Thursday, 11 January 2018

Pelakon bergelar Datuk mengamuk di balai



PELAKON dan pengarah lelaki bergelar Datuk ditahan selepas dipercayai mengamuk, menampar anggota polis trafik dan menendang orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, 1.20 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din yang mengesahkan kejadian berkata, suspek berusia 37 tahun itu menampar anggota polis yang bertugas di kaunter Balai Trafik Kota Damansara.

"Selain menampar polis dia turut menendang dua orang awam di dalam balai berkenaan.
"Siasatan awal mendapati suspek datang ke balai bersama seorang rakan untuk membuat laporan polis kes kemalangan jalan raya, namun apabila anggota trafik bertanya laporan yang ingin dibuat, suspek kemudian menunjukkan mesej aplikasi whatsapp 300 artis hutang ah long", katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Susulan itu, pelakon dan pengarah berkenaan ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan.

Sumber - HMetro
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 3:52 PM

Wednesday, 10 January 2018

Langgar Polis, Dua Lelaki Warga Nigeria Didakwa

- Gambar Hiasan -

PETALING JAYA, 10 Jan (Bernama) -- Dua sahabat, warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan melanggar seorang anggota polis, dua minggu lepas.

Oyo Oluwafemi Ayo, 28 dan Muyiwa Adeboye Alyedun, 29, didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu Mohammad Masri Puasa daripada menjalankan kewajipannya dengan menghimpit ke bahu jalan beberapa kali dan melanggar anggota polis itu menggunakan kereta.

Mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut di Jalan Kolej, Seri Kembangan, dekat sini, pada 12.30 tengah malam, 23 Dis lepas.

Oyo dan Muyiwa didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik tidak menawarkan sebarang jaminan manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan kerana tidak mempunyai penjamin.....

Sunday, 7 January 2018

KISAH BENAR: BILA 'TUKANG GANTUNG' TAK JUMPA KUNCI RUMAH!



Hari ni abam nak share satu kisah mengenai pengalaman abam menemubual seorang tukang gantung yang bertugas di Penjara Kajang.

Memandangkan interview dijalankan beberapa tahun lepas, abam pun tak pasti sama ada pegawai penjara ini 'masih bertugas' atau dah pencen.

Abam tak boleh mendedahkan identiti beliau sebab terikat dengan peraturan penjara, apa yang abam boleh katakan beliau seorang yang bertubuh besar, tegap, bermisai tebal dan berusia dalam lingkungan 50'an.

Beliau mengakui tak ramai pegawai penjara yang berminat tugasan ini dan Jabatan Penjara sendiri sangat 'selektif' untuk memilih warga mereka untuk menjalankan kerja berkenaan.

Walaupun mengakui 'elaun khas' yang diterima tukang gantung agak lumayan, namun beliau berkata BUKAN ITU faktor yang membuatkan beliau dan rakan-rakannya dambakan.

" Kalau ingat kami gantung orang sebab nak kejar elaun, itu salah. Kami bukan 'pembunuh upahan berlesen'. Tetapi kalau bukan kami yang sanggup jalankan amanah ini, nak harap siapa lagi?," kata Tuan Harjit (bukan nama sebenar).

Abam masa jumpa Tuan Harjit tak buang masa banyak dan terus 'straight forward' tanya soalan cepu mas - apakah benda pelik sepanjang menyandang jawatan sebagai tukang gantung?
Tuan Harjit seperti dapat mengagak soalan abam. Beliau tanpa berselindung terus membuka cerita.

Katanya, beberapa tahun lepas beliau menerima arahan untuk menggantung seorang banduan. Memandangkan hukuman mati perlu dijalankan menjelang Subuh, beliau bangun seawal pukul 2 pagi untuk bersiap-siap hendak ke 'pejabat'.

Sebelum mendapat arahan berkenaan, beliau telah 'mendapat alamat' mengenainya. Uniknya ada sedikit 'keistimewaan' tentang diri Tuan Harjit.

Sama ada ia memang kelebihan atau kebetulan, Tuan Harjit tidak dapat menjawab persoalan itu sampai sekarang.

" Terpulang sama ada awak nak percaya kat saya atau tidak. Untuk pengetahuan awak, selalunya beberapa hari sebelum mendapat arahan untuk menjalankan hukuman mati, saya akan rasa 'panas dan pijar' di sekeliling leher saya.

