Wednesday 27 September 2017

14 pegawai kanan polis bertukar



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam mengumumkan pertukaran 14 pegawai kanan pelbagai jabatan berkuat kuasa bulan depan.

Pertukaran yang berkuat kuasa pada 30 Oktober itu diumumkan oleh Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara, Senior Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad, dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azizi Mat Aris bertukar ke jawatan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Tadbir Urus/ Kepolisian Am) Bukit Aman.

Penolong Pengarah (D7B) Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Baharudin Mustapha dan Penolong Pengarah Unit Rondaan Bermotosikal/e-Sektor, Bahagian Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Soaihami Rahim, pula bertukar jawatan.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi/ Bantuan Teknik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman Asisten Komisioner Koh Ah Tiam dan Penolong Pengarah Urusetia, Cawangan Urusetia, Bahagian Urusetia/Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Ahmad Mazlan Yahya, turut bertukar jawatan.

Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Dalila Mohd Yasin, bertukar jawatan sebagai Penolong Pengarah Kepolisian Kemasyarakatan, Bahagian Kepolisian Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

Siti Dalila menggantikan Asisten Komisioner Wong Ing Fung yang ditukarkan sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan/Sukan/Rekreasi), Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya bertukar ke jawatan Timbalan Pengarah (Kepolisian Am/ Siasatan/Sumber) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Bukit Aman .
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Shukri Kaman mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zulkefly.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) IPK Kedah, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah pula menggantikan Mohd Shukri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Penolong Pengarah Perjawatan (Pegawai Diwartakan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi ditukarkan ke jawatan Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik, IPK Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar pula ditukarkan ke jawatan Ketua Polis Daerah Kulai, Johor.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Semenyih, bertukar ke jawatan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Kelantan.

Pegawai kanan terakhir dalam senarai pertukaran adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Sandakan, Deputi Superintendan Sabarudin Rahmat yang bertukar ke jawatan Ketua Polis Daerah Sipitang, Sabah.

Tuesday 26 September 2017

Viral lelaki, penguat kuasa DBKL bertengkar: Polis tahan pemandu



KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pemandu kereta selepas videonya bertengkar dengan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 38 tahun itu dibuat jam 6.30 petang tadi ketika dia tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk memberi keterangan.

Katanya, anggota penguat kuasa DBKL itu juga sudah tampil membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Sentul semalam.

Berdasarkan laporan itu, anggota berkenaan mendakwa kejadian berlaku ketika dia bersama rakan setugas dan dua pekerja syarikat kunci tayar menjalankan operasi di Taman Segar, Cheras pada jam 12.46 tengah hari.

"Dalam operasi itu, pengadu (anggota DBKL) dan rakannya mengunci tayar sebuah kereta PERODUA Myvi kerana melakukan kesalahan meletak kenderaan di luar petak.

"Tidak lama kemudian selepas menerima arahan daripada pusat kawalan DBKL, pengadu pergi semula ke lokasi berkenaan untuk membuka kunci tayar kereta itu kerana pemiliknya (suspek) hendak membayar denda.

"Bagaimanapun, kedua-dua mereka dipercayai berselisih faham hingga tercetus pertengkaran dan insiden tolak-menolak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kok Sin berkata, pegawai penyiasat sudah menghubungi anggota DBKL itu untuk diambil keterangan, namun setakat ini dia belum tampil berbuat demikian.

Katanya, pihaknya juga akan merakam keterangan saksi lain yang mempunyai kaitan dalam kes itu.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki bertengkar dengan anggota penguat kuasa viral di media sosial sejak awal hari ini.

Dalam rakaman berdurasi empat minit enam saat itu, lelaki berkenaan dilihat seolah-olah tidak berpuas hati dengan petugas DBKL sambil cuba ditenangkan beberapa wanita yang turut berada di situ.

Bagaimanapun, lelaki itu kemudian dilihat mengambil objek seperti kayu dari dalam keretanya dan meluru ke arah seorang lelaki lain yang turut berada di situ, tetapi berjaya dihalang daripada bertindak di luar kawalan.

Dia kemudian beredar dari lokasi tidak lama selepas itu.

Monday 25 September 2017

Dicekup pulang rumah ambil pakaian



POLIS tahan lelaki disyaki terbabit kes pukul sampai mati di rumah di Kampung Pinang, Air Itam, Georgetown, 10.10 malam tadi.

Sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) memberkas suspek berusia 23 tahun itu di rumah sewanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan penangkapan suspek selepas diburu polis sejak Sabtu lalu.

