Monday, 9 October 2017

10 FAKTA TENTANG PDRM




*1.* _Agensi paling tua di Malaysia yang di tubuhkan sejak 1807_
*2.* _Memiliki aset-aset yang paling uzur tetapi mampu menjalankan operasi dengan sempurna_
*3.* _Mempunyai pasukan separa tentera sendiri iaitu Pasukan Gerakan Am dan 69 Komando_
*4.* _Kesemua warga PDRM adalah bertaraf pegawai walaupun berpangkat konstabel (akta polis 1967) dan hanya ada 2 kategori sahaja iaitu Pegawai Kanan Polis ( Inspektor - IGP) dan Pegawai Rendah Polis (Konstabel - Sub Inspektor) dan sebenarnya tiada istilah 'anggota' di dalam PDRM itu hanyalah bahasa pasar sejak dahulu lagi._

*5.* _Mempunyai sistem gaji yang paling tinggi berbanding dengan agensi kerajaan yang lain (pangkat konstabel boleh mencapai pendapatan kasar sekitar RM3000 sebulan megikut cawangan bertugas)_

*6.* _69 Komando PDRM pernah melakar kejayaan dengan menawan 82 pengganas komunis hidup-hidup di satu kem komunis pada 1975 tanpa ada kecederaan dari pihak mereka._

*7.* _Pada 2005, 5 pegawai kanan polis dan 32 pegawai rendah polis dari Pasukan 69 Komando telah diterbangkan ke Kukup Johor bagi melaksanakan operasi merampas semula sebuah kapal MV Natris yg telah ditukar nama kepada MV Paulijing dipercayai dilarikan di perairan Bertam,Indonesia. Kapal tersebut telah dikesan oleh Pasukan Gerakan Marin di perairan Selat Melaka setelah dilaporkan hilang pada tahun 2003. Operasi ini telah dinamakan sebagai Ops MV Paulijing. Akhirnya mereka berjaya menawan semula kapal ini dan dibawa pulang ke Malaysia._

*8.* _Pada tahun 2000 semasa peristiwa Al Maunah, IGP ketika itu telah menyerahkan operasi kepada pihak ATM tetapi pasukan 69 komando di ketuai oleh C/Insp Abd Razak bin Mohd Yusoff bersama 20 orang pegawai rendahnya terlebih dahulu menaiki bukit ke arah Kumpulan Al-Ma'unah berkhemah serta menyelinap masuk dan menawan pengganas tanpa sebarang kecederaan pada kedua-dua belah pihak sebelum ketibaan pihak Leftenan Jeneral Zaini Mohd Said, komander Tentera Darat 2 jam kemudian._

*9.* _Pasukan Polis Marin pada tahun 1985 pernah bertempur dengan lanun yang baru lepas menyerang bandar Lahad Datu. Keesokannya 2 buah kapal TLDM terdiri daripada KD Badik dan KD Kerambit telah merapat dengan kapal PX 29 dan PX 16. CO kapal TLDM telah pergi ke kapal PX 29 dan PX,_ _Mereka agak terkejut melihat pada kesan tembakan dikedua-dua buah kapal tersebut disamping kelongsong peluru yang memenuhi dek dan Open briged kedua-dua kapal. Pertempuran yang amat hebat itu telah di puji oleh pegawai yang berpangkat Leftenan sambil berkata “ Sepanjang sejarah penubuhan TLDM, kami belum pernah berdepan dengan situasi sebegini”. Mananya tidak, hampir semua badan kapal ditembusi dengan peluru. Malah tangga besi dari dek untuk ke Open briged telah putus dan tidak boleh digunakan. Begitu juga dengan Scener Radar turut terkena tembakan. Kedua-dua CO TLDM itu kemudian mengucapkan tahniah atas kejayaan Polis Marin dalam memburu lanun tersebut._

*10.* _Hasil kaji selidik Jabatan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa pekerjaan polis adalah yang paling stress di Malaysia dan di dalam cawangan polis pula Pasukan Gerakan Am merupakan cawangan yang paling stress berbanding dengan cawangan polis yang lain._
Salute PDRM....👍🏼✋🏼👮🏼

Sunday, 8 October 2017

Anggota, Pegawai Polis Berhibur Di Pusat Hiburan Ditukar serta Merta



JOHOR BAHRU, 9 Okt (Bernama) -- Seorang pegawai dan enam anggota polis yang didapati berhibur di sebuah pusat hiburan di Muar telah ditukarkan ke jabatan lain. Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata keputusan itu diambil sementara menunggu tindakan susulan dilakukan..

Dalam satu kenyataan, beliau berkata siasatan tatatertib juga telah dijalankan sebaik sahaja maklumat berkenaan diterima.

Beliau mengulas mengenai sebuah video dalam Facebook yang tular semalam yang menunjukkan sekumpulan tujuh individu yang didakwa sebagai pegawai dan anggota polis dari Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Muar sedang berhibur bersama tauke judi haram di sebuah pusat hiburan yang terletak di Pusat Perniagaan Bakri.

"Dalam hal ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat pelanggaran tatatertib ini tidak boleh dikompromi dan akan mengambil tindakan yang tegas kepada semua yang terlibat.

