Wednesday, 31 October 2018

Anggota polis maut dirempuh lori

Anggota polis maut dirempuh lori

BATU PAHAT - Seorang anggota polis berpangkat sub inspektor maut selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam satu kemalangan petang, semalam.

Mangsa, Say'on Surat, 57 yang pernah bertugas sebagai Ketua Polis di Balai Parit Sulong,  maut apabila kereta dipandunya dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Allahyarham yang kini bertugas di Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemalangan di simpang Jalan Mustaffa, Parit Sulong, Batu Pahat itu dipercayai berlaku selepas kereta dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori tiga tan yang tiba-tiba memasuki laluan mangsa.

"Pemandu lori berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang, di sini, malam tadi.

- SINAR HARIAN - 

8 SASPEK DISYAKI PENGGANAS DITAHAN

 Related image
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima individu termasuk tiga warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas dalam operasi di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata kesemua suspek berkenaan ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas PDRM dari 13 hingga 26 Okt lepas.

Menurutnya, suspek pertama lelaki warga Mesir berusia 50 tahun merupakan seorang Pengurus Eksekutif di sebuah syarikat di ibu negara ditahan pada 13 Oktober lepas.

“Suspek merupakan bekas anggota kumpulan pengganas Al-Qaeda semasa berada di Afganistan dari 1988 sehingga 1993. Suspek pernah berjumpa dengan Osama Laden, pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda selain pernah ditangkap dan dipenjara di Kanada dan Mesir,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan kedua dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 20 Oktober, melibatkan seorang lelaki warganegara sebuah negara di Timur Tengah berusia 31 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan.

Suspek berkenaan terlibat dalam kes ugutan bunuh terhadap seorang diplomat asing di ibu negara.
Beliau berkata, tangkapan ketiga di Setiawan, Perak pada 25 Oktober melibatkan seorang lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun. Suspek terlibat dalam kumpulan pengganas Lashkar-E-Taiba yang berpangkalan di sebuah negara di Asia Selatan dan telah menyusup masuk ke negara ini pada Ogos 2016.

Mohamad Fuzi berkata, seorang wanita berusia 32 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta turut ditahan di Gombak, di sini pada hari yang sama suspek ketiga ditahan.

“Wanita itu dalam menyalurkan dana kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi (rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria) antara 2014 hingga 2017 bagi tujuan aktiviti keganasan.

Suspek terakhir merupakan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan di Kota Kinabalu, Sabah pada 26 Oktober lepas, katanya.

“Suspek kelima yang bekerja sebagai pengurus perkhidmatan di sebuah syarikat telekomunikasi itu turut terlibat dalam menyalurkan dana kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi serta Kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina dari 2015 hingga 2018 bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan,” katanya.

Empat daripada suspek itu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747), manakala suspek kedua ditangkap di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

- Bernama

Harga Minyak RON 97 naik dua sen


RON 97

KUALA LUMPUR - Harga runcit bagi petrol RON97 naik  dua sen seliter kepada RM2.81 bagi tempoh 1 November hingga 30 November.

Demikian dinyatakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menerusi infografik di laman sesawangnya hari ini.

Sementara harga Ron 95 dan Diesel masing-masing kekal pada RM2.20 dan RM2.18 seliter.

TIADA LAGI SUBSIDI UNTUK RAKYAT DAN PKS

 

KUALA LUMPUR 31 Okt. Kerajaan membayangkan tiada lagi pemberian subsidi kepada rakyat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, subsidi hanya membuatkan seseorang itu tidak mampu berfikir dan tidak boleh berdikari.

Katanya, kerajaan kini tidak lagi seperti kerajaan terdahulu yang selalu memberi subsidi kepada kebanyakan rakyat.

“Lihat saja kerajaan terdahulu, mereka memberi wang kepada golongan miskin dan golongan itu tidak perlu bekerja. Walaupun tidak bekerja,tetap mendapat RM500 (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

“Jika Malaysia terus menjadi sedemikian, tidak lama lagi, semua orang tidak akan mampu berfikir, tidak boleh bergerak dan tidak boleh melakukan kerja dengan sendiri kerana terlalu bergantung kepada subsidi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan dasar nasional Industri 4.0, Industry4WD di Menara MITI di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai. 

-UTUSAN ONLINE


Tiada peperiksaan untuk murid Tahap 1 bermula tahun hadapan

Related image

SHAH ALAM - Peperiksaan bagi murid Tahap 1, iaitu bagi tahun 1,2 dan 3 akan dimansuhkan dan diganti dengan pentaksiran yang lebih objektif bermula 2019.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata demikian melalui ciapannya di laman Twitter semalam pada jam 5.04 petang.

Ciapannya itu menerima reaksi pelbagai dalam kalangan guru dan ibu bapa yang dinyatakan melalui komen di portal GPS Bestari.com.

Tuesday, 30 October 2018

Harga baru perkhidmatan Gas Petronas ke Rumah



PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) mengumumkan harga baharu bagi perkhidmatan Gas Petronas Ke Rumah (GPHD) iaitu RM31 untuk 12 kilogram (kg) dan RM35 bagi 14kg.


Harga lama bagi perkhidmatan itu adalah RM26 untuk 12kg dan RM29.80 untuk 14kg.

PDB dalam surat pekeliling kepada semua wakil pengedar gas Petronas yang menjalankan perkhidmatan GPHD memaklumkan, perubahan struktur harga itu akan berkuat kuasa pada 1 November ini untuk Semenanjung Malaysia.

Perubahan harga berkenaan hanya untuk caj penghantaran bagi tempahan yang dibuat di Mesralink dan dihantar melalui saluran GPHD.

Tiada perubahan harga bagi yang mengambil sendiri selari dengan harga yang dikawal oleh kerajaan iaitu RM22.80 untuk 12kg dan RM26.60 untuk 14kg.

- Harian Metro -

Sunday, 28 October 2018

Polis sahkan penyekat talian ditemui di pemilihan PKR Kuala S'gor



PEMILIHAN PKR |
Polis mengesahkan alat yang ditemui di Stadium Tertutup Kuala Selangor - lokasi pemilihan PKR - pagi tadi adalah sebuah penyekat talian (jammer).
Pemilihan di Kuala Selangor dibatalkan selepas tablet yang digunakan untuk proses e-undi tidak mendapat talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Mohd Asri A Wahab berkata alat itu adalah penyekat talian dengan enam antena.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat dan boleh dihukum penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda, atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, seorang calon bagi pemilihan PKR Kuala Selangor mendakwa terdapat penyekat talian yang digunakan untuk mensabotaj pemilihan parti yang sepatutnya bermula pagi tadi.

Calon ketua pemuda PKR Kuala Selangor R Sabahbathi berkata alat itu ditemui oleh pekerja majlis daerah tengah hari tadi ketika membersihkan Stadium Tertutup Kuala Selangor - tempat pengundian dijalankan.

Selepas memeriksa alat itu, katanya, pekerja itu memangil anggota PKR yang sedang membuka kanopi di kawasan luar stadium, termasuk dirinya, dan menyerahkan alat itu.

Alat itu didakwa diletakkan di lantai di tengah-tengah kerusi pemerhati. Ia memiliki enam antena dan label "4G" dan "WiFi".

"Mereka (pekerja masjils daerah) tidak tahu alat itu. Mereka tanya kita dan ingat ada yang tertinggal barang ketika mahu tutup stadium.

"Ketika kami pergi kepada mereka, telefon kami tidak lagi boleh membuat panggilan. Apabila alat itu ditutup, kami pun boleh buat panggilan semula," kata Sabahbathi ketika dihubungi Malaysiakini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Rashid Din ketika dihubungi Malaysiakini berkata mereka setakat ini belum menerima laporan tentang perkara itu, dan tidak sedar akan dakwaan itu.

Sabahbathi berkata beliau telah membuat laporan polis, dan mendakwa beliau dan seorang lagi calon M Gohgilarajan mengesyaki ada orang yang menggunakan alat itu untuk mengganggu dan "mensabotaj" pemilihan pagi tadi.

Terdahulu, Bernama melaporkan pemilihan PKR peringkat cabang Kuala Selangor terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, ekoran masalah sambungan internet.

Ketua Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Azmira Ibrahim berkata, isu berkaitan internet menyebabkan masalah terhadap sistem e-undi.