Beliau berkata, suspek pulang ke rumah mengambil pakaian untuk melarikan diri selepas mengetahui dia diburu polis selepas kejadian Jumaat lalu itu.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke IPDTL sebelum ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian malam Jumaat itu, suspek dan seorang lagi rakannya yang masih bebas memukul mangsa, Lim Kok Boon, 33, di kawasan tempat pembuangan sampah di Blok B, Flat Kampung Melayu, Air Itam.

Mangsa dipukul dengan topi keledar sehingga pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum disahkan meninggal dunia pada 10 pagi semalam.

Susulan itu, polis masih memburu rakan suspek, Mohd Yusri Mohamed, 38, dari Flat Kampung Melayu, Air Itam.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi IPDTL di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 10:24 AM

Monday 18 September 2017

Pencuri berselipar, seluar pendek larikan RM600,000 dari bilik kebal bank

http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2017/09/bank_perompak_6001.jpg

PETALING JAYA: Seorang lelaki hanya berselipar dan berseluar pendek berjaya melarikan sejumlah RM600,000 daripada bilik kebal sebuah bank di Damansara Heights.

Akhbar The Sun melaporkan lelaki yang menyamar sebagai penyelenggara alat pemadam kebakaran hanya menyandang beg, memakai kemeja-T, berseluar pendek Bermuda dan berselipar berjaya melarikan wang tersebut dalam masa 20 minit.

Tetapi jenayah tersebut hanya dikesan 2 jam kemudian oleh kakitangan bank.
Sumber menggambarkan pencuri itu kelihatan tenang dan yakin. Dia memasuki bank kira-kira jam 12.30 tengahari pada 8 September dan memperkenalkan dirinya sebagai juruteknik syarikat alat pemadam api.

Bagaimanapun pengurus bank tidak membenarkan lelaki itu meneruskan tugas setelah gagal mengesahkan identitinya, sebelum pengurus itu keluar makan tengahari.

Lelaki dalam lingkungan 30-an itu bagaimanapun tidak beredar sebaliknya kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia berlegar-legar di tempat itu sebelum menyelinap melalui pintu di belakang kaunter bank.

Dia berpura-pura memeriksa alat pemadam berkenaan sewaktu kakitangan sibuk dan kemudiannya menghampiri bilik kebal.

Sumber - http://www.freemalaysiatoday.com

Sunday 17 September 2017

TRAGEDI TAHFIZ: Sebar maklumat sulit: 13 Anggota dan Pegawai polis diambil keterangan



KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam keterangan 13 anggota dan pegawainya berhubung 'kebocoran' fakta sulit tangkapan dan gambar enam daripada tujuh suspek yang mendalangi kebakaran sebuah pusat tahfiz di Keramat Hujung, Kampung Dato Keramat di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan berhubung perkara itu sudah dimulakan sejak semalam mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (pendedahan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Seramai 13 saksi terdiri daripada pegawai dan anggota polis sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Namun tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh terpaksa mempercepatkan sidang media berhubung tangkapan tujuh suspek yang mendalangi kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa.

Sidang media berkenaan yang pada mulanya dijadualkan pada jam 11 pagi hari ini terpaksa dipercepatkan kepada jam 8 malam tadi susulan penyebaran meluas mesej berhubung fakta kes dan gambar suspek yang diklasifikasikan sebagai sulit di aplikasi bual seperti WhatsApp serta di laman media sosial, sejak petang semalam.

Susulan itu, pihak polis menjalankan siasatan terperinci bagi mencari dalang sebenar kepada pembocoran maklumat-maklumat sulit berkenaan.

Amar Singh pada sidang medianya semalam, turut meminta orang ramai supaya berhenti daripada menyebar fakta kes berkenaan yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan proses perundangan di mahkamah.

"Mereka yang didapati menyebar maklumat itu boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan," katanya.

Thursday 14 September 2017

TRAGEDI TAHFIZ: PELIK DUA TONG GAS KUNING ADA DI SITU - SAKSI



Kuala Lumpur - Terdapat elemen mencurigakan dalam kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung disini apabila ada mangsa yang terselamat mengatakan bahawa mereka ternampak tong gas kuning diluar bilik asrama.

Seorang warden di tahfiz berkenaan, Mohd Arif Mawardi berkata, sebelum tidur pada jam 11 malam, tiada tong gas di luar pintu asrama itu ketika dia melakukan pemeriksaan.

"Ketika kebakaran berlaku saya tidur di tingkat 2, bersama tiga lagi kakitangan dan terdengar bunyi kuat seakan ribut dipercayai kesan dari tong gas yang terbakar.

