Tuesday 29 December 2015

Polis Palsu Ditahan Ketika Menyamun



JOHOR BAHARU, 30 Dis (Bernama) -- Dua lelaki yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan menyamun warga Myanmar di Jalan Sentosa, Larkin ditahan Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata sejurus menerima maklumat dari orang awam, lima anggota ronda bermotosikal segera ke lokasi kejadian pada 8.15 malam.

"Tindakan cepat pihak polis ke lokasi kejadian membolehkan mereka menangkap suspek yang masih berada di rumah mangsa samun itu," kata beliau menerusi satu kenyataan di sini Rabu.

Sebelum itu, kedua-dua suspek berkenaan telah masuk ke dalam rumah mangsa dan mengaku sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad warna merah kepada dua orang warga Myanmar itu.

"Suspek kemudiannya bertindak memukul kedua-dua lelaki Myanmar itu dengan sebatang kayu sambil mengarahkan mereka mengeluarkan pasport," katanya.

Sulaiman berkata pihak polis turut merampas sebatang kayu panjang lebih kurang satu meter, sekeping kad kuasa polis atas nama seorang suspek dan sebuah motosikal.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan Samun dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua suspek juga positif dadah jenis Amphetamine, dan kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis.

-- BERNAMA

AHLI KELUARGA GADIS HILANG MARAH PENYEBAR BERITA PALSU


Kehilangan gadis bernama Nur Atirah Amirah berusia 14 tahun menjadi perhatian ramai selepas berita dan rakaman audio berdurasi 3minit 40saat itu tersebar dan viral di media sosial sejak malam tadi.

Berdasarkan maklumat yang tersebar, lokasi terakhir gadis tersebut adalah di Bandar Baru Sultan Sulaiman Klang.

Dalam masa yang sama banyak khabar angin disebar netizen mengatakan mangsa telah ditemui di Johor, lebih kejam lagi ada yang mengatakan mangsa sudah dirogol dan dibunuh.

Ini mengundang kemarahan salah seorang ahli keluarga mangsa iaitu Hazi Aziey berdasarkan posting Facebook yang dibuat beliau lebih kurang jam 2pagi tadi..



"Ya Allahhhh !! kenapa dorang ni kejam sangat2.. kenapa korang cakap adik aku mati kne bunuh lah, kne rogol lah, kes selesai lh ape lah!! Ape korang nk sebenarnye !! Tolong sangat tolong jangan percaya post2 bodoh macam ni!!!" antara luahan Hazi.

Hazi juga merayu kepada orang ramai supaya mendoakan mangsa selamat dan berhenti dari menyebar berita-berita palsu yang hanya akan menyukarkan tugas Polis.

Rakaman Audio dibawah..


GADIS HILANG! Admin dapat rakaman audio yang juga sedang 'viral' sekarang.. Dikatakan gadis berusia 14 Tahun diculik...
Posted by Friends Of PDRM on Tuesday, December 29, 2015

Friday 25 December 2015

Peniaga ditahan hina polis menerusi Facebook



JOHOR BAHRU: Seorang peniaga ditahan di Kluang tengah malam tadi kerana menghina polis menerusi Facebook.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamad Laham berkata wanita berumur 44 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Impian.

"Wanita itu memuat naik kenyataan dengan mendakwa pihak polis memukul anaknya dan meminta wang daripada anaknya.

"Perbuatan wanita ini menimbulkan persepsi buruk orang awam terhadap pihak polis," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata anak wanita itu ditahan pada 29 Nov lepas kerana memiliki motosikal curi dan kes itu sedang dibicarakan di mahkamah.
Mohamad berkata wanita tersebut kini direman selama tiga hari.

Lori bauksit: Pengguna Facebook Mohon Maaf kerana FITNAH Polis

 

KUANTAN - Polis menyangkal dakwaan berhubung pihaknya menasihatkan ahli keluarga mangsa satu kejadian kemalangan lori bauksit baru-baru ini supaya menarik kes tersebut seperti yang sedang diviralkan di laman sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dakwaan tersebut yang dimasukkan dalam laman sosial Facebook merupakan perbuatan fitnah yang mencemarkan nama baik pegawai polis.

Menurutnya, pihak polis sentiasa bertungkus lumus menyiasat kes terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan, namun dakwaan sedemikian dilemparkan kepada anggota keselamatan itu.

"Pengguna akaun Facebook tersebut telah  membuat pengakuan maaf pada hari yang sama selepas dakwaan tersebut dilakukan.

