Tuesday 25 September 2018

Anggota PDRM resah gaji lewat



KUALA LUMPUR 25 Sept. - Sebahagian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) resah apabila pembayaran gaji melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) yang sepatutnya dibayar hari ini mengalami kelewatan.

Seorang anggota PDRM menghubungi Utusan Malaysia memaklumkan, gaji melalui akaun BSN menghadapi sedikit kelewatan memandangkan masalah yang dihadapi pihak BSN.

“Sebelum ini kami tidak dimaklumkan mengenai kelewatan pembayaran gaji itu. Saya difahamkan bank lain tidak mempunyai masalah kecuali BSN.

“Cuma pagi ini sahaja saya dimaklumkan pihak Kementerian Dalam Negeri dalam tindakan bersama BSN untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan kadar segera. Mereka meminta untuk kami bersabar dan memaklumkan perkara itu rakan-rakan anggota lain” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pembayaran gaji tersebut dijangka akan diselesaikan pada pukul 10 pagi tadi namun sehingga kini pembayaran tersebut masih belum diterima.

Sementara itu Utusan Malaysia sedang berusaha mendapat penjelasan pihak PDRM berhubung kelewatan gaji yang dihadapi oleh anggota terbabit. - UTUSAN ONLINE
 
 

Sunday 23 September 2018

Peragut dibelasah orang ramai



KUALA LANGAT: Seorang peragut bukan setakat berputih mata malah terpaksa menanggung ‘azab dunia’ apabila turut dibelasah selepas ditahan orang ramai dalam kejadian di Jalan Kanchong Tengah, Banting, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 1.15 petang itu, suspek berusia 22 tahun dicekup orang ramai selepas meragut beg tangan seorang wanita yang sedang menunggang motosikal di jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata mangsa kemudian mengejar suspek yang menunggang motosikal sehingga dia terbabas ke tepi jalan.

Menurutnya, orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian turut membantu wanita yang bekerja di kedai serbaneka itu untuk menahan suspek.

“Di dalam beg tangan mangsa ada kad pengenalan, kad bank, telefon pintar serta wang tunai dan semuanya dianggarkan bernilai RM1,500.

“Suspek adalah seorang penganggur dan kawasan terbabit sunyi serta lengang semasa kejadian berlaku,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohd Azizan berkata, suspek kemudian diserahkan kepada polis peronda yang tiba di lokasi kejadian selepas dimaklumkan orang ramai.

“Suspek dibawa untuk siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan polis turut merampas motosikal dinaikinya.

“Keterangan mangsa sudah diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

- Berita Harian -

Friday 21 September 2018

Berita Saleem meninggal dunia palsu



KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) memandang serius penularan berita kononnya penyanyi, Saleem, 56, meninggal dunia, sejak awal pagi ini.

SENIMAN mengesahkan penyanyi yang juga bekas vokalis kumpulan Iklim itu masih dirawat dan dipantau rapi doktor dan jururawat di Hospital Kajang. Keadaanya dilaporkan stabil sehingga sekarang.

Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah berkata, persatuan mengecam perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang hanya mahu mengelirukan masyarakat dan tidak memikirkan perasaan keluarga Saleem.

“Kami mohon masyarakat tidak terpedaya dengan berita yang tular. Sebarang maklumat lanjut mengenai perkembangan Saleem akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke semasa.

“SENIMAN menadah tangan memohon kepada Allah supaya penyanyi Suci Dalam Debu itu segera sembuh seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Malam tadi, BH Online melaporkan Saleem kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Taman Mahkota Cheras, di sini, kelmarin.

Motosikal yang dinaiki penyanyi Suci Dalam Debu itu dikatakan dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta yang menyebabkan dirinya tercampak.

Isterinya, Juriah Bachok, berkata keadaan Saleem parah, malah hanya sedar sebanyak dua kali, semalam.

- Berita Harian - 

'Saya masih terkejut, doakan abang Saleem' - Isteri


Isteri kepada vokalis kumpulan Iklim, A. M. Salim Abdul Majeed atau lebih dikenali sebagai Saleem Iklim berharap semua pihak dapat mendoakan  suaminya yang cedera selepas motosikalnya terlibat dengan satu kemalangan pada Khamis.

Julia Bachok berkata beliau masih terkejut dengan kemalangan yang terjadi semasa penyanyi lagu Suci Dalam Debu keluar ingin membeli barang, sebelum kenderaannya dilanggar daripada belakang.

Kejadian berlaku  berdekatan rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras, ketika vokalis kumpulan Iklim itu keluar membeli barang.

" saya tak dapat nak berkongsi apa-apa buat masa sekarang sebab saya masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku dan saya masih penat kerana perlu menguruskan beberapa perkara," kata Julia ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Julia juga menyatakan dia tidak mahu diganggu buat sementara waktu kerana masih lagi terkejut  dengan apa yang terjadi dan dia berasa penat kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara.

"Saleem sekarang dalam keadaan stabil, tapi saya minta kepada peminat dia diluar sana dapat mendoakan dia supaya cepat sembuh, itu sahaja," katanya sebelum menamatkan perbualan.

Sebelum ini menerusi status media sosial yang tersebar, Saleem dikatakan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang selain berada dalam keadaan koma.

Maklumat tersebar itu mendakwa impak kemalangan berkenaan menyebabkan tulang rusuk penyanyi itu tersusuk ke bahagian paru-parunya.

Keluarga penyanyi itu juga dalam proses memindahkan Saleem ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

- Astro Awani -

PDRM tidak tolak IPCMC tapi mahu hak polis dalam perlembagaan dikekal - IGP



KUALA NERUS
: Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini berkata pihaknya tidak menolak pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tetapi akan tegas mempertahankan hak anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Beliau berkata sekiranya kerajaan ingin melaksanakan IPCMC, ia (kerajaan) perlu memastikan polis mempunyai hak seperti mana dalam perlembagaan, ketika perbicaraan.

"Jika ia (hak polis) dibenarkan, barulah ia (IPCMC) boleh dilaksanakan seperti yang dirancang dalam Manifesto Pakatan Harapan ketika pilihan raya umum lepas," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Agung Persatuan Pegawai Kanan dan Persatuan Pegawai Rendah PDRM, di sini hari ini.

"Kita telah maklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan mengenai perkara ini untuk pertimbangan mereka," katanya.
IPCMC adalah badan pengawasan polis yang pertama kali dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja Untuk Menambah Baik Pasukan Polis pada 2005, yang akan berfungsi sebagai organisasi pengawasan bebas dan luaran untuk menyiasat aduan terhadap anggota polis.

Mengenai tuntutan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pegawai dan anggota, Mohamad Fuzi berkata keputusannya itu bukanlah bermaksud sengaja mengetepikan bahasa Malaysia sebaliknya ia adalah penambahbaikan kerana urusan rasmi termasuk surat-menyurat masih mengekalkan Bahasa Kebangsaan.

