Wednesday 28 February 2018

EKSKLUSIF: Saya gian nak bunuh penjenayah – Sabu



KUALA LUMPUR – Beliau adalah salah seorang anggota polis yang cukup digeruni penjenayah tegar suatu ketika dahulu.

Kehebatannya dalam mengendalikan pelbagai jenis senjata api dan kemampuannya menembak tepat ke arah suspek membuatkan ramai penjenayah gerun bila mendengar nama pemegang pingat keberanian kedua tertinggi negara, pingat Panglima Gagah Berani (PGB) ini.

Nazaruddin Mohd. Zain kini telah berusia 72 tahun namun dari segi fizikal, beliau masih lagi tegap sekaligus membuatkan kita terbayang zaman ‘kegemilangannya’ dulu sewaktu tuan punya badan masih bertugas di Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Sabu berkata, minatnya dalam menjadi detektif bermula sewaktu bertugas sebagai anggota trafik di Balai Polis Jalan Bandar pada tahun 1976.

Sabu yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1965 berkata, sebelum menjadi anggota trafik, beliau terlebih dahulu bertugas sebagai anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
EKSKLUSIF: Saya gian nak bunuh penjenayah - Sabu
Temubual eksklusif bersama Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2018.
” Bukan tak puas jadi anggota FRU atau trafik, tetapi saya tahu jiwa saya lebih kepada menangani jenayah, jadi untuk permulaan saya menyertai pasukan Unit Tindak Khas (UTK). Dalam UTK tugas saya lebih kepada mengawal pergerakan serta keselamatan Perdana Menteri dan timbalannya.

” Hampir 10 tahun dalam UTK saya kemudian dipindahkan sebagai penolong pegawai penyiasat trafik, malangnya saya tak dapat menyesuaikan diri dengan dengan tugasan tersebut.

” Saya ni cepat marah, malah suatu hari tu saya hampir bertumbuk dengan pengadu, ini membuatkan pegawai atasan saya mengarahkan saya ke D9 sehinggalah saya mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan dengan pangkat Sarjan pada tahun 1996,” ujarnya.
EKSKLUSIF: Saya gian nak bunuh penjenayah - Sabu
Antara gambar-gambar lama yang disimpan oleh Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu ketika menjalankan operasi sepanjang bertugas sebagai Unit Tindakan Khas. foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2018.

Sabu berkata demikian kepada theRakyat.com di kediamannya di Cheras, di sini hari ini.
Ternyata pengalaman 10 tahun dalam D9 benar-benar memberikan kepuasan kepada beliau sewaktu bertugas dalam PDRM.

Dalam cawangan tersebut, beliau diberi tanggungjawab untuk membantu pegawainya mengendalikan kes-kes jenayah berat seperti pembunuhan, rompakan bersenjata dan penculikan.
EKSKLUSIF: Saya gian nak bunuh penjenayah - Sabu
Antara gambar-gambar lama yang disimpan oleh Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu ketika menjalankan operasi. foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2018.

Dalam tempoh tersebut, beliau terlibat dalam pelbagai operasi melibatkan insiden berbalas tembak dengan penjenayah sehingga satu ketika pernah mendapat jolokan ‘Malaikat Maut’.

Ketika diminta untuk menceritakan pengalaman beliau, Sabu berkata, beliau tidak berniat untuk riak atau meninggi diri tetapi satu yang pasti, ramai penjenayah mati di hujung senjatanya.
EKSKLUSIF: Saya gian nak bunuh penjenayah - Sabu
Antara gambar-gambar lama yang disimpan oleh Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu ketika menjalankan operasi. foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2018.

” Setiap kali terlibat dalam operasi, saya membawa sekurang-kurangnya tiga senjata api bersama saya. Ada yang diselit di pinggang, ada yang saya ikat di kaki dan ada yang saya pegang. Jangan ingat saya ni tak ada perasaan takut, bohong kalau anggota polis tiada perasaan takut terutama bila kita mendapat maklumat musuh yang kita cari itu turut membawa senjata api.

” Namun sebaik saja kenderaan yang saya naiki bergerak, perasaan takut itu tiba-tiba bertukar menjadi semangat yang membara. Apatah lagi bila rakan-rakan sepasukan kita juga sudah bersemangat dengan senjata di tangan masing-masing.

” Bila saja sampai ke lokasi, perasaan semangat itu menjadi perasaan benci yang meluap-luap pula terutama bila kita tahu suspek memang ganas dan suka membunuh mangsanya…pada saat ini dalam fikiran saya hanya satu, kalau dia (suspek) enggan menyerah dan sanggup menyerang kami (polis), saya akan tembak dia sampai mati!,” tegas Sabu.
EKSKLUSIF: Saya gian nak bunuh penjenayah - Sabu
Antara gambar-gambar lama yang disimpan oleh Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu ketika menjalankan operasi . foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2018.

Menurut Sabu, selalunya apabila pasukannya sampai ke lokasi sasaran, penjenayah tidak punya banyak masa untuk melarikan diri kerana mereka terlebih dahulu telah menyiasat, membuat risikan dan membuat perancangan teliti agar tiada siapa yang terlepas dalam kepungan mereka.

Tambahnya, kebetulan dalam pasukannya dulu ramai di antara mereka merupakan bekas anggota UTK yang memang terlatih dalam ‘permainan’ senjata api.

” Percaya atau tidak, bila pasukan kami sampai, tak sampai lima mint semuanya akan ‘selesai’,” katanya.
Bercakap mengenai risiko, Sabu berkata, walaupun ramai pihak mengagumi beliau dalam menjalankan ‘tugasnya’, namun sebagai manusia biasa, beliau akur dengan ketentuanNya.
Ini kerana katanya, beliau juga sama seperti insan lain yang penuh dengan kekurangan serta kelemahan tersendiri.
EKSKLUSIF: Saya gian nak bunuh penjenayah - Sabu
Temubual eksklusif bersama Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2018.
” Saya juga pernah berhadapan dengan maut apabila ditembak di tengkuk dalam satu operasi khas, saya dianugerahkan pingat keberanian kedua tertinggi negara, pingat Panglima Gagah Berani (PGB) disebabkan peristiwa itu, satu penghormatan yang cukup besar namun ternyata ada harga yang perlu ‘dibayar’,” ujarnya.
EKSKLUSIF: Saya gian nak bunuh penjenayah - Sabu
Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu menunjukkan pingat Panglima Gagah Berani ketika ditemubual di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2018.
Selain daripada insiden penggunaan senjata api, Sabu juga banyak terlibat dalam pergelutan yang menggunakan tenaga fizikal.

Katanya, ini belum ditambah dengan cabaran penjenayah yang menggunakan ilmu mistik dalam usaha untuk mengelak daripada diberkas.

” Saya pernah berhadapan dengan suspek yang jarak saya dengan dia cuma beberapa depa saja namun di mata saya jarak kami berdua seolah-olah ‘sangat jauh’.

” Pernah juga ada ketikanya saya menembak seorang penjenayah warga asing yang memakai tangkal berupa kulit kambing, bayangkan peluru yang dilepaskan langsung tidak memberi kesan pada tubuhnya.

” Ini agak lucu, pernah satu ketika saya bertumbuk sakan dengan seorang suspek, dia langsung tak ada tanda-tanda nak menyerah diri, akhirnya bila saya berjaya menjatuhkan tubuhnya ke tanah, saya buka zip dan kencing ke mukanya, rupa-rupanya tindakan saya itu tepat kerana tindakan saya itu berjaya ‘melumpuhkan ilmu kebal’ yang dimilikinya,” katanya sambil tersenyum.
EKSKLUSIF: Saya gian nak bunuh penjenayah - Sabu
Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu (kiri) menceritakan semula pengalaman kepada anaknya, Tun Fara (kanan) sambil membelek keratan akhbar dan gambar-gambar lama di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2018.

Walaupun telah lama bersara, Sabu memilih untuk terus bekerja dan bukan ‘duduk saja’. Beliau kini bertugas dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan bagi memenuhi masa lapangnya.

Untuk pegawai dan anggota PDRM, Sabu berharap mereka tidak gentar dan terus komited dalam memerangai jenayah walaupun risikonya cukup tinggi.

