Thursday 25 January 2018

Kediaman Uzur PDRM Akan Dibaik Pulih

- Gambar Hiasan -

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Semua berek kediaman anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara yang uzur akan dibaik pulih dan dilengkapi kemudahan asas mengikut Dasar Perumahan Negara 2.0, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sebagai permulaan, sebanyak RM13 juta diperuntukkan untuk melaksanakan penambahbaikan 15 blok berek anggota PDRM di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras.

"Keperluan asas kediaman anggota PDRM perlu ikut Dasar Perumahan Negara 2.0 iaitu menambah dua bilik kepada tiga bilik.

"Selain itu, kemudahan pusat ibadah seperti masjid dan surau selain kemudahan rekreasi juga perlu ditambah baik," katanya kepada pemberita selepas melawat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beliau juga akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyediakan kediaman anggota polis di kawasan yang kos sewa rumahnya tinggi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikhaskan untuk anak pegawai dan anggota polis sahaja.

Menurutnya, MRSM berkenaan berteraskan silibus Ulul Albab Imtiaz dengan hasrat untuk menjadikan anak-anak polis yang belajar di situ mempunyai kemahiran menghafal al-Quran dan huffaz dan dalam masa sama sebagai golongan profesional.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama antara PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Maktab PDRM Kuala Lumpur.

Turut hadir menyaksikan pemeteraian nota kerjasama yang ditandatangani Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim itu ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Ahmad Zahid kemudiannya melancarkan PDRM Night Run 2018 yang akan berlangsung pada 17 Mac di Dataran Merdeka bersempena sambutan Hari Polis Malaysia ke-211.

-- BERNAMA

Friday 19 January 2018

PUAS 'BERPERANG' DENGAN PENJENAYAH


ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal cedera di bahagian muka, mulut, kaki dan tangan selepas dilanggar penjenayah yang melarikan diri di Jalan Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh kira-kira 11 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Unit Ronda Bermotosikal (URB) yang memaklumkan pihaknya terpaksa melepaskan empat das tembakan terhadap Honda Civic kerana kenderaan itu menghimpit dan melanggar mereka.

“Menurut keterangan anggota polis itu, mereka menemui dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Simpang Empat, Jalan Rawang - Kuang. Apabila mereka mendekati suspek, kedua-dua lelaki itu melarikan diri dengan memecut kereta terbabit.

“Anggota terbabit mengejar suspek dan mengarahkan mereka menghentikan kenderaan, namun mereka bertindak agresif dengan melanggar motosikal seorang daripada anggota polis berkenaan sehingga terjatuh menyebabkan anggota berkenaan melepaskan satu das tembakan ke arah kereta suspek,” katanya.

Somu berkata, seorang lagi anggota URB mengejar suspek hingga Kampung Kubu Gajah sebelum mereka memberhentikan kereta dan melarikan diri ke rumah di Jalan Paya Jaras Hilir yang terletak kira-kira 500 meter dari kampung itu.

“Ketika anggota terbabit mahu menahan mereka, suspek sekali lagi mengundur dan melanggar motosikalnya menyebabkan dia terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta itu.
“Pemandu kereta terbabit berjaya melarikan diri, manakala seorang lagi suspek berusia 49 tahun berjaya ditahan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang memaklumkan suspek mempunyai lima rekod jenayah.

Beliau berkata, pihak polis forensik sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian di mana kereta itu ditinggalkan di Kampung Kubu Gajah.

“Kami masih memburu seorang lagi suspek yang melarikan diri dalam kejadian itu bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 8:12 PM

Thursday 18 January 2018

5,000 anggota sukarelawan polis bertugas semasa PRU-14


PASIR GUDANG 17 Jan. - Khidmat kira-kira 5,000 anggota pasukan Sukarelawan Polis akan digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, mereka akan ditugaskan di balai-balai polis.

