Monday 30 April 2018

Kerajaan lulus 65,000 perjawatan baharu tahun ini. Termasuk PDRM.



KUALA LUMPUR: Sebanyak 65,000 perjawatan baharu diluluskan tahun ini bagi memenuhi keperluan beberapa jabatan dalam perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, pertambahan kakitangan awam itu berikutan permintaan mendesak daripada beberapa
jabatan.

"Antara sektor kritikal yang memerlukan pertambahan kakitangan adalah pendidikan, polis dan bomba," katanya selepas Majlis Amanat KSN bersama warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), di Angkasapuri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKMM, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Abu Bakar Ab Rahim.

Ali berkata, pertambahan penjawat awam itu menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan akan mengecilkan saiz perkhidmatan awam.

"Amanat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sebelum ini sudah memberitahu bahawa kerajaan tidak akan mengecilkan saiz perkhidmatan awam, sebaliknya ada sektor kritikal yang perlu ditambah lagi perjawatannya.

"Kita tidak kurangkan pengambilan sebelum ini tetapi kekalkan dengan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tetapi sekarang disebabkan permintaan lebih, kita kena tambah penjawat awam," katanya.

Sementara itu, Ali menyarankan kakitangan awam supaya membantu kerajaan berkongsi kejayaan dasar negara dengan rakyat menerusi media sosial dan tidak hanya mengharapkan kepada institusi saja seperti RTM dan KKMM.

Katanya, ini kerana era digital lebih banyak mendedahkan berita palsu berbanding apa sebenarnya yang dikecapi negara.

"Kita semua tahu berapa banyak kejayaan dicapai negara tetapi di media sosial ia tidak diberi keutamaan, sebaliknya hanya banyak perkara negatif.

"Dalam hal ini, kita tidak boleh bergantung kepada institusi saja, penjawat awam secara individu perlu membantu dekati rakyat. Jika 100 orang berkongsi dalam kumpulan WhatsApp atau akaun media sosial lain, lebih ramai rakyat akan tahu kejayaan kita," katanya.

- BERITA HARIAN -

Saturday 28 April 2018

Dakwaan Rafizi tidak berasas



Kuala Lumpur: Polis menyifatkan dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bahawa calon parti itu dihalang polis ketika proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Seri Rembau, Negeri Sembilan, hari ini, tidak berasas.

Menurutnya, kebenaran untuk setiap bakal calon memasuki pusat penamaan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Pegawai Pengurus (RO) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya hanya berperanan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di pusat penamaan calon di seluruh negara.

"Mengenai isu bakal calon Dr Streram Sinnasamy, dia didapati tidak memiliki pas keselamatan dikeluarkan SPR, sekali gus polis tidak membenarkannya masuk ke kawasan pusat penamaan di Dewan Sri Rembau.

"Tindakan dilakukan pegawai dan anggota polis yang ditugaskan mengawasi semua pusat penamaan calon adalah berdasarkan arahan diberikan oleh SPR sendiri," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Rafizi mendakwa polis menghalang calon terbabit adalah tidak berasas.
"Kami tidak teragak-agak memanggil atau mengambil tindakan terhadap pihak yang terus menyebarkan dakwaan tidak berasas seperti ini jika ia berterusan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Saya tidak dapat mengulas lebih terperinci mengenai perkara itu namun ingin saya tegaskan dakwaan polis melakukan halangan terhadap calon adalah tidak betul," katanya.

Mengulas mengenai situasi di seluruh negara sepanjang proses penamaan calon semalam, Mohamad Fuzi menyifatkan tiada insiden buruk dan semuanya berjalan lancar.

"Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada calon, pengiring dan penyokong setiap parti bertanding kerana dapat mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam proses hari ini," katanya.