Namun katanya, yang penting setiap pegawai dan anggota perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan pada masa yang sama sentiasa melakukan perancangan yang teliti sebelum terlibat dalam satu-satu operasi.
EKSKLUSIF: Saya gian nak bunuh penjenayah - Sabu
Temubual eksklusif bersama bekas penembak tepat UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2018.

” Sampai sekarang saya masih ‘gian’ nak tembak penjenayah terutama yang bertindak kejam terhadap mangsa-mangsa mereka, semangat untuk menjaga keamanan tanah air yang dicintai ini tak pernah pudar.

” Pesan saya pada warga PDRM, apapun utamakan dulu keselamatan diri sendiri sebelum bertindak dan betulkan niat, kalau niat kita tak betul, percayalah operasi yang kita buat akan gagal atau tidak mencapai hasil seperti mana yang kita harapkan,” kata Sabu mengakhiri perbualan. -theRakyat.com.

Sumber - https://therakyat.com/2018/02/28/eksklusif-saya-gian-nak-bunuh-penjenayah-sabu/

Friday 23 February 2018

Video aksi tembak hanyalah penggambaran filem - Polis




KUALA LUMPUR
: Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim menjelaskan video kejadian tembak-menembak yang tular di media sosial hari ini bukan kejadian sebenar sebaliknya hanya penggambaran filem.

"Saya nafikan kejadian tembak berkenaan (kejadian sebenar), jadi orang awam tidak perlu bimbang dengan kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Video berdurasi satu minit lapan saat itu memaparkan satu kejadian tembak menembak sepasukan anggota polis dengan beberapa penjenayah selain turut memuatkan sekeping gambar dua orang mangsa yang berlumuran darah dan terbaring di atas jalan dipercayai mati akibat tembakan.

-- BERNAMA

Wednesday 21 February 2018

ADAM50: Tambah anak, kerajaan bagi RM200 setiap kelahiran!

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) akan menggalakkan kadar kelahiran yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia memandangkan negara ini sedang mencapai kematangan ekonomi.

Perdana Menteri berkata negara yang sedang menuju kematangan ekonomi biasanya akan mengalami penurunan kadar kelahiran.

Malaysia, katanya, kini menghadapi situasi yang sama.
“Jadi, mereka yang ingin melahirkan anak, teruskan berbuat demikian, ini mesej saya kerana kita memerlukan pertambahan penduduk,” katanya pada program ‘Bajet 2018 Bersama Rakyat’ di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Dalam program itu, pelakon dan usahawan Fizo Omar bertindak sebagai moderator dan turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Pada majlis yang sama, Najib turut melancarkan ADAM50, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018, serta melawat wad bersalin di pusat perubatan itu dan menyerahkan hamper kepada ibu-ibu yang baru bersalin.

Di bawah ADAM50, bayi yang lahir mulai 1 Jan 2018 hingga 31 Dis 2022 akan menerima dana tabungan permulaan RM200 menerusi unit ASB (bagi Bumiputera) dan AS1M (bukan Bumiputera) selagi didaftarkan dalam tempoh setahun daripada tarikh kelahiran dan simpanan hanya boleh dikeluarkan selepas anak itu mencapai umur 18 tahun.

Najib berkata ADAM50, dana pertama dalam sejarah negara ini juga bertujuan menggalakkan simpanan peribadi untuk ibu bapa muda.

“Sebab kita nak galakkan minda rakyat supaya menyimpan untuk masa depan. Ramai orang kita yang tidak menjangka keperluan, anak kita punya keperluan…(bila dah ada akaun) kita boleh menyumbang sikit-sikit, lama-kelamaan bila anak kita masuk universiti nanti, cukup keperluan (dari segi kewangan),” katanya.

Sementara itu, Abdul Wahid ketika ditemui pemberita menjelaskan simpanan awal sebanyak RM200 di bawah ADAM50 yang diberikan kerajaan akan bertambah walaupun tiada simpanan tambahan oleh ibu bapa dibuat.

Walaupun ibu bapa tidak tambah langsung, wang RM200 ini akan menjadi sekitar RM587, tapi kalau tambah RM10 sebulan ia akan meningkat kepada RM4,000 manakala RM50 sebulan akan jadi RM20,000 dan kalau RM100 akan jadi RM40,000 apabila umur anak ini cukup 18 tahun, katanya.

Katanya sehingga kini, sebanyak 4,600 bayi telah didaftarkan di bawah ADAM50, atau sebanyak 14 peratus daripada keseluruhan bayi yang didaftarkan di seluruh negara melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

— BERNAMA

11 anggota pengganas Daesh ditahan



KUALA LUMPUR 21 Feb.- Sebanyak 11 individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas Daesh ditahan polis dalam operasi yang dijalankan di sekitar Sabah dan Singapura pada 24 Januari hingga 6 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 50 tahun itu terdiri daripada tujuh lelaki warga Filipina, tiga warga tempatan termasuk seorang wanita.

“Kesemua suspek disyaki terlibat dalam aktiviti menguruskan kemasukan anggota pengganas dari Sabah ke selatan Filipina. 

“Pihak berkuasa Singapura juga menahan seorang lagi suspek berasal dari Pulau Pinang yang disyaki merancang untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Fuzi, kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIa - Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. - UTUSAN ONLINE

Tuesday 20 February 2018

Chow Chee Keong, lagenda penjaga gawang Malaysia, meninggal dunia




KUALA LUMPUR
: Malaysia kehilangan sebuah permata berharga dalam arena bola sepak dengan pemergian Chow Chee Keong pagi ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Perkara ini telah disahkan oleh anak mendiang, Andrian Chow, melalui laman sosial Facebook miliknya.

Dalam perkongsian itu, anaknya menulis, “Pada jam 8:08 pagi (21 Februari 2018), ayah saya, Chow Chee Keong meninggalkan kita dengan tenang. Beliau telah lama berjuang dengan tabah untuk terus hidup bersama kami.”

Bagi peminat bola sepak tanah air zaman 70-an, nama Chow Chee Keong akan sentiasa tersemat sebagai lagenda.

Mendiang yang berasal dari Selangor, mula mewakili Malaysia pada tahun 1965, pernah dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) lima kali berturut-turut daripada 1966 hingga 1970.

Pada usia semuda 21 tahun mendiang berhijrah ke Hong Kong dan bermain untuk beberapa kelab seperti Jardine FC, HK Rangers, dan South China AA.

Di Liga Hong Kong, mendiang digelar sebagai “Gerbang Besi Tanpa Karat Asia" dan "Pedang Gila" serta merupakan aset penting untuk skuad kebangsaan.

Bersama pasukan Malaysia, Chow Chee Keong pernah mewakili negara dalam temasya Pestabola Merdeka dan Kelayakan Piala Dunia sekitar tahun 1980 sebelum bersara pada 1985.

Monday 19 February 2018

40 lelaki kepung, ugut polis

- Gambar Hiasan -

TUJUH pegawai dan anggota polis daerah Kangar berhadapan detik cemas apabila mereka dikepung dan diugut kira-kira 40 lelaki ketika sedang menahan seorang lagi lelaki yang dikehendaki di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis di sini.

Seorang daripada mereka turut bertindak ganas apabila cuba merempuh anggota polis bertugas dengan motosikal.

Dalam kejadian pada malam Khamis, kumpulan lelaki itu juga merosakkan cermin hadapan dan lampu kenderaan polis.

Tidak cukup dengan itu, enam daripada mereka turut mengejar kenderaan polis yang membawa suspek sebelum menerjah masuk ke perkarangan Balai Polis Kuala Perlis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Zaini Talib ketika dihubungi berkata, sebelum kejadian 11.40 malam itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kuala Perlis.

“Pasukan polis yang diketuai seorang pegawai kanan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dikehendaki bersangkut laporan polis atas jenayah yang dilakukan pada tahun lalu.

“Ketika anggota polis terbabit membawa suspek masuk ke dalam van, sekumpulan lelaki kira-kira 40 orang tiba-tiba mengepung dan mempersoalkan tindakan pasukan polis yang menahan rakan mereka itu selain membuat ugutan kepada pihak polis,” katanya.

Zaini, akibat tidak puas hati dengan tindakan pasukan polis menahan suspek, rakan-rakannya bertindak di luar jangkaan.

