Friday 28 August 2015

ATM, PDRM ADAKAN LATIHAN BERSAMA

- gambar hiasan -
Kuala Lumpur, 27 Ogos - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengadakan latihan bersama dikenali Eksesais Bersatu Aman dalam membentuk 'Command Post Exercise' (CPX), di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak di sini.

Sebanyak 11 pegawai ATM dan empat pegawai PDRM terlibat dalam latihanbersama yang bertujuan memantapkan penggemblengan sumber kedua-dua pasukan keselamatan bagi mengoptimumkan keberkesanan tindakan dalam menghadapi sebarangbentuk ancaman yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

Ketua Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM Left Kol Bakhtiar Nor Md Aliasberkata memandangkan ATM dan PDRM beroperasi atas platform yang berlainan, latihan berbentuk perbincangan dan amali hari ini memberi fokus kepada mengkaji dan mengenal pasti kelemahan yang ada untuk penambahbaikan bertujuan memantapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya menjadi efisien dan efektif.

"Latihan ini akan melihat dan mengambil kira keupayaan pergerakan trup-trup daripada kedua-dua pasukan dalam bentuk koordinasi dan penyatuan secara efektif dari segala aspek kerjasama antara ATM dan PDRM.

"Selain itu, usaha mensinergikan kedua-dua pasukan keselamatan ini dalamsemua aspek akan dapat memberi perlindungan kepada rakyat dari sebarangancaman," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bakhtiar berkata latihan ini juga dilihat membantu mengorak langkah ke arah penyatuan dan kesefahaman yang bersepadu antara ATM dan PDRM demi keselamatan negara.

Ketua Staf Markas ATM Mejar Jen Datuk Baharom Hamzah dan TimbalanPesuruhjaya PDRM Datuk Azman Yusof hadir bagi memantau perjalanan CPX dalamlatihan bersama itu.

Eksesais Bersatu Aman merupakan latihan bersama antara ATM dan PDRM yangdilaksanakan sejak 2008. - BERNAMA

Thursday 27 August 2015

BERSIH 4: KUMPULAN BAJU MERAH JUGA AKAN DI KENAKAN TINDAKAN - KPN



PETALING JAYA: Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut atau menggalakkan keganasan, termasuk kumpulan anti-Bersih, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Kita akan ambil tindakan terhadap sesiapa yang melakukan provokasi terhadap pihak lain dan ini termasuk mereka yang dikenali sebagai baju merah,” kata Ketua Polis Negara.

Khalid berkata, mana-mana pihak sama ada peserta Bersih 4.0 mahupun anti-Bersih akan berdepan dengan undang-undang sekiranya mereka terlibat dalam keganasan.

“Kita akan menjalankan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

“Keutamaan kita ialah keselamatan orang ramai. Kita tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan provokasi atau keganasan,” katanya.

Khalid turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 pada hujung minggu ini kerana ia menyalahi undang-undang.

-mstar

TIGA LELAKI DITAHAN POLIS KERANA PUKUL PEGAWAL HOSPITAL



Kota Bharu: Tiga lelaki ditahan polis petang tadi bagi membantu siasatan kes seorang pengawal keselamatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, dipukul dan ditumbuk di hospital berkenaan yang ‘viral’ di Facebook, semalam.

Lelaki berusia 20-an hingga 40-an itu ditahan kira-kira 3 petang di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, sebelum kejadian, individu berkenaan menemui mangsa yang bertugas di pintu masuk Wad Temenggung untuk memohon kebenaran melawat seorang saudara mereka yang dirawat berkaitan masalah jantung.

“Bagaimanapun, mangsa tidak membenarkan mereka masuk memandangkan lelaki terbabit mahu membawa bayi lelaki berusia 10 bulan sedangkan wad itu adalah wad separa ICU yang tidak terbuka kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun selain hanya dua pelawat dibenarkan untuk satu-satu masa.

“Lelaki terbabit tidak berpuas hati dan bertindak menggoncang pintu masuk wad sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka dan lelaki itu menumbuk muka mangsa yang terkena hidung, dahi dan mata.

“Mangsa kemudian ke tingkat bawah bangunan meminta bantuan rakan dan menemui lelaki berkenaan berada di Pos Anggerik (tempat kawalan)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa bersama empat rakan sekerja menghampiri lelaki itu untuk memintanya beredar, namun dia diserang dan dipukul oleh suspek bersama tiga lagi saudara dan rakannya.

Menurutnya, seorang daripada tiga lelaki yang ditahan berusia 35 tahun sebelum itu membuat laporan polis dan dalam laporan dibuat, dia mendakwa mangsa cuba melakukan provokasi sebelum berlaku pergaduhan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Pengarah HRPZ II Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan ketika dihubungi kesal dengan kejadian itu dan meminta orang awam memahami peraturan melawat ditetapkan dan pengawal keselamatan hanya mengikut arahan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73416#sthash.lc4da01a.dpuf

Wednesday 26 August 2015

Polis tumpas geng curi lembu di Temerloh


KETUA Polis Temerloh, ACP Anuar Othman ( dua dari kanan) menunjukkan senapang angin buatan sendiri yang berjaya dirampas, dipercayai digunakan untuk mencuri lembu di sekitar daerah Temerloh pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh. - Foto Nazirul Roselan


TEMERLOH: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan pencuri lembu dengan tertangkapnya enam lelaki termasuk seorang warga Indonesia dalam serbuan di sebuah pondok di Kampung Jambu Rupit, Gantok dekat Mentakab, petang Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Anuar Othman, berkata semasa serbuan dijalankan pada pukul 5 petang, polis hanya menahan empat lelaki termasuk warga Indonesia itu.

"Namun tidak lama selepas itu, polis menahan dua lagi suspek yang menaiki sebuah lori bersama dua lembu dipercayai baru dicuri yang datang ke pondok itu.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat laras senjata buatan sendiri dan tiga sarung paip berwarna hitam yang mengandungi ubat pelali dipercayai digunakan untuk melemahkan lembu yang hendak dicuri.

"Turut ditemui sebuah Proton Satria berwarna perak yang dilaporkan hilang pada 21 Mac di kawasan Bandar Jengka," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurutnya, siasatan awal polis mendapati senjata berkenaan dibuat seorang anggota kumpulan berkenaan yang mempunyai kemahiran dalam bidang itu.

Katanya, senjata itu dipercayai digunakan untuk menembak dengan menggunakan ubat pelali ke atas lembu yang hendak dicuri. Polis, katanya, turut menyiasat sama ada ubat pelali berkenaan dibeli atau dibuat sendiri memandang ada anggota kumpulan itu mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati dua daripada ahli kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kesalahan dadah, samun dan merusuh.

"Polis percaya dengan tertangkapnya enam suspek ini, kita telah dapat menyelesaikan empat kes curi lembu yang dilaporkan di daerah ini," katanya. Semua suspek yang berumur antara 20 dan 40 tahun kini ditahan reman sehingga 28 Ogos ini dan akan didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih setahun atau didenda tidak lebih RM500 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Tuesday 25 August 2015

LELAKI DISYAKI DIBAWAH PENGARUH DADAH UGUT POLIS TEMBAK DIRINYA


Sungai Buloh: Kebakaran mengejut sebuah rumah kedai di Kampung Paya Jaras Hulu di sini, membongkar tindakan penghuninya menyembunyikan bungkusan berisi dadah seberat hampir satu kilogram.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, seorang lelaki yang mendiami premis itu memaki hamun anggota bomba dan penyelamat yang berusaha menyelamatkannya.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, sepasukan 11 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Kota Anggerik dan Batu Arang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Menurutnya, seorang lelaki didapati berkurung di dalam premis itu dan memarahi bomba ketika cuba diselamatkan.

“Berikutan itu pihak bomba terpaksa meminta bantuan anggota polis sebelum lelaki itu dipaksa keluar.

“Api marak membakar kedai dan sebuah bengkel kenderaan di kawasan itu berjaya dikawal 20 minit kemudian,” katanya.

Menurutnya, beberapa penduduk mendakwa lelaki berusia 30-an itu mengalami tekanan perasaan dan pernah beberapa kali cuba membunuh diri dengan membakar premis itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, polis mengesyaki lelaki terbabit di bawah pengaruh dadah.