- Berita Harian - 

Wednesday 25 April 2018

Pelajar maut, dua anggota polis parah dirempuh lori



TAIPING 26 April - Seorang pelajar maut manakala dua anggota polis cedera apabila dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan di Kilometer 223.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, Koperal Khairul Zulhamie Mat Deris, 29, dan Koperal Mohd. Zamri Zainal, 47, dari Unit Pasukan Peronda Lebuh Raya (EMPV) sedang membantu kereta Honda Civic dipandu Muhammad Hakeem Badrol Hisham, 21, yang mengalami masalah tayar pancit.

Bagaimanapun, sebuah lori muatan barangan runcit dipandu lelaki berusia 35 tahun hilang kawalan lalu melanggar kenderaan peronda polis dan kereta Muhammad Hakeem yang berada di hadapan sebelum mengenai ketiga-tiga mangsa.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, akibat kemalangan itu, Muhammad Hakeem maut di tempat kejadian manakala dua anggota polis itu pula masing-masing patah kaki kanan dan kiri.

Katanya, seorang lagi anggota polis Koperal Yaacob Udin, 53, dan pemandu lori itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dua anggota polis terbabit dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut dan mayat Muhammad Hakeem juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.- UTUSAN ONLINE

SYABAS PDRM ! gambar penembak Imam Fadi didedahkan



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengedarkan gambar sebenar salah seorang suspek yang menembak mati pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysia Institut (UniKL BMI), Dr Fadi M R AlBatsh Fatma dalam kejadian subuh, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam sidang media di Bukit Aman hari ini berkata, gambar sebenar itu berjaya diperoleh ekoran penemuan motosikal digunakan dua suspek berkenaan yang ditinggalkan berhampiran Tasik Danau Kota, semalam.

"Menerusi penemuan motosikal digunakan suspek yang ditinggalkan sejak Sabtu lalu di Tasik Danau Kota, iaitu selepas mereka menembak mati Fadi, PDRM berjaya mendapatkan gambar sebenar salah seorang suspek.

"Kita percaya, kedua-dua suspek masih berada di negara ini dan kita berharap agar orang ramai yang melihat serta mempunyai maklumat mengenai mereka dapat menyalurkannya kepada polis," katanya.

Mohamad Fuzi berkata, menerusi maklumat diterima, dua suspek berkenaan dipercayai masuk ke negara ini sejak penghujung Januari lalu menggunakan identiti palsu.
GAMBAR sebenar seorang daripada suspek sudah dikenal pasti. - Foto Aizuddin Saad
Malah, ketika ditanya sama ada suspek adalah ejen perisikan Mossad, beliau berkata polis tidak mempunyai maklumat mengenainya namun tidak menolak kemungkinan mereka terlatih dalam bidang ketenteraan.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, dua suspek terbabit dipercayai masuk ke negara ini menggunakan identiti palsu.

"Malah, kita tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai kemahiran dalam ketenteraan," katanya.

Menurut Mohamad Fuzi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua suspek berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Shahrizal Salleh di talian 017-7134705 atau menghubungi mana-mana balai polis terdekat.

- BERITA HARIAN -

Saturday 21 April 2018

Ringgit lemah jika kerajaan bertukar



KUALA LUMPUR 20 April- Ringgit mungkin merosot dalam tempoh terdekat, berikutan kemungkinan pengaliran keluar modal oleh pelabur asing, jika berlaku pertukaran kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dalam laporan Penyelidikan Globalnya, Kumpulan HSBC menegaskan bahawa parti pembangkang telah merancang antara lain, mengkaji semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), subsidi bahan api dan pelaburan China di Malaysia.
“Pembaharuan GST dan subsidi telah meningkatkan kewangan fiskal Malaysia, dengan itu membantu negara untuk mengelak penarafan menurun serta menyokong keyakinan pelabur asing terhadap aset Malaysia dan ringgit.

“Sementara itu, pelaburan langsung asing (FDI) China kini merangkumi hampir separuh daripada jumlah FDI ke Malaysia, yang menjadi lebih penting bagi ringgit berbanding lebihan akaun semasa yang semakin mengecil,” katanya.