"Namun begitu satu laporan polis telah dibuat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

"Individu tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya menghentikan perbuatan memfitnah berkaitan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan dan mereka boleh dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Aziz dalam sidang media itu menjelaskan, kejadian kemalangan yang berlaku pada malam 18 Oktober lalu menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera selepas berlanggar sebuah lori treler dipercayai lori bauksit yang keluar dari simpang tiga stesen minyak Caltex Gebeng di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan.

"Kita masih berusaha untuk mengenal pasti pemandu lori berkenaan dan nombor pendaftaran diberikan oleh saksi kejadian yang merupakan rakan mangsa didapati adalah silap.

"Polis masih giat mengesan pemandu lori bertanggungjawab," katanya.

- SINAR HARIAN -




Temuduga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Lelaki & Wanita – 10 Disember 2015 Hingga 22 Februari 2016



Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan temuduga bagi eksesais pengambilan jawatan Inspektor lelaki dan wanita di seluruh Malaysia mulai 10 Disember 2015 sehingga 22 Februari 2016.

1. Inspektor (Lelaki & Wanita)



Perlu diingatkan, temuduga ini hanya untuk mereka yang telah menduduki ujian Malaysian Integrity Test (MIT) dan berjaya melepasi ujian tersebut pada 12 hingga 25 Oktober 2015 yang lepas.
*Kepada yang berminat untuk pengambilan PDRM sesi 2016 / 2017, bolehlah memohon secara online dengan mengetahui lebih lanjut dengan klik di sini.

Tarikh temuduga Inspektor PDRM : 10 Disember 2015 hingga 22 Februari 2016
Lokasi : Seluruh Malaysia
Untuk mengetahui iklan dan info penuh mengenai Temuduga PDRM Inspektor Lelaki dan wanita ini, sila lihat keratan iklan rasmi daripada PDRM di bawah.
Status permohonan boleh disemak melalui Sistem Semakan Online (SSO) PDRM di http://sso.rmp.gov.my atau klik pautan di bawah bermula pada 7 Disember 2015 (Isnin).








Wednesday 23 December 2015

PANTANG MAKAN LEPAS PEMBEDAHAN, MITOS atau FAKTA?



Kita biasa mendengar, selepas seseorang menjalani pembedahan, akan adanya pantang larang tertentu khususnya dalam bab pemakanan.

Makanan2 tertentu seperti telor, udang, sotong dan ikan2 akan dilarang atas sebab kononnya ia akan menyebabkan gatal, penyembuhan luka yang lambat serta luka yang bernanah. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa pemakanan makanan2 seperti ini akan menyebabkan kesan2 sampingan lain seperti nanah pula pada anak (kes selepas bersalin) kerana kononnya kotoran itu boleh ditransmisi melalui susu kepada anak.

Kesemua kepercayaan ini adalah mitos sebenarnya. Jika adapun pandangan ini, ia lebih merupakan kepercayaan dan budaya masyarakat tertentu dan tidak ada bukti dari aspek saintifik.
Oleh itu, apakah makanan2 yang elok dimakan selepas sesuatu pembedahan dijalankan yang akan membantu dalam penyembuhan pesakit?

(Ada pembedahan tertentu yang mungkin memerlukan diet khas. Jadi sila bincang dengan doktor anda. Maklumat yang saya berikan adalah maklumat umum).
Umum mengetahui bahawa selepas pembedahan, tubuh memerlukan pelbagai zat untuk pulih. Memakan makanan yang berzat sudah tentu akan membuatkan proses penyembuhan menjadi lebih cepat, menguatkan tubuh badan dan juga mengurangkan risiko jangkitan kuman. Makanan terbaik pasca pembedahan adalah makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral serta zat2 yang akan saya jelaskan.

1. Protein:
Asid amino di dalam protein adalah amat membantu di dalam proses penyembuhan luka dan juga penjanaan semula tisu. Ia juga memberi tenaga dan membantu menguatkan tubuh selepas pembedahan. Ikan2, daging dan ayam serta makanan laut yang lain adalah kaya dengan protein.
Tidak semestinya hanya ikan haruan dan linang saja, pesakit bebas memakan apa jua jenis ikan selepas pembedahan. Protein juga boleh diperolehi dari telor, kekacang, soya dan juga taufu.
Justeru itu, pantang makan telor, udang dan sotong adalah merupakan satu mitos sebenarnya.