“Van polis dihalang dari bergerak malah kumpulan lelaki terbabit turut merosakkan beberapa bahagian kenderaan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, van pasukan polis berjaya keluar dari kepungan dan halangan untuk membawa suspek keluar dari kampung terbabit sehingga ke Balai Polis Kuala Perlis.

Katanya, enam lelaki daripada kumpulan berkenaan mengejar van terbabit sebelum menerjah masuk ke perkarangan Balai Polis Kuala Perlis.

“Kesemua mereka masuk ke perkarangan Balai Polis Kuala Perlis tanpa meminta pas kebenaran daripada pos pengawal.

“Akibatnya polis yang berada di dalam balai bertindak menahan keenam lelaki terbabit yang berusia antara 19 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan.

“Dua dari tujuh yang ditahan positif dadah jenis Methamphetamine selepas ujian air kencing dilakukan ke atas mereka,” katanya sambil menambah kesemua mereka direman sehingga 21 Februari bagi siasatan lanjut.

-Harian Metro-

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 8:02 PM

Operasi khas berkas 36 ahli Geng 04, sita barangan bernilai ....


IPOH – Polis Perak dengan dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urusetia Ketua Polis Negara (AMLA) telah berjaya menahan 36 suspek yang aktif dalam jenayah terancang di beberapa buah negeri iaitu di Perak, Selangor , Melaka dan Johor dalam satu operasi khas yang dinamakan Op Cantas Silver 1/2018 bermula 27 Januari 2018 lalu.

Kumpulan kongsi gelap ini didapati terlibat dalam keganasan seperti bunuh, samun, pemerasan, khianat dengan api dan pengedaran dadah. Kesemua tangkapan dibuat pada 27 Januari 2018 dibeberapa buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka dan Johor.

Operasi khas berkas 36 ahli Geng 04,  sita barangan RM4.5 juta!
Kesemua suspek yang ditangkap telah ditahan reman selama 28 hari bermula dari 27 Januari 2018 hingga 24 Febuari 2018 di bawah peruntukan Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 – SOSMA dan akan didakwa pada 20 Februari 2018 di Mahkamah Seksyen Ipoh.

Beberapa orang lagi suspek yang telah dikenalpasti oleh pihak polis masih bebas akan dikesan melalui bantuan Interpol sekiranya suspek melarikan diri ke luar negara.
Operasi khas berkas 36 ahli Geng 04,  sita barangan RM4.5 juta!
Kesemua suspek yang ditangkap turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan iaitu Perolehan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001), di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001, Bab VIB – Seksyen 130V Kanun Keseksaan, Bab VIB – Seksyen 130W Kanun Keseksaan.

Menurut Dato’ Pahlawan Hasnan bin Hassan, Ketua Polis Perak, pihak Polis juga menyita pelbagai barangan berharga termasuk hartanah, kereta mewah dan barangan kemas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM4.5 juta.
Operasi khas berkas 36 ahli Geng 04,  sita barangan RM4.5 juta!
Pihak polis juga akan meneruskan risikan serta mengumpul maklumat terhadap mana-mana kumpulan atau sesiapa saja yang terlibat dalam kegiatan ini. PDRM Perak juga telah berjaya melumpuhkan aktiviti kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai ‘Geng 04 Perak’ ini setelah tertangkapnya kesemua suspek. – FB Polisperak

Sumber Artikel - The Rakyat

Polis Tumpaskan 'Geng 04', 36 Anggota Ditangkap



IPOH, 19 Feb (Bernama) -- Polis menumpaskan 'Geng 04' dengan tertangkapnya 36 anggota kumpulan kongsi gelap terbabit dalam Op Cantas Silver yang dijalankan di seluruh negara sejak 27 Jan lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata kesemua anggota kumpulan itu termasuk seorang yang bergelar ?Datuk' berumur lingkungan 20 hingga 60 tahun ditahan di beberapa negeri.

Beliau berkata 26 suspek ditahan di sekitar Perak, Selangor, Melaka dan Johor manakala 10 lagi ditahan ketika berada dalam tahanan di penjara antaranya di Pokok Sena, Kedah; Taiping dan Batu Gajah di Perak serta Sungai Udang, Melaka.


Katanya operasi itu dijalankan berikutan beberapa siri kejadian keganasan antaranya kes pembunuhan seorang wanita bergelar 'Datin Seri' di hadapan sebuah restoran di Brickfields, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2016, serta kes bunuh membabitkan seorang lelaki di Hutan Melintang, Bagan Datuk pada November 2016.

"Kumpulan kongsi gelap yang aktif sejak sekian lama itu terlibat dalam kegiatan jenayah terancang dan serius membabitkan beberapa siri kejadian keganasan seperti samun, pemerasan, khianat dengan api dan pengedaran dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Hasnan berkata Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman turut membeku dan menyita harta milik anggota kumpulan bernilai RM4.5 juta membabitkan kenderaan, hartanah, barang kemas, barangan berharga, akaun bank dan wang tunai.

"Polis sedang mengesan kira-kira 10 anggota kumpulan itu yang masih bebas dan bantuan Interpol akan dipohon untuk mengesan jika terdapat suspek yang melarikan diri ke luar negara, katanya.

Menurut Hasnan, kesemua suspek ditahan reman selama 28 hari sejak 27 Jan lalu mengikut Sekyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktivit Haram (AMLATFPUAA) 2001, katanya.

Hasnan berkata kesemua 36 anggota kumpulan itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh esok dan dituduh mengikut Seksyen 130 V Kanun Keseksaan dan Seksyen 130 W Kanun Keseksaan kerana menjadi anggota dan membantu kumpulan jenayah terancang.

-- BERNAMA

Thursday 15 February 2018

Selamat Tahun Baru Cina buat dua wira negara yang dilupakan…



PADA 30 April 1971, Detektif Koperal Yeap Sean Hua dan Detektif Konstabel Fong Thean Kit yang sedang bertugas di sebuah pondok polis telah keluar menjalankan rondaan bersama-sama di pekan Setapak, Kuala Lumpur.

Kedua-duanya hanya memakai pakaian biasa (tidak beruniform) ketika menjalankan tugasan.
Tiba-tiba kedua-duanya ternampak tiga orang penjenayah yang memang sangat dikehendaki terutama oleh pihak berkuasa Singapura.

Kesemua suspek sangat aktif dalam menjalankan kegiatan merompak dengan menggunakan senjata api di sekitar Kuala Lumpur dan negara jiran kita itu. Mereka kemudiannya menghampiri ketiga-tiganya dan meminta kad pengenalan untuk diperiksa.

Salah seorang penjenayah kemudian berpura-pura hendak mengeluarkan kad pengenalan, namun rupa-rupanya dia mengeluarkan sepucuk pistol lalu menembak tepat ke mata kiri Sean Hua.
Beliau kemudian jatuh tersungkur dan mati di tempat kejadian. Darah membasahi bumi. Tubuh Sean Hua tertiarap di atas jalan.

Belum sempat untuk bertindak mencari perlindungan, Thean Kit yang berdiri bersebelahan rakannya itu turut ditembak di bahagian peha dan perutnya.

Walaupun dalam keadaan kesakitan yang amat sangat, Thean Kit menggagahkan diri melompat dan seterusnya memaut kaki penjenayah yang melepaskan tembakan tersebut.

Dalam pergelutan hampir lima minit itu, suspek berjaya menghentak kepala Thean Kit dengan buntot pistolnya. Darah panas sekali lagi memercik keluar, kali ini dari kepalanya pula.

Biarpun telah ditembak di bahagian peha dan perut serta kepalanya juga parah diketuk, Thean Kit tidak pedulikan itu semua. Dalam fikirannya ada ada dua perkara, demi negara dan demi anaknya yang masih kecil di rumah.

Akhirnya Thean Kit berjaya menumpaskan dan seterusnya menangkap salah seorang penjenayah yang sangat dikehendaki itu biarpun dirinya berlumuran darah dan rakan sekerja sendiri tersungkur menyembah bumi.

Di atas keberanian luar biasa yang mereka tunjukkan, kerajaan mengambil keputusan untuk menganugerahkan pingat keberanian tertinggi negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) buat Sean Hua dan Thean Kit.