Justeru, potensi perkembangan ini boleh menyebabkan mata wang yang lemah, sekurang-kurangnya dalam tindak balas segera, katanya.

Dalam senario kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14, kekukuhan ringgit akan terus didorong oleh dasar campur tangan pertukaran asing Bank Negara Malaysia dan peraturan pertukaran asing yang menyokong ringgit. 

“Kes asas kami adalah untuk dolar US dan ringgit akan jatuh ke nilai saksama 3.70 menjelang akhir tahun kerana penukaran mandatori oleh pengeksport di tengah-tengah pengumpulan simpanan pertukaran asing yang beransur-ansur oleh bank pusat,” katanya.

Peningkatan dalam FDI dan aliran masuk portfolio daripada pelabur asing dengan prospek kesinambungan dasar di bawah tadbir BN pasti akan membantu juga, katanya.

“Sekalipun teori di sebalik kelemahan mata wang tempatan selepas pilihan raya adalah benar, dan penduduk ingin memperoleh lebih banyak pertukaran asing atau aset asing disebabkan risiko politik masa depan, kami dapati terdapat had berhemah sejak Disember 2016 yang boleh menyekat pengaliran keluar modal,” tambahnya.

Justeru, penentu domestik yang penting dalam prospek ringgit berikutan keputusan pilihan raya tersebut adalah dasar pertukaran asing bank pusat, kata laporan berkenaan.
“Risiko utama (kenaikan) kepada ramalan dolar/ringgit ialah dasar ini, yang setakat ini ke arah untuk menyokong kenaikan ringgit.

Risiko kenaikan yang lain adalah faktor luaran. Ketegangan perdagangan antara AS dan China semakin meningkat dan mungkin, dalam senario terburuk, mengakibatkan gangguan perdagangan global dan meningkatkan pengelakan risiko dalam pasaran kewangan global,” katanya.

Memandangkan keterbukaan Malaysia untuk berdagang dan pendedahannya kepada permintaan dari Amerika Syarikat dan China, ringgit mungkin akan menjadi antara mata wang yang lebih terjejas, katanya.- BERNAMA

Thursday 19 April 2018

Koperal polis cedera ditoreh kerambit



19 APRIL: Seorang anggota polis berpangkat koperal di Perak menerima empat jahitan pada bahagian jari kanannya akibat ditoreh dengan kerambit oleh lelaki dipercayai pengedar dadah.

Dallam kejadian di Parit Dalam Sungai Bayor, Selama, mangsa bergelut dengan suspek sebelum memberkasnya pada jam 3.45 petang.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad berkata, suspek melarikan diri ke dalam hutan paya berhampiran kawasan itu ketika cuba ditahan sepasukan anggota polis dalam Op Tapis Khas.

Menurutnya, anggota polis meminta suspek menyerah diri, tetapi lelaki itu enggan memberi kerjasama sebaliknya berteriak dengan mengeluarkan kata-kata ugutan.

“Anggota polis bertindak mendekati suspek sehingga berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditahan dan ditenangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabri berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas sebuah beg silang warna coklat yang dipakai oleh suspek dan menemui dua paket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 23 gram dan syabu seberat 0.5 gram.

“Anggota polis turut merampas senjata jenis kerambit dimiliki suspek dan kereta Honda Accord warna hitam yang dinaikinya,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Saturday 14 April 2018

PAKCIK,JANGAN BURUKKAN NAMA MALAYSIA DI LUAR NEGARA



Beberapa hari lepas aku terjumpa sorang pakcik ni dekat Brussels, sembang punya sembang, dia suruh aku undi parti sekian sekian sekian.... aku senyum saja... katanya Malaysia sekarang sangat teruk n macam macam dia kutuk n termasuk GST 6%.

Undi kan rahsia, takyah la nak paksa orang lain undi parti yg kita sokong pakcik (bisik dlm hati aku).