"Khidmat mereka adalah bagi menggantikan anggota polis yang bertugas di pusat-pusat mengundi," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan uji cuba bot laju RH Semi-Kabin dan kenderaan Amphibian Humdinga di Limbung Dalac, Masai, di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota sukarelawan itu akan membantu 64,000 pegawai dan anggota PDRM di seluruh negara yang akan bertugas sepanjang PRU-14. - UTUSAN ONLINE

Tuesday 16 January 2018

Budak belanja RM800 ubah suai basikal lajak



JITRA: Seorang pelajar membelanjakan RM800 wang yang diberi bapanya untuk mengubahsuai basikal miliknya menjadi basikal lajak untuk ke sekolah.

Bagaimanapun, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah di sini, ditahan bersama enam lagi pelajar lain berusia 13 hingga 15 tahun dalam operasi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata operasi selama dua jam bermula jam 1.30 petang tadi dilakukan ketika operasi mengesan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan di pekan Jitra, di sini.

Katanya, anggotanya menahan tujuh pelajar terbabit bersama basikal masing-masing untuk tindakan lanjut sebelum memanggil ibu bapa mereka.

"Kita memberi amaran kepada mereka selain memanggil ibu bapa masing-masing untuk mengambil anak mereka selain menasihati pelajar terbabit mengenai bahaya menggunakan basikal lajak ini.

"Saya percaya ramai lagi pelajar menggunakan basikal lajak ini kerana ia menjadi 'trend' semasa," katanya ketika ditemui di IPD Kubang Pasu, di sini hari ini.

Mohd Ismail berkata, siasatan juga mendapati ada ibu bapa yang sanggup mengeluarkan wang untuk membenarkan anak mereka mengubahsuai basikal tetapi tidak sedar bahaya yang akan dihadapi.
"Kita berharap ibu bapa memberi perhatian untuk memastikan anak mereka tidak terjebak dengan penggunaan basikal lajak ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

- Berita Harian -

Monday 15 January 2018

Tipu diculik sebab `stress' belajar



DAKWAAN pelajar tingkatan satu bahawa dia diculik sekumpulan lelaki menaiki van putih adalah rekaan semata-mata selepas remaja itu mengaku berdepan tekanan perasaan termasuk tidak dibenarkan untuk bermain sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pelajar lelaki serta bapanya tampil malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang bagi menarik semula kenyataan dibuat sebelum ini.

Beliau berkata, pelajar itu juga mengaku tindakan menipu itu dilakukan berikutan dia mengalami tekanan akibat dipaksa menumpukan pelajaran oleh keluarga.

"Walaupun tindakan pelajar itu mencetuskan rasa bimbang dikalangan penduduk sekitar Ampang namun polis tidak akan mengambil tindakan susulan kerana memikirkan tekanan dihadapi remaja itu," katanya di sini.

Sebelum ini pelajar terbabit mendakwa diculik pada 12 tengahari Jumaat lalu, ketika dia sedang menunggu bas di perhentian bas Taman Pandan Indah di sini.

`Mangsa’ mendakwa cuba diculik tiga lelaki menaiki van putih sebelum berjaya melarikan diri selepas menggigit tangan suspek.

Sumber - H Metro

Thursday 11 January 2018

Pelakon bergelar Datuk mengamuk di balai



PELAKON dan pengarah lelaki bergelar Datuk ditahan selepas dipercayai mengamuk, menampar anggota polis trafik dan menendang orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, 1.20 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din yang mengesahkan kejadian berkata, suspek berusia 37 tahun itu menampar anggota polis yang bertugas di kaunter Balai Trafik Kota Damansara.

"Selain menampar polis dia turut menendang dua orang awam di dalam balai berkenaan.
"Siasatan awal mendapati suspek datang ke balai bersama seorang rakan untuk membuat laporan polis kes kemalangan jalan raya, namun apabila anggota trafik bertanya laporan yang ingin dibuat, suspek kemudian menunjukkan mesej aplikasi whatsapp 300 artis hutang ah long", katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Susulan itu, pelakon dan pengarah berkenaan ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan.

