Tuesday 29 September 2015

Lepas tembakan sebelum 'blah'



Perai: Perompak melepaskan satu das tembakan ke udara selepas menyamun sebuah kedai emas dan melarikan barang kemas bernilai lebih RM600,000 di Jalan Medan Kurau 1, Chai Leng Park, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, dua pekerja sedang berada di dalam kedai sebelum diserbu tiga lelaki lengkap bertutup muka menggunakan bertopi keledar 'full face'.

Dua daripada suspek menggunakan senjata tukul besi memecahkan cermin kaca pameran kedai sebelum melarikan diri bersama barangan kemas.

Seorang daripada mereka menunggu di luar kedai dengan memegang dua pucuk pistol di kedua-dua tangannya sebelum melepaskan tembakan amaran dan melarikan diri menggunakan dua motosikal.

Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dan polis masih memburu kesemua mereka.

Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM - Separa Tentera (Sejarah Penubuhan)


Pasukan Gerakan Am (PGA) merupakan salah satu daripada cawangan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pasukan ini merupakan elemen tempur PDRM bagi mengendalikan operasi punitif bertujuan untuk memberi tekanan terhadap sebarang bentuk pakatan bersenjata, kegiatan-kegiatan subversif, pemberontakan dan ancaman yang berlaku di dalam negara Malaysia. Pasukan ini berpergerakan tinggi dengan kebolehan untuk bergerak dalam apa juga keadaan persekitaran.


Sejarah Penubuhan
Pasukan Gerakan Am yang dulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan telah ditubuhkan sejak 58 tahun yang lalu. Keperluan bagi penubuhannya adalah ekoran peranan besar yang dimainkan oleh PDRM dalam menerajui perjuangan menentang insurgensi yang dilancarkan oleh pengganas komunis semasa Darurat 1948 – 1960 dan 1969 – 1989.

Penubuhannya adalah sebagai tindakbalas dan memenuhi keperluan pasukan polis di dalam merealisasikan strategi peperangan sekatan menyeluruh terhadap gerila komunis menerusi Rancangan Briggs. Rancangan Briggs yang dikuatkuasakan pada 1hb Jun 1950 oleh Sir Harold Briggs adalah menjadi satu titik permulaan terhadap dasar pembesaran pasukan polis yang drastik dimana antara lain menyaksikan satu unit khas ditubuhkan dan dilatih khas dalam taktik peperangan gerila bagi menangani insurgensi yang dilancarkan oleh gerila komunis itu.

Pasukan ini memberi tumpuan khusus dalam taktik peperangan gerila malah sangat efektif sekiranya digerakkan dalam jumlah keanggotaan yang kecil. Diawal penubuhannya, ia dikenali sebagai ‘Jungle Squad’ yang kemudiannya ditukar kepada ‘Jungle Company’ sebelum disusun semula pada tahun 1953 dengan nama baru – Pasukan Polis Hutan (PPH).

Penyusunan semula yang dilakukan itu adalah bertujuan menetapkan dan menentukan garis panduan kepada peranan-peranan yang harus dijalankan oleh anggota-anggota PPH antaranya seperti dikehendaki membekalkan keanggotaan bagi kubu-kubu hutan (jungle fort), membekalkan anggota bagi tugas operasi menentang pengganas komunis di kawasan sempadan Malaysia – Thailand dan juga untuk menjalankan operasi-operasi tertentu dalam rangka keselamatan Persekutuan Tanah Melayu.

Semasa konfrontasi melibatkan ketenteraan antara Malaysia-Indonesia, pasukan ini turut melibatkan diri bersama pasukan tentera Persekutuan Malaysia dan British dalam mencegah penyusupan pasukan-pasukan tentera Indonesia pimpinan Presiden Soekarno di kawasan Sabah dan Johor. Dalam hal ini, kemahiran dan kewibawaan yang telah dipamerkan oleh pasukan ini tidak boleh dipertikaikan lagi.

Sumber maklumat: Wikipedia
Sumber gambar: Google

Monday 28 September 2015

POLIS EVO : Zizan Akur Dengan Nasihat Bukit Aman



 Pelawak, pelakon dan pengacara popular tanah air, Mohd Razizan Abdul Razak atau  Zizan Razak menghormati nasihat Polis Di Raja Malaysia (PDRM)  Bukit Aman agar watak Inspektor Sani dilakonkan dengan lebih serius dan tidak cenderung ke arah komedi.

Walaupun genre filem terbaru lakonannya berjudul Polis Evo bersandarkan aksi komedi namun pelakon ini akur dengan nasihat itu.

