Sunday, 22 October 2017

Bekas pensyarah muat naik gambar jelik, Ditangkap



KUALA LUMPUR: Seorang bekas pensyarah kolej swasta di ibu negara ditahan kerana memuat naik gambar Perdana Menteri dan isteri yang diubah suai menjadi jelik, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata tangkapan ke atas lelaki berusia 58 tahun itu dibuat di sebuah rumah di Persiaran Capsquare di sini, pada jam 9.45 malam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Mahkamah membenarkan reman tiga hari terhadap suspek sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut.

"Saya ingin menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan dan memuat naik gambar yang boleh mengaibkan mana-mana individu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, suspek dikatakan memuat naik gambar Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang diubah suai dengan berpakaian menyerupai penganut agama Hindu.

Perbuatan itu mendatangkan kemarahan netizen yang mahu tindakan diambil pihak berkuasa terhadap lelaki itu kerana melakukan penghinaan.

- BERITA HARIAN -

Tukang cuci serah dompet berisi RM12,000 dihargai polis



KUALA LUMPUR: Tindakan jujur wanita pekerja pembersihan warga Indonesia menyerahkan dompet ditemuinya berisi mata wang asing bernilai lebih RM12,000, dihargai polis yang memberikannya sijil penghargaan, hari ini.

Samona Marhama, 33, menemui dompet dipercayai milik pelancong asing itu pada kira-kira jam 5.30 petang pada 9 Oktober lalu ketika sedang membersihkan bilik persalinan bayi di tingkat tiga pusat beli-belah Berjaya Times Square, di sini.

Wanita dari Madura, Jawa Timur itu, berkata tidak terlintas dalam fikirannya untuk membuka dompet berkenaan kerana bukan miliknya, lalu segera diserahkan kepada penyelia.

"Saya tidak tahu langsung apa isi dalam dompet itu. Penyelia kemudian serahkan dompet kepada ketua keselamatan pusat beli-belah sebelum diserahkan pula kepada polis," katanya.

Samona ditemui pemberita selepas menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman di lobi Berjaya Times Square.

Yang turut menerima sijil sama adalah penyelia Samona, Mualimah Seniran dan Ketua Keselamatan Berjaya Times Square, Mohd Hanafiah Mohd Shah.

Sementara itu, Mohd Sukri berkata, polis yang memeriksa dompet berkenaan menemui wang tunai AS$3,000 (RM12,666) dan Pound Syria 3,560 (RM74.77) selain sekeping gambar dipercayai milik pemilik dompet.

"Apa yang hendak ditekankan di sini adalah sifat jujur pekerja pembersihan yang tidak mengambil walau sesen pun wang dalam dompet berkenaan, tetapi menyerahkannya kepada polis.

"Setakat ini, belum ada individu yang menuntut dompet berkenaan," katanya.
Ketua Operasi Berjaya Times Square Management Corporation, Foo Kok Keong, turut memuji sikap pekerjanya yang amanah menjalankan tugas sambil berharap ia menjadi contoh dan ikutan pekerja lain.

Tuesday, 17 October 2017

FAKTA: BUGIS BUKAN LANUN !



KEHADIRAN
orang Bugis ke Tanah Melayu dipercayai sudah bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka malah sudah terdapat permukiman orang Bugis di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-17.

Kedatangan mereka dalam jumlah yang besar berlaku pada kolonial Inggeris khususnya suku akhir abad ke-19 dan ia berterus sehingga kini.

Majoritinya, kehadiran orang Bugis dapat dilihat di dua negeri di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Johor dan Selangor.

Di Johor sendiri, peranan orang Bugis adalah peneroka hutan dan pembina penempaan luar bandar sekali gus antara aspek penting yang membentuk persejarahan Johor.

Oleh itu, sejarah kedatangan masyarakat Bugis ke Semenanjung Tanah Melayu khususnya ke Johor bukanlah satu perkara baru dalam sejarah.

Dalam masyarakat Bugis, belayar, mengembara, berdagang dan merantau merupakan tradisi utuh dalam kehidupan mereka.

Sebagai suku bangsa yang terkenal dalam aktiviti pelayaran, pelaut Bugis telah mengembangkan suatu kebudayaan maritim sejak beberapa abad yang lalu.

Berdasarkan nukilan Christian Pelras dalam buku The Bugis, berlakunya penghijrahan besar-besaran pada abad ke-17 dan awal abad ke-18 di kalangan masyarakat Bugis Sulawesi Selatan kerana rasa tertekan.

Mereka berhijrah ke Sumbawa, Lombok, Bali, Jawa, Sumatera, Borneo dan Semenanjung Tanah Melayu. Kebanyakan masyarakat Bugis memilih Johor sebagai destinasi penghijrahan.

