Showing posts with label ADIB BOMBA. Show all posts
Showing posts with label ADIB BOMBA. Show all posts

Sunday, 24 February 2019

Adib angguk kepala bila ditanya - Saksi



SHAH ALAM: Saksi memberitahu Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, difahamkan mengangguk apabila di tanya sama ada dipukul, oleh seorang kakitangan yang memantau mangsa di Institut Jantung Negara (IJN), tahun lalu.

Saksi ke-14, Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib, 54, berkata kakitangan institusi perubatan yang dikenali sebagai ‘Asyraf’ ada bertanya Muhammad Adib ketika dirawat di IJN tetapi perkara itu hanya diberitahu kepadanya selepas kematian pesakit.

Ketika disoal Pegawai Pengendali Kes, Faten Hadni Khairuddin berhubung perkara itu, Dr Mohamed Ezani menjawab, beliau diberitahu pada perayaan Krismas yang lalu.

Faten : Apa yang Asyraf beritahu kamu?
Dr Mohamed Ezani : Seingat saya pada perayaan Krismas tahun lalu, Asyraf ada beritahu saya bahawa dia bertanya dengan pesakit (Muhammad Adib) ‘Ingat tak apa yang berlaku?’

Faten : Kemudian, apa reaksi pesakit?
Dr Mohamed Ezani : Asyraf beritahu pesakit hanya mengangguk dan menjawab ‘ingat’. Kemudian Asyraf bertanya lagi ‘kena pukul ke?’ Sekali lagi pesakit angguk kepala.

Dr Mohamed Ezani bagaimanapun berkata beliau meminta kakitangan IJN berkenan supaya melaporkan perkara itu kepada pegawai undang-undang untuk mengetahui prosedur selanjutnya.

Katanya, pada hari kelima atau keenam, beliau ada bertanyakan perkara sama kepada Muhammad Adib, sama ada ingat atau tidak apa yang berlaku pada dirinya, tetapi ketika itu keadaan pesakit masih tidak stabil.

Tambahnya, Pegawai Penyiasat (IO) juga ada datang ke IJN untuk menemuramah pesakit. Soalan sama ditanya tetapi pesakit hanya menggelengkan kepala.

Sementara itu, sepanjang berada di IJN dengan bantuan sistem sokongan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru, Muhammad Adib memberikan reaksi positif.

Dr Mohamed Ezani berkata antara reaksi positif pesakit yang boleh beliau simpulkan sepanjang berada dalam rawatan di IJN termasuk boleh mengikut arahan yang diberikan seperti gerakan kepala, tangan dan bahasa isyarat, malah pesakit juga berkomunikasi dengan menulis menggunakan papan putih.

Terdahulu, Dr Mohamed Ezani berkata kematian Muhammad Adib adalah disebabkan mengalami Sindrom Kesukaran Pernafasan Akut (RDS) yang berkaitan dengan kegagalan organ.

“Buah pinggang pesakit belum pulih sepenuhnya manakala jantung dan paru-parunya masih cedera.
“Selain itu, boleh dirumuskan bahawa terdapat objek keras yang dipukul (pada) dada sehingga menyebabkan trauma dada. Tetapi objek keras itu saya tidak dapat beri spekulasi,” katanya.

Muhammad Adib, yang parah dalam kejadian rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu itu menghembuskan nafas terakhir selepas 21 hari bertarung nyawa, pada 17 Disember lalu di IJN.

- BERITA HARIAN - 

Wednesday, 13 February 2019

Inkues Adib: "Dia kena bantailah"



SHAH ALAM - "Dia kena bantailah. Apa lagi", kata seorang lelaki India
kepada saksi keempat Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, semasa
insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, November lalu.

Amirul Hadi,26, berkata, beliau bertanyakan kepada beberapa individu
yang mengangkat anggota bomba ke hadapan keretanya.

"Selepas seorang cakap bomba itu kena bantai, saya tanya lagi dengan
beberapa orang mereka cakap tidak tahu apa-apa," katanya.

Menurutnya, sewaktu menyedari keretanya yang diparkir pada bahu jalan
dilanggar oleh jentera bomba, dia dan rakannya bergegas lari melihat ke
arah kenderaan.

"Sewaktu memeriksa kereta, dari jarak 40 meter, saya nampak seorang
anggota berada dalam keadaan duduk dan kedua- dua kaki berlunjur ke
hadapan sambil memeluk tubuh seolah-olah sedang mengalami kesakitan,"
katanya




Amirul berkata, selepas itu ada seorang menanyakan kepadanya sama ada
dia boleh menghantar anggota bomba ke hospital atau tidak.

"Saya katakan pintu kereta sebelah pemandu tidak boleh dibuka kerana
dilanggar jentera bomba," katanya.

Menurutnya, sewaktu anggota bomba dibaringkan di ruang kosong hadapan
kereta yang diparkirnya, dia mendengar orang awam mengatakan anggota itu
hampir pengsan.

"Saya jenguk sekejap nampak dia seperti nak pengsan," katanya.

Menjelaskan keberadaan di lokasi itu, pemuda itu berkata, dia dan
rakannya dalam perjalanan ke rumah kawan di Putra Heights sekitar jam
12.30 pagi, pada 27 November.

"Kawan saya yang memandu kereta memberhentikan kenderaan di sebelah kiri
bahu jalan selepas melihat sebuah kereta terbakar dan ramai orang
berkumpul di persimpangan hadapan.

Kami keluar dan ke sebelah kanan bahu jalan untuk mengetahui apa yang
berlaku," katanya.

Memerhati keadaan sekitar, Amirul berkata, dia melihat ratusan orang
berada di situ.

"Ada yang berborak dan sebahagian daripada mereka sedang minum arak,"
katanya.

Katanya, beberapa minit selepas jam 1 pagi, sebuah Fire Rescue Tender
(FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba untuk
memadamkan kereta terbakar.

"Sebaik jentera bomba berhenti, ada seorang anggota bomba turun namun
sekumpulan individu dari arah kuil menjerit menghalang bomba memadamkan
kebakaran.

Mereka menuju ke arah FRT untuk menyerang dan saya nampak ada yang
baling botol ke arah cermin jentera bomba itu.

Selain itu, ada seorang yang mencucuk cermin FRT dengan besi putih
sehingga pecah," katanya.

Prosiding hari ketiga Inkues Kematian Muhammad Adib sedang berlangsung
di hadapan Koroner, Rofiah Mohamad.