Katanya, pihaknya turut menjumpai serbuk putih dipercayai berisi dadah dan kini sedang dihantar ke makmal untuk pengesahan. - Metro -

Monday 24 August 2015

BERSIH 4.0: Polis tidak akan guna senjata renjat - Noor Rashid

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menggunakan senjata renjat semasa Perhimpunan BERSIH 4.0 yang dijadual berlangsung hujung minggu ini, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Jelasnya, penggunaan senjata renjat seperti yang dimaklumkan semalam adalah untuk perancangan PDRM pada masa hadapan.

"Bukan untuk ini (BERSIH),  sebab senjata renjat itu melumpuhkan sementara siapa yang ditembak.

"Ia terbukti melalui kajian saintifik dan praktikal dapat melemahkan sesiapa juga perusuh atau penjenayah.

"Di masa hadapan, kita akan lebih banyak menggunakan senjata jenis ini," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Noor Rashid mengulas dakwaan pengguna senjata renjat yang akan digunakan semasa perhimpunan BERSIH nanti.

LORI TANPA TAYAR LARI DIKEJAR POLIS [VIDEO INSIDE]



Seorang lelaki ditahan polis selepas gagal melarikan sebuah lori.

Polis bagaimanapun terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebelum kenderaan itu dapat dihentikan.

Kejadian polis mengejar suspek yang memandu lori berkenaan turut tersebar menerusi rakaman visual di laman sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy, kejadian berlaku 1.40 pagi tadi.

Suspek melarikan lori itu dari Sentul, sebelum ditahan di Dengkil.

Tayar kenderaan turut pecah akibat perangkap besi yang dipasang polis.

Suspek bertindak agresif termasuk melanggar palang tol, sebelum ditahan selepas lori kehabisan minyak.

Ketika ditahan dia dalam keadaan khayal disyaki di bawah pengaruh dadah.


Sunday 23 August 2015

STING rampas cecair syabu RM20j dihasilkan pakar kimia Iran



GEORGETOWN: Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) melumpuhkan sindiket memproses dadah yang beroperasi menggunakan khidmat pakar kimia warga Iran.

Dalam operasi dua hari bermula Khamis lalu, polis menyerbu tiga lokasi berbeza dan merampas 324 kilogram cecair syabu, pelbagai peralatan dan bahan kimia yang bernilai lebih RM20 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata dalam serbuan yang dilakukan, polis turut menahan lima anggota sindiket, termasuk dua warga Iran.

"Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari dari tarikh tangkapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Polis marin tumpaskan kegiatan korek pasir haram di Sibu



KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima menumpaskan satu kegiatan mengorek pasir secara haram dalam Ops Pensura di kawasan perairan Sg Bukit Aup, Batang Igan dekat Sibu semalam. Komander PPM Wilayah Lima Sarawak, ACP N Kalai Chelvan, berkata serbuan itu pada jam 2.30 petang, turut membawa kepada rampasan pasir dan peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan itu dianggarkan bernilai RM4.5 juta.

"Semasa menjalankan tugas risikan dan Ops Pensura yang diketuai ASP Muhammad Sallam bersama empat anggota Unit Risikan Marin dan tiga anggota PPM Sarikei menggunakan dua buah bot, pasukan operasi menahan sebuah bot tunda dan sebuah tongkang yang sedang menjalankan aktiviti pengorekan pasir.

"Setelah diperiksa lanjut, didapati kapal tersebut beroperasi tanpa permit atau lesen yang sah," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata PPM Wilayah Lima kemudian merampas bot tunda, tongkang, dua buah kren serta muatan pasir berkenaan. Beliau berkata, semua suspek serta rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Sarikei dan kes disiasat di bawah Seksyen 32A Kanun Tanah Negeri Sarawak.

Kalai Chelvan berkata, dalam operasi yang sama, pasukannya turut menahan tiga pekerja lelaki bot tunda dan tongkang, dua daripada warga negara India dan seorang warga Sri Lanka selepas mendapati mereka melakukan kesalahan permit kerja. "Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sg Merah, Sibu. Mereka telah ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Sibu untuk tindakan lanjut," katanya. - BERNAMA

Saturday 22 August 2015

'Bapa Syaitan' Perkosa darah daging

Kapar: Seorang lelaki layak digelar ‘bapa syaitan’ apabila tergamak memperkosa anak perempuannya berusia sembilan tahun sejak setahun lalu.

Sumber polis berkata, perbuatan lelaki berusia 30-an itu terbongkar selepas ibu mangsa bertanya sama ada suspek pernah membuka seluar anak perempuannya itu pada Jumaat lalu.

Menurutnya, mangsa mengaku suspek ada membuka seluar sebelum merogolnya di rumah sejak setahun lalu.

“Mangsa pada mulanya tidak mahu menceritakan kejadian dialami kerana pernah diugut suspek.

“Mangsa akhirnya mengaku suspek merogolnya terutama ketika ibu mangsa tiada di rumah,” katanya.

Sumber itu berkata, ibu mangsa kemudian segera membuat laporan polis petang Jumaat lalu selepas yakin dengan maklumat diberikan anak perempuannya itu.

“Susulan laporan diterima itu, polis berjaya menahan suspek tidak lama kemudian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung kejadian itu.

Friday 21 August 2015

PASANGAN BERPENAMPILAN ALIM DITANGKAP KHALWAT

Kuala Lumpur: Penampilan alim dengan mengenakan kopiah dan bertudung hijab. Namun itu bukan jaminan buat sepasang kekasih mampu melawan hawa nafsu apabila ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana berkhalwat.

Pasangan masing-masing berusia 17 dan 20 tahun itu ditahan anggota penguat kuasa JAWI di sebuah hotel di Brickfields di sini, jam 1 pagi kelmarin.

Lebih memalukan suspek lelaki dikatakan menuntut di universiti awam dalam jurusan pengajian Islam, manakala pasangannya di sebuah universiti swasta di Lembah Klang.

Ketua Penguat kuasa JAWI Wan Jaapar Wan Ahmad berkata, pihaknya mengambil masa 10 minit mengetuk pintu bilik hotel dihuni pasangan itu.

Menurutnya, penuntut universiti itu akhirnya memberi kerjasama membuka pintu bilik sebelum memakai pakaian masing-masing.

AWAN RIBUT DI KOTA BHARU,FENOMENA BIASA - PAKAR



Kota Bharu: Kemunculan awan ribut seperti ombak di bandar ini kira-kira 5 petang tadi adalah fenemona biasa akibat taufan di utara Filipina.

Gambar awan itu menjadi ‘viral’ di laman sosial Facebook petang tadi dengan ramai yang mengungkapkan ‘Subhanallah’ kerana ia tanda kebesaran Allah SWT.

Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, garisan awan begitu yang dinamakan 'Garis Badai' turut membawa bersama angin kencang dan hujan lebat di sesetengah tempat.

"Disebabkan kehadiran taufan di utara Filipina yang bergerak ke arah Taiwan, maka di sebelah utara semenanjung dan Pantai Timur juga berlaku pembentukan awan begini.

"Ia cuma melintasi dari Kedah ke Kelantan menghala ke Laut China Selatan, untuk ke arah taufan berkenaan. Mengikut radar cuaca, pergerakannya adalah pada 5 petang hingga 6 petang.

"Laluannya membawa bersama hujan dan angin kencang yang kemudian membentuk Garis Badai ini, kadangkala disertai awan ribut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Hisham berkata, fenomena itu juga diramal berlaku selama tiga hari lagi sehingga 24 Ogos.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dan dinasihatkan tidak mudah membuat spekulasi yang bukan-bukan, sebaliknya merujuk laman web Met Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai perubahan cuaca.







Empat cedera termasuk anggota polis



Kuala Lumpur: Seorang anggota polis dan tiga ahli MIC cedera di kepala selepas terkena pelbagai objek keras termasuk batu, kayu dan besi yang dibaling ketika kekecohan tercetus di pekarangan ibu pejabat MIC petang tadi.

Kekecohan dipercayai berpunca daripada penyokong bekas Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel yang cuba memasuki kawasan ibu pejabat parti itu, tetapi dihalang.

Keadaan kelam-kabut itu dapat diredakan oleh polis termasuk pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang meleraikan pergaduhan antara kumpulan penyokong Palanivel dan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Proses pencalonan bagi pemilihan presiden parti itu ditutup pada jam 6.30 petang tadi.

Thursday 20 August 2015

Dakwaan 'pembersihan' di Cawangan Khas, fitnah - KPN



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan kononnya proses penggantian pucuk pimpinan Bahagian Cawangan Khas Bukit Aman sebelum ini dibuat sebagai sebahagian daripada proses 'pembersihan'.

