Tuesday 28 May 2019

PDRM terbuka siasat kes Saiful Bahari




KUALA LUMPUR - Polis terbuka untuk menyiasat semula kes Saiful Bahari Yunus, bekas pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan, yang mendakwa dirinya menjadi mangsa aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di Kedah, pada 17 Januari 2017.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya amat tertarik dengan penjelasan yang diberikan oleh bekas pegawai polis berkenaan dan akan memberi ruang secukupnya untuk Saiful Bahari mendapat keadilan.

“Saya tidak akan membuat kesilapan kerana tidak memberi ruang kepada yang tertuduh (Saiful Bahari), tapi jika beliau tiada bukti yang kukuh dan mengatakan dirinya tidak bersalah, bagaimana kami akan melakukan siasatan kes ini,” katanya pada sidang media selepas hadir majlis penyerahan bungkusan kuih raya PDRM di Bukit Aman, di sini.

Beliau berkata siasatan kes yang dijalankan terhadap bekas pegawai polis itu berjalan dengan tersusun dan tindakan yang diambil adalah mengikut undang-undang, secara telus serta adil. Sebelum ini, Saiful Bahari bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan disyaki terlibat dalam pengedaran dan penyeludupan dadah di Kedah, pada tahun 2017.

Sementara itu, polis akan memanggil bekas pegawainya Md Ali Amir Batcha selepas hari raya ini bagi membantu siasatan mengenai dakwaan beliau menjadi mangsa konspirasi pertuduhan palsu oleh Unit Siasatan Dalaman.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut perkara itu, Abdul Hamid berkata pihaknya bersedia untuk mendapatkan keterangan yang jelas berhubung perkara itu. Sebelum ini, Md Ali Amir Batcha yang didakwa merompak ketika bertugas 20 tahun lalu mengatakan dirinya terperangkap dalam pertuduhan palsu yang dipercayai jenayah terancang untuk melindungi anggota polis yang berjawatan tinggi ketika itu.

Baru-baru ini, Md Ali, 65, yang pernah bertugas dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Jenayah Berat (D9) menuntut kerajaan Pakatan Harapan menubuhkan sebuah tribunal khas bagi menyiasat semula tuduhan palsu berkaitan rompakan membabitkan dirinya pada tahun 90-an. Md Ali mendakwa menjadi mangsa kepada satu konspirasi dan kini mahu membuktikan dia tidak pernah terlibat dalam rompakan itu. - Bernama

0 comments:

Post a Comment