2. Karbohidrat:
Keletihan selepas pembedahan adalah merupakan satu kebiasaan. Tubuh badan memerlukan tenaga dan sudah semestinya sumber tenaga paling mudah adalah karbohidrat.
Makanlah makanan2 yg mempunyai karbohidrat seperti nasi (pada kuantiti yang berpada) dan roti2 whole meal. Juga makanlah sayur2an dan buah2an yang tinggi dengan kandungan fiber/serat.

3. Lemak:
Lemak2 sihat dari sumber tumbuh2an seperti minyak zaitun, minyak kelapa dan kekacang akan membantu memperbaiki sistem imuniti tubuh dan membantu penyerapan vitamin dalam badan. Adalah tidak benar bahawa lemak harus dielakkan sama sekali selepas pembedahan melainkan dinasihatkan oleh pakar nutrisi dan pembedahan bagi kes tertentu.

4. Mineral dan Vitamin:
Ini adalah merupakan antara zat yang paling penting yang perlu diambil selepas pembedahan.
Sesetengah mitos masyarakat kita mengatakan pantang pemakanan buah2an dan sayur2an tertentu kerana kononnya ia terlalu 'sejuk' mahupun 'panas' bagi pesakit. Sebagai doktor, hingga kini saya tidak tahu apakah maksud sejuk dan panas yang digunapakai oleh pengamal perubatan alternatif ini.
Secara umumnya, buah2an dan sayur2an adalah kaya dengan vitamin dan mineral dan amat rugi jika tidak mengambilnya pasca pembedahan.
Vitamin A yang boleh didapati di dalam bayam, sayur2an hijau, lobak, kentang dan sebagainya serta Vitamin C yang kaya di dalam makanan seperti buah oren, anggur, jambu dan tomato adalah merupakan komponen2 zat pemakanan yang amat mustahak di dalam proses penyembuhan luka.
Vitamin D yang boleh didapati di dalam produk tenusu, ikan dan telor juga amat membantu di dalam penjagaan tulang yang amat penting terutamanya bagi kes pembedahan ortopedik.
Vitamin K pula kaya di dalam sayur2an hijau, hati dan ikan amat membantu di dalam proses pembekuan darah di dalam luka.

Selain itu zat besi dan zink yang terdapat di dalam daging, makanan laut, susu dan kacang juga membantu di dalam penyembuhan luka dan tidak harus diabaikan.
Selain dari memakan makanan2 yang berzat di atas, adalah penting juga untuk mengambil kuantiti air yang secukupnya bagi memastikan badan dapat hidrasi yang sepatutnya. Air yang diminum mestilah mencukupi supaya dapat kita membuang air kecil setiap 4-6 jam.
Walaubagaimanapun, bagi sesetengah pesakit seperti pesakit jantung, hati dan buah pinggang, kuantiti air yang harus anda minum mestilah ditentukan oleh doktor yang merawat anda.

‪#‎Kesimpulan‬:
1. Tidak ada pantang khusus pemakanan selepas pembedahan melainkan atas nasihat doktor dan pakar nutrisi.
2. Terdapat pelbagai mitos dalam masyarakat kita terutamanya yang melibatkan pemakanan selepas pembedahan.
3. Makanlah makanan yang sihat dan berzat seperti di atas dan ikut nasihat doktor yang merawat anda.
4. Saya rasa asal usul mitos larangan memakan udang, sotong dan telor adalah mungkin disebabkan ada anggota keluarga lain yang nak pow makanan2 lazat tersebut. Hangpa pantang, tapi depa makan udang celop tepung, sotong butter dan telor bifstik.
😝😝😝😝
5. Jangan naya orang sakit beb. 😋

Tulisan - Dr Abdul Rahman Abdul Kadir

Tuesday 15 December 2015

Rakam aksi bogel, paksa anak saudara lakukan seks

KOTA BHARU - Seorang pemandu jentolak bertindak melampau apabila tergamak merakam aksi bogel dua anak saudaranya yang sedang mandi dan memakai pakaian, sebelum memaksa dua beradik itu mengadakan hubungan seks dengannya.

Kejadian rogol itu beberapa kali berlaku terhadap dua remaja perempuan berusia 15 dan 16 tahun itu di rumah nenek mereka di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, antara Ogos dan November lalu.

Kejadian berlaku jam 7 pagi sekitar Ogos lalu, ketika pengadu yang berusia 16 tahun berada di dalam bilik didatangi bapa saudaranya berusia 42 tahun dan memaksa dia melakukan hubungan seks.