"Kebanyakan pegawai kita akan menghadiri kursus di luar negara, jadi adalah wajar mereka menghadiri kursus bahasa Inggeris sebagaimana yang disarankan kerajaan dan ia adalah wajar untuk menambah baik pasukan PDRM," kata beliau.

Sementara itu Mohamad Fuzi berkata PDRM menghadapi kekangan kewangan untuk menjalankan tugas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor, baru-baru ini dan terpaksa menggunakan peruntukan sedia ada.

Katanya, pihaknya menjangka bakal menghadapi situasi serupa bagi dua lagi PRK, iaitu masing-masing di DUN Balakong dan Sri Setia, Selangor yang akan berlangsung serentak. SPR menetapkan 18 Ogos ini sebagai hari penamaan calon dan 8 Sept sebagai hari pengundian.

Mohamad Fuzi berkata kekangan itu mungkin sedikit-sebanyak menjejaskan perancangan operasi PDRM namun anggotanya tetap akan menjalankan tugas seperti biasa demi keselamatan negara.

Antara masalah yang diajukan pada persidangan itu ialah keadaan anggota polis yang terpaksa berkhidmat di balai yang masih beroperasi dalam kontena dan rumah kedai serta kemudahan pejabat yang semakin uzur.

Pada majlis itu juga Mohamad Fuzi menyampaikan anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 131 orang pegawai dan anggota polis dari seluruh negara yang telah berkhidmat lebih 30 tahun serta pernah berdepan ancaman pengganas komunis.

-- BERNAMA (15 OGOS 2018)

2 suspek penculik mati ditembak dalam Operasi Gasak



KUNAK: Pasukan keselamatan menembak mati dua lelaki disyaki tali barut kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) dalam kejadian berbalas tembakan di perairan daerah ini berhampiran Pulau Boheyan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, kedua-dua suspek berusia 50-an menaiki sebuah bot pam warna kuning melarikan diri dari pemeriksaan pasukan keselamatan menerusi Operasi Gasak di penempatan atas air di Kampung Kunak Tiga, di sini.

Sepasukan polis diketuai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Ketenteraman Awam Polis Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir kemudian mengejar bot terbabit sambil memberi amaran supaya berhenti, namun suspek melepaskan beberapa das tembakan.

Susulan itu, polis terpaksa melepas tembakan balas untuk mempertahankan diri dan sebaik bot terbabit dipintas, tembakan dilepaskan ke arah suspek sebelum kedua-duanya mati di tempat kejadian akibat kecederaan di badan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata pasukan keselamatan menemui pistol jenis Revolver .22 dan .38, tujuh peluru hidup jenis .22 dan sebutir peluru hidup .38 bersama lima kelongsong serta sebilah pedang samurai.

“Kedua-dua suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dipercayai warga Filipina disyaki tali barut kumpulan KFR yang membuat tinjauan pergerakan nelayan sebelum maklumat disalurkan kepada penculik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, hari ini.

Thursday 20 September 2018

Polis periksa rumah ibu Najib



KUALA LUMPUR: Polis memeriksa rumah didiami ibu Datuk Seri Najib Razak, Tun Rahah Mohd Noah di Jalan Eaton di sini, hari ini.

Perkara itu disahkan peguam bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau berkata, polis tiba di rumah itu sekitar jam 2 petang ketika beliau berada di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pendakwaan Najib.

“Polis datang untuk memeriksa kediaman ibu Najib, hampir seluruh rumah diperiksa namun saya difahamkan tiada sebarang benda diambil oleh mereka.

“Tindakan ini dilihat seperti tidak adil, apa kaitan Tun Rahah dalam kes Najib, kalau mahu buat pemeriksaan mesti ada sebab yang munasabah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Najib mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kemudian membenarkan beliau diikat jamin RM3.5 juta dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut membenarkan Najib membayar wang jaminan RM3.5 juta secara ansuran dengan membayar RM1 juta esok dan selebihnya sehingga 28 September ini.

Friday 14 September 2018

10 suspek 2 sel pengganas ditahan polis



KUALA LUMPUR: Bahagian ‘Counter Terrorism’ Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan masing-masing lima suspek anggota kumpulan pengganas Asoib (Pemuda dari Timur) dan Ar Rayah Member.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya melancarkan operasi di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang dari 11 hingga 31 Ogos lalu, yang berjaya menahan 10 suspek disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas.

Dalam kes pertama, lima lelaki menganggotai kumpulan Asoib membuat tafsiran Imam Mahdi akan muncul di Arab Saudi pada tahun ini dan mendakwa akan bergabung dengan tentera Imam Mahdi bagi menentang dajal.

Mereka merancang bergabung dengan satu kumpulan dari Asia Barat bagi melancarkan serangan di sebuah negara bersempadan dengan negara berkenaan.

Bagaimanapun, lima anggota kumpulan itu ditahan Bahagian ‘Counter Terrorism’ Cawangan Khas, PDRM dalam operasi di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya melancarkan operasi di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang dari 11 hingga 31 Ogos lalu, yang berjaya menahan 10 suspek disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas.

Beliau berkata, semua mereka terdiri daripada dua sel berasingan yang merancang untuk menyertai kumpulan pengganas di sebuah negara di Asia Barat dan merancang melancarkan serangan di tempat maksiat di Melaka serta Pulau Pinang.

“Tangkapan pertama membabitkan sel yang terdiri daripada lima suspek dikenali sebagai kumpulan Asoib di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu berusia antara 39 hingga 53 tahun.

“Mereka merancang untuk bergabung dengan satu kumpulan pengganas dari sebuah negara di Asia Barat dan akan dibekalkan dengan pelbagai senjata sejurus tiba di sana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, salah seorang anggota Asoib sudah berlepas ke negara berkenaan bagi membuat persiapan dan menyelaras operasi serangan.

“Kumpulan ini memberi tafsiran salah terhadap hadis, yang mana mereka mempercayai bahawa Imam Mahdi akan muncul di Makkah pada tahun ini.

“Kumpulan ini dipercayai akan bergabung dengan tentera Imam Mahdi untuk menyerang negara sekular dan menentang dajal,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi sel terdiri daripada lima anggota ditahan pada 25 Ogos dan 31 Ogos lalu di Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang, dikenali sebagai kumpulan Ar Rayah Member yang berusia dari 18 hingga 50 tahun.

“Suspek utama sel ini merancang untuk melancarkan serangan bom asap di tempat maksiat di sekitar Melaka bagi menimbulkan suasana panik serta gempar kepada pengunjung dengan harapan akan mendatangkan kecederaan dan lima bom asap yang siap diproses dirampas daripada kumpulan ini.