*AKAN MENYUSUL*

- SINAR HARIAN -

Adib dilihat duduk menunduk peluk tubuh tahan sakit



SHAH ALAM: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim digambarkan mengalami cedera parah apabila dilihat duduk dengan kaki dilunjur ke arah jalan, kepalanya menunduk manakala tangannya memeluk tubuh seperti menahan kesakitan.

Saksi awam, Amirrul Adli M Yussli, 26, berkata walaupun memandang Muhammad Adib Mohd Kassim sekilas, beliau percaya bahawa individu itu adalah seorang anggota bomba kerana mengecam seluar celoreng bomba yang dipakainya.

Amirrul Adli berkata, ketika menoleh sebentar ke arah Muhammad Adib, beliau sedang melihat kereta miliknya yang rosak akibat bergesel dengan van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selepas dilanggar jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang berundur tiba-tiba.

“Walaupun cahaya lampu tidak berapa terang tetapi saya boleh nampak individu yang duduk di tepi jalan seperti menahan sakit itu memakai seluar seragam bomba. Saya hanya pandang sekali lalu iaitu kira-kira lima saat kerana saya sedang fokus pada pintu sisi kereta di bahagian pemandu yang kemek dan tidak boleh dibuka.

“Ketika saya menoleh ke arah anggota bomba itu saya nampak tiada sesiapa bersama dia,” katanya ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin.

Tambah beliau, beberapa minit kemudian antara lapan hingga 10 orang cuba memberi bantuan dengan mengusung Muhammad Adib bawa ke depan kereta milik saksi dan membaringkan mangsa di atas jalan raya.

Amirul Adli kemudian mendengar suara orang menjerit “Dia nak pengsan! Dia nak pengsan!” Sekali lagi beliau menjenguk ke arah Muhammad Adib dan melihat mangsa tidak bergerak malah kelihatan semakin lemah.

“Salah seorang yang menolong Muhammad Adib meminta tolong saya untuk hantar mangsa ke hospital dan saya hanya jawab tidak dapat tolong kerana pintu kereta saya tidak boleh dibuka.

“Saya tanya orang dekat situ apa terjadi dengan Muhammad Adib kemudian mereka memberitahu mangsa kena bantai berulang kali. Saya bertanya dengan orang lain pula tetapi dia tak nampak apa yang berlaku,” katanya.

Ketika menjawab soalan Faten Hadni sama ada beliau nampak atau tidak sebarang lebam atau luka pada tubuh badan Muhammad Adib, Amirul Adli hanya menjawab tidak nampak kerana keadaan samar-samar.

Terdahulu, Amirul Adli pada awalnya dalam perjalanan ke Putra Heights bersama seorang rakan tersekat akibat kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Beliau yang berada dalam kekecohan bersama hampir seratus orang yang memenuhi kawasan rusuhan itu turut melihat ada di antara perusuh yang membawa besi panjang dan botol minuman yang dibaling ke cermin kenderaan di situ.

Muhammad Adib yang parah dalam kejadian itu menghembuskan nafas terakhir selepas 21 hari bertarung nyawa, pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung 2.40 petang ini.

- BERITA HARIAN - 

Monday, 11 February 2019

'Adib dalam van ketika jentera FRT berundur'



SHAH ALAM: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim masih berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika jentera Fire Rescue Tender (FRT) berundur sewaktu diserang sekumpulan orang awam.

Pegawai Perubatan yang juga pemandu van EMRS berkenaan, Ahmad Shahril Othman, berkata ketika FRT berkenaan berundur, ia seperti menolak kenderaan dipandunya.

Katanya, ketika itu Muhammad Adib berada di sebelahnya dan mereka masih berkomunikasi.

Ahmad Shahril berkata, sebelum itu beliau nampak seorang lagi anggota pemadaman bernama Hazim turun dari sebelah kanan jentera FRT ke loker di sebelah kiri belakang kenderaan itu.

Beliau berkata, sebelum sempat Hazim menarik hos dari loker itu, beliau diserbu oleh sekumpulan orang awam dan tidak ternampak kelibatnya.



“FRT tidak berapa laju sangat. Saya masih berkomunikasi dengannya (Muhammad Adib).

“Saya cakap ‘lajunya si Hazim’. Dia (Muhamad Adib) tidak jawab.

“Dia tercengang dan tangan kanan pegang papan pemuka hadapan kereta dan tangan kiri diletakkan di pintu van,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah.

Ahmad Shahril, 36, adalah saksi ketiga dalam inkues kematian Muhammad Adib yang didengari di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, bermula hari ini.

Terdahulu, Ahmad Shahril memberitahu mahkamah beliau bertugas bersama Muhammad Adib bermula jam 8 malam 26 November 2018 hingga 8 pagi esoknya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, Rofiah dan pihak yang terbabit dalam perbicaraan inkues itu dijangka melawat lokasi kejadian apabila prosiding bersambung esok.


- BERITA HARIAN - 

Inkues Adib: Air mata bomba gugur...

SHAH ALAM - Air mata pemandu Fire Rescue Tender (FRT) dalam insiden
rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Md Elliza Mohd Noor akhirnya gugur
ketika sedang memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian
Muhammad Adib Mohd Kassim.

Md Elliza yang berada di kandang saksi kelihatan menundukkan wajahnya
dan menyapu air mata.

Emosi anggota bomba itu tersentuh apabila memaklumkan kepada mahkamah
apabila menyedari Muhammad Adib tiada di dalam van Unit Bantuan
Perkhidmatan Kecemasan ERMS.




"Selepas sampai di Balai Polis USJ 8, seorang anggota memaklumkan
Muhammad Adib tiada.

"Encik Badrul selaku penyelia pasukan meminta kami menghubungi Muhammad
Adib malangnya tidak berjawab.

"Kira-kira 15 minit kemudian, kami menerima panggilan daripada orang
awam menerusi nombor telefon Muhammad Adib memaklumkan bahawa mereka
dalam perjalanan menghantar allahyarham ke Pusat Perubatan Subang Jaya
(SJMC)," katanya.

*AKAN MENYUSUL*
- SINAR HARIAN -

Artikel Berkaitan -- Inkues Adib: 'Jangan padam kereta terbakar, bomba pergi balik!'

Sunday, 10 February 2019

Inkues Adib: 'Jangan padam kereta terbakar, bomba pergi balik!'



SHAH ALAM- "Jangan padam kereta. Bomba pergi balik!" Demikian jeritan
berulang kali sekumpulan lelaki India sebaik sahaja sepasukan bomba tiba
untuk memadam kebakaran.

Menceritakan semula keadaan insiden itu kepada mahkamah, pemandu Fire
Rescue Tender (FRT) Md Elliza Mohd Noor berkata, sejurus tiba,
jenteranya dihampiri lebih 50 individu yang menghalang mereka
menjalankan tugas.




