Tuesday 26 June 2018

Nilai barangan dirampas antara RM900j hingga RM1.1b - Amar Singh



KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion, kata Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Dalam sidang akhbar sebentar tadi, beliau berkata, pada 21 Mei hingga 25 Jun lalu, JSJK sudah buat pengiraan dan pemeriksaan barang dirampas.

"Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar.

"Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota," katanya.

Beliau berkata, 25 beg daripada 72 beg mengandungi barang kemas seperti cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya sebanyak 12,000 barang.

"Jumlah pasaran barang kemas yang dirampas berharga kira-kira RM880 juta.

"Cincin sebanyak 2,200 unit, subang 2,800 unit, broch 1,600 unit, tiara 14 unit.

"Barang paling berharga adalah seutas rantai emas white diamond berharga RM6.4 juta," katanya.
Amar Singh berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel berharga kira-kira RM51.3 juta.

Katanya, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.

3 pasukan khas polis akan dimansuh



KUALA LUMPUR: Tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dimansuhkan dalam masa terdekat susulan penstrukturan semula beberapa jabatan dalam PDRM.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemansuhan serta penstrukturan semula itu diharap dapat menjadikan PDRM dipandang tinggi oleh masyarakat.

Hari ini, Muhyiddin diberi taklimat pertama mengenai penstrukturan serta penyusunan semula jabatan dalam PDRM dan beliau menjangka ia dapat dimuktamadkan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

"Menerusi taklimat ini, (saya dimaklumkan) rombakan bukan saja membabitkan penyusunan dalam jabatan tetapi termasuk dalam perjawatan," katanya ketika ditemui dalam Majlis Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, hari ini.

Yang hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

"Beberapa pasukan khas ini yang sudah tertubuh lebih awal dulu dicadangkan untuk dibubarkan.

"Saya akan umumkan secara lengkap dalam seminggu dua lagi," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fuzi ketika ditemui mengesahkan antara pasukan khas yang berkemungkinan dimansuhkan adalah Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangesterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Ditanya sama ada pasukan yang akan dibubar itu bakal digantikan dengan pasukan baru, beliau berkata, ia tiada dalam cadangan yang dikemukakan PDRM.

"Kita akan perhalusi dan siapkan laporan cadangan ini dalam tempoh terdekat. Rombakan membabitkan penstrukturan semula semua unit dalam PDRM ini," katanya.

Sunday 24 June 2018

Penahanan Siti Kassim ikut undang-undang


KAJANG: Polis menyangkal dakwaan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menahan peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kassim atau dikenali sebagai Siti Kassim serta anak guamnya seperti didakwa menerusi video berdurasi tiga minit dimuat naik di media sosial yang viral sejak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata tindakan dilakukan pihak polis dibuat mengikut undang-undang diperuntukkan mengikut Kanun Keseksaan Akta 574 dan Kanun Prosedur Jenayah Akta 593.

"Pihak polis ingin menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada iaitu di bawah Kanun Keseksaan Akta 574 dan Kanun Prosedur Jenayah Akta 593.

Justeru, kami menyangkal dakwaan dibuat pihak berkenaan seperti dinyatakan dalam video berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana dakwaan culik dan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas yang juga kesalahan lazim ditangkap," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Dzaffir memaklumkan permohonan reman terhadap Siti Kassim ditolak oleh Mahkamah Kajang, pagi tadi.

NSTP melaporkan Siti Kassim ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang jam 12.40 tengah malam tadi atas dakwaan berkenaan.

Sebelum itu, satu serbuan dibuat sepasukan polis di sebuah kondominium di Segambut, Kuala Lumpur kira-kira jam 9 malam tadi bagi menyelamatkan seorang wanita berusia 24 tahun selepas menerima laporan polis dibuat ibu mangsa pada 21 Jun lalu.

Wednesday 20 June 2018

Anggota polis patah kaki, dua kereta bertembung



MUKAH: Seorang anggota polis patah kaki kanan selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan kenderaan lain dari atas bertentangan dalam nahas di Dalat, di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.39 petang itu, mangsa, Markos Kilat, 45 cedera serius pada kaki kanannya kesan pelanggaran dengan sebuah lagi kenderaan ketika kedua-duanya melalui satu selekoh tajam.

Pada kejadian sama, seorang lagi pemandu, Donna Elviera Arni, 27, mengalami kecederaan di leher, namun terselamat.