Aku layaaaannnn ja n senyummmmm ja bila dia kutuk Malaysia. Bila dia abis, baru aku kata kat dia, ok la pakcik dapat juga melancong ke benua eropah disebalik kutukan pakcik pada ekonomi Malaysia. 


Macam Malaysia teruk sangat. Pastu aku cakap dia, pak cik beli barang kat europe ni tak perasan ke VAT sini 21%. Heheheh..... terus muka pakcik tu bertukar. But aku maintain saja senyum. Pastu aku cakap lagi, income tax sini pak cik tao tak berapa? Gaji sini pakcik tao tak berapa? Harga rumah sini tao tak berapa?

Lepas aku bagitao details kat dia, aku dapat nampak muka dia macam "oooo, baru aku tao Malaysia lagi ok." N paling penting maklumat yang pakcik dapat sebelum ni semuanya fake news. So, get your fact right next time. Jgn percaya cerita orang yang di barat semuanya baik belaka macam bulan dan bintang.

Nak sokong sapa tu hak pakcik, cuma jangan la burukkan Malaysia kat orang lain especially kalau sembang dengan orang luar. Nanti kena gelak ja sebab negara lain pun bukannya perfect sangat. #belgiummalaysia

Daripada Facebook -
Ismail Lutfi

Friday 13 April 2018

Gadis lapor polis gambar jadi bahan kempen



KUALA LUMPUR: Seorang gadis membuat laporan polis dan mempertimbangkan tindakan undang-undang, selepas mendapati gambarnya digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab secara mengubah suai sebagai kempen politik sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pemilik akaun twitter, Aidaazira, 19, berkata dia sama sekali tidak menyangka parti politik tertentu mengambil kesempatan ke atas remaja sepertinya dan menggunakan gambar peribadinya sebagai poster tanpa kebenaran.
Dia mengaku malu serta tertekan apabila ramai rakan termasuk pensyarah, bertanyakan mengenai gambar berkenaan apabila ia viral sejak semalam dan lebih menyedihkan, hari ini turut menjadi gambar muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.
 
"Jika nak berkempen pun, jangan babitkan orang yang langsung tiada kena mengena dengan politik.
"Sudahlah mencuri gambar orang, kemudian buat poster... nak kempen, kempen sajelah, tak payah letak gambar kononnya suruh orang jangan cari bini mudalah, apalah," katanya menerusi catatan pada laman Twitternya, @aidaazirx_.

Aidaazira yang mempunyai 2,812 pengikut Twitter itu, berkata susulan kejadian terbabit, dia sudah membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan gambar berkenaan bagi membersihkan namanya.

"Saya mahu pihak yang mencuri gambar peribadi itu tampil meminta maaf kerana apa yang mereka lakukan sudah melampaui batas.

"Sumpah saya tidak halalkan. Kejadian ini membuatkan saya menjadi lebih benci kepada politik," katanya.

Sementara itu, seorang model wanita turut kesal gambarnya yang diambil lima tahun lalu disunting dan disalahgunakan oleh pihak bertanggungjawab bagi tujuan kempen parti politik.

Wendy Lean menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebooknya, menafikan dia serta seorang lagi model berkempen untuk parti politik dan hanya mengetahui mengenai penyebaran gambar itu selepas dimaklumkan rakan-rakan.

"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa saya tidak menggalakkan orang ramai atau berkempen untuk parti politik. Gambar itu sudah disunting secara 'photoshop'.

"Gambar itu diambil kira-kira lima tahun lalu untuk sebuah syarikat pengimejan dan ketika itu kami (bersama seorang lagi model wanita ) memegang papan tanda 'Like'.

"Saya terkilan dan sama sekali tidak menyangka gambar itu diedit dan disalah guna untuk tujuan kempen politik sempena PRU-14 ini," katanya.

Wendy berkata, ekoran penyebaran gambar itu, dia menghubungi syarikat pengimejan berkenaan dan mendapat pengesahan bahawa gambar yang dimiliki syarikat terbabit sama sekali tidak boleh digunakan untuk tujuan politik.