"Sebaik tiba, saya nampak mereka menghampiri kami dan dalam lima hingga
10 saat ada ketukan," katanya.

Menurutnya, beliau curiga melihat pergerakan kumpulan tersebut yang
menyorok tangan di belakang seolah-olah menyembunyikan sesuatu.

"Selepas ketukan di sebelah penyelia, objek seperti batu bata dan helmet
dibaling ke arah cermin hadapan sehingga retak.

"Saya rasa sangat takut. Dengan spontan saya mengundurkan jentera,"
katanya yang merupakan saksi kedua Inkues Kematian Muhammad Adib.

Prosiding dihadapkan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung
jam 2.30 petang.

AKAN MENYUSUL

- SINAR HARIAN -

Friday, 8 February 2019

Rindu kepada Adib tak pernah kurang - Ibu



JITRA: “Jika terbaca atau menonton berita mengenai Muhammad Adib, saya akan cepat tutup dan buat kerja lain, tetapi di dalam hati saya berharap kematiannya mendapat keadilan segera,” kata Asma Aziz, 52.

Asma adalah ibu kepada anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam kejadian rusuhan di Kuil Maha Mariamman, Subang Jaya, November lalu.



Asma berkata, setiap kali selesai solat, dia akan mendoakan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anaknya itu berjalan lancar demi memberi keadilan kepada keluarganya.

Katanya, dia hanya mahu melihat pelaku yang memukul anaknya dijatuhi hukuman secepat mungkin.
“Sebagai seorang ibu dan orang Islam, hanya doa yang saya mampu iringi supaya prosiding inkues berkenaan berjalan lancar dan dalam keadaan sekarang hanya Allah yang dapat membantu saya.

“Rindu kepada Adib tak pernah kurang, sudah hampir dua bulan dia pergi meninggalkan kami, masih terngiang-ngiang suaranya memanggil saya mak, perasaan saya bercampur aduk sekarang. Harap akan ada berita gembira dari mahkamah selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Tahlil Adib anjuran penduduk Kampung Telaga Mas di sini, malam tadi.

Ibu kepada empat orang anak itu hadir ke majlis berkenaan bersama suaminya Mohd Kassim Abdul Hamid, 64.

Pasangan itu turut melahirkan rasa terharu atas kepedulian masyarakat dan berterima kasih kepada penganjur tahlil khas untuk arwah anak mereka.

Pada 18 Jan lalu, pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, telah didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan prosiding inkues dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner.

Sementara itu, penganjur majlis berkenaan, Mashkor Jamaludin, 47, berkata biarpun tiada talian persaudaraan dengan keluarga Adib, namun dia sanggup mengeluarkan belanja bagi mengadakan tahlil dan jamuan kepada penduduk kampung.

Katanya, tahlil itu diadakan sebagai doa dan sedekah untuk Allahyarham Muhammad Adib berikutan kematiannya sungguh menyayat hati seluruh rakyat Malaysia.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu, di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

- BERITA HARIAN - 


Tuesday, 15 January 2019

Kenapa pembunuh Adib masih belum ditangkap? - Bapa





KUALA KEDAH: Walaupun sabar namun perasaan terkilan itu masih terasa.

"Kenapa siasatan terlalu lambat dan pembunuh anak saya masih belum ditangkap?"

Demikian luahan Mohd Kassim Abd Hamid, bapa anggota bomba Muhammad Adib ketika bertanya tentang siasatan kejadian yang mengorbankan nyawa anaknya.

Walaupun sedar keputusan inkues terhadap kes anaknya masih belum diterima, namun dia berharap siasatan itu berjalan dengan lancar.
"Sebagai seorang ayah mestilah ada tersentuh, tetapi alhamdulillah kita kena bersabar."

"Keadilan sewajarnya amat dinantikan anggota keluarga.


"Bagi saya pihak keluarga saya mengharapkan yang keadilan yang sebenar, inkues tu dapat berjalan dengan lancar."

Beliau berkata demikian kepada media ketika menerima ziarah Tengku Temenggung Kedah, Yang Teramat Mulia Tunku Puteri Intan Safinaz Ibni Almarhum Sultan Abdul Halim ke kediaman keluarganya di Kampung Tebengau, dekat sini, pada Selasa.

Gesaan untuk menyegerakan siasatan berkaitan kes Adib turut disuarakan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran di seluruh negara.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera dan menjalankan siasatan dengan telus mengikut undang-undang sedia ada.

Pada 27 Disember lalu, Peguam Negara dilaporkan akan mengarahkan Majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

- ASTRO AWANI -

Thursday, 27 December 2018

[VIDEO] Kes Adib: Titisan air mata Sultan Nazrin, mahu pelaku dikenakan hukuman setimpal



BAYAN LEPAS: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitiskan air mata ketika bertitah berkongsi kesedihan mengenai Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban dalam tragedi rusuhan di tapak kuil Seafield, Subang Jaya, 27 Dis lepas.

Baginda yang sebak melahirkan rasa dukacita atas kehilangan Muhammad Adib dan menyifatkan Allahyarham seorang wira terbilang, berani, cekal lagi berwibawa.

Baginda mahu pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Muhammad Adib tidak terlepas daripada undang-undang dan dikenakan hukuman setimpal.


Dalam nada tersekat-sekat dan beberapa kali menyeka air mata, baginda berkongsi saat sewaktu mencemar dulu menziarahi Muhammad Adib ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 30 Nov lalu.


"Seluruh negara, tanpa mengira kaum dan pegangan agama, daripada rakyat biasa, pemimpin, termasuk istana, sama-sama berduka dengan nasib yang menimpa keluarga Muhammad Adib.

"Demi memastikan undang-undang didaulatkan, demi memastikan keadilan tidak tercicir, segala usaha hendaklah dilaksanakan, untuk mencari tangan-tangan yang bergelumang dosa, melakukan jenayah yang sungguh kejam, hingga mengakibatkan Muhammad Adib menemui ajal, dan kaum keluarga Muhammad Adib dilanda duka nestapa.

"Demi menegakkan kebenaran, mereka yang menyaksikan kejadian yang berlaku, ada tanggungjawab agama, tanggungjawab moral, dan tanggungjawab undang-undang untuk tampil, membantu kerja-kerja siasatan Polis Diraja Malaysia. 