Bagaimanapun, dipandunya remuk teruk akibat kesan perlanggaran dan berjaya dikeluarkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Mukah yang bergegas ke tempat kejadian.

Kedua-dua mangsa berkenaan berasal dari kampung sama, Kampung Tanam Dalat, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dalat Asisten Superintendan John Dicky Ramba mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Dalat untuk rawatan lanjut.

- Berita Harian -

Tuesday 19 June 2018

Rampas dadah RM300,000 . Syabas PDRM !



GEORGETOWN: Suami isteri antara lima pengedar dadah yang ditahan dalam dua serbuan berasingan di negeri ini.

Dalam dua serbuan itu, polis merampas dadah bernilai hampir RM300,000 daripada sindiket terbabit yang beroperasi sejak tiga hingga enam bulan lalu.

Dalam serbuan pada 12.45 tengah malam 10 Jun lalu di Jelutong, di sini, polis menahan seorang lelaki di sebuah flat dan merampas 1400 erimin 5 serta ketamin seberat 52.66 gram bernilai RM26,260.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, susulan itu polis menahan seorang lagi lelaki di tepi jalan berhampiran Jambatan Pulau Pinang dan merampas 1000 erimin 5 dan 200 pil ekstasi bernilai RM21,000.

Menurutnya, polis juga menyerbu sebuah rumah di Ayer Itam Jumaat lalu dan menahan tiga lagi suspek termasuk pasangan suami isteri.

"Dalam serbuan ini, kita berjaya merampas heroin seberat 18.62 kilogram yang bernilai RM249, 500.
"Kita turut menyita sebuah motosikal dan sebuah kereta bernilai RM71,600," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Semua suspek berusia 36 hingga 47 tahun itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Berita Harian - 

Wednesday 13 June 2018

Guna Aplikasi VSP Maklum Polis

ANGGOTA AMANITA Kontingen IPKKL, Zulaikha Aziera Zul Fakar menunjukan aplikasi `Volunteer Smartphone Patrol (VSP). - Foto Yazit Razali

SEREMBAN: Orang ramai digalak menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk memaklumkan kepada polis mengenai ketiadaan mereka di rumah sempena cuti Aidilfitri.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, perkembangan teknologi terkini membolehkan masyarakat menyalurkan maklumat dengan cepat termasuk penggunaan aplikasi VSP yang membolehkan masyarakat memaklumkan kepada polis mengenai keselamatan dan jenayah.

Menurutnya, penggunaan aplikasi itu lebih mudah dan cepat berbanding mengisi borang balik kampung di balai polis berhampiran untuk memaklumkan ketiadaan mereka di rumah.

"Kita (polis) meminta orang ramai yang hendak pulang ke kampung pada musim perayaan ini mendaftar aplikasi VSP dan menggunakannya untuk memaklumkan pada kami.

"Kita akan hantar anggota menjalankan rondaan secara berkala di kawasan perumahan mereka sekali gus memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa anjuran 1 Security Services Sdn Bhd di sini, malam tadi.

Noor Azam berkata, pihaknya akan melancarkan Op Selamat dalam masa terdekat demi meningkatkan keselamatan rumah dan jalan raya.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat kawalan keselamatan juga boleh membantu polis dalam memastikan keselamatan di kawasan kawalan mereka terjamin.

Katanya, kakitangan syarikat kawalan keselamatan boleh melaksanakan tugas dengan membuat pemantauan dan tangkapan jika berlaku jenayah lalu memaklumkan kepada polis untuk tindakan seterusnya.

- Berita Harian - 

Isi borang balik kampung - Polis



KUANTAN: Orang ramai yang ingin meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung pada Aidilfitri ini sekali lagi diingatkan untuk mengisi borang balik kampung di balai polis berhampiran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman, berkata ia bagi membolehkan polis mengetahui kawasan perumahan yang akan ditinggalkan dan melakukan pemantauan bagi mengelakkan kejadian jenayah, khususnya pecah rumah.

"Lebih 2,000 borang telah diisi di negeri ini dan kita menjangkakan jumlah ini akan meningkat pada saat-saat akhir menjelang Hari Raya yang dijangka disambut pada Jumaat ini.

"Setakat ini, jumlah mereka yang mengisi borang balik kampung telah meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas, menunjukkan kesedaran masyarakat dalam hal ini semakin baik. Mereka faham kepentingan mengisi borang itu," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Anggota di Lapangan di Stadium Darul Makmur di sini semalam yang disertai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Othman Nayan, dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, SAC Abdul Aziz Salleh.

