Johor Bahru: Seorang koperal polis berusia 33 tahun, patah kaki, manakala tulang pinggulnya teralih akibat dirempuh kereta dipandu seorang suspek yang cuba melarikan diri di Jalan Pasir Gudang, Johor Bahru, petang semalam.
Kaki kiri Johar Bagini dari Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) patah di tiga tempat.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, kejadian berlaku kira-kira 2.30 petang ketika dua anggota polis dari IPD Seri Alam menjalankan tugas rondaan di kawasan Pasir Gudang dan apabila tiba di Jalan Perak, terserempak dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Suspek memecut kereta dan memandu laju secara melulu yang membahayakan pengguna jalan raya yang lain selepas polis mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.
"Ketika dikejar, suspek menyembur minyak diesel ke arah kereta MPV polis menggunakan hos yang disambung kepada dua tong dram besar berisi minyak diesel yang berada dalam kereta diubah suai bahagian dalamnya," katanya.
Menurutnya, ketika suspek memandu melalui Jalan Pasir Gudang menghala Taman Johor Jaya, empat orang anggota polis dalam dua kereta peronda MPV membuat sekatan lalu lintas untuk membantu menahannya namun suspek terus memecut memotong kenderaan lain dan dengan laju, merempuh seorang anggota polis peronda MPV yang berada di tepi jalan.
"Polis terpaksa melepaskan tembakan ke bahagian hadapan kereta suspek apabila mendapati dirinya terancam.
“Tembakan itu tidak mengenai suspek dan dia memandu laju ke arah Johor Jaya dengan dikejar MPV Polis Seri Alam," katanya.
Jokhiri berkata, apabila tiba di satu persimpangan di Jalan Rosmerah 2/11, Taman Johor Jaya, berhampiran sebuah bank, berlaku kemalangan antara kereta suspek dengan kereta peronda MPV yang mengejarnya.
Katanya, kedua-dua kenderaan itu mengalami kerosakan dan terhenti.
"Dalam situasi cemas, suspek yang agresif dan tidak terkawal, meluru ke arah anggota polis sambil memegang batang besi menyebabkan kita terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek yang mengenai pinggangnya,” katanya.
Menurut Jokhiri, suspek yang terkena tembakan masih boleh bergerak dan mampu berlari untuk meloloskan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.
Katanya, suspek yang berusia 30 tahun itu didapati menggunakan kereta curi dengan nombor pendaftaran palsu yang dilaporkan hilang di Tampoi, Skudai.
"Suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk tiga kes dadah.
"Dia ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.
0 comments:
Post a Comment