Sebagai masyarakat yang mempunyai kehandalan dalam ilmu pelayaran, masyarakat Bugis dapat bergerak ke seluruh pelusuk rantau Asia.

Kedatangan masyarakat Bugis ke Johor kemudiannya menjadikan sebagai kawasan tumpuan perantauan disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan tanah, sumber makanan, politik tidak stabil, persengketaan di kalangan bangsawan Bugis.

Bagaimanapun, tiada tarikh yang jelas dicatatkan berhubung kedatangan orang Bugis ke Johor, sebaliknya dinyatakan secara jelas kedatangan awal masyarakat Bugis ke Johor dirakam pada awal abad ke-18 melalui kehadiran keturunan bangsawan Bugis lima bersaudara iaitu Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemase.

Di Johor, antara kawasan yang menjadi tumpuan kemasukan perantau Bugis adalah Batu Pahat, Muar, Kukup, Kampung Permas Kelapa, Parit Semair, Serkat, Benut dan Pengerang.

Kehebatan ilmu pelayaran

Orang Bugis terkenal di dalam bidang maritim di Kepulauan Melayu dan bidang ekonomi. Ini kerana rata-rata etnik Bugis yang merantau terdiri daripada nakhoda dan pedagang.

Sebagai pedagang hasil hutan dan tanaman pasaran, orang Bugis lebih mengetahui hasil-hasil yang memberi laba yang banyak menguntungkan.

Secara jelasnya, mereka lebih mengetahui tempat-tempat yang paling sesuai untuk aktiviti ekonomi pertanian malah mengusahakan aktiviti pertanian di Tanah Melayu.

Sehubungan itu, mereka memaklumkan peluang-peluang itu (aktiviti ekonomi) kepada sanak saudara sehingga menjadi titik tolak penghijrahan orang Bugis ke Johor dalam satu jaringan yang besar dan kukuh seterusnya berlaku penerokaan kawasan.

Hasilnya, kedatangan perantau-perantau Bugis ke Johor telah banyak menjayakan pembangunan negeri Johor.

Selain itu, mereka juga cukup terkenal sebagai pahlawan yang berani sehinggakan digelar sebagai ‘Lanun’ yang digeruni oleh Belanda dan Inggeris.

Bagaimanapun, persepsi segelintir masyarakat yang melabelkan orang Bugis sebagai lanun tercetus hasil daripada teknik propaganda Belanda dan Inggeris sedangkan ia tidak benar.

Tahun 1721 memperlihatkan penglibatan dan peranan Bugis Lima Bersaudara iaitu Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Cella’ dan Daeng Kemase membantu Raja Sulaiman iaitu putera Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV mendapatkan takhta kerajaan Johor daripada Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kechil).

Ini kerana Raja Kechil telah menawan dan memerintah Johor-Riau-Lingga sabagai Sultan Ke-12, mendirikan pusat pemerintahan di Siak, Sumatera pada tahun 1718.

Maka Raja Sulaiman menggunakan orang-orang Bugis dari Luwok, Makassar kecil yang berkampung di Kelang untuk mendapat balik kerajaan Johor-Riau-Lingga dari Raja Kecil.

Sebaik sahaja orang Bugis menerima persetujuan dari Raja Sulaiman, angkatan Bugis terus datang dengan tujuh buah kapal menuju ke pusat kerajaan Johor-Riau di Riau untuk menyerang.

Kerajaan Johor-Riau kalah di dalam peperangan ini dalam tahun Hijrah 1134. Sebagai upah, Raja Sulaiman bersetuju untuk melantik seorang Bugis menjadi Yamtuan Muda di Riau iaitu Daeng Merewah bagi mempertahankan agama dan kerajaan Johor, Riau dan Lingga diserang dari luar dan dalam.

Keturunan Bugis Lima Bersaudara ini terus memainkan peranan dalam kerajaan Johor sehinggalah kerajaan Johor dipecahkan oleh kuasa barat, Belanda dan British melalui Perjanjian London pada tahun 1824.

Mulai tahun 1824, kawasan dari Pulau Singapura ke bawah termasuk Riau dan Lingga di bawah pengaruh Belanda, manakala kawasan mulai Pulau Singapura ke atas di bawah pengaruh British.