"Semua pegawai dan anggota PDRM mesti akur kepada kehendak integriti dalam memartabatkan PDRM selaku penguat kuasa undang-undang utama negara,\" katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, 27 September 2017

14 pegawai kanan polis bertukar



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam mengumumkan pertukaran 14 pegawai kanan pelbagai jabatan berkuat kuasa bulan depan.

Pertukaran yang berkuat kuasa pada 30 Oktober itu diumumkan oleh Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara, Senior Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad, dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azizi Mat Aris bertukar ke jawatan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Tadbir Urus/ Kepolisian Am) Bukit Aman.

Penolong Pengarah (D7B) Tahanan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Baharudin Mustapha dan Penolong Pengarah Unit Rondaan Bermotosikal/e-Sektor, Bahagian Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Soaihami Rahim, pula bertukar jawatan.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi/ Bantuan Teknik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman Asisten Komisioner Koh Ah Tiam dan Penolong Pengarah Urusetia, Cawangan Urusetia, Bahagian Urusetia/Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Ahmad Mazlan Yahya, turut bertukar jawatan.

Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Dalila Mohd Yasin, bertukar jawatan sebagai Penolong Pengarah Kepolisian Kemasyarakatan, Bahagian Kepolisian Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

Siti Dalila menggantikan Asisten Komisioner Wong Ing Fung yang ditukarkan sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan/Sukan/Rekreasi), Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya bertukar ke jawatan Timbalan Pengarah (Kepolisian Am/ Siasatan/Sumber) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Bukit Aman .
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Shukri Kaman mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zulkefly.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) IPK Kedah, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah pula menggantikan Mohd Shukri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Penolong Pengarah Perjawatan (Pegawai Diwartakan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi ditukarkan ke jawatan Penolong Pengarah Perjawatan (Pengambilan), Cawangan Perjawatan, Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik, IPK Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar pula ditukarkan ke jawatan Ketua Polis Daerah Kulai, Johor.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Semenyih, bertukar ke jawatan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Kelantan.

Pegawai kanan terakhir dalam senarai pertukaran adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Sandakan, Deputi Superintendan Sabarudin Rahmat yang bertukar ke jawatan Ketua Polis Daerah Sipitang, Sabah.

Tuesday, 26 September 2017

Viral lelaki, penguat kuasa DBKL bertengkar: Polis tahan pemandu



KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pemandu kereta selepas videonya bertengkar dengan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 38 tahun itu dibuat jam 6.30 petang tadi ketika dia tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk memberi keterangan.

Katanya, anggota penguat kuasa DBKL itu juga sudah tampil membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Sentul semalam.

Berdasarkan laporan itu, anggota berkenaan mendakwa kejadian berlaku ketika dia bersama rakan setugas dan dua pekerja syarikat kunci tayar menjalankan operasi di Taman Segar, Cheras pada jam 12.46 tengah hari.

"Dalam operasi itu, pengadu (anggota DBKL) dan rakannya mengunci tayar sebuah kereta PERODUA Myvi kerana melakukan kesalahan meletak kenderaan di luar petak.

"Tidak lama kemudian selepas menerima arahan daripada pusat kawalan DBKL, pengadu pergi semula ke lokasi berkenaan untuk membuka kunci tayar kereta itu kerana pemiliknya (suspek) hendak membayar denda.

"Bagaimanapun, kedua-dua mereka dipercayai berselisih faham hingga tercetus pertengkaran dan insiden tolak-menolak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kok Sin berkata, pegawai penyiasat sudah menghubungi anggota DBKL itu untuk diambil keterangan, namun setakat ini dia belum tampil berbuat demikian.

Katanya, pihaknya juga akan merakam keterangan saksi lain yang mempunyai kaitan dalam kes itu.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki bertengkar dengan anggota penguat kuasa viral di media sosial sejak awal hari ini.

Dalam rakaman berdurasi empat minit enam saat itu, lelaki berkenaan dilihat seolah-olah tidak berpuas hati dengan petugas DBKL sambil cuba ditenangkan beberapa wanita yang turut berada di situ.

Bagaimanapun, lelaki itu kemudian dilihat mengambil objek seperti kayu dari dalam keretanya dan meluru ke arah seorang lelaki lain yang turut berada di situ, tetapi berjaya dihalang daripada bertindak di luar kawalan.

Dia kemudian beredar dari lokasi tidak lama selepas itu.

Monday, 25 September 2017

Dicekup pulang rumah ambil pakaian



POLIS tahan lelaki disyaki terbabit kes pukul sampai mati di rumah di Kampung Pinang, Air Itam, Georgetown, 10.10 malam tadi.

Sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) memberkas suspek berusia 23 tahun itu di rumah sewanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan penangkapan suspek selepas diburu polis sejak Sabtu lalu.

Beliau berkata, suspek pulang ke rumah mengambil pakaian untuk melarikan diri selepas mengetahui dia diburu polis selepas kejadian Jumaat lalu itu.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke IPDTL sebelum ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian malam Jumaat itu, suspek dan seorang lagi rakannya yang masih bebas memukul mangsa, Lim Kok Boon, 33, di kawasan tempat pembuangan sampah di Blok B, Flat Kampung Melayu, Air Itam.

Mangsa dipukul dengan topi keledar sehingga pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum disahkan meninggal dunia pada 10 pagi semalam.

Susulan itu, polis masih memburu rakan suspek, Mohd Yusri Mohamed, 38, dari Flat Kampung Melayu, Air Itam.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi IPDTL di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 10:24 AM