Beliau berkata, selain mengisi borang di balai polis berhampiran, mereka yang ingin berbuat demikian juga boleh menggunakan aplikasi Peronda Telefon Pintar Sukarela (VSP) di telefon pintar atau melalui talian hotline 999.

Rosli turut menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah keselamatan sewajarnya sebelum pulang ke kampung.

"Mereka perlu pastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan dinasihatkan memasang lampu di tempat-tempat tertentu seperti di pintu rumah," katanya. - BERNAMA

Tuesday 12 June 2018

Malaysia minta pinjaman daripada Jepun

TOKYO: Malaysia meminta Jepun untuk mempertimbangkan pemberian pinjaman mudah bagi membantu menangani masalah kewangan negara, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, permintaan itu dibuat ketika panggilan hormatnya kepada Perdana Menteri Shinzo Abe semalam, yang bersetuju untuk mengkaji permintaan itu.
Bagaimanapun, tiada jumlah tertentu dibincangkan.

"Saya mengingatkan beliau mengenai pinjaman mudah yang diberikan oleh Jepun ketika saya menjadi perdana menteri sebelum ini, di mana kadar faedah adalah 0.7 peratus, perlu dibayar lebih dari 40 tahun. Pada masa itu, ekonomi Jepun dan keadaan kewangannya sangat baik.

"Kali ini kami meminta mereka mempertimbangkan untuk memberi kredit Yen kepada Malaysia dan beliau berkata mereka akan mempertimbangkan," katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, kredit Yen pada kadar faedah yang lebih rendah berpotensi digunakan untuk menamatkan sebahagian daripada pinjaman kos tinggi sedia ada, yang ada antaranya mempunyai kadar faedah setinggi 6.0 peratus.

"Dalam beberapa kes, kami memberikan komisen 10 peratus kepada mereka yang mengatur kredit. Jika kita meminjam RM100 juta, kita hanya mendapat RM90 juta (selepas ditolak komisen itu), tetapi kami masih membayar faedah berdasarkan pinjaman RM100 juta.

"Ini bermakna kadar faedah naik dari 6.0 peratus kepada 7.0 atau 7.5 peratus. Ini menyebabkan kos pinjaman terlalu tinggi. Jika kita dapat mengurangkannya dengan meminjam dari sumber-sumber lain di mana kadar faedahnya lebih rendah, kita boleh melangsaikan pinjaman lama," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai temu bual di mana beliau dilaporkan berkata, projek Rel Kelajuan KL-Singapura (HSR) ditangguhkan dan tidak dibatalkan, Perdana Menteri berkata kerajaan perlu meneliti semula projek itu.

"Jika kita kekurangan dana, kita boleh melambatkan pelaksanaan projek atau mengurangkan skop projek," katanya.


- Berita Harian -

Monday 11 June 2018

Polis periksa kuarters di Putrajaya



PUTRAJAYA: Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman kini sedang melakukan pemeriksaan di sebuah kediaman kuarters di Presint 10, di sini dipercayai ada kaitan dengan bekas pemimpin negara.

Tinjauan wartawan di luar kediaman banglo dua tingkat itu mendapati, lebih 10 anggota berpakaian biasa berada di dalam kediaman itu termasuk memeriksa kotak-kotak besar yang di disimpan di dalam rumah berkenaan.

Malah, beberapa anggota dilihat turut memindahkan tiga kotak besar ke dalam sebuah van.
Difahamkan, anggota berkenaan mula menggeledah kediaman itu sejak tengah hari tadi.
Mereka dikatakan berada di lokasi berkenaan sejak pukul 1.25 tengah hari.

Kira-kira jam 3.10 petang, semua anggota JSJK termasuk empat buah kenderaan polis jenis Proton Preve dan sebuah van jenis Toyota yang meninggalkan kediaman berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa anggota polis masih ditempatkan di kediaman itu untuk mengawal rumah berkenaan.

Sementara itu, seorang pesara kerajaan yang juga penduduk berhampiran kediaman berkenaan berkata, kediaman itu dikatakan sudah tidak didiami sejak setahun lalu.

Menurutnya, kediaman berkenaan di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan ia berada kira-kira 200 meter daripada Kompleks Seri Perdana.

