Wednesday 26 July 2017

Murid dakwa ditendang guru, terjatuh sendiri: Polis

TAWAU: Murid perempuan Tahun Empat sebuah sekolah rendah di daerah ini yang mendakwa cedera akibat ditendang dan ditampar gurunya, sebenarnya terjatuh sendiri ketika membeli makanan di luar kawasan sekolah.

Siasatan polis mendapati murid terbabit mereka-reka cerita mengenai kejadian itu kerana bimbang dimarahi ibu bapanya jika mendapat tahu perkara sebenar.



Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata keterangan semua saksi termasuk rakan sekelas murid terbabit juga konsisten menyatakan guru lelaki terbabit tidak melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berkenaan.

Berikutan itu, katanya, pengadu iaitu ibu murid berkenaan telah menarik balik laporan polis yang dibuat pada 10 Julai lalu, selain memohon polis tidak meneruskan siasatan.

"Pengadu juga telah memohon maaf kepada guru terbabit dan pihak sekolah," katanya ketika dihubungi di sini.

Sehubungan itu, Fadil berkata, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) mengambil keputusan kes berkenaan tidak diteruskan.

Sebelum ini, BH Online melaporkan seorang murid perempuan Tahun Empat mendakwa ditendang dan ditampar oleh guru sekolahnya kononnya kerana lewat masuk kelas.

Ibu kepada murid terbabit kemudian membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas dia mengadu sakit pada bahagian kaki, selain tidak dapat berdiri.

Kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Thursday 13 July 2017

SURAT 'SAMBUNG BAYAR KERETA' TAK LAKU





AKU meneliti secara rapi isu kes kereta 'sambung bayar' kenderaan yang dok viral melibatkan PPIM dan sebuah syarikat di Kajang lately ni.

Apa yang terjadi pemilik kenderaan dijanjikan bahawa kereta yang dipajak itu akan mempunyai penyewa dan pemilik kenderaan tidak akan mempunyai masalah pembayaran pinjam kenderaan itu dengan pihak bank.

Sebaliknya apa yang berlaku ialah pemilik menerima notis dari pihak bank akan tunggakan bayaran berbulan-bulan.

Di saat aku salute dengan keberanian saudara Yusuf Azmi (PPIM) berhadapan 'cabaran' mengeluarkan kereta-kereta pemilik kereta yang mendakwa teraniaya itu, aku nak kongsi pengalaman aku sebagai wartawan jenayah mengenai isu ini.

Beberapa tahun lalu terjadi satu pergaduhan besar antara seorang lelaki dan sahabatnya. Semuanya gara-gara lelaki itu hendak mengambil semula keretanya dari sahabatnya itu setelah sahabatnya itu tidak 'sambung bayar' ansuran bulanan kereta berkenaan sedangkan mereka berdua dah buat surat perjanjian atau surat 'hitam putih' mengenainya.
Apalagi nyaris berparang tu bro! Nasib baik tak mati.

Akhirnya baru aku - TAK ADA istilah sambung bayar dalam bab kenderaan ini kerana selagi kereta kau masih ada hutang dgn bank, apa saja yang berlaku terhadap kereta itu menjadi tanggungjawab si pemilik walaupun berjela-jela surat perjanjian ko dah buat.

Bank akan tetap cari ko, bukan orang lain.
Dalam erti kata lain, surat ko dengan pihak yang ngaku nak sambung bayar tu TAK LAKU bro!
Bab saman pun sama juga, yang menerima akibatnya adalah pemilik kereta asal dan bukan orang yang sambung bayar itu.

Salute pada PPIM, pada masa yang sama jgn bebankan lagi PPIM dgn benda macam...kalau tak percaya cakap aku - sila rujuk AKTA KONTRAK 1950 DAN AKTA SEWA BELI 1967..jangan kata abam tak payung

Penulis -
Syahril A. Kadir

Friday 7 July 2017

Ada keperluan untuk wujudkan satu lagi jawatan Timbalan KPN



BATU PAHAT
: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak keperluan bagi mewujudkan jawatan dua orang Timbalan Ketua Polis Negara seperti yang dianalisis oleh sebuah akhbar tempatan.

Pengumuman mengenai cadangan itu hanya akan dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata memang terdapat keperluan untuk mewujudkan jawatan berkenaan dan mewujudkan semula Jabatan Anti Pengganas berikutan ancaman keganasan yang semakin berleluasa di rantau ini.

“Saya tidak menolak, tidak mengesahkan dan tidak mahu menafikan analisis yang dibuat melalui akhbar mengenai keperluan bagi mewujudkan jawatan dua orang Timbalan Ketua Polis Negara kerana sebagai Menteri Dalam Negeri yang mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis, pengumuman akan hanya dibuat selepas mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis mengesah atau menolak cadangan berkenaan,” katanya dalam sidang media pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Batu Pahat 2017 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Bahagian Umno Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno serta Setiausaha Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) jelasnya harus memperkukuhkan serta menaiktaraf  keanggotaan didalam Unit Anti Keganasan kepada sebuah jabatan di Bukit Aman.