" Kalau saya dapat petanda seperti itu, saya tahu, pasti dalam sehari dua lepas itu akan ada perintah untuk saya menggantung seseorang pesalah. Setiap orang ada keistimewaan, awak ada kebolehan untuk menulis, mungkin saya pulak Tuhan bagi kelebihan untuk mendapat 'petanda' seperti yang dimaksudkan," katanya sambil tersenyum.

Menyambung kembali ceritanya, Tuan Harjit berkata, selalunya bila ada hukuman mati, beliau akan sampai awal di bilik gantung bagai memastikan segala kelengkapan terutama pelantar dan tali gantung berfungsi dengan baik.

Lagipun kata Tuan Harjit, antara prosedur penting ketika menjalankan hukuman mati adalah, si tukang gantung perlu menjalankan 'kerjanya' dalam tempoh yang telah ditetapkan, tak boleh terawal dan tak boleh terlewat.

Namun katanya, pada pagi itu beliau berhadapan satu perkara pelik yang tak pernah dialaminya sepanjang bertugas sebagai tukang gantung.
Beliau tak jumpa kunci rumah!

Puas beliau mencari kunci rumahnya termasuk kunci 'spare' namun tak ada satu pun yang ditemui, seolah-olah kunci tersebut telah 'disembunyikan'!

" Memang saya betul-betul panik. Berpeluh saya dan isteri mencari di mana kunci rumah kami tetapi gagal. Saya dan isteri kini betul-betul macam dalam penjara. Kalau selama ini tugas saya memenjarakan orang, kini saya dan isteri pulak kena 'penjara'!

" Saya tidak begitu mempercayai benda tahyul dan mistik, namun kejadian ini membuatkan saya mula merasakan yang kemungkinan benda-benda macam ni memang wujud!
" Saya percaya, peristiwa kehilangan kunci rumah pagi itu seolah-olah memberi mesej kepada saya supaya JANGAN menggantung banduan berkenaan...mungkin dia teraniaya, mungkin dia difitnah, atau mungkin dia mengamalkan ilmu hitam.
" Namun bagi saya mudah, banduan itu telah diberi 1,001 peluang untuk membela diri di mahkamah namun ternyata beliau gagal untuk menyakinkan hakim agar tidak menghantarnya ke tali gantung. Yang pasti saya hanya menjalankan tugas dan tak mahu buang masa fikirkan pasal perkara tersebut," tegasnya.

Tambah Tuan Harjit, disebabkan masa semakin suntuk, beliau akhirnya terpaksa menelefon rakan-rakannya untuk datang dan memecahkan pintu pagar serta pintu rumahnya itu sebelum bergegas menaiki kereta untuk ke penjara.

Ketika beliau sampai di bilik kurungan banduan tersebut, lelaki itu merenungnya dengan satu pandangan yang cukup tajam seolah-olah banduan itu tahu 'apa yang terjadi' di rumahnya sebentar tadi.

Tuan Harjit pura-pura seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Beliau juga tidak membalas balik renungan banduan berkenaan sebaliknya terus menyarungkan kain hitam untuk menutup muka banduan itu.

Lagipun waktu yang diperuntukkan untuk menjalankan hukuman mati itu semakin suntuk.
Sebaik saja tubuh lelaki berkenaan berada betul-betul atas pelantar, Tuan Harjit terus menarik 'gear' lalu terbukalah pelantar tersebut dan lelaki berkenaan terus jatuh ke bawah. Tali gantung itu secara automatik kemudian menjerut lehernya.

Tidak sampai beberapa minit kemudian, doktor mengesahkan banduan berkenaan telah meninggal dunia.

" Sehingga kini apa yang berlaku di rumah saya itu kekal menjadi misteri. Sampai ke sudah ke semua set kunci termasuk kunci simpanan rumah saya itu 'ghaib' entah ke mana. Kalaulah saya lewat bertindak menelefon rakan-rakan untuk memecah pintu rumah kami dan membawa saya ke tempat kerja, pasti saya akan dikenakan tindakan disiplin oleh pihak atasan," tambanya.
Yang lucunya, sewaktu abam sedang menemubual Tuan Harjit, abam lihat beliau sedang menggaru-garu lehernya. Alamak, dia dapat 'alamat' nak gantung orang lagi ke bisik abam dalam hati.
Abam kemudian terus bertanyakan 'kemusykilan' abam itu padanya.