"Jenayah sekejam ini, sama sekali tidak boleh dilindungi. Kepada Allah kita pohonkan, akan berlaku keadilan setimpal (poetic justice), memastikan pihak yang bersalah, dan dalang-dalang yang bertanggungjawab di sebalik peristiwa ini, tidak terlepas daripada dihukum kerana dosa yang telah dilakukan," titah baginda pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Ahli-ahli Majlis Agama Islam, Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang di sini, pada Jumaat.



Titah Sultan Nazrin, baginda berkesempatan menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada kedua-dua ibu bapa Muhammad Adib, iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid dan Asma Aziz, sambil mendoakan bersama seluruh rakyat Malaysia supaya Muhammad Adib dapat diselamatkan.

Berikut titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah:


TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

TIMBALAN YANG DI-PERTUAN AGONG

MAJLIS

PENYAMPAIAN TAULIAH PELANTIKAN AHLI MAJLIS AGAMA ISLAM

DAN

SIJIL PELANTIKAN KEHAKIMAN SYARIE

NEGERI PULAU PINANG

“MUHAMMAD ADIB: WIRA TERBILANG”

Salam Sejahtera

Saudara tua Beta, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas.

Hadirin yang dirahmati ALLAH.

YA HAKAM, YA HAKIM, YA ‘ADL, YA SHAHID, dengan keagungan Asmaul Husna, dengan niat mendapat keberkatan dari MU jua Ya ALLAH, berpedoman sabda

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, hamba-Mu memilih, hari Jumaat, penghulu kepada segala hari, untuk melangsungkan Majlis Pengurniaan tauliah pelantikan ahli Majlis Agama Islam, dan sijil pelantikan kehakiman syarie negeri Pulau Pinang. Dipohonkan, agar setiap seorang daripada mereka yang telah diperkenankan untuk diberikan amanah, pada setiap masa, mendapat rahmat bimbingan dari Mu jua, untuk menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh jujur lagi berintegriti. Semoga Engkau anugerahkan kepada mereka, kekuatan iman agar senantiasa berpendirian tegas dan bersuara ikhlas menyembahkan sebaik-baik nasihat kepada hamba-Mu yang daif ini, untuk membolehkan hamba-Mu menyempurnakan tugas seorang Amirulmukminin dengan adil lagi saksama, berteraskan Kitabullah dan Sunah Rasul.


2. Syura atau permuafakatan, dan keadilan, merupakan dua elemen yang sangat diutamakan dalam Islam. Majlis Agama Islam dan Mahkamah Syarie, ialah dua buah institusi penting dalam sistem pentadbiran berlandaskan Islam; satu berperanan sebagai dewan permuafakatan, dan satu lagi berperanan untuk memastikan berlakunya keadilan.

3. Majlis Agama Islam, ialah institusi bukan politik, institusi yang bertanggungjawab secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong, atas peranan Baginda sebagai ketua agama negeri. Majlis Agama Islam ialah pihak berkuasa utama mengenai hal ehwal Islam selepas Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, Majlis Agama Islam dalam memenuhi peranannya, hendaklah bebas daripada pengaruh dan campur tangan politik berparti; agar berupaya menyembahkan perkara-perkara kepada Raja Pemerintah secara tidak partisan, membantu Baginda memperkenankan sesuatu keputusan secara objektif lagi bijaksana.

4. Majlis Agama Islam, berada dalam kedudukan yang boleh memenuhi dua peranan:

Pertama: Dalam perkara yang tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, dan dalam perkara yang tidak menderhakai tujuh wasiat Raja-raja Melayu, MAJLIS sewajarnya memenuhi peranan pelengkap, bekerjasama dengan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Kedua: Dalam perkara yang bercanggah dengan semangat asal Perlembagaan, dan berunsur menderhakai tujuh wasiat Raja-raja Melayu, MAJLIS berlandaskan prinsip, wajib secara tegas, menolak serta menentang, dan segera menyembahkan kepada perhatian Yang di-Pertuan Agong, demi mempertahankan syiar Islam – demi menjamin ummah tidak berakhir dengan nasib berdagang di bumi sendiri.

5. MAJLIS sewajibnya berfungsi sebagai sebuah ‘DEWAN PEMIKIRAN DAN PENTADBIRAN ISLAM’, di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan langsung Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong; berperanan sebagai jambatan penghubung antara umat Islam dengan Raja Pemerintah, antara umat Islam dengan kerajaan pilihan rakyat, dan antara umat Islam dengan warga bukan Islam. Oleh itu, kesetiaan ahli-ahli Majlis yang telah diperkenankan lantikan, ialah kepada takhta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan titah perkenan Baginda wajib diperoleh sebelum sesuatu dasar, arahan dan kegiatan mengenai Islam mahu dilaksanakan.

6. Ahli-ahli MAJLIS wajib melakukan perekayasaan, membawa minda keluar, merangka rancangan dan tindakan yang lebih substantif demi kemuliaan sinar Islam, dan demi membela martabat umat Islam. Peranan MAJLIS wajib diluaskan, dimerdekakan daripada minda lama yang dengan sengaja disempitkan oleh Inggeris.1 Peranan MAJLIS hendaklah ditakrif secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran, dan tenaga pelaksana berwibawa, untuk menghasilkan idea bernas dan program dinamik.2 Walau apa pun senario politik yang berlaku di dalam negara, selagi tindak tanduk MAJLIS tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, negara hendaklah mengiktiraf MAJLIS sebagai sebuah institusi yang berperanan penting untuk menjamin kelangsungan Islam dan survival ummah.

7. Dalam suasana umat Islam kelihatan berterusan berselisih pendirian, dan dalam senario ukhuwah sesama umat Islam terbayang semakin retak, MAJLIS hendaklah mengambil tanggungjawab, sebagai instrumen penyatuan ummah; bebas daripada sebarang agenda politik kepartian, yang dianggap berpihak dan berat sebelah, supaya peranan MAJLIS dilihat neutral, lantas dapat diterima tanpa prejudis - tanpa prasangka oleh majoriti umat Islam.

8. Berpandukan ayat-ayat yang terkandung dalam Al-Quran, begitu juga sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, nyatalah Islam meletakkan satu fardu, untuk mewujudkan institusi kehakiman dalam sesebuah negara; sebagai contoh, firman ALLAH dalam ayat 26, surah Al-Shaad bermaksud:

“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana itu akan menyesatkan kamu dari jalan ALLAH...”3

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:



“Jika seseorang hakim telah berijtihad semasa menjatuhkan hukuman dan ijtihadnya itu tepat, maka ia akan mendapat satu ganjaran”4

9. Islam menekankan aspek pemerintahan berlandaskan undang-undang. Institusi kehakiman, berperanan sebagai badan penegak keadilan, memenuhi fungsi untuk menyelesaikan pertikaian sesama manusia, sama ada dituntut oleh individu, kumpulan atau sesuatu kaum terhadap hak, harta, darah dan nyawa. Tanpa institusi-institusi kehakiman yang berwibawa lagi adil, masyarakat akan menjadi tempang, ketidakadilan akan berlaku, kemungkaran akan bertebaran, dan kezaliman akan berleluasa.

