Pakaian seragam pihak berkuasa seperti polis, SPRM, JPJ, penguatkuasa
PBT dan tentera mempunyai nilai yang tinggi dalam aspek keselamatan
negara.
Pada pandangan orang awam, pakaian seragam ini cukup penting dalam menentukan peranan dan kuasa yang dimiliki si pemakainya.
Namun, kebimbangan wujud apabila warga asing terutamanya warga
Bangladesh di pekan Sungai Besi dilihat seperti mempunyai 'lesen besar'
untuk menjahit pakaian agensi penguatkuasa di negara ini.
Tidakkah ia akan memudahkan penjenayah melakukan penyamaran menggunakan
pakaian seragam ini untuk memeras ugut, rompakan yang akhirnya
memberikan imej buruk kepada agensi penguatkuasa.
Ikuti laporan Sinar Siasat yang akan mengupas isu ini.
BIARPUN pernah didedahkan media sebelum ini, Wartawan Sinar Siasat
meninjau semula untuk melihat situasi terkini di pekan Sungai Besi dan
alangkah terkejutnya kerana lebih 20 kedai jahit di pekan ini
dikendalikan warga Bangladesh.
Wartawan Sinar Siasat merasakan seolah-olah berada di Dhaka pula bila
melihat mereka sibuk mengukur, menggunting kain dan menjahit sambil
pekerja Bangladesh lain melayan pelanggan rakyat tempatan.Namun yang
menjadi persoalan dari aspek keselamatan ialah kedai jahit warga
Bangladesh turut mengambil tempahan untuk menjahit pakaian seragam pihak
berkuasa seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia
(PDRM), Bomba, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan penguatkuasa pihak
berkuasa tempatan (PBT).
Wartawan Sinar Siasat yang membuat tinjauan di sana mendapati
rata-rata papan tanda iklan di kedai jahit mereka tertera iklan khidmat
jahitan pakaian seragam pihak berkuasa di negara kita.
Misalnya seorang tukang jahit secara terang-terangan memberitahu dia
memang berkemahiran menjahit apa juga jenis pakaian seragam yang
ditempah.
"Baju polis, SPRM semua kita boleh jahit sini.
"Kita boleh siap terus sama itu logo," katanya memberikan contoh
sambil tangannya memegang baju baharu siap dijahit tertulis LHDN.
Berjalan dari satu ke satu kedai jahit, Wartawan Sinar Siasat cuma
mengajukan permintaan mahu menempah pakaian seragam kepada tukang jahit
sambil meninjau pelbagai jenis pakaian seragam termasuk baju celoreng
askar yang tergantung di kedai itu.
Misalnya salah seorang tukang jahit warga Bangladesh itu juga mengakui
boleh menjahit pakaian seragam polis tanpa mengira pangkat dan
mengenakan caj tambahan untuk meletakkan logo sesebuah agensi.
Nampak sangat mudah untuk menempah semua pakaian seragam itu kerana mereka menerima tempahan tanpa banyak soal.
Mereka cuma bertanyakan berapa helai pakaian mahu ditempah, lalu terus
menyebut harga pakaian yang hendak dijahit dengan serendah RM80
hingga RM150 sehelai.
Wartawan Sinar Siasat juga memerhatikan gelagat mereka melayan
pelanggan yang datang mahu menjahit pakaian atau melakukan ubah suai.
Cukup mudah!
Seorang tukang jahit memberitahu, dia mengambil tempahan sama ada untuk
sehelai pakaian seragam atau boleh ditempah secara banyak sekali gus.
"Saya ada lesen," katanya dengan bangga.
Masalahnya bagaimana untuk memantau bahawa tukang jahit warga
Bangladesh ini menjahit untuk individu yang betul bukan menjahit pakaian
seragam untuk penyamar atau penjenayah.
Tidakkah tindakan seperti ini merintis kepada jalan penjenayah menyamar
sebagai penjawat awam atau penguat kuasa untuk memeras ugut orang lain?
Misalnya, pakaian seragam tentera biasanya dijahit oleh kontraktor
dilantik untuk membekalkan pakaian tentera seperti terdapat dalam
kontrak kerana seragam tentera diwartakan.
- SINAR HARIAN -