Thean Kit meninggal dunia dalam usia 76 tahun kira-kira tiga tahun lalu di kediamannya di Georgetown, Pulau Pinang.

Hari ini masyarakat Tionghua merayakan perayaan Tahun Baru Cina. Tak ramai daripada kita yang tahu kisah keberanian dua sahabat ini.

Kami warga theRakyat.com ingin mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua mendiang yang kami anggap ‘wira tidak didendang’.

Kita terhutang budi pada mereka, dua wira PDRM yang nama mereka akan terus terpahat dalam tinta emas sejarah keamanan negara dulu, kini dan selamanya.
TABIK UNTUK KEDUA-DUANYA!
– theRakyat.com

Tuesday 13 February 2018

Sejarah Bangunan KWSP PJ

BANGUNAN KWSP di Jalan Gasing yang dibina pada tahun 1960 kini berusia 35 tahun.

KUALA LUMPUR: Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya yang terbakar tengah hari ini berusia 58 tahun.

Mengikut rekod berita-berita yang pernah disiarkan mengenai bangunan itu, ia pernah beroperasi sebagai Ibu Pejabat KWSP selama 35 tahun sejak 1960 sehingga 1995.

Bangunan itu terletak hampir dengan Lebuhraya Persekutuan dan menjadi panduan penduduk Lembah Klang untuk menentukan sempadan di antara Selangor dan Kuala Lumpur.

Kerja-kerja pengubahsuaian bangunan berkenaan dilaksanakan sekitar 2004 bagi menempatkan Jabatan Teknologi Maklumat KWSP dan Pejabat KWSP Negeri Selangor.

Kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan kemudahan elektrik serta mekanikal, selain reka bentuk baharu bangunan menerapkan ciri-ciri seni bina dan identiti bangunan KWSP lain di seluruh negara, mengikut rekod.



Bangunan berwajah baharu itu merupakan Pusat Khidmat Setempat bagi perkhidmatan seperti permohonan pengeluaran simpanan, mendaftarkan ahli dan majikan baharu, menerima bayaran caruman dan membekalkan penyata kira-kira ahli.

Dalam kejadian kebakaran tengah hari ini, kira-kira 40 peratus daripada bangunan enam tingkat cawangan itu dijilat api. - BERNAMA

Monday 12 February 2018

KWSP Terbakar: Integriti Maklumat, Simpanan Ahli Tidak Terjejas



KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi jaminan kepada pencarum bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas susulan sebahagian pejabatnya di Petaling Jaya terbakar hari ini.

KWSP dalam kenyataan berkata cawangan dan pejabat KWSP Petaling Jaya telah ditutup sementara waktu berikutan kejadian tersebut.

Menurut kenyataan itu, Pasukan Pengurus Krisis Cawangan sedang bekerjasama dengan pihak bomba bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke tingkat lain dan kawasan sekitar.

"Memandangkan keselamatan pelanggan dan kakitangan adalah keutamaan kami, pengosongan bangunan telah dilakukan manakala pejabat dan perkhidmatan kaunter ditutup," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, majikan yang ingin menjalankan sebarang transaksi dengan KWSP dinasihat mengunjungi cawangan terdekat yang terletak di ibu pejabat KWSP Jalan Raja Laut.

"Pencarum boleh menghubungi pusat pengurusan pelanggan KWSP di 03-89226000 atau menghantar pertanyaan melalui laman web myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my.

-- BERNAMA

Thursday 8 February 2018

Guru hantar mesej WhatsApp palsu didakwa


Seorang guru bahagian teknologi maklumat (IT) menjadi orang pertama di negara ini dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membabitkan perkhidmatan aplikasi WhatsApp secara berkumpulan.

Rafeah Buang, 36, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menerusi WhatsApp dengan niat menyakitkan hati orang lain, tiga tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Rafeah yang berkhidmat di sebuah jabatan kerajaan di Semporna, didakwa memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya ke kumpulan WhatsApp ‘KARPET KEMAS 189-SEMPORNA’ dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 11 Disember 2014 kira-kira 1 tengah hari di Hospital Semporna.

Dalam kumpulan WhatsApp itu, dia didakwa menghantar status berbentuk makluman agar berhati-hati dengan sebuah kereta Proton Hitam dengan nombor pendaftaran SAA6086T dipercayai pemandu kenderaan itu seorang perogol dan untuk tujuan keselamatan, sebar kepada keluarga dan rakan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan denda lanjutan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

​​​​​​Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Mohd Sophian Zakaria.

Hakim Awang Krisnada kemudian membenarkan jaminan RM2,500 berserta seorang penjamin yang memiliki alamat tetap di Semporna.

Hakim turut menetapkan sebutan semula kes pada 31 Jan 2018 untuk pengurusan kes dan lantikan peguam.

- Harian Metro -
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 12:30 PM

15 minit kutip cebisan otak



REMBAU: Polis dan anggota peronda Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengutip cebisan otak mangsa kemalangan maut di Kilometer 226.5 lebuh raya itu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, Mohd Haziq Haikal Yahaya, 20, yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Melaka ke Senawang, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas digilis beberapa kenderaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Asisten Superintendan Nazruel Ekram Abu Shari, berkata mangsa yang berasal dari Kampung Kundur Hulu, di sini, dipercayai melanggar belakang sebuah kenderaan sebelum dia terjatuh di atas jalan.

"Mangsa kemudian dipercayai digilis beberapa kenderaan lain yang datang dari arah belakang yang tidak sempat mengelak. Berikutan itu, mangsa cederaan parah di kepala selain kedua-dua tangannya patah.

"Pihak polis bersama beberapa anggota peronda PLUS mengambil masa 15 minit untuk mengutip cebisan otak mangsa di atas jalan kerana keadaan lokasi kejadian yang gelap," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.
Katanya, pihaknya juga sedang mengesan kenderaan yang dipercayai dilanggar mangsa sebelum dia terjatuh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Wednesday 7 February 2018

WANITA CEDERAKAN SUAMI MENGAKU TIDAK BERSALAH

AYER KEROH: Seorang suri rumah warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan suaminya, dua tahun lalu.

Thi Diem Huong, 20, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan Chong Pheng Lit, 27, dengan membaling cawan dan plug elektrik ke arah mangsa di Rumah Awam Paya Rumput, jam 7.30 malam, pada 30 Oktober 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan hukuman dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM4,000, atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana tertuduh seorang warga asing, bagaimanapun mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi serta menetapkan syarat dua penjamin warga tempatan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport sekiranya mahkamah mahu membenarkan jaminan.

Tertuduh yang diwakili peguambela Yong Ii Yang merayu jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menjaga anak perempuan berusia tiga tahun dan masih tinggal serumah dengan suaminya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin beserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap minggu dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.

- Berita Harian - 

Tuesday 6 February 2018

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah

DALAM siri akhir temubual ini, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkongsi pengalamannya menggalas tanggungjawab berat menangani ancaman pengganas yang semakin ‘galak’ mencari pengaruhnya di negara ini.

Menurut Ayob, ada harga yang perlu dibayar bila mengetuai sebuah unit yang cukup dibenci pengganas dalam dan luar negara itu.

” Saya mengambil serius setiap ugutan bunuh yang saya terima kerana saya tahu mereka berkemampuan melakukannya. Saya serah pada Allah, kita boleh mati di mana sahaja,” kata Ayob.
Berikut adalah siri kedua temubual eksklusif wartawan theRakyat.com, Syahril A. Kadir dengan Ayob di Bukit Aman baru-baru ini.

Bukan rahsia lagi Datuk sering menerima ugutan bunuh dan dianggap antara orang yang paling diburu oleh militan Daesh di rantau ini kerana usaha berterusan PDRM menangkap pengikut dan penyokong mereka. Antaranya dari Ketua Militan Daesh Asia Tenggara, Muhamad Wandy Muhamad Jedi, yang juga salah seorang salah seorang daripada dua rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam video pembunuhan secara sembelihan di Syria pada 2015. Bagaimana Datuk melihat ancaman demi ancaman yang diterima ini?