"Kami bagi tempoh sehingga pukul 11 pagi dan jika masih bermasalah, kena tangguh kepada tarikh dan tempat lain," katanya seperti dipetik.

- MALAYSIA KINI - 

Proton X70 – tempahan sudah mencecah 10,000 unit



Walaupun masih belum dilancarkan secara rasmi, SUV pertama Proton iaitu X70 dilihat menerima sambutan baik apabila jumlah tempahan diumumkan sudah mencecah angka 10,000 unit. Ini berikutan pembukaan tempahan bermula 8 September lalu di semua wakil pengedar jenama itu dan juga melalui atas talian dari 17 Oktober lalu.

Daripada 10,000 unit tempahan itu, 2,000 daripadanya dibuat melalui laman web mikro X70, yang memerlukan pelanggan membayar cuma RM99, manakala selebihnya adalah daripada pusat pameran, di mana pelanggan perlu membayar deposit RM1,000.

“Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas sokongan yang diberikan kepada PROTON terutamanya apabila kami mula menerima tempahan untuk Proton X70. Meskipun kami perlu mengawal perkongsian maklumat sebelum pelancaran model tersebut, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan kerana kami telah menerima lebih 10,000 tempahan termasuklah mereka yang menempah melalui dalam talian di mana ianya melebihi jangkaan kami,” kata ketua pegawai eksekutif Proton, Li Chunrong.










Beliau turut menambah bahawa kejayaan membuat tempahan secara atas talian ini juga memberi petunjuk kepada cara penjualan pada masa hadapan, dan meminta pelanggan bersabar kerana persiapan akhir sedang dilakukan untuk pelancaran X70, termasuk memastikan rangkaian jualan dan servis selepas jualan yang lebih baik.

Berkenaan rangkaian sokongan ini, Proton menyatakan bahawa syarikat sudah berjaya mencapai lebih daripada jumlah sasaran yang ditetapkan iaitu 109 cawangan bagi pusat 3S dan 4S. Setakat ini, sebanyak 113 kelulusan permohonan cawangan telah direkodkan, mencatatkan pencapaian sebanyak 104% berbanding sasaran yang ditetapkan.

“Kami sangat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia bermakna pasaran telah menerima baik jenama PROTON dengan menganggap ia sebagai pelaburan yang baik. Saya memuji usaha para pengedar sedia ada yang mengambil peluang untuk terus melabur dengan kami serta pengedar baharu untuk kepercayaan dan visi mereka yang melihat potensi Proton dalam pasaran automotif ketika ini dan pada masa hadapan,” tambah Li Chunrong.


Proton X70 ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Semuanya dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol turbo TGDi 1.8 liter yang mempunyai kuasa 181 hp dan tork 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm, bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan dengan mod manual. Seperti yang boleh dilihat pada nama varian itu, sistem pacuan roda hadapan dan semua roda ada disediakan.

Antara kelengkapan bagi varian paling tinggi adalah termasuk rim 18 inci, lampu utama LED, tempat duduk balutan kulit Nappa, tempat duduk larasan kuasa, bumbung panoramik, skrin sesentuh 8.0 inci dan sistem infotainmen GKUI. Semua varian akan dilengkapi dengan Electronic Stability Control (ESC) dan enam beg udara secara standard, tetapi varian Premium 2WD akan mendapat tambahan Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS) dan kawalan lampu tinggi pintar.

Harga untuk semua varian Proton X70 ini hanya akan didedahkan apabila ia dilancarkan secara rasmi pada bulan November nanti. Tapi bagi anda, rasanya berapa harga yang patut diletakkan untuk X70 ini. Adakah anda juga antara yang telah meletakkan tempahan awal?

Friday, 26 October 2018

Peragut berputih mata...

Peragut berputih mata...

TANAH MERAH - Cubaan seorang peragut melarikan beg sandang milik pemandu lori tidak kesampaian apabila ditahan polis sejurus selepas kejadian di lorong Bee Gar di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 1.56 petang itu, pemandu berkenaan yang sedang memunggah barang dalam lorinya terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan.

Melihatkan keadaan itu, pemandu berkenaan menahan suspek yang cuba melarikan diri bersama beg sandang disyaki milik pemandu itu.