Lebih 30 pengamal media tempatan mula berkumpul di hadapan rumah berkenaan sejak 1.30 tengah hari tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai operasi geledah di kediaman itu.

Presint 10 adalah kawasan kediaman persendirian dan kuarters kerajaan yang mana ia pernah didiami bekas menteri di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuk pegawai-pegawai tinggi dan kanan kerajaan.

Difahamkan, anggota JSJK sudah seminggu berada di kediaman berkenaan untuk melakukan siasatan lanjut.

- Berita Harian - 

Sunday 10 June 2018

Ops Mega 3.0 gempur PATI seluruh negara 1 Julai



PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) akan melaksanakan Ops Mega 3.0 bagi menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara, bermula 1 Julai depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata operasi bersepadu bersama beberapa agensi lain itu, dilakukan selepas berakhir tempoh Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) pada 30 Jun ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan melanjutkan program itu yang bermula 15 Februari 2016, sebaliknya penguatkuasaan dijalankan untuk membanteras lambakan PATI, tanpa kompromi dengan mana-mana pihak demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

"Kita tidak tahu berapa lagi jumlah PATI masih berada di luar tetapi Jabatan Imigresen tetap tegas dalam menguat kuasa undang-undang. Kita akan mencari semua warga asing PATI di negara ini.

"Kepada majikan yang masih degil dan terus melindungi, menggaji serta membenarkan PATI tinggal di dalam premis, perlu diingat bahawa ia satu kesalahan berat.

"Mereka boleh dikenakan tindakan denda maksimum RM50,000, penjara tidak lebih lima tahun dan tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan," katanya pada sidang media khas berhubung Program Rehiring, di sini, hari ini.

Mustafar berkata, seramai 744,942 PATI dan 83,919 majikan berdaftar dalam Program Rehiring bagi tempoh 15 Februari 2016 hingga 28 Mei lalu melalui tiga vendor dilantik kerajaan.

"Daripada keseluruhan jumlah PATI itu, seramai 415,791 hadir ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pemutihan.

"Daripada jumlah yang hadir itu, seramai 307,557 layak untuk diputihkan tertakluk pada keputusan pemeriksaan kesihatan oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

"Seramai 108,234 PATI pula tidak layak dan dimasukkan ke dalam program 3+1 untuk dihantar pulang ke negara asal oleh majikan serta vendor sebelum 30 Ogos tahun ini," katanya.

Seterusnya, Mustafar berkata, daripada 307,557 PATI yang layak diputihkan itu, 110,489 layak menerima Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), manakala bagi baki jumlah berkenaan, pihaknya masih menunggu PATI terbabit dan majikan tampil di pejabat Imigresen bagi proses biometrik.

Katanya, berdasarkan rekod 2014 hingga Mei lalu, pihaknya sudah menangkap 213,709 PATI dan 4,540 majikan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 19,328 PATI dan 659 majikan dihadapkan ke mahkamah.

- Berita Harian -

Thursday 7 June 2018

Dah jumpa Nur Aisyah. Syabas PDRM !



MUAR: Selepas hampir 15 jam dilaporkan dilarikan oleh individu tidak dikenali yang bertindak memecah masuk rumah keluarganya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap di sini, akhirnya bayi perempuan berusia 17 bulan, Nur Aisyah Hasmizan berjaya diselamatkan oleh pasukan polis.

Berita itu disahkan oleh wakil keluarga, Fah Nur-Aini Syed Mustapha, 36, ketika ditemui pemberita di unit kecemasan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) yang turut dihadiri oleh saudara mara dan kenalan keluarga mangsa.

Fah Nur-Aini mewakili keluarganya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut sama mendoakan keselamatan Nur Aisyah sejak dari awal hingga dia diselamatkan.

Selain itu, pihak keluarga juga mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM kerana berusaha keras dan bertungkus lumus mengesan kedudukan serta seterusnya menyelamatkan Nur Aisyah.

Sementara itu, suasana di Unit Kecemasan HPSF bertukar menjadi tenang apabila sanak saudara dan kenalan keluarga mangsa menarik nafas lega serta bersyukur dengan berita positif terbabit.

NSTP difahamkan, keadaan Nur Aisyah dilaporkan stabil tetapi terpaksa memerlukan pemeriksaan daripada doktor berikutan terdapat kesan gigitan serangga.