Polis Evo yang memasuki pawagam minggu ini, beri peluang Zizan memegang watak Inspektor Sani bergandingan dengan pelakon popular Shamheizy Sam yang memegang watak Inspektor Khai beraksi di bawah bimbingan julung kali filem arahan Ghaz Abu Bakar.

“Saya turut dinasihatkan oleh pihak Bukit Aman supaya tidak menonjolkan elemen komedi dalam lakonan demi menjaga kredibiliti status Inspektor dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.      

“Watak saya kali ini lebih serius  kerana mengikut kehendak PDRM dan Bukit Aman yang tidak mahu watak Inspektor Sani cenderung ke arah komedi.

Jadi perlu menghormati status dan kredbiliti pihak Polis di Malaysia,” kata Zizan selepas tayangan filem ini kepada media.

Tambah hos TV program Akademi Fantasia musim 2015 bersama penyampai radio Faizal Ismail ini lagi, dia selesa bekerja dengan Ghaz kerana boleh berbincang dan bertukar-tukar pandangan.

“Saya selesa bekerja dengan Ghaz kerana kami saling berbincang, menghormati dan boleh bertukar pandangan antara satu sama lain.

“Ghaz memberi ruang saya melakonkan karakter dengan cara sendiri dan kerjasama kami berjalan lancar. Saya yakin penonton akan menyukai genre aksi komedi Polis Evo dan membanjiri pawagam menonton filem ini,“ kata Zizan.

Dalam pada itu Zizan yang sering menerima pelbagai tuduhan, antaranya artis kasanova, isu putus cinta, lari daripada media, kena saman, sampailah cerita jadi atau tidak dia berkahwin, umpama sudah sebati dengan kontroversi sepanjang sembilan tahun berada dalam industri hiburan tempatan.

Menyentuh dialog loghat Terengganu, menurut Zizan dia perlu berhati-hati dengan setiap dialog yang dituturkan supaya mudah difahami oleh mereka yang menonton kelak.

“Ini merupakan filem saya menggunakan loghat Terengganu 100 peratus. Pada mulanya agak kekok kerana selalunya saya hanya bercakap dengan loghat yang lebih ‘sempoi’.

“Tetapi dalam Polis Evo saya lebih berhati-hati  ketika bertutur  supaya memudahkan penonton memahami dialog yang disampaikan.

“Bagi saya,  filem itu mencapai tahap antarabangsa seperti karya aksi pernah dihasilkan penggiat filem Hong Kong dan Taiwan.

“Saya banyak tontonan filem-filem polis yang popular seperti Bad Boys, 22 Jump Street, Sha Po Lang dan banyak lagi untuk memudahkan saya mendalami watak sebagai Inspektor Sani.

“Sebagai pelakon, saya dan Sam saling membantu dan nampaknya berjaya mewujudkan keserasian untuk watak masing-masing,” katanya.

Zizan, 31, baru-baru ini   menjadi artis pertama di negara ini membuka rangkaian kedai serbaneka 24 jam, menerusi syarikat miliknya, Zizan Group  melancarkan pembukaan kedai serbaneka sulungnya, Zizan Mart di Wakaf Che Yeh, Kota Bahru, Kelantan.

“Setakat ini, lebih seminggu beroperasi, sambutannya baik. Bukan itu saja, sudah ada yang berminat untuk membuka francais ZizanMart.  Apapun, ini perkembangan yang sangat positif.

“Selepas ini saya sasarkan pembukaan seterusnya di Terengganu pula,” katanya optimis mengembangkan perniagaan kedai serbanekanya ke seluruh Malaysia.

Terbaru Zizan akan membintangi telefilem, Angin Cinta bersama pelakon Ummi Nazeera juga arahan Ghaz Abu Bakar.

Mengenai pembabitannya dalam nyanyian, Zizan berkata dia masih ligat menyanyi dan kini dalam proses pemilihan lagu.

“Saya suka menyanyi dan jika ada peluang pasti akan mencuba. Buat masa ini, saya suka menyanyi rap kerana sesuai dengan jiwa.

“Apapun, kini fokus saya lebih kepada mengacara AF 2015 kerana enggan terikat dengan komitmen bidang kerja lain.

“Kini saya selesa memberikan fokus terhadap satu-satu kerja demi menjaga kualiti. Saya tidak mahu terkejar-kejar ke sana sini,” katanya yang sentiasa yakin dengan rezeki ditetapkan Tuhan.