Menyifatkan ia fitnah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sebaliknya menjelaskan penggantian membabitkan jawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah di bahagian terbabit sebelum ini adalah satu perkara biasa.

"Dakwaan bahawa Cawangan Khas sedang melalui proses 'pembersihan' bagi menggantikan pucuk pimpinan tertingginya dengan Pengarah dan Timbalan Pengarah yang baharu adalah fitnah semata-mata.

"Datuk Seri Mohammad Fuzi Harun (sebelum ini Pengarah Pengurusan Bukit Aman) sendiri adalah bekas pegawai Cawangan Khas, amat berpengalaman dan dilantik menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat (bekas Pengarah Cawangan Khas) yang bersara selepas beberapa kali dilanjutkan tempoh kontrak perkhidmatannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid mengulas beberapa laporan media sebelum ini berhubung pertukaran beberapa individu dalam Cawangan Khas dengan mengaitkan kononnya ia mempunyai campur tangan pihak tertentu.

Beliau menjelaskan, dakwaan beberapa media kononnya majlis serah tugas yang dibuat secara tertutup dengan kiasan ia atas sebab tertentu juga, dilihat satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Majlis sebegini bukanlah satu perkara yang luar daripada kebiasaan dan amalan dalam PDRM, lebih-lebih lagi bagi Cawangan Khas yang tidak pernah mencari publisiti," katanya.

Khalid turut menjelaskan bahawa Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Datuk Abdul Hamid Bador tidak pernah diarah untuk bercuti, sebaliknya percutian beliau adalah atas permohonannya sendiri dengan tujuan untuk berehat.

Katanya, Abdul Hamid juga sedia maklum mengenai pertukarannya ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) ditawarkan selepas beliau menarik balik hasrat untuk bersara awal.

"Pertukaran Abdul Hamid sebagai Timbalan Pengarah Isu-Isu Keselamatan dan Transnasional (SIS) (di JPM) adalah sebagai satu pengiktirafan atas kemampuan dan pengalaman beliau dalam menangani isu-isu keselamatan.

"Pertukarannya keluar dari PDRM bukanlah sesuatu 'out of the ordinary'. Sebelum ini, Tan Sri Bakri Omar; Tan Sri Zaman Khan; Datuk Seri Zulkifli Md Noor dan saya sendiri pernah ditempatkan di beberapa agensi kerajaan bagi tujuan memenuhi tuntutan dan keperluan semasa," katanya.

Justeru, Khalid mahu media lebih berhati-hati dalam menyiarkan berita kerana laporan yang tidak tepat akan mengundang pelbagai bentuk implikasi dan boleh menjejaskan ketenteraman awam.

6 anggota pasukan keselamatan antara 10 suspek ditahan terbabit aktiviti IS - KPN



KUALA LUMPUR: Enam anggota pasukan keselamatan antara 10 suspek yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam operasi serentak di enam negeri, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata lapan suspek lelaki dan dua suspek wanita itu adalah rakyat Malaysia itu berusia antara 24 hingga 42 tahun.

Selain enam anggota pasukan keselamatan, beliau berkata dua lagi suspek adalah kakitangan kerajaan, seorang bekas pereka bentuk dalaman dan seorang guru tadika.

"Semua mereka disyaki terbabit dalam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan pengganas IS, mengumpul dana untuk membantu kumpulan militan IS (dan) mengatur pemergian rakyat Malaysia ke Syria bagi menyertai kumpulan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata, mereka juga terbabit dalam perancangan membeli senjata api bagi tujuan melancarkan serangan di Malaysia, membantu penyusupan masuk suspek IS yang kembali dari Syria serta merekrut rakyat negara ini untuk menyertai kumpulan terbabit, selain terbabit menyembunyikan maklumat berhubung aktiviti IS.

Beliau berkata, semua mereka ditahan kerana melakukan kesalahan berkaitan keganasan mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Tindakan guling kerajaan adalah haram, kata Mufti Perak



IPOH: Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata  tindakan mengguling kerajaan adalah haram kerana tindakan itu tidak terdapat dalam ajaran Islam.

Beliau berkata sebagai seorang Islam perlu mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Katanya orang Islam diwajibkan untuk menasihati kerajaan jika terdapat unsur kezaliman dalam pentadbiran dan itu merupakan jihad terbesar.

"Dan ini kita sudah usahakan. Kita telah menubuhkan pertubuhan ulama umarak yang terdiri daripada perdana menteri, menteri-menteri dan ulama, mufti-mufti yang kita adakan persidangan setiap tiga bulan sekali.

"Dalam mesyuarat itu kita akan memberi nasihat dan pandangan ... kita tegur apa yang patut dan tidak patut dibuat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Restoran D'Asnaf di sini hari ini.

Harussani berkata sebagai anggota kerajaan termasuk menteri dan Exco kerajaan negeri, mereka telah berikrar melaksanakan tugas mengikut perlembagaan yang ditetapkan.

"Ikrar berkenaan yang menyatakan sumpah dengan nama Allah sebanyak tiga kali merupakan sumpah yang perlu dilaksana ... kalau dia melanggar sumpah, maknanya dia dilaknat Allah.

"Bila kita bersumpah selagi sumpah itu tidak melanggar syarak, wajib kita laksanakan ... kalau bersumpah untuk melakukan benda melanggar syarak, wajib dia batalkan sumpah," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai 'vape', Harussani berkata setiap sesuatu yang mendatangkan bahaya terhadap kesihatan adalah haram menurut Islam.

"Setakat ini belum lagi (dikeluarkan fatwa rasmi)... jika ada orang minta untuk keluarkan fatwa, kita (Majlis Fatwa Kebangsaan) akan panggil bahagian pendidikan dan kesihatan untuk terangkan kepada kita, baru buat (keluarkan) fatwa," katanya.

Tuesday 18 August 2015

Geng Ranggi tersungkur

Shafien Mamat (tengah), bersama pegawai menunjukkan tiga orang penjenayah yang dikehendaki sindiket samun kilang di sekitar Shah Alam dan Klang ketika di Sidang Media IPD Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Shah Alam: Polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 29 tahun yang dipercayai anggota sindiket samun kilang di Kampung Jawa, Klang, kelmarin.

Kedua-duanya yang juga ahli sebuah kumpulan dikenali Geng Ranggi ditahan di rumah masing-masing kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, tangkapan itu susulan daripada penahanan tiga suspek yang menyamun dan membakar kenderaan seorang lelaki di Kampung Baru Hicom, di sini.

"Hasil soal siasat kami menahan dua lagi suspek dan mereka dipercayai aktif dalam kegiatan menyamun kilang. Kami turut merampas barang curi bernilai RM750,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

"Kami masih memburu saki baki kumpulan berkenaan," katanya.

Polis marin Sandakan rampas 2, 600 biji telur penyu seludup



SANDAKAN: Sebanyak 2,600 telur penyu yang hendak diseludup ke daerah ini dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di pesisir pantai Kampung Forest dekat sini, hari ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Madun, berkata nilai rampasan telur penyu itu dianggarkan RM3,120.

Katanya, anggota PPM yang melakukan rondaan di kawasan itu pada jam 4 pagi, mengesan dua lelaki menaiki sebuah bot pam memunggah barang ke pantai.

Kedua-dua lelaki itu bagaimanapun melarikan diri dengan menggunakan bot pam itu sebaik menyedari kehadiran anggota PPM, katanya dalam kenyataan, di sini.

Mohamad berkata, hasil pemeriksaan menjumpai enam bungkus plastik hijau dan dua karung guni berisi telur penyu disyaki diseludup dari negara jiran untuk pasaran gelap di daerah ini.

Katanya, telur penyu itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Senapang buatan sendiri antara tiga senjata api dirampas



SERI ISKANDAR: Polis menahan dua lelaki dan merampas tiga senjata api termasuk senapang buatan sendiri serta senapang angin di sebuah pondok dalam ladang kelapa sawit di Sungai Tumbuh dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman, berkata turut dirampas adalah 101 peluru hidup pelbagai jenama.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 26 dan 44 tahun itu ditahan ketika serbuan pada jam 5 pagi.

Katanya, senjata api yang dirampas adalah selaras senapang patah jenama Spl Forces model Harrington & Richardson Inc, Worcester buatan Amerika Syarikat, selaras senapang buatan sendiri barel 12 bore dan selaras senapang angin bersama scoop armpoint jenama Bushnell 3-9×40EG.

