Thursday, 3 August 2017

EX-RIMAU PDRM






















































































































































































LATIHAMAL EX-RIMAU: DATARAN KAWAD MAKTAB PDRM ‘BERGEGAR’
Cheras, 3 Ogos 2017 – Selepas lima siri latihan yang diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara, Latihamal Ex-Rimau Sukan SEA 2017 mengakhiri ‘ledakannya’ di Dataran Kawad Maktab Polis Diraja Malaysia (MPDRM) dekat sini, petang tadi.

Bahang penutupan latihamal tersebut mula dirasai sejak beberapa hari lalu dengan astaka utama dihias indah selain kain rentang dengan logo rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sukan SEA 2017 dinaikkan di sekitar MPDRM bagi menarik perhatian orang ramai yang melalui Jalan Cheras-Kajang.

Lebih menarik, majlis petang tadi yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak bersama timbalannya, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, diadakan kira-kira dua minggu sahaja lagi sebelum berlangsungnya temasya Sukan SEA 2017.

Kehadiran kedua-dua pemimpin negara itu adalah bagi melakukan lawatan kerja untuk melihat sendiri persiapan akhir pihak polis menjaga keselamatan dan mengekalkan ketenteraman awam sekiranya berlaku sebarang insiden semasa temasya berlangsung.

Lawatan kerja itu dimulakan dengan sesi taklimat ringkas oleh Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Bukit Aman, Dato’ Azizan Abdul Aziz yang juga Timbalan Pengarah (Operasi) Latihamal Ex-Rimau Sukan SEA 2017.

Seterusnya rombongan dibawa melawat ke bilik-bilik operasi latihan iaitu bilik Pasukan Tindakbalas Krisis (CRT), bilik Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) dan bilik perundingan yang digunakan untuk menguji keberkesanan perancangan dan tindak balas PDRM ketika menghadapi situasi ancaman keselamatan yang sebenar menerusi simulasi yang diwujudkan khas untuk tontonan Perdana Menteri dan tetamu kenamaan yang lain.

Acara kemuncak majlis penutupan yang berlangsung di Dataran Kawad petang tadi turut melibatkan pelbagai elemen dalam PDRM yang diketuai oleh unit elit 69 Komando sebagai pasukan penggempur utama bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang hadir bersama pesawat helikopter Agusta AW139 terbaru milik mereka. Ledakan demi ledakan yang berlaku dalam simulasi proses menyelamat tebusan di Dataran Kawad tadi ternyata memukau perhatian Perdana Menteri dan semua tetamu yang hadir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar yang ditemui pemberita dalam sidang media selepas majlis turut berpuas hati dengan segala persiapan yang telah dilaksanakan oleh PDRM sehingga kini.

“Saya amat berpuas hati dengan segala persiapan yang telah dilaksanakan setakat ini dan kami telah dan akan bersedia sepenuhnya untuk memastikan tahap keselamatan yang tinggi serta menghadapi sebarang kemungkinan menjelang Sukan SEA 2017 nanti,” ujar beliau.

Hadir sama tadi Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Haji Zulkifli Mohd Zin, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad, Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Zulkiple Haji Kassim dan Pengarah Jabatan KDN/KA Bukit Aman, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah merangkap Pengarah Operasi Jawatankuasa Keselamatan dan Lalu-lintas Sukan SEA 2017.

Tuesday, 1 August 2017

Warga asing menyamar polis samun pendatang

SHAH ALAM: Dua lelaki warga asing ditahan selepas didapati menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing lain di sekitar Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata penahanan dua lelaki warga Pakistan dan Bangladesh itu pada minggu lalu, polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek dikesan menyamar sebagai anggota polis sebelum menahan mangsa dan meminta pengenalan diri mereka sebelum dibawa menaiki kereta dan ditinggalkan di tepi jalan selepas semua barang berharga disamun.

"Pada 20 Julai lalu, polis menahan suspek pertama, warga Pakistan berusia 32 tahun di Kota Kemuning, dekat sini jam 3 petang, berdasarkan maklumat diterima dari mangsa samun (warga Bangladesh) pada 17 Julai lalu.

"Ketika tangkapan, beberapa barang kes termasuk ves tertera lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM), dompet, mata wang asing, alat kawalan jauh dan telefon bimbit milik mangsa, juga dirampas.

"Hasil siasatan terhadap suspek pertama, polis menahan pula suspek kedua warga Bangladesh pada jam 9 malam hari sama di Pandamaran," katanya.

Shafien berkata, polis juga sedang menyiasat kedai yang menjual ves PDRM itu kerana pakaian itu barang kawalan.

"Suspek kini diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk disiasat bagi kes samun di kawasan terbabit.

"Kami masih mengesan saki baki kumpulan ini dan kenderaan yang digunakan suspek juga dilaporkan dicuri di Klang.

"Pasport kedua-dua suspek sudah dihantar ke Jabatan Imigresen Selangor untuk mengetahui statusnya sama ada sah atau sebaliknya," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan menyamar sebagai penjawat awam.

PILIHANRAYA OKTOBER INI, BERITA PALSU ! - SPR

Image result for suruhanjaya pilihan raya malaysia

KENYATAAN MEDIA:
SPR NAFI PRU OKTOBER INI

Suruhanjaya Pilihanraya  (SPR)  ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya Suruhanjaya berkenaan kemungkinan PRU 14 akan dilakukan pada Oktober ini adalah tidak benar sama sekali serta mengelirukan masyarakat.

SPR telah mengesan terdapat dakwaan tersebut di media sosial yang mula ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sejak semalam.

Faktanya, video yang tular itu adalah latihan simulasi oleh kakitangan SPR.

SPR juga akan memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih yang dimuat naik di mana-mana laman media sosial untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak cuba mencemarkan  reputasi SPR.

Pengurusan Tertinggi SPR sedang menimbang untuk membuat aduan polis terhadap mereka yang menyebar fitnah dalam media sosial supaya tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.


SURUHANJAYA PILIHANRAYA
PUTRAJAYA

2 OGOS 2017