“Susulan tangkapan suspek utama pada 25 Ogos di Melaka, pihak polis menahan empat lagi anggota sel yang sama pada 31 Ogos di Kelantan dan Pulau Pinang.

“Salah seorang suspek lelaki warga asing berusia 50 tahun didapati mempromosikan perjuangan kumpulan mereka melalui aplikasi Whatsapp.

“Suspek berperanan mempengaruhi anggota kumpulan untuk menyumbang dana bagi kumpulan itu membeli senjata api dan peluru menerusi kumpulan Whatsapp Ar Rayah Member,” katanya.

Tambah beliau, semua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA- kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah AKta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah khas) 2012 (Akta 747).

- Berita Harian - 

Thursday 13 September 2018

Bunuh kucing: Akhirnya dua lelaki dicekup.



GOMBAK - Polis akhirnya berjaya menahan dua daripada tiga lelaki yang diburu kerana membunuh seekor kucing secara kejam dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering pakaian di kedai dobi di Taman Gombak Ria, di sini.

 Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dua suspek itu ditahan awal pagi tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Menurutnya, kedua-dua suspek ini ditahan sekitar Gombak.

"Bagaimanapun, polis masih lagi memburu seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, polis mendedahkan gambar tiga individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Kejadian Rabu lalu itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai dobi berkenaan dan tular di Facebook sehingga mengundang kemarahan netizen.

Menerusi rakaman 2 minit 50 saat itu, salah seorang suspek yang juga pelanggan dobi berkenaan dilihat memasukkan kucing tersebut ke dalam mesin pengering.

Bangkai kucing dikatakan ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada keesokan harinya oleh pelanggan yang mahu menggunakan mesin pengering berkenaan.

- Sinar Harian -

Artikel berkaitan -- http://friendsofpdrm.blogspot.com/2018/09/tergamak-sungguh.html
Video -- https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2157156111207519&id=770424033013102

Pinda pertuduhan, 20 tahun jadi 3 tahun



JOHOR BAHRU: Seramai 40 ahli kumpulan geng Jee Jin Tong dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan pindaan menjadi ahli kumpulan geng itu, awal tahun ini.

Di hadapan Majistret Azureen Sahirah Saufee Afandi, seramai 25 tertuduh lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah terhadap mereka.

Sementara itu, seramai 15 tertuduh lelaki lain turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa menjadi anggota geng Jee Jin Tong yang juga satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang di Jalan Permas, Bandar Baru Permas Jaya di sini, pada 14 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai 35 tertuduh dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
Mereka adalah Seow Hwee Kiang, Lee Boon Hui, Fung Ka Siong, Chua Kah Tat, Mah Jia Fei, Lai Kah Fei, Wilson Chua Yue Hua, Lim Wen Hao, Eugene Chiam Tow Shen, Chan Chun Fei, Yap Boon Chuan dan Benny Chang Xin Hao.

Turut dibenarkan jamin, Lau Fook Soon, Liew Yun Choy, Jacky See Jiin Long, Ng Zhen Lun, Ng Soon Kiat, Lim Heng Kiaw, Wong Jin Wei, Dinesh Balakrishnan, Sau Kah Kwee, Ong Hwee Hau, Lew Kai Yann, Kok Kat Ting dan Koh Xian Ming.

Selain itu, Lim Thiam Poon, Eric Mah Wai Soon, Tan Hong Chai, Tan Chee Hong, Leong Wen Hao, Tan Xiang Wei, Koh Suei Chuan, Lee Choon Seng, Jimmy Seah Thian Heng dan Wong Siau Boon.

Baki lima orang iaitu Gan Jia Ji, Yip Kah Hoo, Fong Ling Chiow, Leong Zhong Hen dan Woon Kian Hui tidak dibenarkan sebarang ikat jamin memandangkan mereka masih menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mahkamah menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, pada prosiding pagi tadi, pihak pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Roslan Mat Nor dan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi’uddin, mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap semua tertuduh di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pendakwaan dan memerintahkan pertuduhan pindaan itu disebut di Mahkamah Majistret di sini, memandangkan pertuduhan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Majistret.

Sebelum ini, semua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Jin Jee Tong yang mana pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Mereka yang berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan, ketika itu tidak dibenarkan sebarang ikat jamin dan tiada pengakuan direkodkan.

Antara peguam yang mewakili tertuduh adalah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Datin Freda Sabapathy, Sukaimi Mashud dan Mohd Daud Ismail.

WAJAH SUSPEK BUNUH KUCING DIDEDAHKAN



VIDEO-->
 
GOMBAK: Polis Daerah Gombak mendedahkan gambar tiga suspek lelaki berdasarkan rakaman video penganiayaan seekor kucing yang dimasukkan dalam mesin pengering kedai dobi layan diri, dekat Taman Gombak Ria, Selasa lalu.

Sehubungan itu, polis memohon bantuan orang ramai mengesan tiga suspek berkenaan bagi menyelesaikan kes itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata tiga lelaki berkenaan dipercayai berusia lingkungan sekitar 30 tahun hingga 40 tahun dicari bagi membantu menyelesaikan kes yang disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh haiwan.

Katanya, menerusi rakaman kamera litar tertutup di premis itu, polis berjaya memperoleh gambar ketiga-tiga lelaki terbabit dan sedang mengesan mereka bagi menyelesaikan kes berkenaan.

“Menerusi rakaman CCTV, polis berjaya mendapatkan foto ketiga-tiga lelaki berkenaan.
“Orang ramai yang melihat atau mengetahui lokasi ketiga-tiga lelaki itu diminta untuk menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Samsor berkata, polis memerlukan kerjasama orang ramai untuk menyelesaikan kes itu dan segala maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Najmi di talian 017-9291359 atau menghubungi terus mana-mana balai polis berdekatan.

Selasa lalu, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, dua lelaki didapati melakukan kezaliman dengan membunuh seekor kucing terbiar yang sedang bunting dengan meletakkan dalam mesin pengering pakaian sedang berputar.

Perbuatan kejam dua lelaki berkenaan bagaimanapun berjaya dirakam oleh CCTV premis berkenaan dan tular di media sosial.

Bangkai haiwan itu ditemui seorang pelanggan lain pada jam 10.30 pagi apabila mahu menggunakan mesin pengering berkenaan.

Sebuah pertubuhan yang memperjuangkan nasib haiwan kemudian membuat laporan polis menerusi rakaman yang diperoleh.

1MDB : RM2.973 bilion masuk akaun Najib - Polis



KUALA LUMPUR: Sebanyak AS$972 juta atau bersamaan RM2.973 bilion wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikesan dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Transaksi kewangan berkenaan berasal dari tiga syarikat iaitu Good Star, AABAR dan Tanore yang berjaya dijejak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata menerusi siasatan dijalankan juga, polis sudah mengenalpasti sebanyak 132 transaksi penggunaan wang haram dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, polis juga mengenal pasti seramai lebih 50 individu termasuk ahli politik dari dalam dan luar negara turut menerima wang yang diseleweng daripada 1MDB.