"Polis turut merampas 101 butir peluru hidup 12 bore pelbagai jenama, satu tali pinggang peluru, satu beg jenama Santa Barbara Polo & Racquet Club dan dua telefon bimbit," katanya di sini, hari ini.

Mohamad Fakri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik senapang patah Winchester seandainya ada pemilik yang sah, selain menghantar senjata api dan peluru kepada pihak forensik dan Jabatan Kimia untuk ujian balistik.

Katanya, kedua-dua lelaki masih direman untuk siasatan lanjut.

Polis Tumpas 'African Scam' Guna Gambar Lelaki Kacak Perdaya Wanita



KUALA LUMPUR -- Penipuan licik 'Awang Hitam' memperdaya wanita tempatan menerusi 'Cinta Alam Maya' terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menumpaskan sindiket membabitkan kerugian bernilai RM25 juta dengan penahanan 29 warga Afrika dalam serbuan berasingan di seluruh negara.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Wira Hamza Taib berkata turut ditahan ialah empat orang wanita warga tempatan, seorang wanita warga Indonesia dan seorang warga Thailand yang dipercayai bersubahat dalam sindiket "African Scam' itu yang mula dikesan awal tahun ini.

"Suspek menggunakan akaun bank milik wanita tempatan bagi menipu mangsa ... malah ketika serbuan polis mendapati wanita tempatan tinggal serumah dengan suspek dan melahirkan anak luar nikah," katanya dalam sidang media di sini Isnin.

Beliau berkata dengan penahanan semua suspek yang berumur dalam lingkungan 30-an itu, polis percaya dapat menyelesaikan sebanyak 29 kes daripada 761 kes yang dilaporkan dan menyelamatkan wang tunai sebanyak RM150,000.

Katanya polis turut merampas 50 keping kad ATM bank tempatan, 70 buah telefon bimbit, 16 buah komputer riba dan pelbagai dokumen yang digunakan dalam penipuan itu.

"Modus operandi yang diguna adalah suspek menyamar sebagai lelaki Eropah dan meyakini mangsa bahawa mereka bersedia untuk berkahwin.

"Suspek kemudiannya berpura-pura bahawa mereka akan menghantar hadiah berupa barang berharga seperti jongkong emas, wang dan sebagainya menerusi perkhidmatan kurier dan seterusnya meminta mangsa agar membayar pelbagai jenis cukai sehingga mangsa tertipu," katanya.

Hamzah berkata kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita yang kesunyian, janda dan golongan profesional.

Katanya kerana terpedaya dengan janji manis suspek, ada mangsa yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka telah ditipu walaupun diberitahu oleh pihak polis.

"Saya ingin menasihati rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati dalam menjalani hubungan menerusi internet agar tidak terpedaya dengan 'Cinta Alam Maya' yang mengeksploitasi mangsa dengan menguna gambar-gambar lelaki kacak dan putih," katanya.

Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan maksimum 10 tahun atau dengan sebatan atau denda atau ketiga-tiganya.

Katanya kes itu juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan peraturan-peraturan 1663 dan Akta Pasport (Akta 150).

-- BERNAMA

Monday 17 August 2015

Letupan bom di Bangkok: Dua rakyat Malaysia antara yang terkorban



BANGKOK: Dua rakyat Malaysia antara yang terbunuh dalam letupan bom di bahagian tengah Bangkok, malam tadi, yang turut menyebabkan berpuluh-puluh orang lagi cedera.

Kematian dua rakyat Malaysia itu disahkan oleh pegawai Kedutaan Malaysia di ibu negara Thailand.

Letupan pada kira-kira 7 malam (8 malam waktu Malaysia) berlaku di persimpangan Ratchaprasong, berdekatan dengan Kuil Erawan dan pusat beli-belah Bangkok. Ia turut merosakkan beberapa kereta dan motosikal.

Selain itu, laporan menyatakan beberapa penjaja jalanan dipercayai antara mangsa letupan itu.
Sehingga jam 9.30 malam waktu tempatan, Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan (EMS) Pentadbiran Metropolitan Bangkok mengesahkan seramai 82 orang cedera.

Angka itu diperoleh dari 15 buah hospital di sekitar Bangkok. Bagaimanapun, ia tidak dapat mengesahkan jumlah mereka yang terbunuh.
Persimpangan Ratchaprasong di bahagian tengah Bangkok menjadi lokasi protes jalanan oleh kumpulan Baju Merah pada tahun 2010 dan PDRC (Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat) diketuai Suthep Thuaksuban pada tahun 2014, yang akhirnya mencetuskan rampasan kuasa tentera dan penggulingan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Walaupun pengeboman berlaku tidak jauh dari Stesen Chitlom yang menyediakan perkhidmatan kereta api Bangkok yang dikenali sebagai 'skytrain', perkhidmatan itu masih diteruskan.

Timbalan jurucakap kerajaan, Mejar Jeneral Weerachon Sukhonthapatipak berkata, Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan-ocha telah pun dimaklumkan mengenai letupan bom itu dan mengarahkan Pasukan Pemusnah Bom dikerah ke kawasan berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini, tiada rancangan untuk menutup sekolah dan bank yang terletak berhampiran kawasan itu.
- BERNAMA

Sunday 16 August 2015

Penganjur Bersih 4.0 Hanya Pentingkan Diri – KPN



BATU PAHAT: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan penganjur Bersih 4.0 hanya mementingkan diri kerana sanggup mengadakan demonstrasi yang akan menjejaskan kehidupan harian orang ramai terutama peniaga dan pemandu teksi.

Beliau berkata nama Bersih hanyalah sekadar gelaran namun hakikatnya penganjur tidak mahu mematuhi undang-undang.

“Mereka minta ‘clean’ (bersih) itu, ‘clean’ ini tetapi diri sendiri kotor tidak mahu mematuhi undang-undang. Dia tidak mahu menjaga kepentingan orang lain, dia nak jaga hak dia sahaja, sesuka hati berhimpun.

“Cuba kita tengok, bila mereka mengadakan perhimpunan semua tutup kedai.

Mereka (peniaga) ini tidak ada hak ke. Jadi, fikirkanlah juga hak orang lain,” katanya mengulas cadangan penganjuran demonstrasi Bersih 4.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah) pada bulan ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perbarisan tamat latihan dan pentauliahan Kor Suksis Insitutut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kali ke-11 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, Ahad.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Khalid berkata, pihaknya juga mendapati penganjuran Bersih tidak lagi untuk memperjuangkan pilihan raya bersih namun lebih menjurus untuk menjatuhkan kerajaan.

“Ini saya bagi ingatan … jika ini tujuan mereka (jatuhkan kerajaan), polis akan ambil tindakan-tindakan pencegahan dan saya ingatkan penganjur-penganjur Bersih agar berhati-hati,” katanya.

Berhubung pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa terdapat gerakan untuk menggulingkan kerajaan yang didalangi seorang tokoh Umno dengan sokongan anggota Parlimen pembangkang, Khalid berkata polis sedang memantau perkembangan yang berlaku ketika ini.

“Jika mana-mana orang dan parti politik cuba menurunkan kerajaan sedia tanpa mengikut Perlembagaan dan undang-undang (ia kesalahan serius), kita akan ambil tindakan,” katanya.

Berkenaan Kor Suksis, beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbang untuk mengkaji semula silibus latihan bagi memantapkan lagi pasukan itu.

Sebanyak 1,026 pelatih Kor Suksis menerima sijil tamat latihan pada majlis itu.– Bernama


Bekas polis bergelar Datuk didakwa belasah pelajar


datuk
SHAH ALAM
– Dua pelajar lelaki berusia 17 tahun dibelasah oleh seorang bekas pegawai polis bergelar Datuk, dipercayai akibat salah faham kerana menyangka kedua-dua mereka hendak memecah masuk sebuah rumah.

Bekas pegawai polis yang juga jiran kepada rakan pelajar tersebut dikatakan mengacukan pistol kepada remaja berkenaan yang dikatakan datang ke rumah rakannya itu di Seksyen 7 di sini, untuk mengulang kaji pelajaran namun penghuninya tiada di rumah.

Dalam kejadian tersebut, selain mengacukan pistol, bekas pegawai polis terlibat turut dikatakan melepaskan satu das tembakan ke udara.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, ketika dihubungi mengesahkan menerima tiga laporan berhubung insiden membabitkan dua remaja dan bekas pegawai polis bergelar Datuk tersebut.

“Polis ada menerima laporan polis membabitkan kejadian berkenaan selain membuat penahanan semula terhadap dua remaja berkenaan. Selepas siasatan dijalankan, kedua-dua mereka dibebaskan.
Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh rumah dan sengaja menyebabkan kecederaan dengan sengaja serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya.

Kejadian itu mendapat perhatian umum selepas beberapa keping gambar serta kisah mereka dimuat naik saudara kepada seorang remaja terbabit sehingga ia tersebar melalui media sosial.
Antara gambar berkenaan menunjukkan dua remaja itu dipaksa meniarap di atas jalan di hadapan sebuah rumah dengan dua lelaki dewasa mengawasi mereka serta gambar kecederaan yang mereka alami.

Sementara itu, dalam laman sosial yang dimuatnaik dipercayai anak kepada pemilik rumah, menyatakan kedua-dua rakannya itu masuk ke rumahnya kerana pintu pagar sudah terbuka namun tiada sesiapa di rumah sebelum jiran mereka menangkap kedua-duanya.
“Pintu pagar terbuka, mereka ingat ada orang di rumah dan selepas mendapati tiada sesiapa, kedua-duanya keluar sebelum ditangkap jiran. Mereka dituduh mencuri tetapi semua ini salah faham,” katanya.

Friday 14 August 2015

Aktiviti komunis di Kajang dan Semenyih, Selangor




1948 pihak berkuasa telah menjumpai satu tempat simpanan senjata komunis di Kajang. Senjata ini dipercayai senjata yang dibekalkan oleh British semasa pendudukan Jepun dahulu.

Pada 27 Jun 1948, seorang mandur penoreh getah berangsa Cina di Estet Braemar , Kajang telah ditembak mati di luar sebuah kedai di sebuah kampung kecil di Sungai Kantan pada 10.15 malam. Dalam badannya diselitkan secebis nota dalam bahasa Cina yang berbunyi " to destroy labour thief" Estet Braemar ialah Taman Saujana Impian, Kajang sekarang ini.

Pada 23 Julai 1948, pendaftaran kebangsaan dan penggunaan kad pengenalan telah diperkenalkan di seluruh Tanah Melayu. Ia bertujuan untuk membezakan penduduk yang mematuhi undang-undang dengan mereka yang berniat untuk menyebarkan unsur subversif. Mereka yang tiada kad pengenalan akan dituduh sebagai komunis.

Julai - 2 November 1948 beberapa kejadian subversif berlaku di Kampung Kachau, Semenyih .

Julai 1948 seorang kanak-kanak lelaki British telah dibunuh di Kampung Kachau, Semenyih.

Sejak 10 Ogos 1948 kedai-kedai Cina yang meriah di Kajang ditutup , jalan raya yang sibuk menjadi lengang kerana ancaman dan ungutan komunis

15 Ogos 1950 pengurus ladang getah Sir Day dari Ladang Glenshiled , Kajang dibunuh. Turut terbunuh 2 polis konstable dan keraninya Lee Bien Chee. 13 orang pengganas komunis membunuh mereka ketika dalam perjalanan ke Sungai Reko. Turut hilang wang RM4062.30 , 1 senapang riflle jenis 313 , senapang pendek.

Jam 2 pagi, 2 November 1948, segerombolan komunis telah membakar rumah asap dan gudang getah di Ladang Dominion jam 2.00 pagi . Semenyih. Mereka mengancam seluruh penduduk Semenyih .

2 November 1948 Rumah-rumah setinggan Cina dan kedai-kedai di Kampung Kachau, Semenyih telah dibakar oleh pasukan keselamatan British dan diarahkan pindah ke pekan Semenyih, Seremban dan negeri Johor. Sebahagian yang lain diarahkan pindah ke Kampung Baru Semenyih. Kampung Kachau ini disyaki menjadi tempat persembunyian komunis . Di belakang Kampung Kachau ada sebuah bukit dan dijadikan sebagai kubu komunis. Kini tempat tersebut dijadikan Tanah Perkuburan Nirwana , Semenyih.

Seluruh kampung telah hangus dijilat api. Lebih kurang 500 penghuni kehilangan tempat tinggal. Mereka diarahkan pindah dalam tempoh sejam pada malam itu juga . Mereka turut berdepan dengan kekurangan makanan. Sebanyak 61 buah rumah di Kampung Kachau ( berhadapan dengan rumah Cikgu Abdul Azis bin Mohd Noor di Kampung Pasir / Kampung Kachau ) telah dibakar. Kesan-kesan peninggalan tapak rumah yang terbakar masih ada sehingga sekarang. Contohnya perigi, batu lapik tiang rumah , tapak kedai dan lain-lain. Kebanyakan ialah rumah setinggan Cina dan deretan beberapa buah kedai Cina.

Pihak pengganas komunis telah melancarkan serangan hendap ke atas penduduk kampung di Kajang dan Semenyih sehingga menyebabkan seorang pengurus ladang terbunuh.

2 November 1949 polis menangkap 500 orang yang disyaki menjadi talibarut komunis di Semenyih dan Kajang. Polis telah menemui 10 buah khemah dan 13 pondok atap. Kebanyakan mereka ialah orang tua, kanak-kanak dan kaum wanita. Sedangkan kaum lelaki majoritinya telah masuk ke hutan menyertai pengganas komunis. Penahanan dan pembakaran pondok atap setinggan-setinggan Cina ini telah menyebabkan penghuni mencari perlindungan di bandar atau di Kuala Lumpur dan menyebabkan kesesakan di bandar.

Seramai 2000 penduduk Balakong diarahkan pindah kerana bersimpati dengan komunis . Mereka turut memberi bantuan ubat, makanan , wang dan pelbagai peralatan lain kepada pengganas komunis. Sebahagian mereka membantu komunis secara paksa atau sukarela.

Pada 1950 seramai 60 penduduk setinggan sekitar Semenyih telah ditahan oleh pihak komunis atas tuduhan kerana memberi bantuan kepada komunis. Mereka merahsiakan maklumat tentang pergerakan komunis di Semenyih. Sebaliknya mereka memberi pelbagai jenis bantuan secara sukarela kepada pengganas komunis.

28 Februari 1950 pembunuhan seorang guru di sebuah sekolah Melayu di Semenyih . Tapi kes ini tidak dilaporkan kerana ketika itu mahu merahsiakan kes pembunuhan tersebut oleh pengganas komunis.

Pada 12 Mac 1950 kira-kira jam 11 pagi, tiga pengganas Cina bersenjata menembak mati dua orang Melayu di Ladang Kampung Kachau , Semenyih , Selangor ketika mangsa sedang memetik buah kelapa.

Sebuah lori yang membawa susu getah dalam perjalanan menuju Estet Sungai Tangkas , Bangi telah diserang hendap oleh pengganas komunis. Pemandu lori dibunuh dan lori telah dibakar. Semua penoreh getah di ladang itu diancam bunuh ketika menoreh getah lagi.

Pada Disember 1950, seorang [[Pegawai Daerah] Mantin , ngeri Sembilan bersama 5 orang polis konstable dan 1 polis berbangsa Cina telah di serang hendap di Batu 11 , Semenyih. Tempat itu berhampiran dengan Kampung Sungai Pening berhampiran dengan Perkuburan Cina Nirwana dan air terjun Sungai Tekala, Semenyih .

Pada 1950 Sarjan Blenkinsop , seorang pegawai British bersama SC Jarmari, SC Haji Abdul Ghani , SC Akri dan SC Basir dan seorang pekerja ladang dan jip polis mereka telah diserang hendap di Batu 15, Jalan Jekang, Dengkil ketika dalam perjalanan ke Ladang Teras Jernang , Bangi . Sarjan Blenkinsop dan SC Abdul Ghani terbunuh.

Sir Harold Brigg mengklasifikasikan Kampung Kachau sebagai kawasan komunis yang aktif. Tambahan pula sejak 30 Oktober 1948, bilangan setinggan Cina meningkat secara mendadak di Semenyih . British telah mengadakan ‘operasi Menyoal siasat di Kampung Kachau ‘ pada 20 Julai 1948. Rumah-rumah setinggan ini disyakki menjadi rumah persembunyian komunis.