Nur Aisyah dipercayai ditemui pada kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan polis di sebuah kawasan semak berhampiran pencawang elektrik di kawasan tidak jauh dari rumah keluarga mangsa.

Ibu mangsa, Siti Noorfadilah Yusofe,30, kini bersama Nur Aisyah di dalam wad di HPSF untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala bapanya, Hazmizan Othman,35 kini berada di balai polis bagi menyelesaikan beberapa urusan berkaitan kes.

Difahamkan, pihak polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung kes terbabit dan akan memberikan kenyataan dalam tempoh terdekat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi tadi, Nur Aisyah dilaporkan hilang dan dipercayai dibawa lari oleh individu tidak dikenali yang juga bertindak memecah masuk ke rumah keluarganya.

- Berita Harian - 

Dedah perbelanjaan Agong: Polis siasat Kadir Jasin

KUALA LUMPUR 7 Jun - Polis telah membuka kertas siasatan terhadap Tokoh Wartawan Negara, A. Kadir Jasin berhubung pendedahan di dalam blog peribadinya yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V membelanjakan kira-kira RM257 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan tersebut akan dijalankan di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Ujar beliau, kertas siasatan dibuat selepas tiga laporan polis dilakukan terhadapnya.
"Sebaik sahaja siasatan selesai, kita akan serahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 13 di Pusat Konvesyen di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE

Wednesday 6 June 2018

Kerajaan beri peruntukan RM100,000 kepada pembangkang

Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memberi peruntukan kepada anggota Parlimen pembangkang dalam memastikan rakyat di kawasan tersebut tidak dipinggirkan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet buat kali ketiga hari ini.

Bagaimanapun, Mahathir berkata jumlah peruntukan itu sedikit berbeza daripada pusat.
"Kita akan tetap bagi peruntukan kepada mereka tapi kurang sikitlah. RM500,000 untuk kita dan RM100,000 kepada mereka,” katanya.

Ini kali pertama anggota Parlimen pembangkang diberi peruntukan. Sebelum ini, kerajaan BN hanya memperuntukkan dana untuk wakil rakyatnya sedangkan pembangkang tidak menerima sebarang bayaran.


Pada sidang media itu, Dr Mahathir juga mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk Pusat Khidmat Anggota Parlimen yang akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Tuesday 5 June 2018

Peneroka Felda, Felcra dapat insentif raya RM450

PUTRAJAYA 6 Jun - Peneroka-peneroka Felda dan Felcra masing-masing akan mendapat insentif raya sebanyak RM450, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, peruntukan untuk insentif Felda itu melibatkan RM50 juta daripada dana kerajaan manakala RM44 untuk Felcra daripada keuntungan syarikat berkenaan.

“Bayaran insentif akan dikaji semula pada tahun 2019 yang mana penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) mungkin tidak akan lagi layak menerima insentif itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Monday 4 June 2018

Tommy Thomas Peguam Negara baharu



KUALA LUMPUR 5 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi sepucuk surat bertarikh 4 Jun.
Surat yang sama turut mengampuni perkenan penamatan khidmat Tan Sri Apandi Ali dari jawatan yang sama oleh Kerajaan Malaysia. - UTUSAN ONLINE

Bantuan Khas Aidilfitri 2018 dibayar Selasa



KUALA LUMPUR: Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2018 untuk mereka yang dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan Gred 41 dan ke bawah sebanyak RM400 seorang dan pesara kerajaan sebanyak RM200 seorang akan dibayar esok.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling mengenai kaedah pelaksanaan bantuan khas itu hari ini menjelaskan bahawa bantuan khas itu akan diberi kepada penjawat awam terbabit dengan syarat masih berkhidmat hingga 5 Jun 2018 dan berada dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 5 Jun 2018.

Tempoh 30 hari berturut-turut adalah termasuk semua jenis cuti bergaji penuh, semua jenis cuti separuh gaji, semua jenis cuti tanpa gaji, Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 5 Jun 2018.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2018 itu menyenaraikan pegawai yang layak mendapat bantuan khas adalah pegawai lantikan tetap, sementara dan perkhidmatan kontrak, pegawai yang bercuti bergaji penuh, pegawai yang bercuti separuh gaji, pegawai yang bercuti tanpa gaji dan pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya dengan pembayaran bantuan khas itu dibuat oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai.

Bantuan khas itu turut diberikan kepada guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak, pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya dan pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran dan Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan Akta Saraan Hakim 1971.