"Kita menjangkakan bahawa mereka yang sudah dikenal pasti itu akan hadir memberi keterangan dalam waktu terdekat.

"Malah sehingga kini juga seramai 64 individu sudah diambil keterangan termasuk keterangan Najib serta anaknya Nooryana Najwa," katanya pada sidang media mengenai siasatan 1MDB di Bukit Aman, hari ini.

Noor Rashid berkata, siasatan terhadap 1MDB dibuat sejak 17 Mei lalu menerusi Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urus Setia Ketua Polis Negara berdasarkan laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Ekoran laporan itu, polis menjalankan serbuan di lima premis dan mengambil tindakan penyitaan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001.

"Penyitaan itu membabitkan barang seperti wang tunai termasuk mata wang asing berjumlah RM114 juta, 12,080 barang kemas, 566 beg tangan, 537 utas jam tangan dan 234 unit cermin mata pelbagai jenama," katanya.

Beliau berkata, mengikut peruntukan di bawah AMLATFPUAA 2001, polis diberi tempoh setahun untuk menyiasat harta alih atau tidak alih yang disita.

Katanya, rampasan barangan yang turut dipertikaikan oleh Najib itu dibuat berdasarkan alasan munasabah serta disyaki sebagai barang hasil perolehan haram berkaitan 1MDB.

"Sehingga kini juga, pihak AMLA PDRM tidak menerima sebarang tuntutan rasmi daripada mana-mana pihak membabitkan barangan yang dirampas yang dipertikaikan individu tertentu itu," katanya.

Menurut Noor Rashid, pihak AMLA PDRM juga sudah menyerahkan perintah di bawah Seksyen 32 AMLATFPUAA 2001 kepada Najib untuk hadir memberi keterangan berhubungan kenyataan Ahli Parlimen Pekan itu bahawa wang tunai dirampas adalah milik UMNO.

Katanya, polis juga sudah mengenal pasti beberapa beg tangan dan jam tangan yang disyaki diperoleh menggunakan hasil wang haram.

"Pasukan siasatan kini dalam proses mengumpulkan bukti agar tindakan pendakwaan dan pelucutan hak harta dapat diambil. Malah, bagi melengkapkan siasatan itu, kita turut mendapatkan kerjasama Amerika Syarikat, Switzerland, Arab Saudi dan Singapura.

"Jadi, dalam proses mengumpul bukti yang cukup, PDRM mempunyai masa sehingga Mei 2019 bagi melengkapkan siasatan. "Siasatan itu memang sangat sukar dan akan mengambil masa panjang kerana membabitkan maklumat serta saksi dari negara lain,” katanya.

PDRM umum pertukaran pegawai kanan



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran membabitkan 10 pegawai kanannya hari ini, berkuat kuasa 15 Oktober depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, berkata pertukaran membabitkan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang bertukar kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

“Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md Isa, pula ditukarkan kepadabPengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman.

“Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman, ditukarkan kepada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Asmawati berkata, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, dinaikkan pangkat kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat Komisioner.

“Ketua Polis Perlis Datuk Azisman Alias ditukarkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

“Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Shahrul Othman Mansor, ditukarkan kepada Senior Asisten Komisioner (SAC) Bahagian Dasar Sumber Manusia Jabatan Pengurusan Bukit Aman,” katanya.

Beliau berkata, Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana, Maktab PDRM Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd, ditukarkan kepada Ketua Polis Perlis.

“Ketua Penolong Pengarah, Urusetia Bahagian Kepolisan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Asisten Komisioner Norizan Murad, dinaikkan pangkat kepada Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana, Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

“Ketua Jabatan Pengurusan Perlis, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, ditukarkan kepada jawatan Ketua Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan, manakala, Deputi Superintendan (DSP) (D6C) Unit Fotografi, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Deputi Superintendan Aidi Sham Mohamed, ditukarkan kepada jawatan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.

- Sinar Harian - 

Wednesday 12 September 2018

Ops Dadu: 12,449 serbuan, 22,300 tangkapan




KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,449 serbuan membabitkan 22,300 tangkapan berjaya dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras kegiatan judi tanpa lesen atau judi haram di seluruh negara sejak awal tahun ini sehingga 5 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata kadar serbuan dan tangkapan itu menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu susulan tindakan berterusan pihaknya mengekang kegiatan itu sehingga penganjur judi haram tidak kembali beroperasi.

Katanya, tumpuan operasi pembanterasan PDRM tertumpu kepada kegiatan perjudian dalam talian, mesin simulator, loteri awam tanpa lesen, judi catit taruh haram, judi dalam talian dan judi tempat bebas.

"Sepanjang tahun ini sehingga 5 September lalu, sebanyak 12,449 serbuan dilakukan membabitkan 3,297 serbuan berkaitan kegiatan mesin perjudian, 7,947 serbuan loteri awam tanpa lesen manakala 1,205 lagi serbuan membabitkan lain-lain kes kegiatan judi haram.

"Jumlah itu menurun berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu keseluruhan 12,628 serbuan membabitkan 6,032 serbuan mesin perjudian, 5,82o serbuan loteri awam tanpa lesen dan selebihnya kegiatan judi haram yang lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, di sebalik penurunan itu, kadar keseluruhan rampasan wang tunai dilihat meningkat kepada RM4.67 juta berbanding RM3.73 juta tahun lalu kerana tumpuan kaki judi kini beralih kepada aktiviti judi loteri awam tanpa lesen.

"Rampasan wang tunai untuk kegiatan loteri awam tanpa lesen meningkat lebih RM340,000 kepada RM1.47 juta berbanding tahun lalu dengan RM1.13 juta.

"Namun kata beliau, rampasan wang tunai untuk kegiatan judi mesin dan simulator menurun kepada RM1.18 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu RM1.2 juta, manakala wang tunai yang dirampas untuk lain-lain kegiatan judi haram meningkat daripada RM1.39 juta tahun lalu kepada RM2.01 juta," katanya.

Mohamad Fuzi berkata rampasan mesin perjudian membabitkan komputer, mesin simulator, komputer tablet dan telefon mudah alih mencatatkan penurunan sebanyak 40,198 buah kepada 25,267 buah tahun ini berbanding 65,465 buah tahun lalu.

"Menerusi kajian yang dijalankan, keberkesanan operasi yang dilancarkan PDRM menyebabkan sindiket perjudian tidak lagi beroperasi
"Kajian turut mendapati enam kontinjen polis negeri iaitu Johor, Selangor, Sarawak, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan kadar serbuan tertinggi berbanding kontinjen lain.