AYOB:  Dulu kita para anggota dan pegawai Cawangan Khas tidak ke hadapan, tetapi saya terpaksa ke hadapan. Saya anggap ancaman itu satu cabaran. Saya memang banyak menerima ancaman bunuh terutama dari Wandy. Dia bagaimanapun terbunuh dalam serangan di Syria tahun lalu. Seminggu sebelum puasa lepas saya menerima ugutan daripada anggota Daesh Indonesia pula.

Setiap ancaman ni saya anggap serius. Kita kena hati-hati kerana mereka ada kemampuan. Baru-baru ini kita tangkap seorang pekerja pembinaan dari Indonesia. Dia bawa pisau rambo nak pergi cari sami Budha sebagai nak balas apa yang menimpa masyarakat Rohingya. Dia pergi ke Puduraya, nasib baik dia tak jumpa kalau tak memang dia nak sembelih!

Setiap ugutan yang saya terima saya anggap asam garam sebagai pegawai polis. Kita berjuang bukan untuk diri sendiri tetapi agama, bangsa dan negara. Tugas polis tugas mulia. Kalau saya terlalu takut, saya tak berani keluar, tak berani pergi ke forum, tak berani nak bercakap…macam mana?
Hidup mati kuasa Allah. Yang penting persediaan, kalau takdir kita mati, kat mana pun kita boleh mati. Pergerakan saya memang terhad dan kena selalu berhati-hati. Itulah pengorbanan yang saya perlu hadapi.
(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Ada banyak kumpulan pengganas yang wujud ketika ini yang bukan daripada kumpulan menggunakan nama Islam, adakah mereka ini terlepas dari ‘radar’ Bukit Aman?

AYOB: Ini yang ramai tak faham. Kita dalam konteks menangani keganasan, bukan hanya tertumpu kepada kumpulan mengeksploitasi Islam semata-mata. Kita dah tangkap berpuluh anggota Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), anggota Babbar Khalsa International (BKI) iaitu pengganas Sikh yang terlibat dalam beberapa siri pengeboman di Punjub, India dan banyak lagi kalau saya nak sebut.

Saya nak tegaskan, bukan kerana disebabkan mereka (pengganas) guna nama Islam, kita hanya tumpu pada mereka saja, tidak. Tidak sama sekali. Kerja kami tak membezakan fahaman, agama dan warna kulit. Selagi ada yang mahu mencetuskan sabotaj dan huru hara dengan tindakan keganasan mereka, kami akan buru dan tangkap mereka yang terlibat.
Tiada kompromi dalam hal keselamatan rakyat dan negara.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Kenapa masih ada anggota masyarakat yang ragu-ragu dengan tindakan polis dalam menangani isu keganasan ini? Mengapa masih ada rakyat yang menganggap operasi yang dijalankan PDRM khususnya E8 tidak lebih dari sekadar lakonan dan sandiwara semata-mata?

AYOB: Dulu dalam konteks ISA, memang kita tak menghebahkan siapa yang kita tangkap. Hanya ahli keluarga dan peguam mereka saja yang tahu. Perbicaraan pula tertutup jadi orang awam tak tahu. Namun bila Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA dikuatkuasakan, kita bawa mereka yang ditangkap ke mahkamah.

Tahun lepas saja kita dah tangkap 369 orang, daripada jumlah itu, seramai 170 orang dah dihadapkan ke mahkamah. Yang disabitkan dengan kesalahan adalah seramai 122 orang. Di bawah Akta Pencegahan Jenayah(POCA) kita tangkap 47 orang. Di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) seramai 28 orang. Yang di bawah Imigresen ada, yang diusir pun ada.

Bila kita tangkap mereka ini, memang kita warwarkan di media tetapi bila kes itu dibicarakan, publisiti mengenainya berkurangan. Sebenarnya kalau orang awam nak tahu, mereka boleh saja pergi ke mahkamah. Pergi ikuti perbicaraan itu. Tiada siapa nak halang. Cuba dengar kat mahkamah, adakah kita ni sandiwara atau bagaimana.

Sewaktu heboh Festival Arak hendak dibuat baru-baru ini, polis menasihatkan penganjur agar membatalkannya. Ini mencetuskan polemik yang hebat kerana ada pelbagai pihak termasuk ahli politik yang membantah kenyataan Ketua Polis Negara, malah polis dianggap cuba untuk menyekat hak orang bukan Islam, apa komen Datuk?

AYOB: Bila Tan Sri Fuzi berkata demikian, ada ahli politik yang mempertikaikan kenyataannya. Malah ada ahli politik yang menuduh PDRM ‘kuda tunggangan’ kerajaan, menghalang hak bukan Islam minum arak. Sudah tentu kita bukan saja-saja nak halang. Buktinya kita berjaya memberkas tiga lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan enam yang disyaki merancang untuk mengebom ‘Better Beer Festival 2017’ di Lembah Klang, dalam serbuan di Kelantan.

Suspek masing-masing berusia 19, 25 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah restoran di Pasir Puteh. Dua lagi adalah seorang bekas anggota Tentera Darat (TD) yang juga buruh binaan dan seorang kontraktor binaan. Susulan tangkapan itu, kita melakukan pemeriksaan dan merampas bahan letupan (IED) di rumah dua daripada suspek. Pelajar ini dah buat enam IED.

 Mereka melakukan ujian letupan di satu kawasan lapang menggunakan pelbagai bahan untuk membuat bom. Tiga buah IED telah berjaya diletupkan dalam ujian itu jadi mereka sedang rancang membawa tiga lagi untuk tujuan serangan. Kita siap pamerkan IED yang kita rampas itu dalam sidang akhbar. Ini fakta, bukan rekaan. Dan tiga-tiga mereka dah dihadapkan ke mahkamah, banyak tuduhan yang dikenakan, pergilah dengar sendiri kat mahkamah sama ada betul atau tak betul tindakan kita.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Boleh Datuk jelaskan apa itu SOSMA, POTA dan POCA? Adakah ia sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan itu?

AYOB: Di bawah tangkapan SOSMA ni dia ada enam prosedur. Antaranya macam mana kita tangkap, berapa lama tempoh remannya, macam mana kita nak gunakan keterangan saksi terlindung dan berbagai lagi. Itu undang-undang prosedur, bila cukup bukti kita akan tuduh di bawah Kanun Keseksaan. Namun kalau bukti itu ada tetapi ia tidak disokong dengan lain-lain elemen, kita akan tahan mereka di bawah POTA atau Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan dan POCA (Akta Pencegahan Jenayah)
Bezanya dalam POTA, hanya suspek yang ditangkap dan mengakui menganggotai kumpulan pengganas yang telah disenaraikan di dalam Seksyen 66B dan 66C Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUA) 2001. POCA pula digunakan ke atas individu yang tidak menyertai mana-mana kumpulan yang disenaraikan.

Jangan samakan POTA, POCA ni dengan ISA. Ia berbeza sama sekali. Jika sebelum ini, ISA mengundang tohmahan bahawa kuasa Eksekutif Menteri disalahgunakan bagi mengeluarkan perintah tersebut, POCA dan POTA memperuntukkan Lembaga Pencegahan Jenayah yang mana ahlinya dilantik khas, untuk membuat keputusan mengenainya.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Berikutan tindakan agresif yang dibuat polis, banyak badan bukan kerajaan (NGO) mula menyatakan kebimbangan untuk menyertai dan menghantar misi bantuan ke negara-negara yang terlibat dalam konflik. Ini kerana mereka bimbang ditangkap atau menjadi ‘perhatian’ Bukit Aman, apa komen Datuk?

AYOB: Memang dulu ada NGO-NGO yang dikesan digunakan oleh kumpulan pengganas untuk membiayai aktiviti mereka. Masa Jemaah Islamiah (JI) dulu, sebanyak 19 buah NGO dan syarikat yang dikesan membiayai kumpulan pengganas ini. Setakat ini kita belum mengesan penglibatan NGO dari Malaysia yang membiayai sumber kewangan kumpulan Daesh. Apapun kita akan teruskan pemantauan mengenainya.