Suspek gagal meloloskan dirinya dan pemandu berkenaan membuat pemeriksaan mendapati beg sandang dibawa suspek sah miliknya.

Ekoran itu, pemandu berkenaan meminta bantuan orang ramai serta menahan supek dan kemudiannya terus menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah,Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, pihaknya dengan Unit Kereta Peronda (MPV) sampai di tempat kejadian lima minit selepas terima panggilan.

"Kita berjaya menahan suspek dengan bantuan orang awam.
"Suspek ditahan dan disiasat dibawah seksyen 379 Kanun Keseksaan.
"Melalui semakan yang dilakukan, lelaki berumur 48 tahun itu juga mempunyai lima rekod jenayah lampau.

Suzaimi berkata, maklumat orang ramai amat membantu memudahkan pihaknya bertindak cepat bagi menyelesaikan kes jenayah setempat.

- SINAR HARIAN -

Mahkamah Arah Suspek Kes Langgar Lari Wan Amirah Dilepas

 

SHAH ALAM, 26 Okt (Bernama) — Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan suspek utama kes langgar lari sehingga mengakibatkan kematian seorang pekerja Telekom Malaysia Bhd ™ Unifi di Cyberjaya pada minggu lepas, dilepaskan daripada tahanan reman serta-merta.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman turut memerintahkan dua rakan suspek yang turut direman, dilepaskan sebelum pukul 5 petang ini.

Mahkamah mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan yang dikemukakan suspek warga Libya berusia 23 tahun tersebut serta dua rakannya warga Yemen, 22, dan Libya, 20, yang direman selama lima hari bermula Selasa lepas (23 Okt).

Kesemua suspek direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebelum ini, mereka direman mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata mahkamah mendapati permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak menunjukkan bahawa suspek dilepaskan daripada tahanan reman terdahulu (di bawah Seksyen 41 APJ) dan ditangkap semula.

“Ini menjadikan permohonan reman itu sambungan kepada reman terdahulu yang menyalahi Seksyen 117 (2) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), ditambah lagi majistret tidak beri apa-apa sebab berkenaan penahanan (reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan).

“Dengan ini mahkamah menyemak perintah yang dibuat oleh Mahkamah Majistret Sepang dan ketiga-tiga suspek dilepaskan serta-merta sebelum pukul 5 petang ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Dinesh Muthal berhujah pihaknya percaya majistret terkhilaf ketika mengeluarkan perintah reman selama lima hari bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, peruntukan di bawah Seksyen 117 KPJ tidak membenarkan pihak polis untuk menangkap semula suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan menggunakan fakta-fakta yang sama ketika permohonan reman di bawah Seksyen 41 APJ.
 
“Saya tidak cakap anak guam saya tidak bersalah tetapi prosedur undang-undang telah disalahgunakan,” katanya.

Selain Dinesh, ketiga-tiga suspek turut diwakili peguam Luqman Mazlan, Mohd Redhuan Mohamed Yusoff, Jeremy Vinesh, Mehnagha Luckhmana dan Nur Siti Fairuz Roslan sementara Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli hadir bagi pihak responden.

Dalam kes langgar lari pada 17 Okt itu, yang video kejadian tersebut tular, mangsa Penolong Pengurus GTM Event Sales, Wan Amirah Wan Alias, 31, meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.

Sumber : BERNAMA

Wednesday, 24 October 2018

BERKIBAR SANG SAKA BIRU DI PERGUNUNGAN EVEREST [29 GAMBAR]

21 Oktober 2018, berkibarnya bendera Sang Saka Biru di Everest Base Camp pada ketinggian 5380m. 

 Misi Pendakian Everest Base Camp atau lebih dikenali sebagai EBC dikalangan pendaki-pendaki seluruh dunia telah diketuai oleh DCP Dato' A. Rahman Bin Hj Ahmad dan dijayakan bersama 5 orang termasuk Pegawai Kanan Polis, APR dan KTA (MSB) dari Bukit Aman. Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan semangat yang diberikan oleh kesemua pegawai dan anggota yang terlibat, misi mengibarkan Bendera Sang Saka Biru di Pergunungan Everest berjaya dilaksanakan. #PDRM #CKETSOG #MountEverest

Kiriman -
Mirza Mohd Fazlur Mohammad































.......................
Nak dapatkan T-SHIRT Friends Of PDRM ?
Berminat nak beli? Terus WhatsApp Admin tekan sini  -> http://tshirtfopdrm2.wasap.my/  -(011-32339588)

...............