Sinar Harian

Monday, 9 October 2017

10 FAKTA TENTANG PDRM




*1.* _Agensi paling tua di Malaysia yang di tubuhkan sejak 1807_
*2.* _Memiliki aset-aset yang paling uzur tetapi mampu menjalankan operasi dengan sempurna_
*3.* _Mempunyai pasukan separa tentera sendiri iaitu Pasukan Gerakan Am dan 69 Komando_
*4.* _Kesemua warga PDRM adalah bertaraf pegawai walaupun berpangkat konstabel (akta polis 1967) dan hanya ada 2 kategori sahaja iaitu Pegawai Kanan Polis ( Inspektor - IGP) dan Pegawai Rendah Polis (Konstabel - Sub Inspektor) dan sebenarnya tiada istilah 'anggota' di dalam PDRM itu hanyalah bahasa pasar sejak dahulu lagi._

*5.* _Mempunyai sistem gaji yang paling tinggi berbanding dengan agensi kerajaan yang lain (pangkat konstabel boleh mencapai pendapatan kasar sekitar RM3000 sebulan megikut cawangan bertugas)_

*6.* _69 Komando PDRM pernah melakar kejayaan dengan menawan 82 pengganas komunis hidup-hidup di satu kem komunis pada 1975 tanpa ada kecederaan dari pihak mereka._

*7.* _Pada 2005, 5 pegawai kanan polis dan 32 pegawai rendah polis dari Pasukan 69 Komando telah diterbangkan ke Kukup Johor bagi melaksanakan operasi merampas semula sebuah kapal MV Natris yg telah ditukar nama kepada MV Paulijing dipercayai dilarikan di perairan Bertam,Indonesia. Kapal tersebut telah dikesan oleh Pasukan Gerakan Marin di perairan Selat Melaka setelah dilaporkan hilang pada tahun 2003. Operasi ini telah dinamakan sebagai Ops MV Paulijing. Akhirnya mereka berjaya menawan semula kapal ini dan dibawa pulang ke Malaysia._

*8.* _Pada tahun 2000 semasa peristiwa Al Maunah, IGP ketika itu telah menyerahkan operasi kepada pihak ATM tetapi pasukan 69 komando di ketuai oleh C/Insp Abd Razak bin Mohd Yusoff bersama 20 orang pegawai rendahnya terlebih dahulu menaiki bukit ke arah Kumpulan Al-Ma'unah berkhemah serta menyelinap masuk dan menawan pengganas tanpa sebarang kecederaan pada kedua-dua belah pihak sebelum ketibaan pihak Leftenan Jeneral Zaini Mohd Said, komander Tentera Darat 2 jam kemudian._

*9.* _Pasukan Polis Marin pada tahun 1985 pernah bertempur dengan lanun yang baru lepas menyerang bandar Lahad Datu. Keesokannya 2 buah kapal TLDM terdiri daripada KD Badik dan KD Kerambit telah merapat dengan kapal PX 29 dan PX 16. CO kapal TLDM telah pergi ke kapal PX 29 dan PX,_ _Mereka agak terkejut melihat pada kesan tembakan dikedua-dua buah kapal tersebut disamping kelongsong peluru yang memenuhi dek dan Open briged kedua-dua kapal. Pertempuran yang amat hebat itu telah di puji oleh pegawai yang berpangkat Leftenan sambil berkata “ Sepanjang sejarah penubuhan TLDM, kami belum pernah berdepan dengan situasi sebegini”. Mananya tidak, hampir semua badan kapal ditembusi dengan peluru. Malah tangga besi dari dek untuk ke Open briged telah putus dan tidak boleh digunakan. Begitu juga dengan Scener Radar turut terkena tembakan. Kedua-dua CO TLDM itu kemudian mengucapkan tahniah atas kejayaan Polis Marin dalam memburu lanun tersebut._

*10.* _Hasil kaji selidik Jabatan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa pekerjaan polis adalah yang paling stress di Malaysia dan di dalam cawangan polis pula Pasukan Gerakan Am merupakan cawangan yang paling stress berbanding dengan cawangan polis yang lain._
Salute PDRM....👍🏼✋🏼👮🏼

Sunday, 8 October 2017

Anggota, Pegawai Polis Berhibur Di Pusat Hiburan Ditukar serta Merta



JOHOR BAHRU, 9 Okt (Bernama) -- Seorang pegawai dan enam anggota polis yang didapati berhibur di sebuah pusat hiburan di Muar telah ditukarkan ke jabatan lain. Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata keputusan itu diambil sementara menunggu tindakan susulan dilakukan..

Dalam satu kenyataan, beliau berkata siasatan tatatertib juga telah dijalankan sebaik sahaja maklumat berkenaan diterima.

Beliau mengulas mengenai sebuah video dalam Facebook yang tular semalam yang menunjukkan sekumpulan tujuh individu yang didakwa sebagai pegawai dan anggota polis dari Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Muar sedang berhibur bersama tauke judi haram di sebuah pusat hiburan yang terletak di Pusat Perniagaan Bakri.

"Dalam hal ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat pelanggaran tatatertib ini tidak boleh dikompromi dan akan mengambil tindakan yang tegas kepada semua yang terlibat.

"Semua pegawai dan anggota PDRM mesti akur kepada kehendak integriti dalam memartabatkan PDRM selaku penguat kuasa undang-undang utama negara,\" katanya.

-- BERNAMA