Sebenarnya NGO tak perlu takut nak buat misi kemanusiaan. Sentiasalah rujuk dengan pihak polis. Bukankah banyak NGO yang berada di bawah naungan kerajaan, ikutlah NGO ini. Yang jadi masalah NGO yang pergi secara bersendirian. Kita pun tak tahu siapa mereka dan siapa di belakang mereka. Betul ke dana yang mereka kutip itu pergi ke pihak yang betul atau sebaliknya? Kita bukan nak sekat. Memang menjadi kewajipan umat Islam untuk membantu saudara mereka yang ditindas, bantuan sebegitu itu lebih baik daripada pergi angkat senjata dan buat sesuatu yang kita sendiri tidak pasti situasinya.

Dengan kemajuan teknologi ketika ini khususnya, adakah ia menjadi cabaran E8 untuk menangani isu keganasan ini?

AYOB: Memang itu cabaran besar, bukan saja PDRM tetapi juga semua agensi penguatkuasa undang-undang serta badan risikan seluruh dunia ketika ini. Ambil contoh paling mudah, applikasi Telegram yang sering digunakan anggota-anggota militan ini untuk berkomunikasi atau berhubung antara sesama mereka. Di seluruh dunia ada 50 juta pengguna Telegram, ada satu bilion mesej berlegar, nak pantau macam mana? Itu belum masuk applikasi lain yang berlambak ketika ini. Apapun kita ada cara untuk menanganinya tetapi seperti yang saya katakan tadi, ia bukan kerja mudah. Yang penting, kita kena tingkatkan kerja-kerja risikan.

Kehebatan pegawai dan anggota E8 mula menjadi bualan sejak akhir-akhir ini, apa rahsia kejayaan unit ini?
(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah

Temubual eksklusif bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kaula Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2018.

AYOB: Ramai di antara kami bermula dulu sama-sama masa unit ini masih kecil (tahun 1993) sehinggalah ia diperbesarkan. Bukan nak masuk bakul angkat sendiri tetapi saya cukup bangga dengan komitmen dan disiplin yang anak-anak buah saya berikan. Kita diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa.

Pegawai kita dijemput berkongsi pengalaman sampai ke luar negara. Contohnya dalam isu pembiayaan kewangan keganasan, untuk Asia Tenggara ni kita agensi pertama yang buka kertas siasatan berhubung perkara tersebut. Kita dah buka 20 kertas siasatan (IP) mengenainya. Kita jadi contoh. Ada pegawai saya jadi penceramah tetap untuk Interpol!

Satu perkara lagi yang perlu diingat, kalau setakat kami saja tak mungkin kita dapat kejayaan demi kejayaan seperti yang kita capai ini. Unit ini tidak boleh bergerak sendiri tanpa bantuan jabatan lain dalam PDRM. Kami juga dapat bantuan daripada agensi kerajaan selain PDRM. Saya bagi contoh, bila kita perlu buat operasi khas di Sabah, Unit Udara PDRM yang bantu kami dari segi pengangkutan, Esscom pun bantu.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Temubual eksklusif bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kaula Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2018.

Bila berhadapan dengan operasi berisiko tinggi, Unit Tindak Khas (UTK) akan bersama-sama kami. APMM pun bersama kita bila bantuan mereka diperlukan.
Pendek kata walaupun kami ‘core’ dalam tugasan menangani keganasan ini, ia tidak akan berhasil tanpa kerjasama pelbagai pihak dalam PDRM. Ini kerja berpasukan! – theRakyat.com
(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!

 Sumber: TheRakyat

Saturday 3 February 2018

Apa dah jadi dengan rumah pusaka keluarga Najwa di Felda Lurah Bilut ???


Tanda tanya rumah manakah yang bakal disinggahi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Lurah Bilut kini terjawab.

Najib dijangka menjadikan rumah pusaka anak generasi ketiga Felda Lurah Bilut, Najwa Ahmad sebagai tempat persinggahan beliau sempena Majlis Pelancaran Felda 2.0, petang ini.

Najwa menyifatkan kesudian Perdana Menteri menjadi tetamunya sebagai satu kejutan besar dan penghargaan khususnya kepada arwah bapanya yang berdiri teguh menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Pekan itu ketika hayatnya.

“Langsung tak terfikir (rumah terpilih tempat persinggahan PM), bila pihak pengurusan datang, saya ingatkan sebagai usahawan kek dan bakeri dan perniagaan.

“Bila beliau memilih rumah pusaka arwah ayah dan mak ini, ia bagai satu penghormatan besar kepada kami adik-beradik.

“Kalau arwah ayah saya masih ada lagi, pasti dia sangat gembira,” katanya.


Najwa juga berkata, kejutan itu bukan kali pertama kerana arwah bapanya pernah dianugerahkan watikah penghargaan daripada Najib diakhir perkhidmatannya sebagai Menteri Besar Pahang pada 1986.

“Surat ini menyatakan ucapan terima kasih kepada arwah ayah kerana menyokong beliau selama ini sehingga akhir hayatnya.

“Hari ini kami dikejutkan sekali lagi dengan kunjungan beliau ke rumah kami walaupun arwah ayah dah tak ada,” katanya lagi.

Sumber -theRakyat.com

Friday 2 February 2018

Lebih 7,000 Anggota Polis Sarawak Sedia Hadapi PRU14



KUCHING , 2 Feb (Bernama) -- Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak akan menugaskan lebih 7,000 pegawai dan anggotanya di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran proses mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Urusetia PRU PDRM Sarawak, ASP Wan Shamsuddin Husin berkata antara unit yang terlibat adalah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara dan Cawangan Khas serta beberapa unit lain yang berkaitan.

Selain itu, katanya, pihaknya turut meminta bantuan anggota daripada Pusat Latihan Polis (PULAPOL) sebagai sokongan pada hari mengundi.

"Sejumlah, 3,904 anggota akan ditugas bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan tugas-tugas khas di pusat mengundi," katanya pada sidang media mengenai Latihan Amal Op Undi Percubaan PRU14 di Pusat Media, IPK Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 23 Ibu Pejabat Polis (IPD) di seluruh Sarawak telah mengadakan Latihan Amal Siri 1 secara serentak hari ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan rusuhan.....

(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!


ANCAMAN kumpulan militan yang menggunakan nama Islam untuk menjustifikasikan perjuangan mereka semakin hari semakin membimbangkan.  Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman adalah pihak yang bertanggungjawab memantau, menyiasat dan seterusnya bertanggungjawab bertindak ke atas ahli-ahli kumpulan ini yang cuba menyusup masuk perjuangan dan ideologi mereka ke Malaysia.

Namun di sebalik kerja keras E8 dalam mematahkan banyak percubaan untuk menimbulkan huru-hara dan ketegangan di dalam negara, masih ramai di kalangan rakyat negara ini yang sangsi dan ‘keliru’ dengan apa yang berlaku. Tidak kurang yang menganggap apa yang terjadi hanyalah sandiwara yang sengaja diciptakan.

Wartawan TheRakyat.com, Syahril A. Kadir menemui dan menemubual sendiri Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bagi mendengar penjelasannya mengenai isu ini.
Berikut adalah siri pertama temubual tersebut.

Bagaimana bermulanya kewujudan kumpulan ekstremis dan militan yang menggunakan nama Islam di negara kita?
AYOB:  Pada tahun 1979 berlaku revolusi Islam di Iran. Ada rakyat kita yang melihat perkara tersebut sebagai satu ‘model’ kerana ia menunjukkan pemimpin agama seperti Ayatollah Khomeini juga mampu untuk menumbangkan kerajaan sekular seperti yang dilakukan ke atas kerajaan Shah Iran.

Pada tahun yang sama kita lihat berlakunya pencerobohan tentera Soviet Union di Afghanistan. Ramai rakyat kita waktu itu pergi ke sana untuk berlatih dan seterusnya menyertai peperangan bagi mengusir tentera asing tersebut.

Namun bila kembali ke Malaysia, ada yang mula menubuhkan kumpulan-kumpulan seperti Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Jemaah Islamiyah (JI), Al-Maunah dan lain-lain. Semua kumpulan ini mempunyai elemen berkonsepkan Mujahidin. Mereka berpendapat kerajaan Malaysia ini tidak mengamalkan ajaran Islam dan wajib diguling.

Darah kita halal. Kita dianggap bukan Islam. Mereka anggap kerajaan, parti-parti politik dan agensi yang menyokong kerajaan adalah sasaran yang sah untuk dibunuh.