"Justeru, kita mensasarkan operasi dengan memfokuskan enam kontinjen terbabit secara khusus," katanya.

Beliau berkata, kontinjen Johor mencatatkan serbuan tertinggi dengan 2,719 serbuan, diikuti Selangor (2,372), Sarawak (1,617), Negeri Sembilan (1,156), Kedah (945) dan Pulau Pinang (863).

Katanya, usaha PDRM mewujudkan bilik gerakan serta talian hotline khas untuk aduan awam berkaitan judi haram sejak 20 Julai lalu juga sebagai usaha menangani isu perjudian secara lebih menyeluruh banyak memberi kesan.

"Inisiatif itu diterima secara positif oleh masyarakat dan menerusi 716 maklumat berhubung judi haram yang diterima daripada awam, PDRM sudah pun menjalankan 414 serbuan manakala 141 maklumat kini sedang diproses untuk bukti lanjut.

"Bagaimanapun, sebanyak 161 aduan disahkan sebagai tidak berasas," katanya yang turut meminta supaya orang ramai terus menyalurkan maklumat dalam membantu polis membasmi kegiatan tidak bermoral itu.

Selain itu, katanya dalam mengekang kegiatan judi haram secara keseluruhan dan berkesan, PDRM menggunakan pendekatan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) bertujuan menangkap penganjur perjudian yang berselindung di sebalik tabir.

"Sepanjang tempoh penguatkuasaan POCA daripada 2 April 2014 sehingga 5 September lalu, seramai 177 individu yang berperanan sebagai penganjur perjudian ditangkap di seluruh negara dengan 33 daripadanya ditangkap sepanjang tahun ini,” katanya.

- Berita Harian - 

Tuesday 11 September 2018

Tergamak sungguh...



GOMBAK: Dua lelaki layak digelar individu paling kejam apabila tergamak membunuh seekor kucing betina terbiar yang sedang bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering dalam kejadian di sebuah kedai dobi di Taman Gombak Ria, semalam.

VIDEO-->

Kejadian jam 12.30 tengah malam itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai dobi berkenaan dan turut dikongsi oleh Persatuan Haiwan Malaysia.

Menerusi rakaman berdurasi selama dua minit 50 saat itu, kelihatan dua lelaki yang juga pelanggan dobi berkenaan memasukkan kucing tersebut ke dalam mesin pengering.

Dua lelaki itu kemudian berlalu pergi sambil membawa baju yang sudah dibasuh namun kemudian datang semula beberapa saat kemudian sambil memasukkan duit syiling ke dalam mesin pengering berkenaan.

Kedua-duanya meninggalkan kedai dobi itu sebaik menekan butang 'mula' pada mesin pengering yang mengandungi kucing betina berkenaan sebelum bangkainya ditemui seorang pelanggan dalam keadaan berlumuran darah.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan dua lelaki itu dan sudah membuat laporan polis mengenai perbuatan zalim berkenaan.

Katanya, bangkai kucing betina itu ditemui oleh seorang pelanggan pada jam 10.30 pagi, hari yang sama ketika ingin menggunakan mesin pengering berkenaan sebelum melaporkannya kepada pengurusan kedai dobi terbabit.

"Hasil penelitian CCTV mendapati memang terdapat tiga lelaki datang ke kedai dobi berkenaan untuk membasuh baju mereka.

"Namun, dua daripadanya tiga lelaki itu kemudian bertindak memasukkan kucing betina yang sedang bunting ke dalam mesin pengering dan membiarkannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arie berkata, pihak pengurusan dobi berkenaan kemudian menghubungi Persatuan Haiwan Malaysia bagi mendapatkan pandangan serta nasihat sebelum pihaknya mengambil keputusan membuat laporan polis pada jam 11 malam semalam berdasarkan bukti rakaman CCTV yang diperoleh.

Katanya, pihaknya turut melaporkan kejadian itu kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Veterinar Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

"Berdasarkan maklumat diperoleh, dua lelaki berkenaan adalah rakyat tempatan dan dipercayai tinggal berdekatan berikutan kerap membasuh baju di situ.

"Perbuatan dua lelaki itu memang cukup zalim dan berharap agar pelaku dijatuhi hukuman setimpal mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menyiksa dan membunuh haiwan dan tindakan mengesan suspek sedang dilakukan.

- Berita Harian - 

Pegawai JPA ditukar gara-gara lewat lantik pegawai menteri



BEBERAPA orang pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disahkan dipindahkan ke jabatan dan agensi lain selepas didakwa terlibat melengah-lengahkan urusan pelantikan dan pembayaran gaji pegawai kepada menteri dan timbalan menteri.

Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar mengesahkan bahawa pegawai berkenaan dikenakan tindakan tersebut ekoran masalah yang timbul berhubung pelantikan pegawai baharu anggota Kabinet.

Sumber - https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/94987

SIAPA TUN HANIFF OMAR ?


Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Perjuangan PDRM Dalam Mencapai Dan Mengekalkan Kemerdekaan Negara

Tun Mohammed Haniff Bin Omar

Dilahirkan pada 16 Januari 1939 di Teluk Anson, Perak. Tun Mohammed Haniff Omar mendapat pendidikan awal di Sekolah Anglo Chinese dan Kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya, Singapura pada 1959 dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-undang dari University of Buckingham, London. Beliau memulakan kerjayanya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis mulai 8 Jun 1959 dan telah memegang pelbagai pngkat bermula dengan Pegawai Penyasat di Melaka Tengah (April 1960) dan Penolong Ketua Polis Daerah Jasin (30 November 1960).

Seterusnya beliau menjawat jawatan Penolong Pegawai Penjaga Siasatan Jenayah (Selatan), Pahang (2 Disember 1960), Pegawai Turus Cawangan Khas Selangor (8 Ogos 1966), Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak (20 Julai 1967), Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (18 Mei 1969), Ketua Cawangan Khas Selangor (20 Disember 1969), Ketua Polis Melaka (7 September 1970), Ketua Polis Selangor (6 Disember 1971), Pengarah Cawangan Khas (31 Januari 1973) dan Timbalan Ketua Polis Negara (1 Februari 1973).



Mulai 8 Jun 1974, Tun Haniff telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara selama 20 tahun sebelum bersara daripada perkhidmatannya pada 15 Januari 1994. Beliau merupakan tokoh yang termuda dan paling lama yang diberi mandat untuk memegang jawatan tersebut. Sepanjang meniti kerjaya bersama pasukan PDRM selama 35 tahun, beliau juga banyak terlibat dalam peristiwa bersejarah negara antaranya sebagai salah seorang daripada 5 anggota PDRM yang turut bersama dengan Tunku Abdul Rahman di Persidangan Manila berhubung dengan penubuhan MAPHILINDO pada tahun 1963.