25 Januari 1950 seorang penghulu Hulu Langat telah ditembak . Beliau telah cedera dan keretanya rosak teruk. Beliau dalam perjalanan pulang dari pejabat ke kampungnya.

1950 kerajaan bertindak melaksanakan Peraturan Darurat 17D untuk memutuskan hubungan penduduk Semenyih dengan pihak komunis. Di bawah peraturan tersebut , seramai 1500 penduduk Semenyih telah dipindahkan dan dihantar ke pusat pemulihan di Kluang, Johor.

Seramai 6 orang penduduk Sungai Long , Kajang telah ditangkap oleh polis berikutan penemuan enam buah khemah komunis . Mereka telah ditahan di Kajang dan kemudian dihantar pulang ke negara China. Tindakan ini dibawah Peraturan Darurat 17D . Beberapa orang penduduk di Sungai Jelok. Kajang turut dikenakan tindakan yang sama. Terdapat banyak ladang getah dan kawasan bukit-bukit di Sungai Jelok . Sebahagian kawasan Sungai Jelok telah dibina Penjara Kajang dan lebuhraya Seremban - Kajang ( Kajang - Seremban Highway KASEH ) .

15 Februari 1951 seramai 1500 penduduk melayu Jenderam, Sepang, Selangor telah dipindahkan ke kem tahanan Kluang , Johor . Kebanyakan pengganas komunis Melayu yang beroperasi di sempadan Selangor dan Negeri Sembilan datangnya dari pemuda Melayu Kampung Jenderam. Mereka ada pertalian persaudaraan atau berasal dengan tokoh komunis seperti Tan Malaka dari Sumatera, Indonesia.

Pada 28 Mac 1951 , jam 9 pagi , Wong Kim Poh yang bertugas sebagai Timbalan Pegawai Penempatan Semula telah ditembak mati oleh pengganas komunis dalam satu serang hendap di Balakong . Beliau bertugas bersama dengan kontraktor dan beberapa orang pekerja penempatan semula.

Pada 1 Julai 1951, perintah darurat dilaksanakan di Kajang, Semenyih dan Broga akibat pembunuhan enam pegawai polis dalam satu kejadian serang hendap.

Menurut W.G.S Cony, terdapat 46 buah kampung baru di Selangor.Antaranya ialah Kampung Baru Semenyih dan Kampung Baru Melayu ( Kampung Sentosa ) Semenyih.
13 Januari 1953, kerajaan mengumumkan catuan dan kawalan makanan di selatan Selangor bagi menghapuskan saki baki gerombolan pengganas komunis di Kajang.

Polis memburu secara besar-besaran ketua pengganas komunis bernama Liew Kon Kim di Sungai Pelek, Sepang. Liew Kon Kim ada janggut dan orang Melayu Semenyih menggelarnya Janggut sahaja.

Pada 1954 pengasas pengganas komunis bernama Liew Kon Kim dan Lau Cheng telah dapat dibunuh di Kuala Selangor .Tempat operasi Liew Kon Kim ialah di sekitar Sungai Jelok . Dia telah melarikan diri ke Kuala Selangor.

16 Januari 1956 - Timbalan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya bernama Yeong Kwo telah dapat dibunuh . Kawasan utama operasinya ialah di Semenyih dan Kajang . Pembunuhan ini memberi tamparan hebat kepada pergerakan pengganas komunis. Moral mereka semakin merosot untuk berjuang. Pengganas komunis yang terselamat telah menyerah diri dan keluar dari hutan. Sebahagiannya pula berundur ke kawasan sempadan Thailand.

31 Julai 1960 Darurat diisytiharkan tamat setelah mendapati pergerakan komunis semakin lemah dan berjaya dipatahkan.

Namun sakibaki komunis masih wujud dan bertempur dengan tentera Malaysia di Lebuhraya Timur Barat terutama dalam Operasi Gonzales.

2 Disember 1989 , Perjanjian Perletakan Senjata antara Kerajaan Malaysia , Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaya telah dibuat di Hotel Le Garden , Haadyai, Thailand ditandatangani .Perjanjian ini dinamakan Perjanjian Haadyai. Ini berikutan keruntuhan kerajaan komunis di Rusia dan Kerajaan komunis China tidak berminat lagi membantu Parti Komunis Malaya. Turut serta dalam perjanjian tersebut ialah Chin Peng, Rashid Maidin, Dato Rahim bin Noor, Dato Megat Junid Megat Ayub dan lain-lain.

Foto - Pasukan Keselamatan telah berjaya menangkap 6 orang anggota
komunis wanita di Kuala Langat pada 3 Mac 1953.

Letupan gemparkan Bukit Aman


IMG20150814144126

Keadaan bilik pengawal di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman gempar seketika dengan bunyi letupan. Foto TRP/ Noraizura Ahmad


KUALA LUMPUR, 14 Ogos:

Orang ramai dan anggota polis terkejut apabila terdengar bunyi letupan di bilik pengawal di pintu utama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, kira-kira enam anggota dan beberapa pengamal media terkejut selepas terdengar bunyi letupan dan percikan api di dalam bilik itu.
Difahamkan, dipercayai berlaku litar pintas di bahagian pendingin hawa dan menyebabkan letupan.
“Anggota yang bertugas memadamkan kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api bagi mengelakkan api merebak.
“Keadaan dapat dikawal dengan cepat dan tiada kecederaan dilaporkan,” kata seorang pengamal media yang berada di tempat kejadian.
Susulan kejadian itu, semua pengamal media yang hadir untuk sidang media terpaksa menunggu bagi memberi laluan anggota untuk membersihkan tempat kejadian.
Keadaan kembali seperti biasa kira-kira setengah jam kemudian.
 
- The Rakyat Post - 

Jawatan Kosong Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) – September 2015

Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) mempelawa pemohon daripada warganegara Malaysia yang berminat dan berkelayakan untuk mengisi jawatan kosong terkini sebagai :
1. Arkitek J41 (7 Kekosongan)
2. Jurutera J41 (39 Kekosongan)
3. Penolong Pegawai Senibina JA29 (5 Kekosongan)
4. Penolong Juruukur Bahan JA29 (4 Kekosongan)
5. Penolong Juruukur JA29 (10 Kekosongan)

Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) ialah salah satu jabatan kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab membina dan menjaga infrastruktur awam di Malaysia seperti laluan persekutuan dan negeri, bangunan kerajaan, elektrik, air dan banyak lagi. Agensi ini terletak di bawah Kementerian Kerja Raya Malaysia.



Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jawatan kosong Jabatan Kerja Raya (JKR) ini dan memohon secara online, sila klik di sini.
Tarikh tutup permohonan : 07 September 2015
Penempatan : Sarawak

Ibu Tunggal Tawar Khidmat Seks Kepada Anggota Polis Dipenjara Enam Bulan

IMG-20150703-WA036

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan memerintahkan Suhaili Abu Kasim, 35, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap tiga hari lepas.

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan memerintahkan Suhaili Abu Kasim, 35, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap tiga hari lepas.

Suhaili, seorang peniaga kecil, didakwa menawarkan khidmat seks kepada anggota polis itu di hadapan sebuah premis di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Dang Wangi di sini kira-kira 1.50 tengah hari pada 11 Ogos.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Suhaili memohon hukuman ringan atas alasan dia menghidap penyakit asma selain perlu menanggung seorang anak berusia tujuh tahun yang dijaga jirannya dan menjaga ibu bapanya yang uzur.

“Saya minta maaf, saya buat kerja ini kerana saya orang susah dan kesempitan hidup. Janganlah penjara saya. Saya lebih rela membayar denda daripada dihukum penjara,” kata Suhaili sambil menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh.

Ashraf Rezal berkata mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh merupakan ancaman kepada masyarakat.

Beliau memberitahu Suhaili bahawa alasan kesusahan hidup tidak boleh dijadikan faktor untuk tertuduh berbuat demikian.

“Jangan ulangi lagi kesalahan ini. Saya doakan agar anak kamu dijaga dengan baik oleh jiran,” kata majistret itu.

Di mahkamah sama, seorang pemotong rumput dihukum penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memiliki motosikal curi, lapan bulan lepas.

Ashraf Rezal menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Ramani, 37, dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 Jun lepas.

Dia dituduh memiliki motosikal curi milik Muhammad Saidi Abu Hassan, 28, di kawasan Jalan Lengkok Abdullah, Brickfields di sini pada 2.30 petang 24 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda.