Sumber - HMetro
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 3:52 PM

Wednesday 10 January 2018

Langgar Polis, Dua Lelaki Warga Nigeria Didakwa

- Gambar Hiasan -

PETALING JAYA, 10 Jan (Bernama) -- Dua sahabat, warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan melanggar seorang anggota polis, dua minggu lepas.

Oyo Oluwafemi Ayo, 28 dan Muyiwa Adeboye Alyedun, 29, didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu Mohammad Masri Puasa daripada menjalankan kewajipannya dengan menghimpit ke bahu jalan beberapa kali dan melanggar anggota polis itu menggunakan kereta.

Mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut di Jalan Kolej, Seri Kembangan, dekat sini, pada 12.30 tengah malam, 23 Dis lepas.

Oyo dan Muyiwa didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik tidak menawarkan sebarang jaminan manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan kerana tidak mempunyai penjamin.....

Sunday 7 January 2018

KISAH BENAR: BILA 'TUKANG GANTUNG' TAK JUMPA KUNCI RUMAH!



Hari ni abam nak share satu kisah mengenai pengalaman abam menemubual seorang tukang gantung yang bertugas di Penjara Kajang.

Memandangkan interview dijalankan beberapa tahun lepas, abam pun tak pasti sama ada pegawai penjara ini 'masih bertugas' atau dah pencen.

Abam tak boleh mendedahkan identiti beliau sebab terikat dengan peraturan penjara, apa yang abam boleh katakan beliau seorang yang bertubuh besar, tegap, bermisai tebal dan berusia dalam lingkungan 50'an.

Beliau mengakui tak ramai pegawai penjara yang berminat tugasan ini dan Jabatan Penjara sendiri sangat 'selektif' untuk memilih warga mereka untuk menjalankan kerja berkenaan.

Walaupun mengakui 'elaun khas' yang diterima tukang gantung agak lumayan, namun beliau berkata BUKAN ITU faktor yang membuatkan beliau dan rakan-rakannya dambakan.

" Kalau ingat kami gantung orang sebab nak kejar elaun, itu salah. Kami bukan 'pembunuh upahan berlesen'. Tetapi kalau bukan kami yang sanggup jalankan amanah ini, nak harap siapa lagi?," kata Tuan Harjit (bukan nama sebenar).

Abam masa jumpa Tuan Harjit tak buang masa banyak dan terus 'straight forward' tanya soalan cepu mas - apakah benda pelik sepanjang menyandang jawatan sebagai tukang gantung?
Tuan Harjit seperti dapat mengagak soalan abam. Beliau tanpa berselindung terus membuka cerita.

Katanya, beberapa tahun lepas beliau menerima arahan untuk menggantung seorang banduan. Memandangkan hukuman mati perlu dijalankan menjelang Subuh, beliau bangun seawal pukul 2 pagi untuk bersiap-siap hendak ke 'pejabat'.

Sebelum mendapat arahan berkenaan, beliau telah 'mendapat alamat' mengenainya. Uniknya ada sedikit 'keistimewaan' tentang diri Tuan Harjit.

Sama ada ia memang kelebihan atau kebetulan, Tuan Harjit tidak dapat menjawab persoalan itu sampai sekarang.

" Terpulang sama ada awak nak percaya kat saya atau tidak. Untuk pengetahuan awak, selalunya beberapa hari sebelum mendapat arahan untuk menjalankan hukuman mati, saya akan rasa 'panas dan pijar' di sekeliling leher saya.

" Kalau saya dapat petanda seperti itu, saya tahu, pasti dalam sehari dua lepas itu akan ada perintah untuk saya menggantung seseorang pesalah. Setiap orang ada keistimewaan, awak ada kebolehan untuk menulis, mungkin saya pulak Tuhan bagi kelebihan untuk mendapat 'petanda' seperti yang dimaksudkan," katanya sambil tersenyum.

Menyambung kembali ceritanya, Tuan Harjit berkata, selalunya bila ada hukuman mati, beliau akan sampai awal di bilik gantung bagai memastikan segala kelengkapan terutama pelantar dan tali gantung berfungsi dengan baik.