"Saya harap masyarakat tidak terpedaya dan berhentilah menyebarkan gambar berkenaan," katanya.

Pengerusi masjid ditumbuk penyokong parti politik



JOHOR BAHRU 13 April - Belum pun kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bermula, penyokong gabungan pembangkang PKR bertindak agresif apabila menumbuk Pengerusi Masjid Kota Masai, di sini selepas solat Jumaat, hari ini.

Mangsa, Herman Irmadi berkata, kejadian berlaku apabila dia menegur egelintir penyokong pembangkang yang mengedarkan risalah politik di dalam kawasan masjid.

Beliau ditumbuk oleh salah seorang penyokong pembangkang ketika hendak pulang ke rumah selepas keadaan di masjid tidak lagi sesak.

“Saya dimaklumkan ahli jawatankuasa masjid ada sekumpulan penyokong PKR yang mengedar risalah di dalam masjid serta di pintu masuk sehingga menyebabkan keadaan menjadi sesak.

“Saya memberitahu mereka bahawa pihak masjid tidak ada masalah sekiranya ingin mengedar risalah di luar kawasan masjid. Saya tidak menyangka teguran itu menyebabkan mereka marah sehingga menumbuk saya,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE, di sini sebentar tadi.

Herman yang juga Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Bahagian Tebrau memberitahu, beliau sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Scientex Pasir Gudang pada pukul 5.30 petang tadi. - UTUSAN ONLINE

Wednesday 11 April 2018

Akhirnya Fitnah Terjawab. Keluarga Prebet Adam mohon maaf.



HAWA Jaafar (kiri) dan adiknya Arman Jaafar menunjukkan gambar abang sulung mereka Adam Jaafar ditahan polis selepas insiden amok di Chow Kit sehingga mengheret kesultanan Johor dengan fitnah membunuh ketika ditemui di kediaman mereka di Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong


Demikian luahan adik Prebet Adam, Hawa Jaafar, 53, yang menafikan adiknya dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa berkhidmat sebagai 'caddy' golf kepada Almarhum.

Beliau berkata, mereka sekeluarga terpaksa menahan malu dan marah selama 30 tahun, kerana tidak dapat menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat dan pihak berkuasa.

"Adam mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987 kerana masalah di tempat kerja dan bukannya kerana adik kami dibunuh Almarhum Sultan.

"Semua adik beradik kami masih hidup, hanya seorang sahaja yang sudah meninggal dunia pada tahun 1975 kerana kejadian kebakaran di rumah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, dua lagi adik Adam iaitu Arina Jaafar dan Arman Jaafar. Adam adalah anak sulung daripada sembilan beradik.

Mengulas lanjut, Hawa yang juga anak kedua daripada sembilan beradik berkata, mereka sekeluarga tidak pernah mengenali seorang pun keluarga kerabat Diraja Johor.

Malah katanya, mereka sekeluarga turut difitnah menerima wang sogokan sebanyak RM10,000 sebulan bagi menafikan perkara terbabit.

"Lihatlah kediaman saya, kami cuma orang biasa. Kami tidak pernah terima sesen pun duit daripada mana-mana pihak untuk nafikan hal ini," katanya yang tinggal di Pangsapuri Taman Desaria Sri Merpati, di sini, hari ini.

Kejadian amuk Prebet Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pernah menggemparkan negara pada 1987 dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

- BERITA HARIAN - 

20 pegawai polis naik pangkat, bertukar



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, mengumumkan 20 pertukaran dan pelantikan pegawai kanannya berkuat kuasa pada 14 Mei depan.
Mendahului senarai adalah Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis (DCP) Hashim Ali yang akan bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Kekosongan jawatan beliau diisi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk M.M.S Dev Kumar yang akan memangku pangkat DCP.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad, berkata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman pula bertukar ke jawatan Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Jawatan Salehhudin akan diisi Asisten Komisioner Polis (ACP) Jauteh Dikun yang kini Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Siasatan/Perundangan Sabah dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

Timbalan Ketua JSJ, Siasatan/Perundangan Sarawak, ACP Denis Leong Soon Kuai pula dilantik sebagai Ketua JSJ Sarawak dengan memangku pangkat SAC.