Tun Haniff juga merupakan antara wakil Kerajaan Malaysia di Perjanjian Damai yang dimeterai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 di Haadyai, Thailand.

Antara anugerah yang diperolehi sepanjang perkhidmatan beliau ialah Panglima Mangku Negara (PMN-1976), Bintang Dato' Seri Panglima Taming Sari Perak (SPTS - 1978), Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Yang Pertama (SPMJ-1980) dan Ijazah Kerhormat Doktor Undang-undang oleh DYMM Tuanku Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (1989).

Setelah bersara, Tun Haniff terlibat aktif dalam dunia korporat dengan memegang jawatan penting seperti Pengerusi Maxis Communications Berhad, General Corporation Berhad, Park May Berkad, Timbalan Pengerusi Genting Berhad dan Resort World Berhad, Lembaga Pengarah AMMB Holding Berhad, AMFB Hodlings Berhad, Ambank Berhad dan AmIslamic Bank Berhad.

Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Malaysian Institute of Management (MIM), Presiden Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS), Ahli Majlis Ekuit Malaysia, Ahli Majlis Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Pengerusi Yayasan Tun Razak dan Pemegang Amanah Yayasan Jantung Negara.

Sumber - http://www.arkib.gov.my

Juga berita menarik (click) -->

Lima jenama kereta ini turun harga selepas SST - Menteri Kewangan



GEORGE TOWN
: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan sekurang-kurangnya  lima jenama kenderaan  menyaksikan penurunan harga antara RM2,000 hingga RM3,000 selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menurut Guan Eng, lima jenama kenderaan itu termasuklah bagi model Perodua,  Honda,  Toyota,  BMW dan Volkswagen.

Jelas beliau, penurunan harga kenderaan itu adalah selari dengan hasrat kerajaan baharu  untuk menjamin kesejahteraan rakyat berikutan pelaksanaan SST.
"Saya telah memperoleh maklumat bahawa ada beberapa jenis kereta yang harganya jika dibandingkan dengan (ketika dilaksanakan) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih rendah.

"Ini kerana kita tidak kutip begitu banyak berbanding GST, harga barangan boleh lebih kurang dan ia juga dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lim berkata bagi harga sebuah kereta Proton Axia harga yang dikenakan selepas pelaksanaan SST adalah RM40,390 berbanding RM41,497 iaitu penurunan sebanyak RM1,107 semasa dikenakan cukai GST.

"Bagi kereta Myvi 1.5 harga kini adalah RM54,090 berbanding RM55,300, Honda Jazz 1.5 berharga RM83,633 (sebelumnya RM85,750), Toyota Vios RM93,200 berbanding dahulu RM93,980 manakala kereta jenis Volkswagen Polo hanya RM74,900 berbanding harga semasa dikenakan GST iaitu RM76,888," katanya.

Selain itu, Lim berkata jenama BMW 118i turut menyaksikan penurunan harga sebanyak RM3,000 iaitu RM185,800 dari RM188,800 sebelum ini.

Sebelum ini, syarikat pengeluar kereta, Perodua mengeluarkan kenyataan berhubung  penurunan harga bagi model tertentu keluarannya antara 1 hingga 3 peratus susulan perlaksanaan SST.

Berikutan itu, bermula 1 September lalu, Perodua telah mengeluarkan senarai harga baharu untuk semua kenderaannya, antara 1 hingga 3 peratus lebih rendah  berbanding 6 peratus dibawah GST.

Turut mengumumkan penurunan harga kenderaan ialah Honda Malaysia yang bertindak menyelaraskan harga model kenderaan dan perkhidmatannya selepas jualan.

Gelar Tun Hanif Omar sebagai 'Nyanyuk' adalah tindakan Biadap !



SHAH ALAM - Kenyataan dibuat veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyatakan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar sebagai nyanyuk dianggap sebagai biadab.

Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan berkata, Hanif merupakan individu yang mempunyai banyak jasa kepada negara khususnya pada saat-saat getir sejarah negara.



Menurutnya, sekiranya Kit Siang tidak pernah mengetahui tentang dakwaan Hanif, sewajarnya vateren DAP berkenaan menyatakan tidak tahu serta menafikannya sahaja.

"Panggil Tun Hanif nyanyuk adalah biadab.  Tun Hanif banyak jasanya kepada negara khususnya pada saat-saat getir sejarah negara.

"Jika Kit Siang kata dia tak pernah tahu tentang dakwaan Tun Hanif, cakap sahaja dia tak tahu dan bukannya nafikan. Tak perlu menyerang peribadi Tun Hanif,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Hanif mengatakan DAP pernah meminta agar memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian iaitu pantai timur kepada kaum Melayu dan pantai barat kepada kaum Cina, Shahril tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.

"Saya tak mahu komen sebab masih tak tahu kesahihan dakwaan berkenaan,” tegasnya.
Kelmarin, Hanif mendakwa cadangan DAP memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian tetap diingatinya dan beliau menjelaskan maklumat itu diperoleh daripada hasil laporan risikan yang dihantar kepadanya.

Menurutnya, ketika itu beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (Mageran) bermula 16 Mei 1969.

Katanya, laporan tersebut diserahkan kepadanya selepas seorang pemimpin DAP didakwa mengusulkan cadangan tersebut di Eropah selepas berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.


- Sinar Harian - 

Juga berita menarik (click) -->

Friday 7 September 2018

Wajarkah hukuman ahli kongsi gelap dipinda?



KUALA LUMPUR: Keputusan Timbalan Pendakwa Raya meminda pertuduhan ke atas 57 ahli kumpulan Geng 360 Kajang Devan, di Kompleks Penjara Kajang semalam dianggap mengejutkan.

Ini kerana tuduhan terhadap kesemua ahli Kumpulan Jenayah Terancang (KJT) terbabit yang sebelum ini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) secara tiba-tiba dipinda kepada Akta Pertubuhan, membawa hukuman yang dianggap jauh lebih ringan.

Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Geng 360 Kajang Devan, sebelum ini ditahan kerana terbabit dalam beberapa siri kes pembunuhan, memiliki senjata api, pengedaran dadah, pemerasan serta culik.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata kumpulan Geng 360 Kajang Devan adalah kumpulan yang tidak pernah berdaftar kerana mereka terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah serius.

“Saya tidak rasa ada KJT seperti Geng 360 Kajang Devan ini yang pernah mendaftarkan diri dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) selepas mereka hanya terbabit dalam kegiatan peras ugut, dadah, culik dan bunuh.

