Thursday 3 August 2017

EX-RIMAU PDRM






















































































































































































LATIHAMAL EX-RIMAU: DATARAN KAWAD MAKTAB PDRM ‘BERGEGAR’
Cheras, 3 Ogos 2017 – Selepas lima siri latihan yang diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara, Latihamal Ex-Rimau Sukan SEA 2017 mengakhiri ‘ledakannya’ di Dataran Kawad Maktab Polis Diraja Malaysia (MPDRM) dekat sini, petang tadi.

Bahang penutupan latihamal tersebut mula dirasai sejak beberapa hari lalu dengan astaka utama dihias indah selain kain rentang dengan logo rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sukan SEA 2017 dinaikkan di sekitar MPDRM bagi menarik perhatian orang ramai yang melalui Jalan Cheras-Kajang.

Lebih menarik, majlis petang tadi yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak bersama timbalannya, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, diadakan kira-kira dua minggu sahaja lagi sebelum berlangsungnya temasya Sukan SEA 2017.

Kehadiran kedua-dua pemimpin negara itu adalah bagi melakukan lawatan kerja untuk melihat sendiri persiapan akhir pihak polis menjaga keselamatan dan mengekalkan ketenteraman awam sekiranya berlaku sebarang insiden semasa temasya berlangsung.

Lawatan kerja itu dimulakan dengan sesi taklimat ringkas oleh Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Bukit Aman, Dato’ Azizan Abdul Aziz yang juga Timbalan Pengarah (Operasi) Latihamal Ex-Rimau Sukan SEA 2017.

Seterusnya rombongan dibawa melawat ke bilik-bilik operasi latihan iaitu bilik Pasukan Tindakbalas Krisis (CRT), bilik Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) dan bilik perundingan yang digunakan untuk menguji keberkesanan perancangan dan tindak balas PDRM ketika menghadapi situasi ancaman keselamatan yang sebenar menerusi simulasi yang diwujudkan khas untuk tontonan Perdana Menteri dan tetamu kenamaan yang lain.

Acara kemuncak majlis penutupan yang berlangsung di Dataran Kawad petang tadi turut melibatkan pelbagai elemen dalam PDRM yang diketuai oleh unit elit 69 Komando sebagai pasukan penggempur utama bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang hadir bersama pesawat helikopter Agusta AW139 terbaru milik mereka. Ledakan demi ledakan yang berlaku dalam simulasi proses menyelamat tebusan di Dataran Kawad tadi ternyata memukau perhatian Perdana Menteri dan semua tetamu yang hadir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar yang ditemui pemberita dalam sidang media selepas majlis turut berpuas hati dengan segala persiapan yang telah dilaksanakan oleh PDRM sehingga kini.

“Saya amat berpuas hati dengan segala persiapan yang telah dilaksanakan setakat ini dan kami telah dan akan bersedia sepenuhnya untuk memastikan tahap keselamatan yang tinggi serta menghadapi sebarang kemungkinan menjelang Sukan SEA 2017 nanti,” ujar beliau.

Hadir sama tadi Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Haji Zulkifli Mohd Zin, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad, Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Zulkiple Haji Kassim dan Pengarah Jabatan KDN/KA Bukit Aman, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah merangkap Pengarah Operasi Jawatankuasa Keselamatan dan Lalu-lintas Sukan SEA 2017.

0 comments:

Post a Comment