"Timbalan Ketua Cawangan Khas II Pahang, ACP Ibrahim Saad pula dilantik sebagai Ketua Cawangan Agensi Penguatkuasaan (Bahagian Perisikan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dengan memangku pangkat SAC," katanya dalam kenyataan.

Pertukaran lain ialah ACP Pentadbiran Jabatan Pengurusan Sabah, ACP Zabidi Md Zain bertukar ke jawatan Timbalan Ketua JSJ, Siasatan Perundangan Sabah dan jawatan lamanya akan diambil alih ACP Abd Radzak Abd Ghani yang kini memegang jawatan Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Sabah.

Pengarah Keselamatan (Gred KP52) Universiti Putra Malaysia, ACP Md Zamri Mat Zanu pula bertukar ke Perlis sebagai Timbalan Ketua Polis negeri.

Superintendan Perkhidmatan (Rekod Personel) Cawangan Perkhidmatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Superintendan Low Kim Piew dilantik sebagai ACP Task Force Modern Policing, Bahagian Dasar Sumber Manusia di jabatan sama dengan memangku pangkat ACP.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Habibi Majinji dilantik sebagai Penolong Pengarah JIPS (Kesejahteraan/Organisasi) Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Pegawai Turus Pematuhan (Zon A) JIPS Bukit Aman, Superintendan Thaipul Bahri Mokhtar dilantik sebagai Penolong Pengarah JIPS (Tadbir Urus/Kepolisan Am) Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Superintendan Inspektorat Helikopter, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Superintendan Mohd Shukor Abdul Razak dilantik sebagai Ketua Inspektorat PGU di jabatan sama dengan memangku pangkat ACP.

Superintendan Keselamatan Penerbangan, PGU Jabatan KDNKA Bukit Aman, Superintendan Alias Wahab dilantik sebagai Komander PGU Jabatan KDNKA Pangkalan Sarawak, dengan memangku pangkat ACP.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw dilantik sebagai Timbalan Ketua JPJKK (Perancangan Strategik) Pulau Pinang dengan memangku pangkat ACP.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Muda, Deputi Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail dilantik menggantikan Som Sak dengan memangku pangkat Superintendan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ismadi Borhan dilantik Ketua Polis Daerah Serdang, dengan memangku pangkat ACP.

Superintendan Polis Bantuan/Agensi Pengawal Keselamatan, Bahagian Koordinasi Sumber Sokongan, JPJKK Bukit Aman, Superintendan Mohd Shukri Ismail dilantik sebagai Timbalan Ketua JPJKK (Perancangan Strategik) Johor dengan memangku pangkat ACP.

Timbalan Komander (Kepolisan Am), Unit Tindakhas Pasukan Gerakan Khas Jabatan KDNKA Bukit Aman, Superintendan M.N M.V Srikumar dilantik sebagai Timbalan Komander (Operasi) Unit Tindakhas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Superintendan Mohamed Mokhsein Mohamed Zon pula bertukar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebagai Ketua Jabatan KDNKA.

- Berita Harian -

9 MEI CUTI KELEPASAN AM TAMBAHAN



KUALA LUMPUR
: Kerajaan hari ini mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena hari mengundi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menurut Pejabat Perdana Menteri, ini bagi membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi berikutan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh hari mengundi PRU14 itu merupakan hari bekerja.
"Pengisytiharan cuti umum itu dibuat berdasarkan seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan," menurut kenyataan itu.

Bagi Sabah dan Sarawak, Kerajaan-Kerajaan Negeri hendaklah mengisytiharkan hari kelepasan am tambahan pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Wednesday 4 April 2018

9 khabar gembira untuk penjawat awam, pesara




PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan sembilan khabar gembira kepada penjawat awam dan pesara kerajaan di seluruh negara.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) di hadapan lebih 10,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.