SUMBER

Friday 25 September 2015

Perhimpunan di Petaling Street esok, Ahad HARAM! - Polis


KUALA LUMPUR: Polis mengisytiharkan sebarang perhimpunan yang bakal diadakan di sini esok atau Ahad ini adalah salah di sisi undang-undang, sekali gus adalah perhimpunan haram.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menganjurkan atau menghadiri perhimpunan itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

"Ingin saya tegaskan bahawa pihak polis tidak membenarkan sebarang perhimpunan diadakan selepas tiada sebarang notis makluman diberikan oleh mana-mana penganjur.

"Justeru, sebarang perhimpunan, jika diadakan adalah haram dan menyalahi undang-undang. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba mencetuskan kekecohan dan mengancam keamanan negara," katanya.

Tuesday 22 September 2015

Hanya seorang cedera dalam kemalangan lumba haram di Kesas - Polis



SHAH ALAM
: Hanya seorang cedera dalam kejadian kemalangan yang membabitkan beberapa buah motosikal yang sedang berlumba di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) pada awal Selasa.

Video mengenainya tersebar luas di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat dalam kenyataannya berkata dalam kejadian pada pukul 5.15 pagi itu, satu dari beberapa buah motosikal yang dipercayai sedang berlumba di lebuh raya itu telah melanggar belakang sebuah Proton Exora yang sedang dalam perjalanan dari Klang ke Kuala Lumpur.

"Pelanggaran itu turut menyebabkan beberapa lagi penunggang motosikal yang berlumba bersamanya terlibat dan mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke hospital oleh rakannya yang hadir melihat perlumbaan berkenaan," katanya.

Sementara itu, laporan polis telah dibuat oleh pemandu Proton Exora berkenaan dan kes sedang disiasat.

Monday 21 September 2015

Tujuh ditahan bantu siasatan kes bunuh Zul Badak



KUANTAN
: Tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan kes tembak seorang lelaki yang dikenali sebagai Zul Badak di hadapan sebuah restoran di Lorong Tun Ismail dekat sini Jumaat lepas.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah, kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 45 tahun ditahan sejak semalam sehingga tengah hari tadi di sekitar bandar ini.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, Zul Badak atau nama sebenarnya Arzurizan Abdul Rahman, 39, yang juga aktivis sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di daerah ini mati di tempat kejadian akibat cedera parah di leher, dada dan pinggangnya.

Suspek yang memakai topeng dilapor melarikan diri bersama seorang lagi rakan dengan Proton Waja berwarna perak yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Tindakan Khairuddin sabotaj negara - KPN



KUALA LUMPUR: Polis menyifatkan tindakan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan sebagai satu bentuk sabotaj yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Khairuddin seharusnya memberi ruang dan peluang kepada agensi-agensi penguatkuasa tempatan untuk menjalankan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Namun, beliau tetap memilih untuk menggunakan saluran perundangan asing khususnya Britain, Hong Kong, Perancis dan Amerika Syarikat dengan tujuan mengenakan tekanan antarabangsa ke atas Malaysia.

"Ini jelas merupakan satu tindakan yang bertujuan mencabar sistem perundangan Malaysia, mencalar kredibiliti agensi penguatkuasa tempatan dan mengundang campur tangan asing dalam sistem demokrasi negara," katanya dalam satu kenyataan lewat malam Ahad.

Khairuddin direman enam hari bagi membantu siasatan di bawah Akta 124C Kanun Keseksaan atas cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Dia ditahan lewat petang Jumaat di kediamannya di Mont Kiara.

Polis turut merampas beberapa barang peribadi milik termasuk komputer riba, telefon bimbit dan kad sim telefon bimbit dari kediaman mereka.

Sebelum itu, Khairuddin dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya, memaklumkan pihak PDRM telah meminta beliau hadir ke Bukit Aman pada Isnin depan untuk diambil keterangan berhubung tindakannya menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland berhubung skandal membabitkan syarikat sarat hutang, 1MDB.

Tambah Khalid, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci atas dakwaan maklumat yang disalurkan Khairuddin kepada agensi asing terbabit adalah palsu.

Saturday 19 September 2015

‘Zul Badak’ maut ditembak dengan M-16



KUANTAN 18 Sept. – Seorang lelaki yang bertugas menguruskan keselamatan di sebuah kilang besi dekat sini terbunuh selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua lelaki dalam kejadian berdekatan sebuah restoran di Jalan Tun Ismail di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu menyebabkan mangsa, Arzurizan Abd. Rahman, 39, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Zul Badak’ yang juga aktivis sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di daerah ini mati di tempat kejadian akibat cedera parah di leher, dada dan pinggang.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa baru selesai minum di restoran tersebut bersama empat rakannya yang berusia antara 26 hingga 30 tahun.

