Sunday, 7 January 2018

KISAH BENAR: BILA 'TUKANG GANTUNG' TAK JUMPA KUNCI RUMAH!



Hari ni abam nak share satu kisah mengenai pengalaman abam menemubual seorang tukang gantung yang bertugas di Penjara Kajang.

Memandangkan interview dijalankan beberapa tahun lepas, abam pun tak pasti sama ada pegawai penjara ini 'masih bertugas' atau dah pencen.

Abam tak boleh mendedahkan identiti beliau sebab terikat dengan peraturan penjara, apa yang abam boleh katakan beliau seorang yang bertubuh besar, tegap, bermisai tebal dan berusia dalam lingkungan 50'an.

Beliau mengakui tak ramai pegawai penjara yang berminat tugasan ini dan Jabatan Penjara sendiri sangat 'selektif' untuk memilih warga mereka untuk menjalankan kerja berkenaan.

Walaupun mengakui 'elaun khas' yang diterima tukang gantung agak lumayan, namun beliau berkata BUKAN ITU faktor yang membuatkan beliau dan rakan-rakannya dambakan.

" Kalau ingat kami gantung orang sebab nak kejar elaun, itu salah. Kami bukan 'pembunuh upahan berlesen'. Tetapi kalau bukan kami yang sanggup jalankan amanah ini, nak harap siapa lagi?," kata Tuan Harjit (bukan nama sebenar).

Abam masa jumpa Tuan Harjit tak buang masa banyak dan terus 'straight forward' tanya soalan cepu mas - apakah benda pelik sepanjang menyandang jawatan sebagai tukang gantung?
Tuan Harjit seperti dapat mengagak soalan abam. Beliau tanpa berselindung terus membuka cerita.

Katanya, beberapa tahun lepas beliau menerima arahan untuk menggantung seorang banduan. Memandangkan hukuman mati perlu dijalankan menjelang Subuh, beliau bangun seawal pukul 2 pagi untuk bersiap-siap hendak ke 'pejabat'.

Sebelum mendapat arahan berkenaan, beliau telah 'mendapat alamat' mengenainya. Uniknya ada sedikit 'keistimewaan' tentang diri Tuan Harjit.

Sama ada ia memang kelebihan atau kebetulan, Tuan Harjit tidak dapat menjawab persoalan itu sampai sekarang.

" Terpulang sama ada awak nak percaya kat saya atau tidak. Untuk pengetahuan awak, selalunya beberapa hari sebelum mendapat arahan untuk menjalankan hukuman mati, saya akan rasa 'panas dan pijar' di sekeliling leher saya.

" Kalau saya dapat petanda seperti itu, saya tahu, pasti dalam sehari dua lepas itu akan ada perintah untuk saya menggantung seseorang pesalah. Setiap orang ada keistimewaan, awak ada kebolehan untuk menulis, mungkin saya pulak Tuhan bagi kelebihan untuk mendapat 'petanda' seperti yang dimaksudkan," katanya sambil tersenyum.

Menyambung kembali ceritanya, Tuan Harjit berkata, selalunya bila ada hukuman mati, beliau akan sampai awal di bilik gantung bagai memastikan segala kelengkapan terutama pelantar dan tali gantung berfungsi dengan baik.

Lagipun kata Tuan Harjit, antara prosedur penting ketika menjalankan hukuman mati adalah, si tukang gantung perlu menjalankan 'kerjanya' dalam tempoh yang telah ditetapkan, tak boleh terawal dan tak boleh terlewat.

Namun katanya, pada pagi itu beliau berhadapan satu perkara pelik yang tak pernah dialaminya sepanjang bertugas sebagai tukang gantung.
Beliau tak jumpa kunci rumah!

Puas beliau mencari kunci rumahnya termasuk kunci 'spare' namun tak ada satu pun yang ditemui, seolah-olah kunci tersebut telah 'disembunyikan'!

" Memang saya betul-betul panik. Berpeluh saya dan isteri mencari di mana kunci rumah kami tetapi gagal. Saya dan isteri kini betul-betul macam dalam penjara. Kalau selama ini tugas saya memenjarakan orang, kini saya dan isteri pulak kena 'penjara'!

" Saya tidak begitu mempercayai benda tahyul dan mistik, namun kejadian ini membuatkan saya mula merasakan yang kemungkinan benda-benda macam ni memang wujud!
" Saya percaya, peristiwa kehilangan kunci rumah pagi itu seolah-olah memberi mesej kepada saya supaya JANGAN menggantung banduan berkenaan...mungkin dia teraniaya, mungkin dia difitnah, atau mungkin dia mengamalkan ilmu hitam.
" Namun bagi saya mudah, banduan itu telah diberi 1,001 peluang untuk membela diri di mahkamah namun ternyata beliau gagal untuk menyakinkan hakim agar tidak menghantarnya ke tali gantung. Yang pasti saya hanya menjalankan tugas dan tak mahu buang masa fikirkan pasal perkara tersebut," tegasnya.

Tambah Tuan Harjit, disebabkan masa semakin suntuk, beliau akhirnya terpaksa menelefon rakan-rakannya untuk datang dan memecahkan pintu pagar serta pintu rumahnya itu sebelum bergegas menaiki kereta untuk ke penjara.

Ketika beliau sampai di bilik kurungan banduan tersebut, lelaki itu merenungnya dengan satu pandangan yang cukup tajam seolah-olah banduan itu tahu 'apa yang terjadi' di rumahnya sebentar tadi.

Tuan Harjit pura-pura seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Beliau juga tidak membalas balik renungan banduan berkenaan sebaliknya terus menyarungkan kain hitam untuk menutup muka banduan itu.

Lagipun waktu yang diperuntukkan untuk menjalankan hukuman mati itu semakin suntuk.
Sebaik saja tubuh lelaki berkenaan berada betul-betul atas pelantar, Tuan Harjit terus menarik 'gear' lalu terbukalah pelantar tersebut dan lelaki berkenaan terus jatuh ke bawah. Tali gantung itu secara automatik kemudian menjerut lehernya.

Tidak sampai beberapa minit kemudian, doktor mengesahkan banduan berkenaan telah meninggal dunia.

" Sehingga kini apa yang berlaku di rumah saya itu kekal menjadi misteri. Sampai ke sudah ke semua set kunci termasuk kunci simpanan rumah saya itu 'ghaib' entah ke mana. Kalaulah saya lewat bertindak menelefon rakan-rakan untuk memecah pintu rumah kami dan membawa saya ke tempat kerja, pasti saya akan dikenakan tindakan disiplin oleh pihak atasan," tambanya.
Yang lucunya, sewaktu abam sedang menemubual Tuan Harjit, abam lihat beliau sedang menggaru-garu lehernya. Alamak, dia dapat 'alamat' nak gantung orang lagi ke bisik abam dalam hati.
Abam kemudian terus bertanyakan 'kemusykilan' abam itu padanya.

" Hoi, leher saya tengah gatal lah, bukan dapat 'petanda' nak gantung orang!," kata Tuan Harjit sambil ketawa.
Fuhhhhh, lega.
Korang nak abam cerita lagi tak pengalaman Tuan Harjit?

Oleh: Syahril A. Kadir

0 comments:

Post a Comment