10. Piagam Madinah atau Sahifah Al-Madina, dipersetujui secara bersama oleh semua golongan, terdiri daripada umat Islam dan orang Yahudi yang menjadi warga negara Madinah, di bawah pimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, berperanan sebagai kompas rujukan mengurus tadbir negara kota Madinah. Piagam Madinah, perlembagaan bertulis yang pertama di dunia, menjadi bukti bahawa sistem pemerintahan Islam, disandarkan dengan undang-undang.

11. Negara kita juga ditetapkan tadbir urusnya, bersandarkan Perlembagaan yang dipersetujui oleh rakyat daripada pelbagai agama - pelbagai kaum. Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, ialah dua prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Negara akan berada dalam keadaan aman, dan rakyat dapat hidup dalam suasana yang harmoni, selagi undang-undang dipatuhi dan dihormati. Tetapi, apabila undang-undang dipinggirkan, dan manusia memilih menunjukkan kekuatan atau kelebihan, melalui kaedah-kaedah lain, seperti menggunakan jawatan, kekayaan, kekerasan, rasuah, nafsu dan tipu helah, akan tergelincirlah keadilan, akibatnya yang lemah, yang tidak berdosa, semakin ramai menjadi mangsa.

12. Negara Malaysia, diasaskan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) sebagai negara yang rakyatnya, walaupun terdiri daripada pelbagai penganut agama dan kaum, memiliki sifat kemanusiaan dan perasaan keinsanan yang saling menyayangi – saling menghargai. Tetapi pada pagi 27 November 2018, sifat kemanusiaan dan perasaan keinsanan tersebut bagaikan lenyap (disappear) dan menyejat (evaporate), dengan berlakunya rusuhan di sebuah kuil yang terletak di Seafield, Subang Jaya. Undang-undang telah disisihkan, oleh manusia-manusia yang bertindak ganas kerana dipengaruhi prasangka dan emosi.

13. Negara bertanya, apakah yang sudah terjadi kepada warga di negara ini? Apakah yang telah mempengaruhi fikiran warga kita?, warga yang selama ini terkenal dengan sifat menghargai kedamaian dan mengutamakan keharmonian, warga yang pada biasanya mengamalkan sifat bertoleransi antara kaum – antara agama. Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra, serta barisan pemimpin seangkatan, telah berusaha dan berjaya menyatukan kita sebagai satu rumpun warga dalam sebuah negara, pertama kali pada 31 Ogos 1957, ketika negara menjadi sebuah Persekutuan yang merdeka lagi berdaulat; dan kali kedua, pada 16 September 1963 melalui penubuhan Malaysia.

14. Sekam prasangka yang dihidupkan bara, dan api sengketa yang dinyalakan oleh pihak tertentu, telah mencetuskan peristiwa buruk yang tidak sepatutnya berlaku. Pertikaian milik tapak tanah, antara jawatankuasa kuil dengan pemaju hartanah, telah mendorong beberapa pihak untuk mengetepikan proses undang-undang (ignoring the rule of law); di sebaliknya, tanpa bertanggungjawab, bereksperimen dengan kaedah penyelesaian yang mengumpan kepada berlakunya malapetaka.

15. Firman ALLAH dalam ayat 32, Surah Al-Maa’idah bermaksud:

“..., bahawa: barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya...”5

16. Muhammad Adib bin Mohd. Kassim, seorang anggota bomba dan penyelamat, yang memenuhi tugas negara, telah menjadi korban dalam peristiwa hitam yang berlaku di tapak kuil Seafield, Subang. Dilaporkan, Muhammad Adib, telah ditarik keluar daripada kenderaan, lalu diserang dan dipukul oleh para perusuh. Muhammad Adib mengalami cedera parah. Beta berpeluang berangkat menziarahi Muhammad Adib, di Institut Jantung Negara dan menzahirkan rasa dukacita dan simpati Beta kepada kedua-dua ibu bapa beliau, Mohd. Kassim Abdul Hamid dan Azma Aziz pada pagi Jumaat, 30 November, sambil mendoakan, bersama seluruh rakyat Malaysia, agar Muhammad Adib dapat diselamatkan. Meskipun para doktor menjalankan segala usaha yang terdaya, ALLAH jua yang Maha berkuasa, penentu kepada segala-galanya. Pada jam 9.41 malam, 17 Disember 2018, Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir, kembali menemui Penciptanya, ketika baru berusia 24 tahun.

17. Seluruh negara, tanpa mengira kaum dan pegangan agama, daripada rakyat biasa, pemimpin, termasuk istana, sama-sama berduka dengan nasib yang menimpa keluarga Muhammad Adib. Demi memastikan undang-undang didaulatkan, demi memastikan keadilan tidak tercicir, segala usaha hendaklah dilaksanakan, untuk mencari tangan-tangan yang bergelumang dosa, melakukan jenayah yang sungguh kejam, hingga mengakibatkan Muhammad Adib menemui ajal, dan kaum keluarga Muhammad Adib dilanda duka nestapa.

18. Demi menegakkan kebenaran, mereka yang menyaksikan kejadian yang berlaku, ada tanggungjawab agama, tanggungjawab moral, dan tanggungjawab undang-undang untuk tampil, membantu kerja-kerja siasatan Polis Diraja Malaysia. Jenayah sekejam ini, sama sekali tidak boleh dilindungi. Kepada ALLAH kita pohonkan, akan berlaku keadilan setimpal (poetic justice), memastikan pihak yang bersalah, dan dalang-dalang yang bertanggungjawab di sebalik peristiwa ini, tidak terlepas daripada dihukum kerana dosa yang telah dilakukan.