“Mangsa bersama dua rakannya termasuk seorang wanita kemudian menuju ke sebuah kenderaan utiliti sukan yang di­letakkan di tepi kedai tersebut untuk bergerak pulang.

“Ketika sampai di kenderaan itu, seorang lelaki yang memakai penutup muka tiba-tiba melepaskan tembakan dipercayai menggunakan raifal ke arah mangsa.

“Tembakan tersebut menyebabkan mangsa rebah dan meninggal dunia akibat kecederaan parah serta mengalami pendarahan teruk,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Menurut Raja Shahrom, suspek melarikan diri bersama seorang lagi lelaki dengan menaiki kereta jenis Proton Waja menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Anggota polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemukan empat kelongsong peluru 5.56 serta satu slug dalam kenderaan mangsa,” katanya.

Berdasarkan maklumat awal, kata beliau, dua suspek yang tidak dikenali itu memakai topeng muka dan melepaskan tembakan dari jarak kira-kira 10 meter sebelum melarikan diri.

Katanya, dua rakan mangsa yang berada di dalam kenderaan itu bernasib baik kerana tidak terkena tembakan yang dilepaskan oleh suspek.

“Mereka juga sempat memba­ling batu ke arah cermin kereta suspek sebelum kedua-duanya melarikan diri. Setakat ini, kita belum dapat menentukan motif kejadian, banyak khabar angin kita dengar tetapi kita tidak boleh buat sebarang kenyataan rasmi selagi suspek utama tidak ditahan.

“Ini kali pertama kejadian tembak yang membabitkan penggunaan senjata berat raifal di negeri ini. Jika dilihat kepada jenis kelongsong peluru ditemukan di lokasi kejadian, biasanya senjata digunakan jenis M-16,” katanya.

- UTUSAN -

Thursday 17 September 2015

Impian kanak-kanak hidap kanser jadi Polis tercapai



Nibong Tebal – Impian seorang kanak-kanak lelaki yang menderita penyakit kanser kelenjar limpa untuk menjadi anggota polis walaupun hanya sehari, akhirnya menjadi kenyataan.

Mohamad Uzair Amzar Mohd Noor Azlan, 5, yang disahkan menghidap kanser sejak tahun lepas, hari ini diberi peluang memakai vest polis serta tag nama dengan pangkat Inspektor dan turut didedahkan dengan tugas-tugas polis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata hasrat kanak-kanak itu direalisasikan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini.

“Alhamdulillah, hari ini kami berjaya melaksanakan hasrat Mohamad Uzair  untuk menjadi polis. Dia diberi peluang memeriksa perbarisan kawad, melawat balai dan dibawa menaiki kereta peronda polis (MPV) yang saya pandu di sekitar kawasan ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, Mohd Noor Azlan Ahmad, 46, berkata anak bongsu dari tiga beradik itu memang bercita-cita untuk menjadi pegawai polis dan sentiasa menonton drama ‘Gerak Khas’.

“Setiap kali tengok polis atau rancangan di televisyen berkaitan polis, dia akan cakap mahu jadi polis. Hari ini impiannya tercapai walaupun hanya berlakon sebagai polis. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak,” kata juru x-ray di Hospital Parit Buntar, Perak itu.

Beliau berkata anaknya itu menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan mereka yang tinggal di Taman Ilmu, di sini berulang sebulan sekali ke HKL.

Mohamad Uzair yang ditemui berkata beliau gembira kerana dapat menjadi  polis hari ini dan tidak akan melupakan pengalaman itu.

“Seronok dapat jadi polis, dapat naik MPV. Terima kasih semua polis,”  katanya, lapor Bernama.

Tuesday 15 September 2015

Himpunan baju merah: Tak perlu gusar berurusan di KL - Polis


KUALA LUMPUR: Polis memberi kebenaran kepada penganjur Himpunan Rakyat Bersatu untuk mengadakan himpunan di ibu negara esok, di jadual berlangsung di Padang Merbok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa, berkata polis akan menggerakkan anggota secukupnya bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang berlangsungnya himpunan terbabit yang dijadual bermula jam 2 petang.