Awas panggilan daripada SPRM palsu!

Suffian Sulaiman

KUALA TERENGGANU -  Seorang pengurus taman kerugian hampir RM20,000 selepas ditipu sindiket penipuan Macau Scam yang mendakwa dirinya terbabit kes penggubahan wang haram dan penyalahgunaan dadah.

Semasa berada di tempat kerjanya di Gong Badak, Kuala Nerus, wanita berusia 31 tahun dari Marang itu dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek seterusnya mendakwa mangsa dikesan melakukan kesalahan penggubahan wang haram serta penyalahgunaan dadah dan bakal ditahan tidak lama lagi.

Menurut sumber, tanpa mematikan panggilan, talian tersebut kemudian disambungkan ke Bukit Aman sebelum mangsa bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Tuan Hisyam'.

"Lelaki itu kemudian mengarahkan mangsa mengosongkan wang yang ada di dalam akaun bank miliknya dalam kadar segera bagi tujuan siasatan.

"Disebabkan terlalu takut dan terpengaruh dengan semua maklumat palsu itu, mangsa kemudian memberikan nombor akaun bank miliknya beserta kata laluan," katanya.

Sumber berkata, mangsa hanya tersedar dirinya ditipu selepas mendapati rekod akaunnya berlaku beberapa transaksi tanpa pengetahuannya melibatkan jumlah keseluruhan RM20,000.

"Terkejut dengan rekod transaksi itu, mangsa terus membuat pemeriksaan lanjut sebelum dimaklumkan pihak bank yang dia ada membuat transaksi ke sebuah akaun bank tidak diketahuinya.

"Yakin dirinya sudah masuk ke dalam perangkap sindiket penipuan, mangsa terus membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

- Sinar Harian -

Tuesday, 23 October 2018

Polis ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala

Polis ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala

IPOH - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditemui mati dengan satu kesan tembakan di kepala di kuarters Balai Polis Pekan Bharu, pagi ini.

Mangsa berusia 29 tahun ditemui sekitar jam 6.15 pagi dalam keadaan tertiarap lengkap beruniform di tepi rumah yang didiami.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain Abd Rasid berkata, mangsa yang masih bujang dikatakan baru melaporkan diri di balai berkenaan, dua hari lalu.

Menurutnya, mangsa sebelum ini bertugas sebagai pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah serta Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7).

"Siasatan awal mendapati, satu peluru menembusi kepala mangsa. Punca kejadian masih dalam siasatan, kita tidak boleh membuat sebarang andaian lagi, namun senjata digunakan disyaki adalah milik mangsa," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan merangkumi semua aspek terutama kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian.

"Masih terlalu awal untuk mengatakan mangsa telah bunuh diri atau mati dibunuh," katanya.

- SINAR HARIAN - 


KDN akan mansuh akta SOSMA

 KDN akan mansuh akta zalim

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) berusaha meminda atau memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah meminta pindaan atau pemansuhan undang-undang berkaitan keselamatan diluluskan Parlimen dan diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong.

"Saya telah mengarahkan Polis Diraja Raja Malaysia (PDRM) untuk merangka satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu dalam menangani kes-kes yang melibatkan penahanan di bawah undang-undang ini.

"Arahan saya supaya pihak penguatkuasa undang-undang seboleh mungkin meraikan hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan bergerak bebas selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Beliau berkata, sementara langkah pindaan ini dilakukan, polis tidak akan bertindak seolah-olah undang-undang ini berjalan seperti sebelumnya.

"Langkah ini bagi mengelakkan salah faham kononnya kerajaan PH masih mewarisi sikap zalim dan tidak bertanggungjawab seperti dulu," tegasnya.