— BERNAMA

PROGRAM BERSEPADU 1 AYAH 2 IBU PALSU - KPWKM



Assalammualaikum semua rakan2 media

Untuk Makluman
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ( KPWKM ) menafikan penglibatan Program  Bersepadu 1Ayah 2 Ibu
Siasatan dalaman telah dijalanankan dan pihak Kementerian sedang dalam proses membuat laporan polis. Kenyataan media rasmi akan di keluarkan.

Moga kerjasama rakan2 media supaya tidak share picture ini supaya tidak menjadi viral.

Sekian Terima kasih.

Rokok Elektronik Vapor Dikhuatiri Penyebab Kanser



KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Pakar kanser berpendapat tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan rokok elektronik menjadi punca penggunanya menghidap penyakit maut, iaitu kanser.

Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Dalilah Kamaruddin berkata proses pengewapan cecair nikotin, yang dihasilkan daripada rokok elektronik, akan disedut pengguna dan wap nikotin mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik.

Beliau berkata asid tersebut merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia.

"Lagipun, kita tak boleh guna cecair nikotin walaupun sukatannya sedikit kerana dikhuatiri hasil resapannya ke dalam darah akan mengubah kandungan efisien dalam badan, kerana selain nikotin, cecair itu juga mengandungi gliserin.

"Malahan nikotin yang diwapkan itu sama dengan asid nitrik yang boleh menyebabkan kanser," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Dr Dalilah mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, yang menasihati pengguna shisha dan vapor supaya berhenti menggunakannya buat sementara waktu sehingga keputusan mengenai risikonya diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Kementerian itu kini sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan penggunaan rokok elektronik itu.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj menyokong cadangan kerajaan itu dan alasan pengguna untuk berjimat daripada membeli batang rokok adalah tidak wajar.

"Kita seharusnya melihat gejala ini dari segi kesihatan dan bukannya kos. Kalau nak berjimat tetapi kesihatan diabaikan, jika sakit sudah tentu akan memakan kos yang lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, hasil tinjauan Bernama hari ini di sekitar Kampung Baru, di sini mendapati, rata-rata mereka tidak akan berhenti menggunakan vapor selagi keputusan kajian belum dikeluarkan.

Seorang Pegawai Perhubungan Awam dari Shah Alam, Saiful Hazim Abdul Razak, 29, ketika ditemui di sini berkata beliau tidak akan berhenti menggunakan vapor walaupun mengetahui terdapat bahan yang berbahaya di dalam vapornya.

Beliau menggunakan rokok elektronik jenis 'Mod Zero Geeco' yang dibeli secara dalam talian pada harga RM120.

"Saya tidak akan berhenti, lagipun saya hisap vape ini sesekali sahaja kerana saya bukan perokok tegar. Pada pandangan saya ia sebenarnya lebih selamat berbanding rokok biasa," katanya yang menggemari perisa 'sirap bandung'.

Seorang juruteknik dari Manjung, Perak, Syafiq Ali, 24, yang merupakan perokok tegar turut tidak mahu berhenti walaupun beliau tidak terlalu ketagih dengan vapor kerana katanya ia tidak memberi kepuasan berbanding rokok biasa.

Beliau mula menjadi perokok sejak di bangku sekolah, kini sanggup membelanjakan RM500 untuk membeli vapor hanya kerana mahu mengikuti trend terbaharu.

Dalam pada itu, vapor juga dijadikan alasan untuk berhenti merokok bagi Mohd Luqman Hashim, 26, dari Cheras.

"Saya sudah lima bulan berhenti merokok sejak menggunakan vape ini. Bagi saya vape lebih selamat berbanding rokok," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday 12 August 2015

‘Shisha Stick’ Alat Baharu Lepas Gian Remaja Sekolah



KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) — Belum lagi reda isu rokok elektronik berperisa ganja, warga kota dikejutkan pula trend terbaharu ‘shisha stick’, dipercayai mengandungi bahan menyebabkan ketagihan dan menjadi kegilaan golongan remaja.

Berbentuk dan bersaiz sama seperti pen serta mempunyai pelbagai warna, ‘shisha stick’ mudah disembunyi sebagai alat tulis, menurut satu status pengguna laman sosial ‘Facebook’ yang turut memuat naik gambar bahan berkenaan.

Pengguna Facebook berkenaan menarik perhatian harga ‘mampu milik’ di sekitar RM17 ke RM20 dengan pelbagai perisa memudahkan lagi ia dibeli pelajar sekolah. Status itu turut dikongsi pengguna sosial media lain dan menjadi viral sejak minggu lepas.

Hasil maklumat itu, Bernama membuat tinjauan di sekitar ibu kota dan mendapati ia dijual secara sembunyi hanya kepada golongan tertentu selain boleh juga didapati, antara lain, di kedai serbaneka.
Penulis berusia awal 40-an ini menyamar sebagai pembeli di Pasar Larut Malam Danau Kota, Setapak, di sini namun gagal apabila seorang penjual rokok elektronik memberi pelbagai alasan untuk tidak menjualnya kepada penulis.

Penjual itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam pada mulanya tidak mengaku menjual barangan itu namun setelah dipujuk, dia mengaku pernah menjualnya.

“Dulu memang ada jual tapi sekarang tak ada stok lagi abang,” katanya.
Bagaimanapun, rakan sekerja berumur awal 20-an yang menyamar sebagai pelajar sekolah berjaya membeli ‘shisha stick’ di sebuah kedai serbaneka yang turut menjual barangan runcit dari Timur Tengah di Jalan Bukit Bintang, setelah terpaksa mengambil masa lama berunding.

Shisha stick itu tidak disimpan secara terbuka, dan peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Malek hanya mengeluarkan barangan berkenaan dari sebuah bungkusan apabila pelanggan terdahulu beredar.

“Do you want this one (shisha stick)…,” kata Malek sambil menambah bahawa dia hanya mempunyai baki lapan shisha stick dalam stoknya.

Kelihatan resah sepanjang urusan jual beli itu, Malek bagaimanapun enggan mendedahkan asal barangan berkenaan.

Shisha stick itu dibeli oleh wartawan Bernama dengan harga RM17.
Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata shisha stick atau dikenali sebagai ‘Shisha Pen’ ataupun dengan nama ‘Hookah Pen’ adalah kategori rokok elektronik dan mempunyai fungsi yang sama seperti ‘Vapor’.

Katanya shisha stick tidak popular berbanding vapor disebabkan kandungan cecair perisa yang sedikit dan tidak memberi kepuasan kepada pengguna berbanding vapor.

“Sehingga kini tiada undang-undang berkaitan larangan mengguna shisha stick,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata namun demikian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Kementerian Pendidikan peringkat negeri dan daerah serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan berkerjasama bagi memantau penyalahgunaan bahan yang disyaki mengandungi dadah.

Mohd Mokhtar berkata pemantauan dan risikan polis mendapati setakat ini penggunaan shisha stick bukan merupakan kaedah baharu bagi penyeludupan dan pengedaran dadah jenis ganja di negara ini.
— BERNAMA

Polis benarkan perhimpunan Bersih 4.0 dengan bersyarat



Perhimpunan Bersih 4.0 yang dijangka diadakan di beberapa lokasi seluruh negara 29 Ogos ini, dibenarkan selagi ia tidak mengganggu ketenteraman awam, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.
Noor Rashid berkata ia bagaimanapun perlu dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada dan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Sekiranya perhimpunan itu didapati mendatangkan gangguan kepada masyarakat, mengganggu lalu lintas atau diadakan dengan sengaja atas tujuan tertentu seperti menghasut orang ramai untuk jatuhkan kerajaan, kita akan bertindak," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Pemandu Berhemah Sempena Op Selamat 7/2015 di Kuala Lumpur, hari ini Akta Perhimpunan Aman 2012 antaranya memperuntukkan  penganjur perlu memberi notis penganjuran kepada polis selewat-lewatnya 10 hari sebelum acara, yang mana denda sebanyak RM10,000 akan dikenakan sekiranya gagal berbuat demikian.
Di bawah akta itu, perhimpunan dilarang diadakan dalam linkungan 50 meter dari tempat ibadat, stesen janakuasa elektrik, stesen minyak, terminal pengangkutan, tadika dan juga sekolah. – Bernama, 12 Ogos, 2015.

