Thursday 4 May 2017

PDRM PERLU ASET BAHARU,USANG DAN UZUR PERLU DIGANTI



KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan aset-aset baharu sesuai dengan keperluan kepolisan moden  khasnya  yang melibatkan aset seperti penggunaan dron dan Sistem Teknologi Informasi dan Perhubungan (ICT) yang terkini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata walaupun memahami kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan namun aset-aset yang telah cukup jangka hayat perlu ditukar dengan yang baharu sesuai dengan teknologi semasa.

"Aset-aset ini akan sampai  jangka hayat dia, kita kena ganti, lupuskannya dapat aset-aset  baharu ikut keperluan masa kinilah... seperti dron yang kita perlukan sekarang dalam pengawasan moden , kita perlukan CCTV (kamera litar tertutup) yang baik...juga sistem yang baik... sistem imbasan muka, pengimbas nombor kenderaan, " katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutupan persidangan pegawai-pegawai aset PDRM di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya anggota PDRM disarankan untuk memastikan segala aset yang sedia ada dijaga dengan lebih baik dan kekal berfungsi untuk membolehkan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Terdahulu, dalam ucapannya Khalid berkata kerajaan telah meluluskan  peruntukan sebanyak RM1.6 bilion kepada PDRM untuk perolehan aset baharu dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Daripada jumlah itu sebanyak RM766 juta diperuntuk bagi perolehan  Aset Alih dan Aset Ketara seperti perolehan empat  helikopter, peralatan komunikasi dan pembangunan beberapa sistem Sistem Teknologi Informasi dan Perhubungan (ICT), bot marin, senjata generasi baharu dan lain-lain lagi.

Beliau berkata untuk perolehan Aset Fizikal sebanyak tujuh projek bernilai RM832 telah diluluskan seperti pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, IPD Lawas Sarawak, IPD Jeli Kelantan, Kompleks Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Pangkalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10 di Sibu, Balai Polis Matang Jaya dan Balai Polis Sepauh di Sarawak. 

"Selain daripada peruntukan kerajaan, PDRM turut memperoleh aset-aset hasil sumbangan daripada syarikat korporat, NGO (badan bukan kerajaan) dan pihak-pihak tertentu. Antara aset yang disumbangkan adalah kenderaan, perabot dan senjata api, " katanya. - Bernama
-------------
Nak dapatkan T-SHIRT Friends Of PDRM ?
Berminat nak beli? Terus WhatsApp Admin tekan sini  -> http://tshirtfopdrm.wasap.my/  -(012-2357862)  😊😊



 

0 comments:

Post a Comment