SEJARAH menceritakan segala-galanya tentang jasa dan pengorbanan anggota tentera, polis atau sesiapa sahaja kepada keselamatan negara. Malah, sejarah turut menjadikan sesebuah organisasi berusaha menjadi yang terbaik.
Perkara ini turut berlaku kepada pasukan yang
mendapat julukan ‘Special Air Service’ (SAS) Malaysia, 69 Komando yang
merupakan unit khas di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Unit yang menerima didikan daripada SAS United
Kingdom (UK) selepas penubuhannya itu berjaya mencatatkan pelbagai
kejayaan dalam operasi. Antara operasi yang paling diingati dalam tempoh
beberapa tahun lalu adalah Ops Subuh di Bukit Jenalik, Sauk, Perak dan
Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia
(ATM).
Dengan identiti beret kelabu pasir
dan lambang kerambit, pasukan yang berpangkalan di Hulu Kinta, Perak ini
turut menjadi pasukan yang menggalas tanggungjawab dalam operasi
penting membanteras jenayah.


Selepas lebih
50 tahun dan tiada lagi ancaman komunis, unit ini sebenarnya masih
relevan bagi menangani ancaman lain seperti ‘counter terrorism’ dan
jenayah dalam bandar menerusi kerjasama unit dan agensi lain.
Sehubungan
itu, bagi memantapkan unit ini, Komandernya, Senior Asisten Komisioner
(SAC) Abdul Razak Mohd. Yusoff berkata, pihaknya telah menilai semula
beberapa aspek kemahiran serta latihan di samping modul kursus asas
komando.


Menurutnya, ini termasuk kemahiran
yang dimiliki oleh anggota di setiap skuadron dalam unit itu seperti
kemahiran payung terjun, penyusupan udara, selam tempur dan rondaan
kumpulan kecil (RKK).
“Kita mahu melihat
semula kaedah di mana kemungkinan skuadron yang mempunyai kemahiran sama
akan kita juruskan kepada kemahiran tertentu pula seperti ‘waterborne’
(selam tempur) atau payung terjun.
“Ini
bermakna setiap skuadron ada kepakaran masing-masing. Walau
bagaimanapun, kemahiran ‘counter terrorism’ akan kita wajibkan dalam
semua skuadron,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.


Abdul
Razak berkata, unit tersebut juga akan menilai semula modul kursus asas
69 Komando supaya dapat menampung jumlah anggota yang telah bersara dan
berhenti setakat ini.
“Tidak ramai yang
lulus dalam ‘basic’ komando dan kita memerlukan anggota bagi mengisi
kekosongan tersebut. Kadang-kadang daripada beratus-ratus yang ikut
(kursus asas komando), yang lulus hanya sembilan orang.
“Sebab
itu kita akan melihat semula modul kursus tersebut. Kita tidak mahu
berkompromi dalam aspek standard dan kualiti anggota yang lulus kerana
bakal menggalas tanggungjawab besar selepas diserapkan ke unit ini
nanti,” jelasnya.


Dalam perkembangan lain,
Abdul Razak berkata, anggota 69 Komando sehingga kini masih menjalani
latihan bersama pasukan khas lain seperti Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan
Khas Laut (Paskal) dan Pasukan Khas Udara (Paskau).
“Sejak
dahulu lagi kita hantar anggota ke Pusat Latihan Peperangan Khusus
(Pulpak), Kem Sungai Udang, Melaka mempelajari kemahiran di sana dan
hanya sebahagian latihan dilakukan di Hulu Kinta.
“Sebagai
contoh, latihan lanjutan payung terjun dibuat di Pulpak kerana kita
tidak melatih anggota dalam kursus skala besar dan perlukan mungkin dua
orang sahaja ‘jump master’ atau ‘rigger’ (pelipat payung terjun ),”
ujarnya.


Terbaru, dua anggota 69 Komando
berjaya meraih anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik yang diberikan
kepada Lans Koperal Mohammad Rahmad Lantong manakala Penuntut Akademik
Terbaik dianugerahkan kepada Lans Koperal M. Pragash
Mereka antara 20 peserta yang mengikuti Kursus Pelipat ‘Parachute’ Siri PLP 2/18 anjuran Cawangan Rigger Pulpak.
69
Komando terus menjalankan proses pemodenan dan peningkatan dari segi
anggota serta aset sebagai langkah persediaan menghadapi ancaman baharu
masa kini.
- Utusan Online -
0 comments:
Post a Comment