"Bagaimanapun saya pelik apabila naik untuk cuba menyelamatkan pelajar dan guru saya dapati ada dua tong gas warna kuning di tangga berhampiran pintu bilik asrama," katanya sebagaimana lapor BH Online.

Tambah Mohd Arif, dia juga pelik bagaimana dua tong gas bewarna kuning itu boleh berada di situ sedangkan empat tong gas pusat tahfiz berkenaan yang berwarna hijau diletakkan di dapur di tingkat bawah.

"Bukan nak kaitkan dengan punca kebakaran yang berlaku tapi berkemungkinan tidak seteruk ini sekiranya tong gas berkenaan tiada di situ," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata hasil siasatan mendapati kebakaran itu bukan berpunca dari litar pintas.

Beliau berkata hasil siasatan Unit Forensik dan Suruhanjaya Tenaga mengesahkan keadaan litar elektrik pada suis utama bangunan pusat tahfiz itu adalah di dalam keadaan baik.

"Kita dapati cara api merebak agak pelik dan luar daripada kebiasaan dengan kadar api merebak adalah sangat cepat dan besar. Biasanya, jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan 'tendang' dan ambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk api marak dan merebak.

"Berdasarkan maklumat mangsa yang selamat (saksi), kebakaran itu bermula dari luar bahagian pintu asrama itu yang menyebabkan mereka terperangkap. Tambahan pula ada dua tong gas di situ yang mungkin menjadi punca api lagi besar dan cepat merebak," katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Khirudin berkata, pihaknya percaya terdapat unsur lain dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku dan siasatan terperinci berpandukan ujian makmal sedang dijalankan.

"Biasanya kalau api bermula dari bahagian dalam, bilangan yang terkorban tidak ramai kerana mereka masih boleh keluar. Saksi beritahu mereka berusaha nak keluar tetapi api dah marak di luar pintu, sebab itu mereka terperangkap," katanya.

Dalam masa yang sama, beberapa pelajar yang terselamat turut melaporkan ada bau gas ketika kejadian itu berlaku.
Sumber : BH Online

Tiga Lelaki Ditahan Disyaki Terlibat Daesh - KPN


KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia menahan tiga suspek lelaki tempatan disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh di Perak, Melaka dan Selangor pada Jumaat dan Ahad lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tangkapan pertama pada Jumaat (8 Sept) lepas di Bagan Serai, Perak melibatkan seorang suspek berusia 21 tahun yang tidak bekerja dan telah berbaiah serta menyertai kumpulan pengganas itu sejak awal tahun ini.

Beliau berkata suspek juga mempunyai hubungan dengan anggota kumpulan pengganas Al-Qaeda dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG)

"Suspek juga mengaku pernah mendapatkan tunjuk ajar daripada Dr Mahmud Ahmad (rakyat Malaysia yang telah menyertai kumpulan Daesh di Selatan Filipina) dan seorang pakar bom kumpulan pengganas Daesh dari Arab Saudi untuk menghasilkan 'Improvised Explosive Deivce' (IED) berskala besar.

"Susulan itu suspek juga telah membuat tiga percubaan untuk menghasilkan IED," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Fuzi berkata selain itu suspek juga telah menerima arahan daripada seorang rakyat Malaysia yang merupakan anggota kanan kumpulan Daesh di Syria untuk membeli pistol, Rifle M-16, Rifle AK-47 dan bom tangan dari sebuah negara jiran.

"Ia digunakan untuk tujuan melancarkan serangan ke atas orang-orang bukan Islam dan tempat-tempat ibadat mereka di Malaysia.

"Turut dirampas dalam serbuan di rumah suspek adalah bahan-bahan kimia untuk menghasilkan IED," katanya.

Manakala tangkapan kedua pada Ahad lepas (10 Sept) di Melaka, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penjual cendol.

"Suspek berkenaan aktif mencetak dan mengedarkan bendera kumpulan pengganas Daesh bagi mempromosikan perjuangan kumpulan pengganas berkenaan," katanya.

Mohamad Fuzi berkata suspek juga merancang untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh di Selatan Filipina dan kumpulan militan di Rakhine, Myanmar.

Bagi tangkapan ketiga, pada hari yang sama (10 Sept) , polis menahan seorang lelaki berumur 41 tahun dari Petaling Jaya yang bekerja sebagai pemandu bas.

"Suspek merancang untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria pada akhir tahun ini," katanya.