Menurutnya lagi, sekiranya cadangan tersebut diluluskan oleh suruhanjaya pasukan polis, personaliti yang akan dilantik perlu menerima perkenan Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri.

- AWANI -

Thursday 6 July 2017

Op Selamat 11 terbaik - KPN

 

KUALA LUMPUR: Op Selamat 11/2017 sempena Aidilfitri lalu disifatkan sebagai yang terbaik apabila berjaya menurunkan kadar kematian dan kemalangan maut dalam tempoh 15 hari pelaksanaannya yang berakhir pada 2 Jun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata beliau berpuas hati dengan prestasi operasi kali ini yang menggunakan kaedah penguatkuasaan penuh yang dilihat sebagai antara faktor menyumbang kepada penurunan kes kematian akibat kemalangan.

Katanya, dalam tempoh itu jumlah kematian dicatatkan adalah 257, menurun 42 orang atau 14% berbanding Op Selamat 9/2016 iaitu 299 orang. Selain itu, kadar kemalangan maut turut menurun kepada 239 kes berbanding 273 kes tahun lalu.

"Tujuan utama operasi ini dibuat adalah untuk mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai untuk mengambil langkah keselamatan dalam memastikan mereka selamat sampai ke destinasi.

"Walaupun jumlah kemalangan meningkat iaitu sebanyak 1,420 kes kepada 22,402 kes namun, kemalangan maut dan kematian berjaya dikurangkan.

"Penunggang dan pembonceng motosikal masih lagi mendominasi jumlah kematian membabitkan 170 korban nyawa tetapi jumlah itu menurun 17 kes berbanding tahun lalu," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 11/2017 di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selangor dinobatkan sebagai daerah terbaik manakala, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis negeri terbaik Op Selamat 11/2017.

Mengulas lanjut Khalid berkata, analisis Op Selamat kali ini menunjukkan bahawa faktor terbabas sendiri menjadi punca utama yang menyebabkan kemalangan maut, dengan jumlah 65 kes.

"Faktor lain yang menyumbang kepada kematian adalah kecuaian dan kelalaian serta gagal mematuhi peraturan jalan raya," katanya. Katanya, sepanjang pelaksanaan Op Selamat 11 juga, sebanyak 277,832 saman dikeluarkan daripada 6,309 operasi yang dilakukan.

Selain itu, katanya kes pecah rumah juga turut menurun sebanyak 165 kes atau 21 peratus kepada 629 berbanding tahun lalu sebanyak 794 kes.

Sunday 2 July 2017

Mengapa terdapat nombor plat kenderaan yang pelik dan apakah maksudnya?

Nombor plat merupakan satu benda yang wajib dipamerkan oleh kenderaan bermotor yang telah didaftarkan di Malaysia. Hal ini telah dikuatkuasakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.

Terdapat pelbagai nombor plat di Malaysia dan semuanya merupakan nombor-nombor yang unik dan berlainan daripada nombor plat yang lain. Namun, tahukah anda di manakah nombor plat kenderaan tersebut didaftarkan berdasarkan huruf permulaan nombor plat tersebut?

Huruf pertama nombor plat merujuk kepada negeri / kawasan
nombor plat adalah berlainan antara satu sama lain

  • A = Perak
  • B = Selangor
  • C = Pahang
  • D = Kelantan (Nota : No plat D hanya diperuntukkan setelah Kelantan & Terengganu berpisah dari berkongsi plat T - Timur).
  • E = Sabah (sebelum tahun 1980-an)
  • EJ: Jesselton (sekarang Kota Kinabalu, sejak 1968)
  • ES: Sandakan
  • ET: Tawau
  • ED: Lahad Datu
  • EU: Keningau
  • EK: Kudat
  • EL: Labuan
  • F = Putrajaya (mulai Jun 2016)[1]
  • G = Gagasan 1Malaysia
  • H = Teksi (diikuti dengan huruf negeri)
  • HA : Perak
  • HB : Selangor
  • HC : Pahang
  • HD : Kelantan
  • HJ : Johor
  • HK : Kedah
  • HL : Labuan
  • HM : Melaka
  • HN : Negeri Sembilan
  • HP : Pulau Pinang
  • HQ : Sarawak
  • HS : Sabah
  • HT : Terengganu
  • HW : Kuala Lumpur
  • J = Johor
  • K = Kedah
  • KV = Langkawi
  • L = Labuan
  • M = Melaka
  • N = Negeri Sembilan
  • P = Pulau Pinang
  • Q = Sarawak
  • QA dan QK: Kuching
  • QB: Sri Aman
  • QC: Samarahan
  • QL: Limbang
  • QM: Miri
  • QP: Kapit
  • QR: Sarikei
  • QS: Sibu
  • QT: Bintulu
  • R = Perlis
  • S = Sabah (ditukar daripada E)
  • SA, SAB & SAC: Kota Kinabalu
  • SB: Beaufort
  • SD: Lahad Datu
  • SK: Kudat
  • SS: Sandakan
  • ST: Tawau
  • SU: Keningau
  • T = Terengganu
  • V = Kuala Lumpur (siri kedua; mulai Julai 2016)[1]
  • W = Kuala Lumpur (siri pertama)
  • Z = Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
  • Z: Panglima Angkatan Tentera, (Pemerintah Tertinggi ATM)
  • ZA - ZD: Tentera Darat Malaysia (TDM)
  • ZL: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
  • ZU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
  • ZZ: Kegunaan staf Kementerian Pertahanan Malaysia
  • JZ & JMF: Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF)