Beliau juga berkata, semakan permohonan yang dibuat penganjur sebelum ini mendapati ia mematuhi segala syarat diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

"Orang ramai tidak perlu gusar untuk menjalankan urusan di Bandaraya Kuala Lumpur. Orang ramai juga dinasihat tidak mempercayai berita yang tidak berasas yang disebarkan menerusi media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tajudin berkata, polis juga tidak akan bertoleransi dengan pihak yang melakukan perbuatan dan provokasi sedemikian dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan sedia ada.

Himpunan baju merah: 20 laluan ditutup berperingkat esok - Polis



KUALA LUMPUR: Polis sudah menyenaraikan 20 laluan di sekitar ibu negara yang akan ditutup secara berperingkat mulai tengah hari esok sempena penganjuran 'Himpunan Rakyat Bersatu' yang dijadual berlangsung di Padang Merbok.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata beberapa laluan dijangka mengalami kesesakan teruk berikutan kehadiran kira-kira 2,000 bas membawa peserta untuk memasuki kawasan himpunan.

"Kita akan tutup beberapa laluan ini secara berperingkat pada jam 12 tengah hari. Namun masih bergantung kepada pergerakan dan kehadiran peserta. Mungkin ia lebih awal (jalan ditutup).

"Polis juga akan mengerahkan seramai 430 anggota untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam seawal jam 6 pagi," katanya pada sidang media hari ini. Polis katanya, turut mendapat kerjasama dan bantuan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi melancarkan aliran trafik dan keselamatan.

Berikut adalah laluan yang terbabit dalam penutupan berperingkat: Jalan Parlimen; Jalan Kinabalu; Jalan Sultan Salahuddin; Bulatan Datuk Onn; Jalan Raja Laut; Jalan Kinabalu susur ke Jalan Hishammuddin; Jalan Pudu-Jalan Tun Tan Cheng Lock; Jalan Kuching; Jalan Raja; Jalan Tuanku Abdul Rahman; Jalan Munsyi Abdullah-Jalan Dang Wangi; Bulatan Sultan Mohammad dan Jalan Damansara; Jalan Kuching-Jalan Tun Razak; Jalan Sultan Ismail; Jalan Conlay; Jalan Raja Chulan; Jalan Leboh Ampang-Jalan Tun Perak dan Jalan Sultan Ismail-Jalan Ampang.

Turut disediakan laluan alternatif bagi orang ramai yang ingin ke pusat bandar iaitu, Jalan Tun Razak; Jalan Hang Tuah; Bulatan Kampung Pandan; Jalan Loke Yew dan Jalan Bukit Bintang.

Monday 14 September 2015

Remaja didakwa bunuh ASP Margaret



Kluang: Remaja berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Kluang, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh Asisten Superintendan (ASP) Margaret Tagum Goen dengan merempuhnya dengan motosikal di sekatan jalan raya di Kilometer 58 Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini, 6 September lalu.

TERTUDUH berasal dari Taman Sri Kluang itu didakwa di hadapan Majistret Nurhuda Mohd Yusof.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang diwakili peguam, S Vijaya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian dengan niat untuk membunuh mendiang Margaret Tagum Goen.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rasidah Abd Radzaz memohon tarikh sebutan sementara menunggu laporan akhlak serta kimia dan mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

- METRO -

OTAI REFORMASI JANGAN HALANG TUGAS POLIS - KPN

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini memberi peringatan kepada kumpulan yang gelar diri mereka 'Otai Reformasi' untuk tidak mengambil alih atau mencampuri tugas Polis semasa berlangsungnya Perhimpunan Baju Merah pada 16 Sep 2015 nanti.

Ini ekoran kenyataan mereka yang berikrar untuk menghalang mana-mana peserta Himpunan tersebut daripada bertindak  mencederakan pihak-pihak tertentu  semasa perhimpunan berlangsung. ‘Otai Reformasi’ ikrar halang ‘baju merah’ cederakan Cina pada 16 September

Beliau juga mengingatkan agar kumpulan ini tidak  mengganggu dan menghalang pihak Polis dari menjalankan tugas menjaga keamanan dan keselamatan semua pihak yang terbabit.

"Campurtangan mana-mana pihak yang cuba mengambil tindakan sendiri berupaya mencetuskan ketegangan yang akhirnya berupaya menjejaskan ketenteraman awam" Kata beliau selepas selesai mesyuarat Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman sebentar tadi.



Tempoh hari kumpulan yang menggelar diri mereka Otai Reformasi menyatakan akan berkampung dan mengawal Petaling Street dan Jalan Bukit Bintang dari ancaman keganasan yang akan dibuat kumpulan baju merah.