Sekiranya enggan, suspek mengugut akan menyebarkan gambar bogel berkenaan.

Takut dengan ugutan itu, mangsa mengikut kehendak lelaki terbabit dan kejadian berulang dua kali pada November. Suspek menggunakan modus operandi sama dengan masuk ke dalam bilik mangsa ketika semua penghuni rumah sedang tidur.

Kejadian sama turut berlaku terhadap adik perempuan mangsa yang dirogol, masing-masing tiga kali dalam kejadian pada Ogos, September dan Oktober oleh lelaki sama. Sebelum kejadian rogol itu, mereka kerap kali diganggu secara seksual oleh suspek yang bertindak meraba payudara mereka.

Dua adik-beradik kandung itu tinggal bersama datuk dan nenek sejak kematian bapa pada Julai akibat kencing manis, manakala ibu mereka bekerja kilang dan tinggal di Pulau Pinang. Turut menghuni rumah berkenaan, suspek bersama isteri dan anak mereka.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhamad berkata, suspek ditahan penduduk kampung pada jam 1 pagi, semalam, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sejurus laporan dibuat dua beradik itu, suspek bertindak melarikan diri dan usaha pihak berkuasa menjejakinya berhasil dengan bantuan orang awam.

“Sebelum ini, suspek yang dikehendaki itu sukar dikesan kerana kerap bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi lain bagi mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.

“Suspek kini dikenakan perintah tahanan reman selama seminggu hingga 20 Disember depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

PDRM Melaka guna 'body camera'

Melaka: Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Melaka akan menjadi pasukan pertama di negeri ini menggunakan teknologi audio visual iaitu Body Camera BC-100 Januari depan dalam usaha menangani ancaman penjenayah selain meningkatkan integriti anggota ketika menjalankan tugas.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata, 36 kamera badan yang diterima itu bukan saja dapat melindungi anggota polis dari ancaman tuduhan pihak tidak bertanggungjawab, malah turut melindungi kepentingan awam sekiranya anggota tidak berintegriti ketika bertugas.

"Penggunaan Body Camera ini melindungi kepentingan kedua-dua pihak.

"Kamera pada badan anggota URB yang bertugas akan terus diletak pada mod berfungsi sebaik anggita keluar meronda dan mempunyai kemampuan merekod audio visual selma lebih empat jam," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan PDRM peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Bukit Beruang, di sini, pagi tadi.

Pada majlis itu, polis Melaka turut menerima 32 Unit Kereta Peronda (MPV) jenis Proton Inspira dan 53 motosikal jenis Honda utk digunakan URB.

Thursday 10 December 2015

Tunku Jalil jalani latihan lasak UTK PDRM

KUALA LUMPUR: Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, satu-satunya kerabat diraja yang menyertai perkhidmatan polis, menjalani latihan lasak dan keras di bawah Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau telah meyakinkan Tunku Abdul Jalil untuk menyertai pasukan keselamatan itu selepas baginda menunjukkan minat dalam bidang kepolisan.

Tunku Jalil, yang mangkat akibat kanser hati pada usia 25 tahun Sabtu lalu, dilaporkan mengikuti kursus Inspektor Percubaan selama sembilan bulan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) ketika berusia 21 tahun, dan menamatkan latihan pada 2012.

Baginda menyertai pasukan polis dan mengikuti latihan sebagai pegawai selama setahun dan seterusnya menjalani kursus latihan UTK di kolej teknikal di Muar.

Pada Oktober lalu, baginda dilantik sebagai Ketua Turus Pengelola Diraja Istana Johor. Hishammuddin berkata anakanda keempat Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris itu, adalah seorang yang penyayang.

"Saya menziarahi baginda beberapa kali (sebelum baginda mangkat)," kata Hishammuddin ketika ditemui Bernama di luar Perhimpunan Agung UMNO 2015, di sini hari ini. Kemangkatan Tunku Jalil pada usia yang masih muda, "memberi saya sesuatu yang boleh dipelajari.

Hidup ini singkat dan hidup kita di tangan Allah". Almarhum Tunku Jalil disahkan menghidap kanser hati pada akhir tahun lalu, dan pernah menjalani pemindahan hati di China sebelum ini. Tunku Abdul Jalil mangkat pada jam 7.11 petang Sabtu lalu di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, dan dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah pada Ahad. - BERNAMA