Mohamad Fuzi berkata kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah BAB VIA 'kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

-- BERNAMA

Wednesday 13 September 2017

MYANMAR MESTI HENTIKAN KEGANASAN TERHADAP ROHINGYA - NAJIB RAZAK


WASHINGTON DC: Malaysia dan Amerika Syarikat mendesak Myanmar menghentikan segera keganasan terhadap kaum Rohingya dan membenarkan bantuan sampai kepada mangsa.

Presiden Donald Trump dan Datuk Seri Najib Razak mahu krisis kemanusiaan yang menyayat hati yang menjadikan kaum Rohingya sebagai sasaran kekejaman dihentikan segera.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan Perdana Menteri dengan Trump semalam, mereka sependapat perlu ada kerjasama kukuh membabitkan masyarakat antarabangsa bagi menangani keganasan terhadap ribuan mangsa, termasuk yang telah melarikan diri ke Bangladesh.

Sementara itu, seperti yang dijanjikan kepada rakyat Malaysia, Najib berkata beliau telah membawa isu itu dalam pertemuan dengan Trump semalam.

Perdana Menteri berkata, Trump berkongsi kesedihan beliau dalam isu itu dan masing-masing mahu ia dihentikan.

Katanya, beliau tidak boleh bercakap bagi pihak AS, tetapi kemungkinan besar akan ada bantuan kemanusiaan dihulurkan bagi membantu kesengsaraan Rohingya yang dunia tidak boleh abaikan begitu sahaja.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Forum Banyan Tree Leadership di Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CISS), di sini tengah hari waktu tempatan hari ini.

Acara dianjurkan bersama oleh CSIS dan Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).Ia dihadiri oleh sarjana, ahli akademik, pemikir, penggubal dasar dan pegawai kanan kerajaan.

- BERITA HARIAN -

Wednesday 6 September 2017

KENA SAMAN 'TINTED' GELAP, TAPI POST GAMBAR LAIN UNTUK FITNAH PDRM ???



Beberapa 'Printcreen' menjadi tular sejak pagi.. Apabila seorang pemandu post gambar kertas saman yang diterima dengan caption kononnya itu perbualan dia dengan anggota Polis Trafik terbabit. (Seperti gambar di bawah)

https://scontent-kut2-1.xx.fbcdn.net/v/t34.0-0/p280x280/21442018_1761535070541405_1168730444_n.png?oh=8c59aa1f42a4d48f9ab6967a594a1f48&oe=59B2B2DD

Dalam posting yang dibuat pemandu berkenaan kepilkan juga gambar 'sun shade' atau penghadang cahaya mudah alih sekali dengan gambar kertas saman yang tertera kesalahan 'Menampal sesuatu pada cermin. (Seperti gambar di bawah)





Sebagai orang awam sudah tentunya akan percaya dengan apa yang dikongsi oleh pemandu berkenaan. Maka ramai lah yang akan marah dan pertikai "Lorh.. letak sun shade pun nak saman ke" ??

Tapi gambar seterusnya membuktikan perkara sebenar. Bak kata orang. "Tak payah nak menipu lah, kebenaran akan muncul juga akhirnya". Jelas gambar itu menunjukkan cermin kereta yang disaman menggunakan 'tinted' gelap. Kantoi..!!


Apa pun Tahniah diucapkan kepada Anggota Trafik yang bertindak tegas mengeluarkan saman terhadap pemandu terbabit. Kalau rasa tak puas hati lawan lah di Mahkamah, tak perlu lah malukan PDRM macam tu sekali..  Akhir kata dari Admin.. Jangan ingat Polis Bodoh...

** FAKTA

Kesalahan 'tampal sesuatu pada cermin' ada dinyatakan dalam *Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 PU(A) 39/91 - 004(B)* yang menyatakan suatu tirai, bidai atau bahan-bahan lain diletakkan pada cermin kenderaan yang boleh melindungi bahagian dalam kederaan adalah satu kesalahan.

Tuesday 5 September 2017

Khalid Abu Bakar dilantik pengerusi Prasarana, Duta Khas


http://media.themalaymailonline.com/uploads/articles/2017/2017-08/170816IGPKhalid01.jpg

KUALA LUMPUR
: Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd yang baharu.

Menurut laporan Bernama, pelantikan itu diumumkan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Datuk Seri Najib turut mengumumkan pelantikan Khalid sebagai Duta Khas bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama negara dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha memerangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.

Semalam, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-11 menggantikan Khalid ekoran persaraan wajib beliau.

Khalid, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, berpengalaman lebih 40 tahun dalam PDRM selepas memulakan khidmatnya dengan pasukan keselamatan itu sebagai inspektor pada 5 Disember 1976.