Thursday 10 September 2015

Polis Tumpaskan Geng Pecah Rumah Di Lembah Klang



SHAH ALAM – Polis Selangor yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di sekitar Lembah Klang dengan penangkapan enam lelaki warga Indonesia sejak Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata suspek berumur 32 hingga 42 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Lembah Klang dan didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurutnya, kumpulan itu menyasarkan kawasan sekitar Gombak, Taman Templer, Kundang, Bandar Tasik Puteri dan Bandar Country Homes, Rawang sebagai tumpuan kegiatan mereka.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Mohd Adnan berkata suspek menggunakan pelbagai taktik untuk menyamun antaranya mengumpil dan memecah pintu menggunakan tong gas sebelum mengikat mangsa menggunakan tali atau kabel.

“Kita dapat menghidu kegiatan kumpulan ini susulan satu laporan polis berhubung kes pecah rumah di Kundang pada 2 Sept lepas yang membabitkan kerugian kira-kira RM10,000.

“Semasa tangkapan dilakukan, polis merampas sebilah parang, beberapa unit telefon bimbit, beg sandang dan satu kain pelikat hijau daripada kumpulan itu yang disyaki digunakan semasa melakukan kegiatan samun,” katanya.

Mohd Adnan berkata kesemua suspek direman sehingga 15 Sept ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Dalam kes berbeza, Mohd Adnan berkata pihaknya berjaya menumpaskan satu lagi kumpulan samun dengan penahanan lima lelaki warga tempatan baru-baru ini yang dipercayai boleh membantu menyelesaikan 19 kes samun.

Katanya, kumpulan itu menyasarkan kawasan perumahan sekitar Lembah Klang malah menggunakan kenderaan mewah seperti Toyota Estima dan Toyota Vellfire bagi mengaburi mata masyarakat.

“Kesemua lelaki berusia 23 hingga 53 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan antara 28 Julai hingga 29 Ogos lepas dan dipercayai bergiat aktif sejak 2013.

“Ketika tangkapan, polis turut merampas rantai emas, telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM1,115, sebuah teksi, Toyota Estima dan Vellfire daripada semua suspek,” katanya.

Menurut Mohd Adnan, kenderaan yang digunakan suspek bukan kereta curi namun disyaki milik individu lain yang berkemungkinan dikenali oleh suspek terbabit.

Katanya, polis kini memburu dua lagi anggota kumpulan berkenaan yang dikenali sebagai Tan Kim Soon atau Ah Tie, 33, dan seorang lagi Ah Soon atau Peter kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek diminta menghubungi ASP Gurdial Singh di talian 019-3652000 atau 03-6126222.

— BERNAMA

Wednesday 9 September 2015

Polis nafi dakwaan akan tangkap Tun M - Khalid



GEORGE TOWN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan dakwaan bahawa polis akan menangkap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung siasatan penampilan beliau di perhimpunan Bersih hujung bulan lalu.

Sebaliknya Tan Sri Khalid berkata polis akan menghubungi bekas Perdana Menteri itu untuk menetapkan tarikh temujanji bagi merakam kenyataannya.

Jelasnya, tiada timbul sebarang isu bahawa polis akan menahan Dr Mahathir seperti yang telah didakwa oleh sesetengah pihak.

"Saya tak pernah cakap kita akan tangkap dia, apa yang saya beritahu adalah kita menerima laporan polis bahawa beliau telah berucap di majilis Bersih dan kita buka siasatan dan seperti biasa.

"Kita tak akan panggil dia datang namun kita akan menghantar pegawai kita untuk merakam percakapannya bagi melengkapkan siasatan. Kita juga akan buat temujanji dengan beliau," katanya selepas menerima pingat jasa pahlawan di Pulau Pinang pada Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang bersedia untuk ditangkap polis bagi memberi kerjasama ke atas siasatan terbabit di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada Selasa.

Sementara itu, Tan Sri Khalid menegaskan polis tidak akan membenarkan rancangan mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan baju merah di Kuala Lumpur pada 16 September ini.

Keputusan itu dibuat berdasarkan faktor keselamatan setelah mengambil kira kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam.

"Saya menyeru penganjur fikirkan tempat yang sesuai demi menjaga keselamatan masyarakat majmuk, jadikan Bersih sebagai iktibar dan berharap sebarang rancangan sebegini membolehkan penganjur waras berfikir demi keselamatan negara kita", katanya.