Menurut Muhyiddin, selaras dengan cadangan pindaan atau pemansuhan undang-undang berkaitan keselamatan seperti yang terkandung dalam manifesto PH, Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Mengkaji Undang-Undang Keselamatan pada bulan Julai 2018.

"Setelah mendapat keputusan Jemaah Menteri, pihak Jabatan Peguam Negara akan menyediakan Rang Undang-Undang yang berkaitan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini  akan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat dalam bulan November 2018 atau selewat-lewatnya dalam sidang Dewan Rakyat yang  akan datang," jelasnya.

Beliau memaklumkan antara isu yang dibincangkan jawatankuasa khas berkenaan ialah penahanan  tanpa bicara di bawah Poca dan Pota, tempoh tahanan reman yang panjang iaitu 60 hari di bawah Poca dan Pota serta 28 hari di bawah Sosma.

Termasuk juga ketiadaan ruang untuk mahkamah mengadakan semakan kehakiman dari segi merit ke atas penahanan di bawah Poca dan Pota, kuasa  pihak penguatkuasa yang terlalu luas, sekatan terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun dan penyalahgunaan undang-undang keselamatan untuk tujuan politik.

Sementara itu, lebih kurang 100 orang berhimpun di luar bangunan Parlimen menuntut pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Himpunan aman ini digerakkan Desak Sampai Mansuh (DSM), Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan keluarga tahanan Sosma menyerahkan memorandum rayuan mansuhkan Akta Sosma kepada Muhyiddin di Parlimen.

Penyelaras Suaram, Amir Abdul Hadi mendakwa, majoriti tahanan Sosma dituduh sebagai pengganas atau penjenayah terancang walaupun tanpa bukti yang kukuh dan tanpa kesalahan yang nyata.

Hal demikian katanya, himpunan ini mendesak kerajaan baharu memenuhi komitmen terhadap agenda reformasi.

"Kami menggesa supaya moratarium dikenakan ke atas akta ini agar ia tidak digunakan sementara ini, kaji semula proses rehabilitasi tahanan Sosma dan kerajaan perlu memastikan bahawa tahanan yang bakal dibebaskan selepas menjalani hukuman tidak akan ditahan semula bawah Poca dan Pota.

"Selain itu,menuntut hak sama rata untuk tahanan Sosma, mansuhkan Sosma dalam tempoh setahun  dan menubuhkan tribunal untuk menyiasat salah guna kuasa oleh pihak berkuasa," katanya.

- SINAR HARIAN - 

Sunday, 21 October 2018

Wanita ditahan buat laporan polis palsu

 PDRM

SANDAKAN - Tindakan seorang wanita berusia 39 tahun membuat laporan polis palsu bagi mengelak membayar denda permohonan penggantian kad pengenalan hilang di Jabatan Pendaftaran Negara menyebabkan dia ditangkap.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata wanita itu ditahan semalam selepas siasatan terperinci dijalankan terhadap laporan polis yang dibuat bahawa beg tangannya diragut oleh dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal tidak berlaku.

Katanya wanita rakyat tempatan dalam laporan palsu dibuatnya mendakwa kejadian itu berlaku pada hari yang sama kira-kira jam 5.30 pagi di Perhentian Bas, Batu 2, Jalan Utara dekat sini.

Berikutan laporan itu, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, katanya di sini, hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu kerana jika didapati laporan yang dibuat adalah tidak benar maka seseorang itu boleh ditangkap dan didakwa.

Menurutnya kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali, kata di sini, hari ini.  - Bernama

Saturday, 20 October 2018

Dr Mahathir sedia letak jawatan, kesal sikap biadap pemandu teksi



LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad sedia meletak jawatannya selepas kesal dengan tindakan segelintir pemandu teksi bersikap biadap dan meninggalkan sesi dialog selepas enggan menerima penjelasan beliau berkaitan isu GRAB.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah bersara sebelum ini, namun kembali semula selepas diminta orang ramai untuk memulihkan keadaan negara.

“Saya nak tolong tapi kalau tak ada bantuan...saya pun tak boleh tolong juga. Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendiri. Tengok apa yang jadi.