Pekeliling itu menjelaskan pegawai yang dikenakan hukuman tata tertib dalam tempoh 1 Januari 2018 hingga 5 Jun 2018, pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dan tempoh 1 Januari 2018 hingga 5 Jun 2018 dan pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari hingga 5 Jun 2018 tidak layak menerima bantuan itu.

Bantuan khas sebanyak RM400 itu juga akan dinikmati Pekerja Sambilan Harian yang masih berkhidmat pada 5 Jun 2018 dengan syarat tempoh kontraknya telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut dalam tempoh 1 Januari 2018 hingga 5 Jun 2018.

Sementara itu, Pesara Perkhidmatan Awam yang dilantik semula secara perkhidmatan kontrak dalam tempoh 1 Januari 2018 hingga 5 Jun 2018 layak diberi Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM400 dengan syarat pegawai telah berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.

Pembayaran sebanyak RM200 akan dibuat oleh JPA dan bakinya sebanyak RM200 akan dibayar oleh jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat, menurut pekeliling itu.

Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang meninggal dunia pada 5 Jun 2018 juga layak diberi bantuan sebanyak RM400.

Pada 30 Mei, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pemberian bayaran khas RM400 untuk penjawat awam gred 41 dan ke bawah manakala RM200 untuk pesara kerajaan.
- BERNAMA

Sunday 3 June 2018

Raja-raja Melayu adakan perbincangan khas Selasa ini



KUALA LUMPUR 3 Jun - Raja-Raja Melayu akan mengadakan perbincangan khas berhubung isu Peguam Negara di Istana Negara pada Selasa ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, warkah persilaan telah dikeluarkan pada Jumaat lalu kepada Raja-raja Melayu untuk me­ngadakan perbincangan khas itu.

“Ketika ini, Putrajaya dan Istana Negara belum ada persetujuan mengenai pemberhentian perkhidmatan Peguam Negara yang ada sekarang dan calon penggantinya.

“Raja-raja Melayu mengikuti perkembangan isu itu dan merasakan ada tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan kekusutan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah, pelantikan Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 145 (1) yang mana Yang di-Pertuan Agong hendaklah atas nasihat Perdana Menteri melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.

“Manakala Perkara 145 (5) memperuntukkan Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan melainkan jika individu itu adalah anggota Kabinet hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.

Mansuh undang-undang zalim: Kerajaan tubuh jawatankuasa



KUALA LUMPUR
: Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang sedia ada yang dilihat menindas rakyat di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa yang telah mendapat kelulusan kabinet itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

“Jawatankuasa ini adalah seiring dengan Manifesto Pakatan Harapan yang akan menghapuskan undang-undang yang dilihat menindas rakyat.
“Antara undang-undang yang akan dikaji seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) dan beberapa lagi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada hampir 250 penduduk kariah Parlimen Batu di Masjid Saidina Hamzah sini hari ini.

Ujar beliau, antara individu yang bakal menyertai jawatankuasa itu termasuk pakar perundangan, ketua setiausaha kementerian-kementerian terlibat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan jumlah keanggotaan dan tarikh mesyuarat pertama yang bakal berlangsung.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beberapa akta seperti Anti-berita Tidak Benar 2018, Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 akan dihapuskan.

Katanya undang-undang tersebut bersifat zalim dan menindas rakyat.

Malah, Pakatan Harapan juga berjanji akan memansuhkan peruntukan zalim yang terdapat dalam Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Kesalahan Keselamatan, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015.

- Awani -

Saya tak lupa krisis Perlembagaan 1992 - TMJ

- Gambar Hiasan -

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengimbau layanan Kerajaan Persekutuan ke atas Istana Johor sewaktu krisis Perlembagaan pada tahun 1992.

Tunku Ismail berharap supaya sejarah hitam yang dilakukan kerajaan atas desakan tamak haloba dan gila kuasa itu tidak berulang.

"Saya tidak akan lupa krisis Perlembagaan yang berlaku pada tahun 1992. Saya masih ingat bagaimana keluarga saya dilayan oleh pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan.

"Saya masih ingat perkara-perkara seperti percubaan untuk membubarkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor, .. Ahli EXCO Johor diberitahu untuk tidak menyambut Almarhum nenda saya di lapangan terbang, bagaimana JKR (Jabatan Kerja Raja) diberitahu untuk tidak membaik pulih dan memulihara segala apa-apa yang ada di Istana-istana Johor.

"Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci. Saya masih ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang bertanggungjawab" katanya menerusi posting di Facebook JOHOR Southern Tigers.

Krisis Perlembagaan pada tahun 1992 berlaku ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyaksikan usul menyekat kuasa dan kekebalan Raja-Raja Melayu dikemukakan pada sesi khas Parlimen, Disember 1992.

Sambil menyifatkan insiden terbabit sebagai perkara lama, Tunku Ismail berkata beliau yakin dengan kekuasaan Allah dan hukum karma selain menyifatkan hubungan kerajaan dan kerabat Diraja Johor pada hari ini berada dalam keadaan baik.

"Saya menghargainya. Saya berharap ia bukan hanya sekadar disebabkan kerana anda amat memerlukan kami. Memang baik sekiranya anda sedar bahawa kita saling memerlukan antara satu sama lain. Tetapi pada pendapat saya pada masa ini, tumpuan harus diberikan untuk memperbetulkan kesilapan dan mencapai kemajuan dalam negara.

"Saya berharap supaya sejarah hitam yang anda lakukan atas desakan tamak haloba dan sikap gila kuasa tidak akan berlaku lagi. Jangan manipulasi rakyat demi kepentingan diri sendiri kerana anda dilantik untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya berdoa supaya kita boleh memberikan tumpuan untuk menjadikan negara kita ini tempat yang lebih baik pada masa akan datang, demi rakyat," katanya.

Tunku Mahkota Johor turut menjelaskan bahawa Sultan dan kerabat diraja Johor menyayangi rakyat negeri itu dan menjadi tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Keutamaan saya adalah hak anda sebagai rakyat Johor, dan kesejahteraan anda. Sentiasa ingat perkara ini. Kekuatan Kedaulatan Johor ialah perpaduan. Sentiasa kekal bersatu sebagai rakyat Johor.
Jangan beri peluang kepada sesiapa pun untuk membuli kita. Kita yang memutuskan apa yang baik untuk kita. Ini adalah rumah kita, negeri kita.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi hak Johor dan kedaulatannya. ALLAH Peliharakan Sultan dan Negeri Johor Darul Ta'zim dan semoga ALLAH memberkati negara Malaysia," katanya.

- Berita Harian -

Saturday 2 June 2018

Penjawat awam perlu setia pada Kerajaan sekarang - Tun Mahathir



PUTRAJAYA
: Kerajaan minta penjawat awam yang terlibat secara langsung dengan kempen parti pemerintah sebelum ini, Barisan Nasional, untuk kembali neutral.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini adalah penting supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab di bawah pemerintahan Pakatan Harapan dengan baik.

"Kami dapati ramai penjawat awam yang terlibat dalam kempen Barisan Nasional.

"Ini tidak betul. Sebagai penjawat awam, mereka harus bersikap neutral dan berkhidmat untuk kerajaan sedia ada," kata Dr Mahathir.

Apabila ditanya apa tindakan yang akan diambil terhadap golongan ini, Dr Mahathir berkata Kerajaan tidak ingin menghukum sewenang-wenangnya.

"Kami berharap mereka boleh kembali neutral agar perjalanan pentadbiran Kerajaan kini dapat diteruskan dengan baik," kata beliau dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Friday 1 June 2018

Pegawai kanan polis ditahan, lebih RM1 juta ditemui



KUALA LUMPUR: Dua pegawai kanan polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah bengkel kereta di Subang Jaya, semalam.

Pegawai yang berkhidmat di bahagian Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman, itu masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Asisten Superintendan.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek berada di lokasi bersama seorang awam ketika serbuan dilakukan.

"Pemeriksaan menemui wang berjumlah RM341,000 di kedai berkenaan.

"Pegawai SPRM kemudian membawa kedua-dua lelaki itu ke sebuah kondominium milik seorang daripada suspek dan menemui wang tunai anggaran RM400,000 hingga RM700,00," katanya kepada NSTP, hari ini.

Sumber berkata, kedua-dua pegawai polis berkenaan kemudian dibawa ke pejabat STAGG di Pusat Latihan (PULAPOL) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan di pejabat berkenaan menemui wang dianggarkan lebih RM225,000.
"Pemeriksaan dan serbuan selesai kira-kira jam 6.40 petang dan kedua-dua pegawai kanan polis berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

- Berita Harian -