Antara 'buah tangan teristimewa' diterima penjawat awam adalah pemberian kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada semua 1.6 juta penjawat awam, berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Najib berkata, pemberian kenaikan bersamaan satu KGT itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

"Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat tambahan satu lagi KGT disamping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju memendekkan tempoh kenaikan pangkat berasaskan 'time based' kepada kakitangan kumpulan pelaksana daripada 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018.

Menurutnya, pelaksanaan itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM34 juta dengan 13,006 pegawai terbabit.

Najib juga berkata, kerajaan juga akan mewujudkan lapisan kenaikan pangkat Gred 56 bagi Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan khusus bagi pegawai yang berada lebih lima tahun di Gred 54.

"Ia sekali gus memberi peluang kenaikan pangkat kepada 323 pegawai dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.4 juta, berkuat kuasa 1 Januari 2019," katanya.

Najib berkata, kerajaan juga bersetuju memanjangkan kemudahan perubatan kepada ibu bapa bagi pegawai lantikan kontrak dan memberi faedah kepada 42,867 pegawai, berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Selain itu, katanya, kerajaan bersetuju menyumbang sekurang-kurangnya RM3 juta setahun kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Bagi menghargai penjawat awam bukan beragama Islam menunaikan aktiviti keagamaan masing-masing, Najib berkata, kerajaan bersetuju memanjangkan kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari maksimum sepanjang tempoh perkhidmatan, berkuat kuasa 1 Januari 2018 kepada penjawat awam berkenaan.

Sebelum ini, katanya, kemudahan cuti tanpa rekod keagamaan selama tujuh hari hanya diberikan kepada penjawat awam beragama Islam bagi tujuan menunaikan umrah.

Najib juga mengumumkan tiga berita gembira kepada lebih 800,000 pesara kerajaan termasuk satu peratus kenaikan kadar pencen secara one-off mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2018 sebagai tambahan kepada dua peratus diterima pesara pada 1 Januari 2018.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju memberi geran khas masing-masing RM1 juta kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia; Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS) bagi menganjurkan aktiviti persatuan dan kelab.

Bagi memastikan pesara kerajaan berpeluang menunaikan fardu haji, Najib berkata, kerajaan bersetuju menetapkan satu kuota khas kepada kumpulan berkenaan sejurus mendapat kuota diperuntukkan kepada Malaysia oleh Kerajaan Arab Saudi.

- Berita Harian - 

Monday 2 April 2018

Polis, JPN siasat viral pelajar teguk ketum



KOTA BHARU: Polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memulakan siasatan ke atas penyebaran gambar dan video pelajar yang didakwa meminum cecair disyaki air ketum, bermula hari ini.

Gambar pelajar perempuan mula viral pagi tadi menerusi akaun seorang individu di Facebook yang mendakwa kes seorang gadis meminum cecair disyaki air ketum itu berlaku di Kelantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Mit Emong, berkata pihaknya akan melakukan pemantauan termasuk menerusi Pegawai Perhubungan Polis (PPS) di sekolah di negeri ini.

Setakat ini, katanya, pihaknya belum menerima sebarang maklumat berkaitan kes itu tetapi akan bekerjasama dengan JPN.

"Kami akan menyiasat lebih lanjut untuk memastikan sama ada minuman itu adalah air ketum atau sebaliknya bagi menentukan kesahihannya," katanya ketika dihubungi di sini bagi mengulas laporan berkaitan viral itu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Muhammad Zahari Othman, berkata setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung viral itu sama ada membabitkan murid atau pelajar.

Katanya, mesyuarat juga sudah diadakan selepas mendapat tahu ia viral di laman sosial pada jam 11 pagi dan pihaknya sudah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah mengadakan siasatan.
"Sekiranya ada, kita akan 'turun padang' ke lokasi yang dikenal pasti," katanya.

- Berita Harian -