“Saya bukan nak jadi Perdana Menteri, saya dah bersara...orang panggil balik, jadi saya datang.
“Kalau tak nak saya jadi Perdana Menteri, saya hari ini letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya,” katanya pada Sesi Dialog Bersama Pemandu Teksi Langkawi di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 10 pemandu teksi bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan membuat bising sebelum keluar dewan ketika Dr Mahathir memberi penjelasan berhubung isu e-hailing.

Sesi dialog itu dihadiri hampir 200 pemandu teksi Langkawi yang mendakwa pendapatan mereka terjejas ekoran perkhidmatan GRAB yang dikatakan ‘mencuri’ pelanggan.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, GRAB akan diminta menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan, membayar insurans dan membayar cukai sama seperti teksi bagi memastikan persaingan adil.

“Saya pernah membangkitkan perkara ini dalam Kabinet...saya beritahu Menteri (Pengangkutan) supaya memperbetulkannya, tetapi malang sehingga kini tiada kemajuan langsung.

“Saya akan usaha lagi...saya pun rasa tidak adil. Perkara ini dalam perhatian saya tetapi saya tidak boleh bagi jaminan hapuskan GRAB, tetapi kita boleh samakan mereka dengan teksi,” katanya.

- BERITA HARIAN -

Tuesday, 16 October 2018

Harga rokok naik lagi



HARGA rokok akan dinaikkan akhir bulan ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, ia berikutan kenaikan mana-mana cukai berdasarkan Peraturan 8A Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Kementerian Kesihatan sedang menyelaraskan kelulusan harga rokok terkini.

“Pelaksanaan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) baru-baru ini akan menyebabkan harga bagi semua jenis produk tembakau termasuk rokok kena dinaikkan.

“Atas sebab itu, di bawah Peraturan A harga perlu dinaikkan daripada harga yang terikat ketika ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

- HARIAN METRO -
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 12:52 PM

Monday, 15 October 2018

Jual beli makanan di lampu isyarat satu kesalahan

Jual beli makanan di lampu isyarat satu kesalahan

KOTA BHARU - Trend menjaja makanan berhampiran lampu-lampu isyarat sekitar jalan raya di negeri ini adalah satu kesalahan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, aktiviti jual beli makanan di tengah-tengah jalan itu bukan sahaja menganggu aliran trafik, malah turut membahayakan keselamatan penjaja dan pembeli serta pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, mereka yang menjaja dan membeli menggunakan cara itu boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada.

“Mana-mana jalan raya dan lampu isyarat di negeri ini bukan tempat menjaja dan tindakan saman boleh dikenakan kerana menganggu kelancaran trafik serta menghalang lalu-lintas. 

“Penjaja yang jual makanan itu boleh disaman, pengguna jalan raya yang membeli makanan pun boleh disaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Dialog Ketua Polis Kelantan bersama ahli-ahli Malaysian Palm Oil Association (MPOA) cawangan Kelantan, semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama mereka yang terlibat supaya menghentikan cara mencari pendapatan seperti itu dan mematuhi undang-undang di negara ini.

“Kita tidak boleh ikut cara di negara lain seperti Indonesia yang menjaja merata-rata di jalanan kerana negara ini ada peraturannya sendiri. Perbuatan ini juga menganiaya pengguna jalan raya lain yang tidak terlibat dengan urusan tersebut kerana terpaksa menunggu jual beli selesai apabila lampu trafik hijau.

“Kami tidak halang orang ramai, khususnya anak muda yang hendak mencari rezeki, tetapi biarlah rezeki yang dibawa balik itu, ‘manis’ dan bukannya hasil daripada aktiviti bertentangan dengan peraturan,” katanya.

Kebelakangan ini, trend menjaja di jalan utama di sekitar bandar ini menjadi-jadi seolah-olah seperti di Indonesia dengan  jualan pelbagai jenis makanan ringan seperti piza, burger, yong tau fu, bebola daging dan minuman.

Mereka menjaja makanan dan minuman tersebut dari kereta ke kereta ketika lampu isyarat merah di persimpangan.
 
Julai lalu, enam penjaja berusia antara 19 dan 20 tahun ditahan di Jalan Kuala Krai dan Jalan Pengkalan Chepa dengan dikenakan saman mengikut Kaedah 10A LN 166/59.
Kaedah memperuntukkan denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.