Tindakan PDRM dikatakan bermotifkan politik dan bertujuan untuk mematahkan gerakan Islam di negara ini, sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut?

AYOB: Bila kita mengambil tindakan (mereka yang melanggar undang-undang), ia dibuat tanpa mengira fahaman atau parti politik. Dulu waktu KMM, memang ada beberapa tokoh politik dari parti tertentu yang memang menyertai KMM. Walaupun parti mereka berjuang mengikut sistem demokrasi, tetapi ada elemen-elemen tertentu dalam parti itu yang tidak mempercayai demokrasi. Mereka mengatakan ‘kita tak dapat mewujudkan negara Islam melalui sistem demokrasi kerana kita sering ditipu’, jadi mereka mengatakan perlu ada satu lagi elemen iaitu elemen militan dalam parti tersebut.

Kita tahu ada pemimpin kanan parti itu sedar tentang kewujudan ahli-ahli mereka yang menyertai KMM tetapi mereka tidak mengambil tindakan dan tidak memberitahu pihak polis.

Bagi saya jelas, kita bukan menentang Islam. Dalam konteks menangani keganasan, kita menentang individu yang mengatakan dia Islam, yang mengaku dirinya Islam tetapi terlibat dalam keganasan. Kita perlu membezakan antara Islam dan individu. Yang kita nak tentang ini bukan Islam, tetapi individu yang tersasar, mereka yang salah menafsir Al-Quran dan hadis.

Mana ada dalam Islam yang membolehkan kita membunuh orang awam atau orang kafir tanpa sebab. Ayat mana? Hadis mana? Tunjuk pada saya. Individu-individu terlibat hanya mengeksploitasikan ayat Al-Quran dan hadis untuk menjustifikasikan tindakan mereka dalam aksi keganasan. Itu yang kita nak tentang!





(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!
 Tidakkah penyertaan rakyat kita dalam misi di Afghanistan dulu adalah satu bentuk jihad kerana mereka menentang pencerobohan negara asing ke atas negara berkenaan dan juga umat Islam di situ?
AYOB: Masa penakhlukan Soviet Union ke atas Afghanistan dulu, banyak kumpulan-kumpulan yang bergerak menentang mereka. Ketika itu, memang jihad. Ia dari tahun 1979 hingga 1989. Namun selepas tentera penceroboh ini berundur, kumpulan-kumpulan mujahidin ini mula bergaduh sesama sendiri.

Lepas tu mulalah muncul Taliban dan Al Qaeda. Bila mereka berjaya dalam peperangan mengusir kuasa besar seperti Soviet Union, mereka ini termasuklah Osama Ben Laden kemudiannya mula mengsasarkan serangan ke negara-negara Islam yang sekular.  Mereka berjaya mengalahkan kuasa besar jadi mereka berpendapat tibalah masanya untuk ‘target’ negara-negara Islam sebegini. Oleh itu mereka mula ‘mengeksport’ ideologi mereka keluar.

Apakah ideologi yang mereka pegang Datuk?
AYOB: Hampir kesemua kumpulan pengganas yang menggunakan nama Islam ketika ini memegang ideologi Salafi Jihadi. Itu adalah fakta! Mereka menolak sistem demokrasi, perlembagaan sekular, sistem pilihan raya, ijmak dan qias, menolak pegangan mazhab, melabel umat Islam sekular sebagai murtad yang wajib diperangi, orang bukan Islam dianggap kafir Harbi yang wajib dibunuh, pihak polis dan kerajaan sekular boleh dibunuh dan harta benda mereka boleh dirampas, menghalalkan darah dan harta orang Islam yang didakwa amal bidaah.

Ada yang tidak bersetuju bila ideologi Salafi Jihadi ini dikaitkan dengan kumpulan pengganas. Apa komen Datuk?

AYOB: Betul, ada orang yang mempertikaikannya tetapi fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada Oktober 2014 sendiri mengesahkan kumpulan ini memegang ideologi itu dan Kertas Putih yang dibentangkan Perdana Menteri pada tahun sama juga juga mengaitkan Salafi Jihadi dengan kumpulan-kumpulan ekstremis ini.

Ini bukan dipegang oleh Daesh saja tetapi juga turut ‘diperbaharui’ oleh Al-Qaeda. Sampai sekarang, kumpulan militan mana yang tak pegang pada ideologi ini, tak ada. Boko Haram, Abu Sayyaf, JI, Darul Islam, Al-Qaeda semuanya mengamalkan ideologi yang serupa cuma pendekatan mereka yang agak berbeza sedikit. Macam Daesh ni mereka agresif, sembelih orang, bakar orang manakala Al-Qaeda pula sasaran mereka berupa kawasan yang mempunyai kepentingan ketenteraan atau tempat-tempat maksiat.

Kalau kita tengok dalam konteks Islam, Salafi ni adalah zaman paling murni dalam Islam iaitu zaman kira-kira 300 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Ia adalah zaman sahabat Nabi, Tabi’in (pernah bertemu sahabat tetapi tak pernah bertemu Nabi) dan Tabi’ tabi’in (tak pernah bertemu nabi dan sahabat tapi bertemu dengan tabi’in). Empat imam mazhab kita iaitu Hanafi, Maliki, Hanbali dan Syafie memang hidup dalam zaman tersebut.

Sebab itu bila kita bercakap dalam konteks Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita ni berpegang kepada empat mazhab. Di Asia Tenggara ni kita pegang pada mazhab Syafie, kalau kat India mereka Hanafi, di utara Afrika mereka Maliki manakala di tanah Arab, Hanbali. Kita semua tak ada masalah. Kita ada perbezaan, benda-benda furuq. Mazhab Syafie baca doa Qunut, mazhab lain tak baca, tapi kita tak pernah mempertikaikan antara satu sama lain. Kita meraikan perbezaan dan bukan melabelkan orang.  Perpecahan dan masalah mula muncul bila kita mempertikaikan pegangan antara sesama kita.

Dulu JI selalu melaung-laungkan slogan untuk menubuhkan Daulah Islam Nusantara, adakah konsep yang sama turut diperjuangkan kumpulan militan lain di rantau ini?

AYOB: Konsepnya sama. Kalau dulu dalam JI, mereka adalah gabungan Al-Qaeda. JI diberi tanggungjawab untuk menubuhkan kerajaan Daulah Islam Nusantara yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan beberapa negara lain. Daesh pun nak buat macam tu juga.

Kalau kita tengok Daesh ini, mereka ada di serata dunia. Mereka ada di Nigeria, Mesir, Algeria, dekat sini pun ada. Mereka pun menyimpan hasrat sekiranya berjaya dalam rantau tersebut, mereka nak bergabung dalam satu sistem khalifah. Khalifah mereka itu Abu Bakar al-Baghdadi lah.

Niat itu dengar macam bagus tetapi dalam konteks sekarang, perkara sebegitu tak boleh nak dilaksanakan. Kalau nak buat macam mana yang mereka nak, semua negara Islam kena sepakat dan bersatu padu melantik seorang khalifah. Contohnya melantik Raja Salman sebagai khalifah. Namun semua negara Islam kena bersetuju terlebih dahulu, mereka tak boleh lantik diri mereka sendiri sebagai khalifah.


(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!

Datuk, apa asal usul Daesh ini sebenarnya. Sejauh mana dakwaan ia diwujudkan oleh musah-musuh Islam?

AYOB: Ada beberapa teori dan pendapat yang mengatakan Daesh diwujudkan oleh musuh-musuh Islam. Saya cerita sedikit sejarah Daesh ni. Ia ditubuhkan oleh Abu Musab al-Zarqawi yang menubuhkan Al-Qaeda di Iraq pada 2004. Tujuan dia untuk menentang pendudukan tentera Amerika Syarikat di Iraq.

Apabila Abu Musab terbunuh pada 2006, tempatnya diambil alih oleh Abu Ayyub al-Masri dan nama kumpulan itu ditukar ke Islamic State Of Iraq (ISI). Bila kedua- dua pemimpin ini terbunuh, ia diambil alih oleh Abu Bakar al-Baghdadi dan nama kumpulan ini ditukar pula kepada Islamis State Of Iraq and Syria.