“Mereka (ahli Geng 360 Kajang Devan) melakukan jenayah serius dan wajar dikenakan hukuman yang sepatutnya berdasarkan jenayah yang mereka lakukan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sepatutnya mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar saja wajar dikenakan tindakan mengikut Akta Pertubuhan sekiranya mereka dikesan melakukan kesalahan
“Kalau diikutkan, peruntukkan undang-undang paling sesuai sekarang yang digubal Parlimen sebelum ini berdasarkan tindakan kumpulan terbabit (360 Kajang Devan) adalah mengikut peruntukan Kanun Keseksaan.

“Justeru, sebagai langkah susulan paling tepat, PDRM perlu membuat rayuan di mahkamah lebih tinggi dalam mempertahankan tindakan mereka melaksanakan penguatkuasaan SOSMA terhadap semua kumpulan kongsi gelap atau jenayah terancang sebelum ini,” katanya.

Seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, berkata tindakan terhadap KJT itu sewajarnya diteruskan kecuali ada sebab-sebab munasabah kenapakah pertuduhan SOSMA itu ditukarkan kepada Akta Pertubuhan.

“Jikalau tidak ada cacat-cela dengan tindakan pertuduhan di bawah SOSMA maka hukuman terhadap ahli Geng 360 Kajang Devan itu harus diteruskan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, kenapa pula pertuduhan ini hendak diubah.

“Justeru, sekiranya ada sesuatu sebab dan alasan yang wajar mengapa tindakan polis ke atas semua KJT sebelum ini mengikut SOSMA perlu ditukar maka saya akan bersetuju dengan pindaan hukuman semalam,” katanya.

Katanya, jika semua ahli Geng 360 Kajang Devan ini dilepaskan dengan tindakan SOSMA dan menerima hukuman yang lebih ringan maka beliau merasakan ia adalah amat malang sekali.

Berdasarkan rekod Geng 360 Kajang Devan ini dikesan terbabit dalam banyak siri kes penculikan di sekitar Lembah Klang dan pembunuhan termasuk kes tembak Ketua Kumpulan Satu Hati, Kanna, di Danau Kota, Setapak, pada 27 Julai 2016.

Selain itu Geng 360 Kajang Devan turut terbabit dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah selain memiliki senjata api selepas pihak polis merampas satu raifel, lapan pistol serta ratusan peluru semasa serbuan ke atas kumpulan berkenaan.

Malah semua mereka yang ditahan di bawah SOSMA KJT sebelum ini disiasat, disaring dan ditapis kesalahan mereka sebelum dihadapkan ke proses pertuduhan.

Semalam, seramai 42 daripada 57 ahli Geng 360 Kajang Devan mengaku salah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan mereka menerima hukuman penjara selama setahun manakala 14 lagi memohon untuk dibicarakan dan seorang dilepas tanpa dibebaskan.

Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin memberitahu tuduhan terhadap 442 individu yang ditahan mengikut SOSMA mungkin dipinda selepas Peguam Negara Tommy Thomas sudah menyatakan persetujuan mengenai perkara itu.

- Berita Harian - 

REMPUH POLIS, Perhimpunan aman bertukar kecoh



KUALA LUMPUR: Perhimpunan aman Majlis Pengebumian Institusi Peguam Negara di hadapan Kompleks Sogo anjuran Pemantau Malaysia Baharu (PMB) bertukar kecoh selepas cubaan mereka berarak ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi dihalang oleh polis.

Kekecohan mula berlaku apabila Pengerusi PMB, Datuk Lokman Noor Adam tidak berpuas hati dengan kumpulan pemuzik busker yang membuat persembahan di sebelah tempat mereka berkumpul.

Dakwa Lokman, pembesar suara yang digunakan kumpulan itu sengaja dikuatkan bagi menghalang ucapan pihaknya.

Lokman kemudian meminta anggota polis yang turut berada di kawasan itu mengarahkan persembahan itu dihentikan atau mereka akan mula berarak.

Cubaan kumpulan seramai kira-kira 50 orang itu kemudian dihalang oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah.

Halangan itu kemudian mencetuskan kekecohan sehingga Unit Tempur Ringan (LSF) terpaksa dikerah ke lokasi berkenaan.

Keadaan kembali tenang selepas pihak polis mengawal kumpulan itu dan meminta supaya perhimpunan itu dihabiskan dengan segera.

- BERITA HARIAN - 

Kereta peronda polis bertembung motosikal



KUALA LUMPUR: Sebuah kereta peronda polis hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah motosikal di Lebuhraya SPRINT berdekatan Plaza Tol Duta, di sini, lewat malam tadi.

Kejadian itu yang berlaku pada jam 11.05 malam menyebabkan mangsa berusia 27 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan dahi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Saleh, berkata pemandu dan rakan setugas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika itu, katanya, dua anggota itu dalam perjalanan ke IPD Sentul selepas selesai tugas sebelum pemandu kereta peronda berkenaan mengubah laluan ke bahagian kiri dan bergesel dengan kereta lain.

"Sejurus itu, kereta peronda terbabit hilang kawalan dan melanggar motosikal berkenaan.

"Laporan polis sudah dibuat berhubung isu berbangkit.
"Kes disiasat mengikut Rule 6 (2) LN 166/59 kerana kecuaian mengubah laluan sehingga menyebabkan kemalangan," katanya pada NSTP, hari ini.

Thursday 6 September 2018

PROTON SUV X70 boleh ditempah mulai esok



SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (PROTON) mengumumkan nama rasmi model SUV pertamanya hasil kerjasama dengan Geely sebagai Proton X70.

Syarikat itu juga mengumumkan yang tempahan untuk pembelian SUV itu boleh dibuat bermula esok di cawangan terpilih di seluruh negara dengan bayaran deposit sebanyak RM1,000.

Nama X70 dipilih selepas ia dipilih lebih 60 peratus peserta yang menyertai peraduan memilih nama SUV itu secara atas talian yang dibuka pada April lalu.

Peraduan selama sebulan itu disertai hampir 90,000 orang dengan peserta perlu memilih empat nama pilihan mereka iaitu PX7, X7, X70 dan X700.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata pihaknya akan mengadakan sesi pratonton Proton X70 untuk pelanggannya di tujuh bandar utama seluruh negara bermula 19 September hingga 4 November ini.

Tujuh lokasi itu ialah di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Kami sasar sesi pratoton ini akan menarik hampir 6,000 orang sepanjang tempoh hampir dua bulan ia diadakan,” katanya.

Beliu berkata demikian pada taklimat media pengenalan Proton X70 itu di sini, sebentar tadi.Pada sesi itu, warga media diberi peluang melihat dengan dekat model SUV X70 yang buat kali pertama ditunjukkan kepada awam.



- Berita Harian - 


LEBIH MUDAH! Salur aduan jenayah guna SMS / WhatsApp



SHAH ALAM: Orang ramai kini boleh melaporkan secara terus kejadian jenayah di kawasan masing-masing menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp di talian ‘hotline’, 012-600 9999.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, selain menyalurkan kejadian jenayah, talian yang diperkenalkan Polis Selangor hari ini turut membolehkan orang ramai membuat semakan status aduan dan perkembangan siasatan polis terhadap laporan mereka.

