Tuesday 20 March 2018

Elaun anggota polis akan dibayar 50% sebelum PRU14



20 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan membayar elaun sebanyak 50 peratus kepada semua anggota polis yang akan bertugas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkannya hari ini berkata, langkah itu harus dilakukan kerana prihatin terhadap kebajikan kakitangan yang akan meninggalkan keluarga masing-masing dalam tempoh yang lama.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan pengurusan pihak polis agar anggota yang akan ditugaskan pada waktu itu diberikan pendahuluan tugas sebelum ke lokasi masing-masing.

“Dan jika mereka mahukan baki elaun dibayar sejurus selesai tugas dijalankan, saya juga mengarahkan agar baki 50 peratus elaun itu dibayar segera oleh KDN,” katanya ketika berucap merasmikan Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Manakala katanya baki elaun tersebut perlu diselesaikan dalam masa 30 hari selepas berakhirnya PRU14.

“Dalam Islam, upah mestilah dibayar. Elaun mesti dibayar sebelum peluh kering. Jangan simpan duit itu, bayar awal. Saya lakukan ini kerana saya amat prihatin kepada PDRM,” katanya lagi.

PDRM akan menempatkan lebih 64,000 anggota dan pegawai di seluruh negara, bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PDRM sudah bersedia 100 peratus dalam mendepani PRU-14 yang mana jentera dan peralatan juga telah bersedia sepenuhnya.

Dalam menjalankan tugas-tugas menghadapi pilihan raya umum katanya, beliau telah menggaris empat perkara yang harus dipatuhi setiap petugas polis antranya untuk tidak melakukan sebarang kekerasan serta provokasi.

“Ketiga, kita harus lakukan pertemuan dengan individu-individu parti politik berbeza dan jangan berkompromi terhadap keselamatan serta ketenteraman awam yang tinggi harganya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment