atau dikenali sebagai James.

Beliau berkata pihaknya kini mengeluarkan arahan dan meminta bantuan Interpol selain berhubung dengan Korea Utara untuk menyerahkan semula warga mereka ke Malaysia
Jelas beliau, pihaknya turut meminta kerjasama daripada pihak berkuasa Korea Utara untuk segera menyerahkan kesemua suspek kes sama yang telah pulang semula ke negara komunis itu bagi proses siasatan.

“Pihak berkuasa Korea Utara perlu memberi kerjasama dan membenarkan kita menjalankan soal siasat terhadap kesemua suspek supaya siasatan kes ini dapat dilengkapkan,” katanya.
Khalid turut memaklumkan, pihaknya menolak tawaran Korea Utara untuk menjalankan siasatan bersama kerana kes ini di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Sunday 19 February 2017

Lelaki Tumbuk Penguat Kuasa DBKL Ditahan Polis



KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang remaja lelaki yang didakwa menumbuk seorang penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kejadian melibatkan sehelai kain rentang di sini, Ahad.

Kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu dipercayai tercetus apabila mangsa dan tiga rakan sekerjanya menurunkan kain rentang mengecam DBKL yang digantung di bangunan ibu pejabat DBKL.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, tindakan itu dibuat selepas arahan awal supaya sekumpulan remaja serta suspek menurunkannya selepas dipercayai memasang kain rentang tersebut, tidak diendahkan.

“Semasa mangsa dan tiga lagi rakan sekerjanya hendak menurunkan kain rentang itu, remaja berkenaan tiba-tiba datang dan menumbuk mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan suspek telah ditahan serta diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Sukri berkata, semakan rekod mendapati suspek berusia 23 tahun itu tidak memiliki rekod jenayah dan akan direman.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – Bernama

Monday 6 February 2017

HURU-HARA AKIBAT POLIS MOGOK


Agensi
Rio De Janeiro: Presiden Brazil mengerah sehingga 200 tentera dihantar ke negeri Espírito Santo yang kini huru-hara akibat mogok polis yang menyaksikan rompakan, pembunuhan dan jenayah rogol berleluasa.

Keadaan di negeri itu bagaikan filem ‘The Purge’ dengan orang awam mengambil kesempatan melakukan jenayah tanpa kehadiran pihak berkuasa.

Media Brazil melaporkan jenayah di Espirito Santo di utara Rio de Janeiro, meningkat mulai hujung minggu lalu, selepas polis melancarkan mogok kerana tidak mendapat gaji.

Krisis kewangan Brazil menyebabkan banyak negeri di negara itu menghadapi masalah untuk membayar gaji kakitangan awam dengan kerajaan pusat sendiri kini bertungkus-lumus untuk membayar gaji kakitangan awam, termasuk polis, guru dan doktor.



Reuters melaporkan sehingga 50 orang terbunuh sejak huru-hara bermula di Espírito Santo, negeri berpenduduk 3.9 juta orang, terutama di bandar raya Vitoria yang berpenduduk dua juta orang.

Rakaman video dan gambar menunjukkan kedai dipecah masuk serta mayat di jalanan.
Ramai mengganas di jalanan dengan membawa parang atau senjata api. Mereka merompak kedai serta membakar bas.

Anggota polis pula berlindung dalam balai polis sejak melancarkan mogok mulai Sabtu lalu, menuntut gaji dibayar, tidak mempedulikan apa yang berlaku di luar.

Media melaporkan banyak keganasan berlaku dengan seorang penduduk memberitahu portal berita Political Outsource: “Penjenayah melepaskan tembakan rambang kepada orang ramai di jalanan.”
Sekolah ditutup, begitu juga pejabat kerajaan, termasuk klinik dan orang ramai mengurung diri dalam rumah

Sumber - Harian Metro Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 8:14 AM