    Nombor plat khas
    no plat im4u

    • Putrajaya : Hanya dikeluarkan semasa Putrajaya dibuka
    • PROTON : Hanya dikeluarkan untuk kereta PROTON tertentu
    • Tiara : Hanya dikeluarkan untuk kereta Proton Tiara
    • Perdana : Hanya dikeluarkan untuk kereta Proton Perdana
    • Satria : Hanya dikeluarkan untuk kereta Proton Satria
    • Chancellor : Hanya dikeluarkan untuk kereta Proton Chancellor
    • Waja : Hanya dikeluarkan untuk kereta Proton Waja
    • PERODUA : Hanya dikeluarkan untuk kereta PERODUA tertentu
    • NAZA : Hanya dikeluarkan untuk kereta NAZA tertentu
    • LOTUS : Hanya dikeluarkan untuk kereta LOTUS tertentu
    • Kriss : Hanya dikeluarkan untuk motosikal Modenas Kriss
    • Jaguh : Hanya dikeluarkan untuk motosikal Modenas Jaguh
    • BAMBee : Hanya dikeluarkan semasa Piala Thomas dan Uber 2000 yang diadakan di Kuala Lumpur
    • SUKOM : Hanya dikeluarkan semasa Sukan Komanwel 1998 yang diadakan di Kuala Lumpur
    • X OIC : Hanya dikeluarkan semasa Sidang Kemuncak OIC 2003 yang diadakan di Kuala Lumpur
    • XIII NAM : Hanya dikeluarkan semasa Sidang Kemuncak NAM 2003 yang diadakan di Kuala Lumpur
    • XI ASEAN : Hanya dikeluarkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2005 yang diadakan di Kuala Lumpur
    • XXX IDB : Hanya dikeluarkan kepada peserta atau ahli Persidangan Bank Pembangunan Islam
    • G1M : Hanya ditawarkan oleh Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia
    • 1M4U : Hanya dikeluarkan sempena Pelancaran Kempen 1 Malaysia for Youth
    • Patriot : Hanya dikeluarkan kepada ahli sukarelawan Yayasan Patriot Negara Malaysia
    • TTB : Hanya dikeluarkan sempena Pelancaran Slogan 'Transformasi Terengganu Baharu' yang direka oleh kerajaan negeri Terengganu
    • GT : Hanya ditawarkan oleh Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia
    • Putra : Hanya dikeluarkan untuk kereta Proton Putra
    • VIP : Hanya dikeluarkan sempena Pelancaran Tahun Melawat Pahang (Visit Pahang) 2017
    • GP : Hanya dikeluarkan untuk kereta-kereta rasmi Grand Pix di Litar Antarabangsa Sepang
    • SAS : Hanya dikeluarkan sempena Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah yang Ke-40
    • PERFECT : Hanya dikeluarkan sempena Pelancaran Pengutipan Dana untuk Persatuan Pong Tenis Malaysia
    Jadi, janganlah anda berasa pelik sekiranya anda terserempak dengan kenderaan bermotor yang mempunyai nombor plat yang jarang ditemui dan unik kerana nombor plat tersebut termasuk dalam kategori nombor plat khas di Malaysia.

    Sumber :
    wikipedia

    Kredit: http://iluminasi.com

Wanita mengaku salah buat laporan polis palsu



KOTA TINGGI: Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan membuat laporan polis palsu mendakwa disamun dan dicederakan.

Tertuduh, Nur Amirah Kamisan, 23, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di depan Penolong Pendaftar Khairul Azhar Mohamad.

Nur Amirah dituduh membuat laporan bertulis kepada anggota polis yang diketahuinya adalah palsu dan dengan maksud ingin menyebabkan polis akan membuat siasatan berkaitan hal yang dimaklumkan.

Dia melakukan kesalahan itu di pejabat pertanyaan Balai Polis Bandar Tenggara di sini, pada jam 4.30 petang, 1 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Azlin Zeti Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM3,000, tetapi mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 9 Julai ini bagi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.