19. Pada pagi 18 Disember, jenazah Muhammad Adib, diterbangkan untuk diabadikan selama-lamanya di Kuala Kedah, empat hari sebelum tarikh yang ditetapkan, untuk beliau diijabkabulkan dengan Nurul Najihah Mohd. Rodzi. Negara dihujani gerimis hiba. Atas nama negara, Beta menzahirkan rasa dukacita serta ucapan takziah kepada Encik Mohd. Kassim Abdul Hamid, Puan Azma Aziz dan Cik Nurul Najihah, serta seluruh keluarga, atas pemergian Muhammad Adib secara tragik. Sesungguhnya MUHAMMAD ADIB IALAH SEORANG WIRA TERBILANG; BERANI, CEKAL LAGI BERWIBAWA, telah terkorban untuk negaranya. Semoga ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja Muhammad Adib dianugerahi ILAHI dengan ketabahan dan kesabaran menghadapi peristiwa pahit ini. Pada pagi Jumaat yang berkat ini, sama-sama kita pohon kepada ILAHI, agar roh Muhammad Adib mendapat dakapan ihsan dan kasih ILAHI; kita pohonkan agar ALLAH Subhanahu Wata’ala menerima rohnya dalam kalangan roh-roh yang dimuliakan sebagai syahid. Sama-sama kita bacakan Surah Al-Fatihah, semoga apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut, disampaikan kepada roh Allahyarham Muhammad Adib bin Mohd. Kassim. Al-Fatihah.

Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan kita petunjuk menemui jalan yang lurus.

Sumber Astro Awani

Wednesday, 26 December 2018

BANDING DENGAN KES PEMBUNUH ADIB, KAKI KECAM POLIS BACA NI..




Susulan Viral Video seorang pemandu bas dibelasah beramai-ramai di RnR Gambang tempoh hari [BACA SINI] [VIDEO] KENAPA DRIVER BAS NI DIPUKUL BERAMAI-RAMAI ? membuatkan sesetengah Netizen ambil kesempatan untuk mengecam pihak Polis.

Netizen turut membandingkan dengan proses pendakwaan pembunuh Adib selepas media melaporkan Polis berjaya menahan 6 orang terlibat dalam kes belasah pemandu bas dan mereka akan direman untuk bantu siasatan  [BACA SINI] Pukul pemandu bas ekspres, 6 lelaki ditahan, disiasat kerana merusuh

Pada mereka Polis seolah-olah bertindak 'double standard' malah lebih teruk lagi ada yang menyifatkan Pihak Polis hanya berani ambil tindakan kepada bangsa Melayu sahaja.

Kami petik komen dari salah seorang Netizen yang mengatakan tidak adil untuk kita mengecam Polis sedangkan dua kes ini amatlah berbeza situasinya. Komen beliau seperti berikut..


"Ramai yang compare kes Adib dalam ni.
Tengok situasi la.
Kes gaduh ni memang real sorang2 nampak muka. Jumlah yang gaduh pon tak ramai.

Mangsa yang kena pukul pun hidup dan boleh ceritakan apa yang berlaku, boleh kenal pasti siapa yang pukul dia. Suspek pun serah diri kat polis.

Situasi rusuhan kuil tu pulak berbeza. Hampir 5000 orang disitu.. Tak ada satu pun video/rakaman jelas yang nampak arwah Adib kena pukul.. Tahu2 dah parah kena henyak..

Jangan la buat polis ni macam tuhan yang nampak dan tahu segala benda..
5000 yang ada masa rusuhan tu, siapa nak mengaku pukul Adib sampai mati? Takkan polis nk main serkap jarang main tangkap dan hukum orang yang tak ada kena mengena..

Polis pun terpaksa minta bantuan siapa yang ada maklumat untuk bantu siasatan.
Pelik aku. Bijaknya pembunuh Adib ni, dalam ramai2 beribu orang tu.. Tak ada satu pun rakaman Adib dipukul tersebar.. Mustahil dalam beribu2 manusia tu tak ada yang rakam.

Bodohnya Melayu bergaduh, kalau boleh semua nak rakam buat live facebook.
Kalau boleh nk panggil tv3 buat rakaman tgh bergaduh.
Bila senang polis cekup, yang bawah pulak gelabah kata polis double standart.
India lepas, Melayu tangkap. Tepuk dada tanya hati sendiri la."

Komen Muhamad Azizan di Facebook Friends Of PDRM















Tidak dinafikan majoriti rakyat Malaysia mahukan keadilan buat Arwah Adib, mahu pembunuh segera didakwa dan menerima hukuman yang setimpal, dalam masa yang sama kita haruslah beri kepercayaan penuh kepada PDRM untuk jalankan tugas-tugas mereka.

Polis hanya tangkap dan jalankan siasatan, selebihnya serah kepada Mahkamah menentukan apa hukuman kepada si pembunuh.

Sama-sama kita terus berikan sokongan kepada PDRM yang telah banyak berjasa dalam menjaga, mengekalkan keamanan dan keharmonian kaum di Malaysia.

Tuesday, 25 December 2018

NGO, OKU sertai perhimpunan aman menuntut keadilan bagi Muhammad Adib




KLANG: Lebih 1,000 peserta Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib & Desakan Pecat P Waytha Moorthy menyertai solat jenazah ghaib yang dianjurkan Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS) di Masjid Bandar Diraja, di sini, hari ini.

Solat jenazah ghaib itu diimamkan oleh imam masjid, Mohd Azrun Tuniran, selepas solat asar berjemaah sebentar tadi.

Selain GERAS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai perhimpunan aman itu adalah Gerakan Srikandi Malaysia (GSIM), Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang (ALBJ), Badan Amal Tarbiyah Sejagat (BATAS), Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia (SERUMPUN) dan Kebajikan Sejagat Malaysi (SEJAGAT).

Sebaik saja selesai solat jenazah ghaib, peserta perhimpunan berarak sambil berselawat sejauh 500 meter ke Dataran Seni termasuk sekumpulan orang kelainan upaya (OKU) yang turut menyertai mereka bagi memberi sokongan.


Seorang daripada mereka, kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan, 43, dilihat bertongkat sepanjang perjalanan ke dataran berkenaan.

Beliau yang juga OKU sejak lahir, berkata kehadirannya pada hari ini adalah untuk bersama rakan-rakan bagi memberi sokongan menuntut pembelaan kematian Muhammad Adib.

"Saya terpanggil untuk menyertai perhimpunan ini berikutan ia adalah suara rakyat yang perlu didengar. Perhimpunan pada hari ini saya anggap sebagai protes secara aman yang perlu diambil kira oleh pemimpin-pemimpin negara.


"Pendapat orang ramai yang hadir ini perlu diambil kira bagi kesejahteraan negara," katanya yang ditemui ketika berarak dalam perhimpunan berkenaan.

Menerusi perhimpunan aman berkenaan, penganjur menuntut pembelaan kematian Muhammad Adib mereka juga menuntut dan memberi tempoh 40 hari kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Selain Waytha Moorthy, pihaknya mendesak supaya Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang negeri Selangor, V Ganabatirau, turut disingkirkan.