- Sinar -

Friday, 12 October 2018

Lebuhraya tanpa tol tidak mungkin diwujudkan - Dr Mahathir

 

BALI: Pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir mendedahkan, beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

“Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini menjadi beban yang besar.

“Pada masa itu saya menentang, saya tahu, untuk mengadakan laluan percuma…ia tidak boleh (dilakukan). Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol,” katanya kepada Bernama dan RTM di akhir Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN di sini, semalam.

Perhimpunan itu diadakan di luar Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia bertemakan ‘Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan Menangani Jurang Pembangunan Menerusi Tindakan Kerjasama Serantau dan Global’.

Ini lawatan kedua Dr Mahathir ke Indonesia sejak menjadi Perdana Menteri bagi kali kedua susulan pilihan raya bersejarah Malaysia pada Mei dan perhimpunan peringkat ASEAN menjelang Sidang Kemuncak perkumpulan 10 anggota itu bulan depan di Singapura.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai tol, beliau bertanya siapakah yang akan menyelenggara atau membina jalan baharu sekiranya kerajaan memansuhkan kutipan tol.

“Anda minta sektor swasta supaya membina jalan raya, mereka mahu meraih keuntungan tetapi jika anda tidak mengadakan kutipan tol, bagaimana hendak mendapatkan keuntungan?” katanya.

Dr Mahathir berkata di England tidak ada jalan bertol tetapi kerajaan negara itu mengenakan cukai yang sangat tinggi ke atas petroleum dan apabila harga petroleum naik, kenaikan cukai lebih tinggi.

“Jadi, mereka menggunakan wang itu. Bagaimanapun, jika anda memperoleh wang daripada hasil jualan petroleum, rakyat yang tidak menggunakan lebuh raya juga perlu membayar.

“Tetapi di sini, pengguna (lebuh raya) yang bayar. Inilah pegangan kita, bagi mereka yang tidak menggunakan (lebuh raya) mengapa mereka perlu bayar?” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini berkata kerajaan PH perlu menyemak semula beberapa perkara yang diikrarkan kerana sebahagiannya akan mengakibatkan kerugian yang sangat besar jika dilaksanakan. - BERNAMA
.......................
Nak dapatkan T-SHIRT Friends Of PDRM ?
Berminat nak beli? Terus WhatsApp Admin tekan sini  -> http://tshirtfopdrm2.wasap.my/  -(011-32339588)

...............

Tuesday, 9 October 2018

72 polis bermasalah dibuang kerja



SERAMAI 72 anggota dan pegawai polis dibuang kerja atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dan salah laku bermula Januari sehingga September tahun ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan itu diambil berikutan kesalahan tatatertib dilakukan anggota dan pegawai berkenaan.

Beliau berkata, semua pegawai dan anggota yang dibuang kerja adalah berpangkat Superintendan, Deputi Superintendan dan anggota berpangkat rendah.



“Seramai 1,484 anggota dan pegawai diambil tindakan termasuk digantung tugas.
“Mereka melakukan pelbagai kesalahan iaitu salah laku kuasa, cuai, gagal hadir bertugas dan terbabit dengan aktiviti jenayah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemantapan Integriti dan Pelancaran Jurnal Integriti PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir, sama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Zamri Yahya.

Mohamad Fuzi berkata, kesalahan tatatertib dilakukan warga PDRM pada tahun lalu ialah 3,096 kes.
“Jumlah itu dapat dikurangkan pada tahun ini. Isu integriti sentiasa menjadi fokus dan sedang diambil tindakan tegas.

“Permasalahan yang oleh pasukan amat memerlukan perhatian serius dan tindakan pencegahan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata, 12 anggota dan pegawai di Sabah yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih bertugas.

“Mereka masih belum digantung tugas lagi memandangkan siasatan berhubung kes berkenaan baru bermula.

“Kami ita perlu bertindak adil kepada anggota dan pegawai yang ditahan sehingga kami menerima laporan lengkap daripada SPRM,” katanya.

- METRO - 
.......................
Nak dapatkan T-SHIRT Friends Of PDRM ?
Berminat nak beli? Terus WhatsApp Admin tekan sini  -> http://tshirtfopdrm2.wasap.my/  -(011-32339588)

...............