"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang kejadian jenayah di kawasan mereka seperti judi atau jenayah lain menerusi talian ini.

"Bagaimanapun, polis tidak akan melayan sebarang panggilan telefon menerusi talian ini, mereka yang melaporkan kejadian jenayah juga tidak perlu bimbang kerana semua maklumat dan butiran mereka akan dirahsiakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Di dalam perkembangan berasingan, polis Selangor melakukan sebanyak 1,429 serbuan terhadap premis-premis barang lusuh di negeri ini mulai Januari hingga 17 Ogos lalu, yang dipercayai menjadi tempat penjenayah melupuskan hasil kegiatan jenayah mereka.

Mazlan berkata, daripada serbuan berkenaan, sebanyak 413 tindakan saman mengikut Seksyen 6 Akta Barang-Barang Lusuh dan Terpakai 1946 (Akta 189) dikenakan terhadap pengusaha premis barang lusuh yang tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

"Selain tindakan saman, kita turut menahan seorang pengusaha premis barang lusuh di Ara Damansara, Petaling Jaya dan menemui sejumlah 85 batang kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilaporkan hilang pada 26 Julai lalu.

"Oleh sebab itu, pengusaha barang lusuh dinasihatkan supaya tidak berurusan atau membeli barangan yang disyaki dicuri bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha premis barang lusuh dan tindakan seperti pembatalan lesen juga akan dikenakan sekiranya mereka didapati bersalah.

- Berita Harian - 

Tuesday 4 September 2018

Terkejut, bangun pagi suami hilang

‘BANGUN pagi suami hilang’ luah pemilik Facebook Sinorita Scha Sofea, mengundang tawa netizen.
Malah netizen gelarkan itulah namanya, bini nombor dua.
Posting tersebut turut diselitkan gambar suaminya yang tidur bersebelah motosikal baharu dibeli.  
Malah ia dijawab oleh suaminya sendiri melalui Facebook Shukri Samar
“Isteri belikan motor, kena sayangkan sama rata juga”.


Pemilik Facebook tersebut, Syazana Aminolah, 35, berkata, motosikal tersebut baharu seminggu dibelinya, hadiah dia buat suami tersayang Mohd Shukri Samar, 44 tahun.

Bersempena dengan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10 pada awal bulan Ogos lalu.

Jadi tidaklah hairanlah gelagat pelik suaminya itu yang telah lama mengidamkan motosikal tersebut, jadi bersempena dengan ulang tahun mereka, hasrat suaminya ditunaikan dengan gembira. 

Bagaimanapun, motosikal tersebut bukan yang pertama koleksi suaminya kerana telah mempunyai beberapa motosikal jenis lain.

“Cuma motosikal ini Triumph Explorer XR yang berharga RM103,000 adalah permintaan suami sendiri.

“Saya happy (gembira) apabila suami happy (gembira)," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, ia bukanlah dibeli secara tunai, tetapi secara ansuran.

Menurutnya, walaupun suaminya peminat aktiviti bermotosikal tetapi tetap mempunyai masa untuk dirinya dan juga anak tunggalnya, Puteri Scha Sofea Mohd Shukri, 5 tahun.      

Polis rampas dadah RM4.3 juta serbuan di dua kampung



KOTA BHARU: Bukit Aman dengan kerjasama polis negeri ini merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM4.3 juta melalui serbuan serentak di tiga lokasi sekitar dua kampung, kelmarin.

Rampasan termasuk kira-kira 81 kilogram (kg) dadah jenis syabu, 5,700 biji pil eramin 5 dan 2,000 biji pil yaba, hasil operasi sepasukan pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kelantan selepas melakukan risikan selama sebulan.

Menerusi serbuan antara jam 3.55 pagi hingga 4.10 pagi di Kampung Derdak Limbat, di sini, dan Kampung Kepas di Jalan Banggol Jerih, Pasir Mas, polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 30 hingga 34 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata serbuan pertama di Kampung Derdak Limbat membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis merampas 80.7kg dadah jenis syabu yang sudah dibungkus, 5,700 biji pil eramin 5, 2,000 biji pil kuda dan 167 biji pil ekstasi.

“Dalam serbuan kedua di Kampung Kepas pula, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan merampas 467 gram dadah jenis syabu.

“Tangkapan ketiga membabitkan seorang lelaki berusia 34 tahun di Kampung Derdak Limbat tanpa sebarang rampasan.

“Kita turut menyita dua Perodua Myvi dan Proton Satria, sebuah motosikal serta wang tunai RM5,900 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM65,000,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati ketiga-tiga lelaki ditahan itu disyaki daripada kumpulan sama dan bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu.

“Siasatan kita mendapati bekalan dadah terbabit dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan di Kelantan dan sekitar Lembah Klang.

“Berdasarkan jumlah rampasan itu, bekalan berkenaan boleh digunakan lebih 412,000 individu.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan ketua sindiket berkenaan, termasuk mengenal pasti pasti sama ada mempunyai rangkaian dengan sindiket antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama seminggu hingga 8 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Berita Harian - 

Monday 3 September 2018

Harga kereta Perodua 1-3 peratus lebih rendah



RAWANG: Harga kenderaan Perodua turun antara satu hingga tiga peratus , berbanding era Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) susulan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Perodua hari ini mengeluarkan senarai harga baharu untuk semua kenderaannya, dengan harga kenderaan yang lebih rendah itu adalah untuk model tertentu.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata berdasarkan struktur cukai baharu, hampir semua model Perodua berharga lebih rendah berbanding sebelum 1 Jun 2018.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, terutama kepada 3.3 juta pelanggan dihargai yang telah memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka.

“Mengenai servis penyelenggaraan serta alat ganti Perodua, kami akan terus menawarkan harga kompetitif kepada pelanggan. Kami amat menghargai sokongan padu yang telah ditunjukkan oleh orang ramai terhadap produk dan perkhidmatan kami, dan akan terus memperbaiki diri untuk pelanggan.

“Sila kunjungi mana-mana cawangan jualan dan perkhidmatan kami di seluruh negara dan bercakap dengan penasihat jualan dan perkhidmatan yang sah untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 1 Jun lalu, kerajaan telah merombak kadar cukai GST dari enam peratus ke kadar sifar, merintis tempoh 'cuti cukai' selama tiga bulan dan membawa kepada peningkatan permintaan kenderaan dalam tempoh berkenaan.

Pada Julai, Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa SST, yang menggantikan GST, akan ditetapkan pada kadar 10 peratus untuk jualan dan enam peratus untuk perkhidmatan.

- Berita Harian -