Selepas itu nama kumpulan ini ditukar menjadi Islamic State merangkumi Palestin, Israel, Jordan dan lain-lain lagi.  Kalau orang tengok konsepnya bagus iaitu asasnya untuk menentang tentera Amerika di Iraq. Kemudiannya mereka beralih ke Syria untuk menggulingkan rejim Bashar. Pada peringkat awal Bashar pun menyokong IS sebab IS menentang tentera Amerika di Iraq namun selepas tu IS menentang dia balik.

Kalau kita tengok Abu Musab al- Zarqawi, beliau pernah ditahan tentera Amerika di Iraq. Hampir empat tahun dia dipenjarakan. Dalam penjara lagi Amerika Syarikat nampak dia mempunyai karisma. Contohnya kalau ada pergaduhan atau rusuhan, Abu Musab akan dipanggil dan semua banduan akan patuh pada arahannya.

Sebab itu ada teori mengatakan Amerika Syarikat sengaja membebaskan Abu Musab dan ‘menubuhkan’ Al-Qaeda di Iraq ni untuk kepentingan mereka. Kita tengoklah satu demi satu negara Islam kucar-kacir. Di Syria pun sama. Saya tak mengatakan Bashar itu baik. Kita tahu Bashar ni memang orang yang ‘keras’, dia memang orang Syiah tetapi kalau kita tengok muftinya pula seorang Sunni. Saya pernah pergi ke Damascus, Syria pada 2010 (sebelum berlakunya krisis) kerana nak menghantar suspek Al-Qaeda yang ditangkap di Malaysia untuk balik ke sana. Ketika itu di sana ada banyak masjid Syiah, masjid Sunni, kita boleh pergi sembahyang kat mana-mana masjid pun tak ada halangan namun selepas krisis ini timbul, semuanya hancur!

Baik ini pandangan saya, pandangan saya berasaskan pandangan agamawan juga. Dalam Islam antara kemusnahan kecil dan kemusnahan besar, mana satu yang kita pilih? Dalam konteks Syria ini memang kita akui Bashar ini kejam, tetapi sekurang-kurangnya dia dapat ‘mengawal’ negaranya.

Begitu juga Iraq, memang Saddam Hussein ini ‘keras’ dan kejam orangnya tetapi ternyata dia berjaya mengawal negaranya. Dulu di Iraq, kumpulan minoriti Sunni memerintah kumpulan majoriti Syiah di Iraq. Sekarang apa jadi? Negara itu jatuh ke tangan Syiah. Orang Sunni sekarang ditindas di sana.
Sama juga seperti Libya, Presiden Muammar Ghadaffi memang keras. Namun saya masih ingat masa menuntut di UKM pada tahun 1985, dia boleh hantar dan menaja para pelajarnya ke sini. Sekarang apa yang jadi kat Libya?

Ini yang rakyat Malaysia kena faham, umat Islam kita kena faham. Kita jangan teruja sangat dengan konsep ‘human right’, kebebasan bersuara, semua nak bebas, ini tak betul, itu tak betul. Kalau ini yang kita nak, kita tengoklah apa yang terjadi kat negara-negara Islam. Satu persatu jatuh. Isu-isu sebegini yang dimainkan. Kita ada Majlis Fatwa Kebangsaan, kita ada Majlis Fatwa Negeri…ada fahaman yang tak boleh diamalkan di Malaysia, kita ikut saja. Jangan pertikaikan.

(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!
Temubual eksklusif bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kaula Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2018.

Boleh Datuk komen mengenai rakyat Malaysia yang pergi Syria untuk berjuang dan berjihad di sana?
AYOB: Banyak orang kita kata nak pergi berjihad tetapi realitinya bila sampai wilayah yang dimaksudkan, mereka hanya berbunuh antara sesama Islam. Ada yang dijanjikan untuk berjuang di barisan hadapan, tetapi rupanya hanya diminta jaga stor, cuci tandas dan tukang masak.

Akhirnya mereka sedar, dengar lain tetapi bila sampai benda jadi lain. Nak balik semula ke Malaysia dah jadi payah. Contohnya di Syria, ada 95 orang rakyat kita pergi ke sana ‘untuk berjuang’. Yang balik ada lapan orang. Macam-macam sebablah kenapa mereka balik. Antaranya kata sebab nak dapatkan rawatan, ada yang kata mereka disuruh buat benda lain, bukannya berjuang, ada yang balik untuk melancarkan serangan kat sini.

Di Syria sendiri ada dekat 70 lebih kumpulan, mana satu yang berjihad ni? Dulu yang pergi ke Syria dipimpin oleh Ustaz Lutfi Arifin, dia dulu menyertai Free Syrian Army, bila dia terbunuh, yang ikut dia tu semua pergi join Daesh pula!

Saya tak kata semua kumpulan yang berjuang di Syria tu pengganas. Memang ada kumpulan yang betul-betul mempertahankan orang Sunni, tetapi yang mana satu? Ramai yang tak pasti. Ramai yang tak jelas. Sebab itu orang kata jangan pergi ke sana sebab ia tempat fitnah. Semuanya dah bercelaru.
Ada kumpulan yang disokong Amerika Syarikat, ada yang disokong Iran, ada yang disokong Turki (tetapi sekarang tidak lagi) jadi yang mana satu? Musuh kita siapa sebenarnya kalau pergi ke sana ni, Bashar ke? Amerika Syarikat ke? FSA ke? Tahrir Al Syam ke?
Setakat ini sudah 34 orang daripada jumlah itu terbunuh di sana.

Susah ke rakyat kita yang ke Syria untuk berjuang hendak kembali ke tanah air?
AYOB: Memang sukar.  Dulu pengkalan mereka dekat Raqqa tetapi Raqqa dah jatuh. Sekarang mereka berpengkalan di Abu Kamal, dekat sempada Iraq. Kalau dulu di Raqqa mereka boleh berkomunikasi, internet pun laju tetap sekarang ni makan pun susah, penginapan pun susah. Kena pindah randah bimbang ditangkap.

Pergerakan mereka semuanya kena ada surat. Kalau rakyat kita berhajat nak balik, dari satu wilayah ke satu wilayah yang mereka lalu itu perlu dapatkan surat kebenaran dari ‘amir’ kawasan itu terlebih dahulu.

Dulu mereka siap kena naik mahkamah kalau berhajat nak balik. Kebanyakan rakyat kita yang pergi ke sana dah bakar pasport mereka. Nak balik macam mana? Kecuali kalau mereka dapat berhubung dengan keluarga mereka di Malaysia dan keluarga mereka minta bantuan kita, bolehla.

Contohnya mereka nak keluar melalui Turki, kita bolehlah minta bantuan Turki tetapi mereka kena bergerak sendirilah. Kita memang tak boleh hantar pasukan kita masuk ke Syria kerana keadaan dah tak terkawal di sana. Mereka kena bergerak sendiri sampai ke Iraq ke, Jordan ke, Turki ke, sampai ke negara tersebut barulah kita jemput dan beri dokumen perjalanan kepada mereka.

Nak pergi senang, nak balik payah. Tak tahulah apa nasib 53 lagi rakyat Malaysia yang ada kat sana. Kanak-kanak pun ada.

Kerjasama Bukit Aman dengan agen perisikan asing seperti dengan CIA dilihat ‘kerjasama dengan orang kafir’ dan membelakangi Islam, apa penjelasan Datuk dalam hal ini?

AYOB: Dalam memerangi keganasan ini, kita mempunyai musuh yang sama. Dalam grup-grup Daesh ni mereka bukan kira dah sama ada awak orang Islam ke, orang Budha ke, orang Kristian ke. Kalau menentang mereka, awak adalah musuh mereka.

Isu membelakangi Islam tak timbul sebab kumpulan ini bukan mempejuangkan Islam, kumpulan ini memperjuangkan syaitan! Mereka anggap darah kita halal, andai kata kita tak bekerjasama dengan agensi perisikan Barat pun, darah kita tetap halal bagi mereka. Kita terlibat dalam pilihanraya, darah kita dianggap halal. Kita pergi mengundi, darah kita tetap halal bagi mereka!
(bersambung)

Sumber Artikel -  http://therakyat.com/2018/02/02/bahagian-pertama-darah-rakyat-malaysia-halal-di-mata-pengganas/