Perhimpunan Maruah Melayu yang juga dikenali sebagai "Kumpulan Baju Merah" itu dijangka berhimpun pada 16 September ini sebagai tindak balas membantah perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Pihak penganjur dilaporkan merancang untuk mengadakan perhimpunan itu di kawasan seperti Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

- AWANI -

Polis syaki suar dan mercun dibawa masuk melalui penjual minuman



SHAH ALAM: Bahan mercun dan suar yang digunakan penyokong tempatan disyaki dibawa masuk menerusi penjual minuman dalam stadium sebelum aksi kelayakan bola sepak Piala Dunia 2018 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bermula di Stadium Shah Alam semalam, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat.

Beliau berkata polis sudah melakukan pemeriksaan rapi kepada penyokong sebelum dibenarkan memasuki stadium itu.

"Saya sendiri berada di pintu tiket A dan B stadium itu untuk melakukan pemeriksaan. Kami minta buka kasut dan sebagainya.

"Cuma penjual air minuman ini tidak memasuki pintu masuk, sebaliknya menggunakan pintu lain sebelum perlawanan bermula. Jadi kami percaya mungkin barang-barang mercun ini dibawa masuk melalui penjual air minuman di stadium ini.

"Oleh itu, kami akan panggil penjual air yang berada di stadium ketika perlawanan semalam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan ini, " jelasnya dalam satu media hari ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini.

11 lelaki berusia dari 19 sehingga 36 tahun ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan di stadium.

Lima daripada suspek merupakan pelajar universiti awam dan swasta manakala dua orang lagi mempunyai rekod jenayah lampau.

Polis akan mengadakan pertemuan dan bermesyuarat dengan agensi yang terbabit iaitu bersama Persatuan Bola Sepak (FAM), Majlis Bandaraya Shah Alam  (MBSA) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengenai insiden ini.

Shafien berkata polis juga meminta agensi yang berkaitan untuk mengkaji semula kebenaran membawa alatan bunyi seperi vuvuzela ke stadium.

"Kita minta pihak yang berkaitan mengkaji semula keperluan membawa masuk alat-alat bunyian. Kerana apa, daripada apa yang kita perhatikan semalam, bunyi-bunyi alatan itu mempunyai kodnya tersendiri," jelasnya lagi.

Tuesday 8 September 2015

Remaja Insaf Selepas Posting Hina Polis menjadi Viral


Kuala Lumpur – Seorang remaja ‘insaf’ dan memohon maaf apabila menyedari status di laman sosial Facebook yang menghina mendiang Inspektor Margaret Tagum Goen menjadi viral.

Remaja terbabit yang menggunakan nama Muhammad Farid menyatakan dia kesal dengan perbuatannya dan meminta agar sebaran statusnya di Facebook itu dihentikan.

Status yang dimuat naik oleh remaja terbabit telah dikongsi di Facebook Friends Of PDRM.

“Saye nak minta maaf kerana menghina polis tersebut. Saya tade niat pun nak menghina cuma ade kisah lampau yang buat saye jadi sedemikian. Saye kesal dengan perbuatan saye tadi. Tolong padam ye viral ni,” tulisnya.

Permohonan maaf remaja itu mendapat reaksi daripada pengguna media sosial lain.

Rohaizat Rohani menulis;Bro…kenangan silam awak buat pedoman bukan sebagai dendam…awak perlu bersyukur dapat tidur lena di rumah…polis bersengkang mata untuk jaga kamu tidur dengan lena.

Sementara itu seorang lagi pengguna Facebook, Muhammad Shahrul Nizam berkata; “Sebelum bicara fikir dulu. Bila dah terjadi baruu nak minta maaf. Ada ke fikir perasaan family dia? Apeaah jadi manusia mcm ni.

Tagum meninggal dunia pada Ahad ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang selepas dirempuh seorang mat rempit dalam Ops Roda/Rempit di KM 58, Jalan Batu Pahat-Mersing, Johor.

Pada Isnin, polis menahan seorang remaja lelaki kerana menghina mendiang menerusi status di Facebook.

- Suara Tv -

Sunday 6 September 2015

Tesco kesal pelanggan bawa anjing dalam troli



Tesco Malaysia mempunyai peraturan yang tidak membenarkan binatang peliharaan dibawa masuk ke dalam semua premisnya.


JOHOR BAHRU – Tesco Malaysia kesal dengan tindakan seorang pelanggannya yang membawa anjing peliharaan dalam troli pasar raya besar itu.

Dalam kenyataannya, Tesco Malaysia menjelaskan, pihaknya mempunyai peraturan yang tidak membenarkan binatang peliharaan dibawa masuk ke dalam semua premisnya.