Pada 17 Disember lalu, Muhammad Adib, 24, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, disahkan meninggal dunia di Institusi Jantung Negara (IJN).

Arwah disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam akibat mengalami kecederaan serius selepas diserang dan dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya pada 27 November lalu


BERITA HARIAN

Monday, 24 December 2018

Peserta himpunan aman esok dinasihat patuh arahan polis





SHAH ALAM - Peserta perhimpunan aman bagi menuntut keadilan atas
kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang akan dianjurkan di
Klang dekat sini, petang esok dinasihatkan mematuhi arahan pihak polis
dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu
ketenteraman awam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata,
pihaknya akan menempatkan pegawai polis yang mencukupi bagi mengawal
keselamatan sepanjang perhimpunan 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan
Pecat Waytha Moothy'.


"Kita sudah bersiap sedia dengan anggota polis yang mencukupi untuk
mengawal keadaan termasuk lalu lintas di sekitar bandar Klang esok,"
katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha
Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia di Institut
Jantung Negara pada 9.41 malam Isnin lepas.

Mengulas mengenai permit perhimpunan berkenaan, Ab Rashid berkata,
pihaknya ada menerima notis pemberitahuan dari penganjur himpunan
berkenaan, Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) tetapi ia diserahkan kepada
pihak polis kurang dari tempoh yang ditetapkan.

Himpunan itu yang akan diadakan di Dataran Seni Klang, dekat sini,
petang esok diadakan bagi menuntut keadilan atas kematian Muhammad Adib
selain turut dijadikan platform bagi mendesak Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, P. Waytha Moorthy meletak jawatan dan menuntut Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad memecat pemimpin Hindraf tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner
Nurulhuda Mohd Salleh dalam kenyataannya berkata, lima persimpangan
jalan akan ditutup esok bermula pukul 12 tengah hari berikutan
perhimpunan itu.

"Lima persimpangan yang terlibat ialah Jalan Raja Hassan, Jalan Nangka,
Jalan Nanas, Jalan Melayu dan Jalan Taiping.

"Pada masa sama, jalan yang terlibat dengan penutupan berperingkat
bermula pukul 3 petang pula ialah Susur Jambatan Kota, Bulatan Kota,
Bulatan 100, Persiaran Sultan Ibrahim, Jalan Pos Baru dan Jalan Pasar,
laluan kontra turut akan dibuat di Jalan Batu 3 sekiranya penutupan
penuh dibuat," katanya. - Bernama

Sunday, 23 December 2018

Siti Kassim wakili NGO hantar memorandum sokong Waytha Moorthy



PUTRAJAYA - Seramai 30 aktivis yang mewakili 211 badan bukan kerajaan
(NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad bagi menyokong Senator P Waytha Moorthy mengekalkan
jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Peguam dan aktivis sosial, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali
sebagai Siti Kasim, yang mewakili kumpulan itu berkata, Waytha Moorthy
tidak perlu dipersalahkan berikutan tragedi rusuhan di Kuil Sri Maha
Mariamman, Subang Jaya bulan lepas.


"Kami harap Perdana Menteri tidak tunduk pada desakan puak yang
menggunakan kaum dan agama untuk mengeruhkan keadaan," katanya kepada
pemberita di luar bangunan Perdana Putra, di sini.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu
Bakar Yahya.

Waytha Moorthy yang merupakan menteri bertanggungjawab bagi Perpaduan
Negara dan Kesejahteraan Sosial, menghadapi desakan supaya meletak
jawatan akibat kegagalan beliau mengendurkan ketegangan kaum berhubung
rusuhan tersebut yang meragut nyawa seorang anggota Jabatan Bomba dan
Penyelamat Muhammad Adib Mohd Kassim.

- SINAR HARIAN -

[VIDEO] Pengarah muda dedikasi suntingan video KHAS buat Adib



Pemergian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim baru-baru ini meruntun jiwa pelbagai pihak dan mencatat sebuah lagi episod duka buat seluruh rakyat Malaysia.


Ini termasuk pengarah drama muda, Shuhaimi Zulkefli yang mendedikasikan video berdurasi 4 minit 37 saat yang disuntingnya khas bagi menghormati wira negara tersebut.





Video yang menunjukkan semula gambar-gambar Allahyarham serta video tr4g3di b3rd@r@h itu begitu menyayat hati dan diakhiri dengan bacaan surah al-Fatihah.

Pengarah yang popular dengan drama Cinta Bukan Kristal lakonan Sharnaaz Ahmad dan Ayda Jebat itu memuat naik video tersebut semalam dan sehingga kini mendapat tontonan sebanyak 345,451 di samping 9,628 perkongsian.





Memetik kongsian tersebut di laman Facebook miliknya Shuhaimi berkata, ‘Bingkisan ‘Perjalanan’ ini aku dedikasi khas buatnya jauh disana semoga yang masih hidup beroleh hikmah dan kesedaran kita juga akan menyusul kemudian hari. “..Hargai Keaman4n Yang Kita Bayar Dengan Ny4w4..” #Justice4Adib. – UTUSAN ONLINE

Saturday, 22 December 2018

JAMAL SOAL BILA PEGUAM NEGARA NAK DAKWA PEMBUDUH ADIB ???



KUALA LUMPUR - Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos
mempersoalkan tindakan polis dan Peguam Negara yang belum membuat
tangkapan semula ke atas pihak yang terlibat kes Allahyarham Pegawai
Bomba Muhammad Adib Mohd Kasim.


Jamal berkata, hal itu menimbulkan persoalan dalam kalangan orang awam
yang mempertikaikan ketegasan polis dalam menangani isu mambabitkan
kecederaan hingga mengakibatkan kematian lelaki berusia 24 tahun itu.

"Sejak bermula kes rusuhan, ramai kena tangkap seperti PapaGomo kerana
kenyataannya tetapi mereka yang terlibat sehingga orang tak bersalah
terbunuh tidak dikenakan tindakan sewajarnya.

"Saya bimbang jika hal ini berterusan akan menimbulkan desakan dan
tekanan setiap hari, apa nak jadi dengan negara kita? Pihak berkuasa
tolong lakukan sesuatu, ambil tindakan yang tegas," katanya.


Menurutnya, ia juga dikhuatiri menimbulkan tidak yakin umum dengan
sistem dan undang-undang dalam Negara malah beliau melihat ada sesuatu
tidak kena dalam sistem negara melibatkan institusi polis.

"Saya diburu sehingga ke Indonesia kerana jenayah kecil tapi penjenayah
menyerang kakitangan awam yang sedang bertugas, polis dan Peguam Negara
belum berbuat apa-apa.

