Sunday, 22 October 2017

Tukang cuci serah dompet berisi RM12,000 dihargai polis



KUALA LUMPUR: Tindakan jujur wanita pekerja pembersihan warga Indonesia menyerahkan dompet ditemuinya berisi mata wang asing bernilai lebih RM12,000, dihargai polis yang memberikannya sijil penghargaan, hari ini.

Samona Marhama, 33, menemui dompet dipercayai milik pelancong asing itu pada kira-kira jam 5.30 petang pada 9 Oktober lalu ketika sedang membersihkan bilik persalinan bayi di tingkat tiga pusat beli-belah Berjaya Times Square, di sini.

Wanita dari Madura, Jawa Timur itu, berkata tidak terlintas dalam fikirannya untuk membuka dompet berkenaan kerana bukan miliknya, lalu segera diserahkan kepada penyelia.

"Saya tidak tahu langsung apa isi dalam dompet itu. Penyelia kemudian serahkan dompet kepada ketua keselamatan pusat beli-belah sebelum diserahkan pula kepada polis," katanya.

Samona ditemui pemberita selepas menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman di lobi Berjaya Times Square.

Yang turut menerima sijil sama adalah penyelia Samona, Mualimah Seniran dan Ketua Keselamatan Berjaya Times Square, Mohd Hanafiah Mohd Shah.

Sementara itu, Mohd Sukri berkata, polis yang memeriksa dompet berkenaan menemui wang tunai AS$3,000 (RM12,666) dan Pound Syria 3,560 (RM74.77) selain sekeping gambar dipercayai milik pemilik dompet.

"Apa yang hendak ditekankan di sini adalah sifat jujur pekerja pembersihan yang tidak mengambil walau sesen pun wang dalam dompet berkenaan, tetapi menyerahkannya kepada polis.

"Setakat ini, belum ada individu yang menuntut dompet berkenaan," katanya.
Ketua Operasi Berjaya Times Square Management Corporation, Foo Kok Keong, turut memuji sikap pekerjanya yang amanah menjalankan tugas sambil berharap ia menjadi contoh dan ikutan pekerja lain.

0 comments:

Post a Comment