Lagipun kata Tuan Harjit, antara prosedur penting ketika menjalankan hukuman mati adalah, si tukang gantung perlu menjalankan 'kerjanya' dalam tempoh yang telah ditetapkan, tak boleh terawal dan tak boleh terlewat.

Namun katanya, pada pagi itu beliau berhadapan satu perkara pelik yang tak pernah dialaminya sepanjang bertugas sebagai tukang gantung.
Beliau tak jumpa kunci rumah!

Puas beliau mencari kunci rumahnya termasuk kunci 'spare' namun tak ada satu pun yang ditemui, seolah-olah kunci tersebut telah 'disembunyikan'!

" Memang saya betul-betul panik. Berpeluh saya dan isteri mencari di mana kunci rumah kami tetapi gagal. Saya dan isteri kini betul-betul macam dalam penjara. Kalau selama ini tugas saya memenjarakan orang, kini saya dan isteri pulak kena 'penjara'!

" Saya tidak begitu mempercayai benda tahyul dan mistik, namun kejadian ini membuatkan saya mula merasakan yang kemungkinan benda-benda macam ni memang wujud!
" Saya percaya, peristiwa kehilangan kunci rumah pagi itu seolah-olah memberi mesej kepada saya supaya JANGAN menggantung banduan berkenaan...mungkin dia teraniaya, mungkin dia difitnah, atau mungkin dia mengamalkan ilmu hitam.
" Namun bagi saya mudah, banduan itu telah diberi 1,001 peluang untuk membela diri di mahkamah namun ternyata beliau gagal untuk menyakinkan hakim agar tidak menghantarnya ke tali gantung. Yang pasti saya hanya menjalankan tugas dan tak mahu buang masa fikirkan pasal perkara tersebut," tegasnya.

Tambah Tuan Harjit, disebabkan masa semakin suntuk, beliau akhirnya terpaksa menelefon rakan-rakannya untuk datang dan memecahkan pintu pagar serta pintu rumahnya itu sebelum bergegas menaiki kereta untuk ke penjara.

Ketika beliau sampai di bilik kurungan banduan tersebut, lelaki itu merenungnya dengan satu pandangan yang cukup tajam seolah-olah banduan itu tahu 'apa yang terjadi' di rumahnya sebentar tadi.

Tuan Harjit pura-pura seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Beliau juga tidak membalas balik renungan banduan berkenaan sebaliknya terus menyarungkan kain hitam untuk menutup muka banduan itu.

Lagipun waktu yang diperuntukkan untuk menjalankan hukuman mati itu semakin suntuk.
Sebaik saja tubuh lelaki berkenaan berada betul-betul atas pelantar, Tuan Harjit terus menarik 'gear' lalu terbukalah pelantar tersebut dan lelaki berkenaan terus jatuh ke bawah. Tali gantung itu secara automatik kemudian menjerut lehernya.

Tidak sampai beberapa minit kemudian, doktor mengesahkan banduan berkenaan telah meninggal dunia.

" Sehingga kini apa yang berlaku di rumah saya itu kekal menjadi misteri. Sampai ke sudah ke semua set kunci termasuk kunci simpanan rumah saya itu 'ghaib' entah ke mana. Kalaulah saya lewat bertindak menelefon rakan-rakan untuk memecah pintu rumah kami dan membawa saya ke tempat kerja, pasti saya akan dikenakan tindakan disiplin oleh pihak atasan," tambanya.
Yang lucunya, sewaktu abam sedang menemubual Tuan Harjit, abam lihat beliau sedang menggaru-garu lehernya. Alamak, dia dapat 'alamat' nak gantung orang lagi ke bisik abam dalam hati.
Abam kemudian terus bertanyakan 'kemusykilan' abam itu padanya.

" Hoi, leher saya tengah gatal lah, bukan dapat 'petanda' nak gantung orang!," kata Tuan Harjit sambil ketawa.
Fuhhhhh, lega.
Korang nak abam cerita lagi tak pengalaman Tuan Harjit?

Oleh: Syahril A. Kadir