"Hal menteri yang hasut rakyat itu biarkan sebab perdana menteri kata ia
di bawah kuasanya. Kalau tanya saya biarkannya di situ kerana ia
menguntungkan politik kami," katanya.

- SINAR HARIAN -

Video Bukti Adib tidak dilanggar jentera bomba tular



Rakaman video menunjukkan anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim tidak dilanggar jentera pemadam api (FRT) dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu kini tular di laman-laman sosial.

Video berdurasi 22 saat itu menunjukkan bagaimana jentera FRT milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mengundur ketika diserang oleh orang awam.

Dalam video tersebut tidak menunjukkan mana-mana individu berada di belakang jentera terbabit.
Dengan penularan video itu jelas menunjukkan Muhammad Adib tidak dilanggar.



Sementara itu, Penjaga kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, memohon maaf ekoran mendakwa Adib yang meninggal dunia Isnin lalu dilanggar sebuah trak bomba dalam rusuhan tersebut.

Memetik laporan portal Malaysiakini, S. W. Ramaji yang juga pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Kuil Mariamman berkata, dia tidak mempunyai sebarang niat untuk menyakiti perasaan sesiapa termasuk keluarga Muhammad Adib dalam mengeluarkan kenyataan tersebut.


Sumber- Blog https://pakdin.my

RAM KARPAL KECAM SYED SADDIQ,GESA BELIAU LETAK JAWATAN



 PENGERUSI Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, menyelar tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahukan P Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


Beliau berkata, arahan sedemikian hanya layak dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukannya daripada individu seperti seorang menteri.
Malah, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menyifatkan tindakan Syed Saddiq itu bukan saja tidak bertanggungjawab, malah bertentangan dengan keputusan Kabinet.


“Namun, tindakan beliau (Syed Saddiq) menyuarakan pandangan secara umum dan mahukan Waytha Moorthy meletakkan jawatan adalah sangat tidak bertanggungjawab serta jelas bertentangan dengan tanggungjawab seorang Menteri. Sudah tentu ia agak melampau,” katanya.
Menurutnya, pertelagahan antara menteri ini hanya memburukkan imej dan tidak memberi gambaran perpaduan sesebuah kerajaan.
“Masyarakat mungkin tidak bersetuju dengan pengurusan kuil Seafield sebagaimana yang dilakukan oleh Waytha Moorthy, justeru sudah tentu beliau adalah sasaran bagi kritikan.
“Tetapi kritikan secara terbuka oleh menteri mengenai peletakan jawatan tidak sesuai bagi sebuah kerajaan yang mempunyai tanggungjawab terhadap keputusannya,” katanya.


Ramkarpal juga berkata, perkara terbabit seharusnya diselesaikan secara lebih berhemah dan bukannya dipolitikkan.
“Kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd Kassim adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan oleh individu tertentu, maka ia perlu dibawa kemuka pengadilan.
“Saya berharap kenyataan terbuka oleh seorang menteri bagi menuntut peletakan jawatan rakan seperjuangan itu dapat dihentikan kerana ia boleh memudaratkan pembangunan dan keharmonian oleh kerajaan baharu ini,” katanya.


Saya sepatutnya nikahkan mereka malam tadi - Bapa Nurul Najihah



ALOR SETAR: “Mengikut perancangan, saya sepatutnya nikahkan mereka di masjid malam tadi,” luah Mohd Radzi Bedah, 51.

Mohd Radzi adalah bapa kepada Nurul Najihah, 25, yang dirancang bernikah dengan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia, Isnin lalu.
Beliau berkata, Nurul Najihah dan Adib sepatutnya disatukan pada majlis akad nikah di Masjid Pantai Johor malam tadi, sebelum majlis persandingan mereka diadakan di rumah mereka di Taman Damai, di sini.
Katanya, kelengkapan baju untuk dipakai keluarga mereka sempena majlis perkahwinan itu juga sudah disiapkan, begitu juga dengan duit deposit bagi jamuan makanan yang disediakan pihak katering.
Bagaimanapun, beliau dan keluarga reda dengan ketentuan takdir yang sudah tertulis bahawa Allahyarham Muhammad Adib akan menghadap Ilahi beberapa hari sebelum berlangsungnya majlis pernikahan mereka.
“Biarpun tertulis antara mereka tiada jodoh namun saya berharap ikatan silaturahim antara keluarga arwah Muhammad Adib dan kami tidak akan terputus, malah perbelanjaan jamuan yang sepatutnya dibuat hari ini saya salurkan untuk majlis tahlil Khamis lalu, ” katanya yang sebelum ini merancang meraikan kira-kira 1,500 tetamu.
Menyentuh mengenai perihal Muhammad Adib, Mohd Radzi berkata, pemuda itu amat baik perilakunya, malah tidak banyak bercakap berikutan seorang yang pemalu.
Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Isnin lalu selepas tiga minggu menerima rawatan di situ akibat cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu.
Sementara itu, isteri Mohd Radzi, Haliza Abu Bakar, 48 pula berkata, selepas hampir seminggu Muhammad Adib meninggal dunia, semangat Nurul Najihah yang hilang akibat tragedi itu semakin pulih.
Haliza berkata, keadaan Nurul Najihah semakin baik apabila tidak lagi hanya berkurung di bilik, sebaliknya sudah boleh melakukan aktiviti lain seperti mengemas rumah dan memandu kereta.
Katanya, selepas pemergian Muhammad Adib, Isnin lalu, Nurul Najihah yang juga anak kedua daripada empat beradik itu banyak termenung dan berkurung dalam bilik.
“Alhamdulillah, keadaan Najihah semakin pulih, dia sudah keluar bilik. Kalau tidak memang berkurung dalam bilik saja, pagi tadi dia bangun awal kemas rumah dan boleh memandu bagi menghadiri tahlil di rumah arwah.
“Sebelum ini, memang dia tak mahu makan, kalau saudara-mara datang dia akan keluar bersembang sekejap, tetapi selepas itu dia kembali berkurung dalam bilik dan termenung,” katanya.
Pada masa sama, Haliza berkata, perubahan positif pada Nurul Najihah dapat dilihat selepas pihak keluarga mengadakan majlis tahlil di surau di perumahan mereka dan meminta ahli kariah untuk mendoakan anaknya diberi kekuatan.
Sebelum ini katanya, emosi Nurul Najihah turut terganggu apabila wujudnya enam akaun palsu di laman sosial Instagram yang menyamar sebagai Eksekutif Jualan itu.
Susulan itu, Haliza berkata, keluarga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebelum pihak berkuasa meminta mereka merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).