“Kami amat kesal dengan kejadian anjing peliharaan salah seorang pelanggan kami dirakam di dalam troli kami di Tesco Extra Plentong.

“Kami ingin menjelaskan bahawa Tesco Malaysia tidak membenarkan binatang peliharaan untuk masuk ke dalam semua premis kami,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, ujar kenyataan tersebut, Tesco Malaysia bersama ahli jawatankuasa Masjid Plentong telah melakukan proses pembersihan serta-merta untuk memastikan semua troli bersih dan suci digunakan.

Perbuatan pelanggan terbabit yang membawa anjing peliharaannya dalam troli di Tesco Extra Plentong dipercayai berlaku Jumaat lalu berjaya dirakam oleh orang ramai yang kemudian memuat turun ke dalam media sosial hingga menjadi viral.

Akibatnya pengguna laman sosial mengkritik hebat perbuatan tersebut serta mahu Tesco Malaysia lebih sensitif dalam isu berkenaan.

Oleh Zamree Marhalim

Saturday 5 September 2015

Saya kahwin dengan kerja saya - DSP S.Kulasingam




TAHUKAH anda pada 22 Nov 1975, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, DSP S. Kulasingam telah ditembak 11 kali oleh konco-konco penjenayah Botak Chin di satu perhentian lampu isyarat dekat Cheras. Salah sebutir peluru menghancurkan rusuk kanannya, mengoyakkan hatinya dan menembusi paru-parunya. Namun dia masih mampu merangkak dalam keadaan berlumuran darah.

Lima bulan kemudiannya, beliau ditembak sekali lagi di perut oleh sekumpulan perompak kedai emas di Paramount Gardens, Petaling Jaya. Beliau juga pernah dicurah asid di dada dan kakinya oleh penjenayah.

Aku sempat menemuramah mendiang yang meninggal dunia dalam usia 77 tahun beberapa tahun dulu di Johor Baru. Beliau tidak pernah berkahwin hingga ke akhir hayatnya. Aku ada tanya mendiang, kenapa dia tak kahwin? Jawapan mendiang Kulasingam sangat pendek dan padat;
" Saya kahwin dengan kerja saya ".
‪#‎salut‬ ‪#‎PDRMsia‬

Syahril A. Kadir

Thursday 3 September 2015

Lima anggota polis ditahan di premis judi


KUALA LUMPUR: Lima anggota polis, antara 10 individu yang ditahan dalam Ops Dadu oleh Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah premis judi dekat Taman Bandaraya Kuchai, di sini, petang tadi.

Turut ditahan ketika bermain judi di premis itu adalah seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun serta empat warga Indonesia, masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita, yang berperanan sebagai penjaga dan pembantu kedai.

Jurucakap polis berkata, serbuan jam 2.15 petang itu dilakukan bersama sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Dalam serbuan itu, polis merampas masing-masing 23 set komputer, monitor, unit pemprosesan pusat (CPU) dan tetikus, selain dua modem dan satu set komputer kawalan utama serta wang tunai RM816.

"Daripada lima anggota yang ditahan, tiga adalah pemain manakala dua lagi berada di premis itu sebagai pengunjung.

"Dua daripada mereka berpangkat Koperal, dua lagi Lans Koperal, manakala seorang lagi berpangkat konstabel," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963.

Tuesday 1 September 2015

KENAPA BAWA BENDERA TERBALIK ???



Jika bendera dibawa berarak secara terbentang, bahagian kepala bendera hendaklah diusung mendahului perarakan sama seperti jika ianya dibawa dengan tiang bendera. Ini akan menunjukkan bendera seakan "terbang" menuju ke hadapan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari http://pmr.penerangan.gov.my/…/1593-susunan-dan-kedudukan-b…

Polis buru 2 wanita pijak gambar Najib, Hadi Awang di Bersih 4



KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur sedang memburu dua wanita yang dirakam memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam perhimpunan Bersih 4, di sini pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa, berkata kini sudah tiba masanya polis bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada dalam memburu individu dan peserta perhimpunan berkenaan, yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan sebelum, semasa dan selepas perhimpunan berakhir.

"Jangan ingat mereka boleh terlepas, mereka yang bersalah akan tetap diambil tindakan dan perkara ini kami sudah tegaskan dari awal lagi.

"Walaupun tiada insiden buruk berlaku namun banyak kesalahan membabitkan Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, didapati berlaku sepanjang perhimpunan berlangsung," katanya kepada BH ketika dihubungi hari ini.