Lelaki Ditahan, Ganja Bernilai RM258,000 Dirampas Di Relau



GEORGE TOWN, 12 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki, dipercayai antara anggota sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini, ditahan dan polis menemui sejumlah 86 kilogram ganja bernilai RM258,000 dalam but keretanya di sebuah kawasan apartmen di Relau di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt Guan Beng Kang berkata pemeriksaan di rumah lelaki berusia 41 tahun itu dibuat Isnin (10 Ogos) lepas, hasil siasatan terhadap lelaki terbabit yang ditahan di Alor Setar, Kedah, sehari sebelum itu (9 Ogos).

"Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) menemui 86 kilogram ganja itu dalam ruang khas dalam but kereta jenis Honda Civic milik lelaki terbabit yang diletakkan di kawasan parkir apartmen itu," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Beliau berkata lelaki yang ditahan itu adalah anggota sindiket pengedaran dadah yang aktif di negeri ini dan siasatan mendapati penganggur itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak enam bulan lepas.

Lelaki terbabit mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah dan polis percaya kesemua ganja yang dirampas itu adalah untuk pasaran negeri-negeri di utara Semenanjung, katanya.

Gan berkata polis percaya penahanan lelaki terbabit berjaya melumpuhkan antara sindiket penyeludupan dan pengedaran ganja terbesar di negeri ini dan usaha mengesan beberapa lagi anggota sindiket itu giat dijalankan.

-- BERNAMA

Polis Kenal Pasti Suspek Pecah Masuk Rumah Timbalan Menteri



PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) — Polis telah mengenal pasti suspek dalam kes memecah masuk kediaman seorang timbalan menteri di Presint 10 di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan berkata suspek warga Myanmar berumur 23 itu dikenal pasti melalui kesan cap jari pada balang kaca di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan menemui 15 kesan cap jari pada bekas makanan tersebut, namun analisis lanjut mendapati cap jari suspek lebih dominan dan masih baharu.

“Kesan cap jari itu sepadan dengan data peribadi suspek yang pernah ditahan Imigresen Pulau Pinang pada 2010 sebelum dihantar pulang ke negara asalnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini Selasa.

Dalam kejadian itu, mangsa yang menghuni rumah tersebut sejak Mac 2010 kehilangan komputer riba, jam tangan dan wang tunai dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM28,300.

Kejadian dipercayai berlaku semasa timbalan menteri dan isterinya yang tinggal berdua di rumah itu berada di Kuching, Sarawak untuk tugasan rasmi dan hanya menyedari rumahnya dimasuki pencuri selepas kembali semula pada Ahad apabila mendapati tingkap belakang rumahnya diumpil.

Rosly berkata suspek yang pernah diusir kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen sah itu dipercayai telah memasuki semula negara ini dan dikatakan berada di sekitar Putrajaya, Bangi, Sepang serta Banting dan gerakan memburunya telah digerakkan.

Katanya kejadian itu juga dipercayai dilakukan lebih daripada seorang berdasarkan maklumat daripada penduduk yang mendakwa melihat sebuah kenderaan berlegar di hadapan rumah tersebut semasa hari kejadian.

Dalam pada itu, Rosly berkata secara amnya kawasan penempatan penduduk di Putrajaya adalah selamat dengan hanya 33 kes pecah rumah direkodkan tahun ini.
“Daripada kes yang direkodkan kebanyakan kejadian adalah disebabkan kecuaian tuan rumah, antaranya gemar meninggalkan kunci rumah di dalam pasu bunga dan kasut,” katanya.
— BERNAMA

Polis Marin Tingkat Kerjasama Dengan APMM Kawal Perairan Negara


TUMPAT, 12 Ogos (Bernama) — Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga akan mempertingkatkan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam usaha memperhebatkan lagi kawalan perairan negara di Laut China Selatan.

Komandernya, ACP Azmi@ Azami Ibrahim berkata jalinan itu antaranya bagi mengelakkan insiden kehilangan kapal tangki berlaku di kawasan perairan berkenaan.

“Pihak kami memandang serius insiden itu. Kita perlu sentiasa waspada bagi memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Untuk itu, kita sentiasa bertukar-tukar pandangan dan maklumat dengan APMM dalam usaha mempertingkatkan lagi kawalan di perairan Laut China Selatan,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Adilfitri di Pangkalan PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini, Selasa malam.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Polis Thailand dalam usaha memperkemaskan lagi kawalan di sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya kerjasama itu meliputi aspek rondaan bersama dan bertukar-tukar maklumat berhubung aktiviti jenayah lintas sempadan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Majlis Pembangunan Parlimen Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail dan Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor ASP Mohd Nawi Yunus.
— BERNAMA

Monday 10 August 2015

Empat anggota kumpulan ‘Tandop’ curi motosikal diberkas polis



KANGAR – Empat anggota kumpulan ‘Tandop’ yang disyaki terbabit dalam 10 kes kecurian motosikal di Kangar dan Arau diberkas oleh pasukan Petugas Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Perlis.
Ketua JSJ Perlis, Superintenden Azhar Muda berkata, polis menemukan enam motosikal curi bernilai kira-kira RM36,000 hasil penangkapan mereka bulan lepas.

Menurut Azhar dua suspek pertama dari Arau dan Kangar diberkas pada 15 Julai yang membawa kepada penangkapan dua lagi suspek di Arau pada 27 Julai lepas.

Katanya dua anggota kumpulan itu yang berumur 26 dan 28 tahun adalah penagih dadah, mempunyai rekod jenayah lampau manakala dua lagi berumur 17 dan 21 tahun negatif dadah.

Seorang lagi anggota kumpulan itu yang dipanggil ‘Pon Ayam’ masih bebas, dan sedang diburu oleh polis bagi membantu siasatan, kata Azhar pada sidang media di ibu pejabat kontinjen Perlis di sini, hari ini. – BERNAMA


Pusat judi haram di Taman Perling diserbu, tujuh ditahan



JOHOR BAHRU 10 Ogos - Polis menahan tujuh lelaki selepas menyerbu sebuah premis rumah kedai yang dipercayai dijadikan pusat perjudian komputer secara dalam talian di Taman Perling, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 27 hingga 45 tahun terdiri daripada seorang juruwang perniagaan itu yang ditemani isterinya manakala lima lagi adalah pelanggan.

Beliau berkata, dalam serbuan pada pukul 9.50 malam itu, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan bagi tujuan aktiviti perjudian berkomputer secara dalam talian.
- UTUSAN ONLINE

Tujuh Ditahan Bantu Siasatan Kes Pukul Suspek Pencuri Sampai Mati



SHAH ALAM –  Polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang warga Sri Lanka berusia 25 tahun yang dipukul sehingga mati selepas cuba memecah masuk sebuah unit pangsapuri di Kota Kemuning di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata lelaki Sri Lanka itu dipercayai cuba melarikan diri setelah cubaannya memecah masuk sebuah unit di tingkat dua pangsapuri berkenaan disedari penghuninya kira-kira pukul 3 pagi semalam.

“Penghuni melihat mangsa cuba mengumpil pintu rumah beliau dan mengejarnya.

“Beberapa individu di pangsapuri berkenaan turut mengejar lelaki itu, menangkap dan memukulnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini Isnin.

Lelaki itu mati dalam perjalanan ke hospital dan bedah siasat mendapati dia meninggal dunia akibat dipukul, kata Shafien.

Kesemua suspek yang berumur antara 20 dan 30 tahun ditahan semalam dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.

Shafien turut menasihati orang awam supaya tidak menggunakan kekerasan ketika menangkap penjenayah.

Sunday 9 August 2015

Kapal tangki MT Jaoquim dipercayai hilang



KUALA LUMPUR: Sebuah kapal tangki membawa minyak, MT Jaoquim, dipercayai hilang di perairan Selangor, awal pagi tadi.

Kehilangan kapal tangki terbabit mungkin berkait dengan aktiviti rompakan. Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dijadual akan mengadakan sidang media pada jam 11 pagi ini bagi memberikan penjelasan berhubung kapal terbabit.

Pada 11 Jun lalu, sebuah kapal tangki yang membawa muatan 6,000 tan petrol termasuk RON95, MT Orkim Harmony, dirampas oleh lanun di perairan Tanjung Sedili, Johor, dalam perjalanan ke Pelabuhan Kuantan dari Melaka.

Kapal dengan 22 anak kapal kemudiannya dibebaskan dan sekumpulan lanun yang didakwa bertanggungjawab ditangkap di perairan Vietnam