" Hoi, leher saya tengah gatal lah, bukan dapat 'petanda' nak gantung orang!," kata Tuan Harjit sambil ketawa.
Fuhhhhh, lega.
Korang nak abam cerita lagi tak pengalaman Tuan Harjit?

Oleh: Syahril A. Kadir

Tuesday, 19 December 2017

Polis Pergiat Operasi Perangi Kongsi Gelap



PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata polis akan mempergiat operasi dan tindakan memerangi kegiatan kongsi gelap di negara ini.

Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman akan bertindak mempergiat operasi mencegah dan membanteras kegiatan ini, katanya.

"Pihak polis akan terus mengambil tindakan terhadap semua kumpulan kongsi gelap...polis sedang melakukannya (perang terhadap kongsi gelap). Tiada hari tanpa operasi," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri pada sidang media selepas perhimpunan bulanan warga kementerian itu di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan perundangan akan diambil terhadap mana-mana pertubuhan haram sama ada yang melanggar Akta Pertubuhan 1966 atau akta-akta lain.

Timbalan perdana menteri berkata demikian semasa mengesahkan kejadian pembunuhan seorang lelaki di stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor, Ahad lalu berpunca daripada perselisihan dan perebutan antara dua kumpulan kongsi gelap.

Beliau berkata mangsa yang berusia lingkungan 30-an mati selepas ditikam dan dilanggar menggunakan sebuah kereta jenis BMW oleh sekumpulan empat lelaki dikenal pasti sebagai ketua kumpulan kongsi gelap.

"Pihak polis sedang giat menjejaki dan memburu keempat-empat lelaki berkenaan. Mereka tidak akan terlepas daripada tindakan polis.

"Kita yakin terdapat perselisihan antara dua kumpulan kongsi gelap tersebut. Siasatan terperinci akan dilakukan," kata Ahmad Zahid.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat serta Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Timbalan perdana menteri berkata dalam pada itu polis bersiap siaga terhadap tindakan balas dendam kumpulan-kumpulan kongsi gelap itu.

"Polis sentiasa bersiap siaga melakukan operasi dan mengambil tindakan jika ada pembalasan antara kumpulan kongsi gelap berbeza. Itu adalah budaya mereka," katanya.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata polis telah mengenal pasti empat suspek yang terbabit dalam kes bunuh berkenaan dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan dan menahan mereka.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa mati selepas ditikam, dilanggar dan digilis menggunakan sebuah kereta oleh sekumpulan empat lelaki.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen berkenaan, sebelum tiba-tiba didatangi suspek yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka.

Mangsa dilaporkan berjaya seketika meloloskan diri namun dilanggar dan digilis dengan kereta sebelum keempat-empat lelaki tersebut melarikan diri.

-- BERNAMA

Thursday, 16 November 2017

Durian rangsang syahwat lelaki?

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat kajian terhadap khasiat memakan durian yang dikatakan memberi kebaikan untuk kesihatan lelaki.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia tambahan beberapa kajian dari seluruh negara terhadap sudut positif memakan durian.

Jelasnya, ia termasuk kajian di luar negara mengenai komposisi durian yang mempunyai antioksida lebih tinggi selain berkaitan kulit durian yang mempunyai antibiotik untuk melegakan batuk.

"Durian juga seperti makanan lain ianya boleh dimakan, baik untuk  dimakan tetapi dalam bentuk kesederhanaan.

"Jangan berlebih-lebihan terutamanya kepada pesakit kencing manis. Ada kajian durian ini ada unsur baik untuk lelaki dan kita akan beri badan berkaitan untuk buat kajian lebih mengenai hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Noor Azmi Ghazali (Barisan Nasional-Bagan Serai) mengenai kajian durian dan kesan pengambilannya terhadap kesihatan.

Dalam pada itu, jelasnya, teknologi simpanan durian menggunakan kaedah sejuk beku membolehkan buah itu dapat dinikmati sepanjang masa dan bukan hanya waktu musimnya sahaja.

Selain itu katanya, kaedah penggunaan kolagen pada durian juga membolehkan buah itu bertahan sehingga setahun.

Bagaimanapun katanya, jika diberi pilihan, orang ramai lebih menggemari durian Malaysia berbanding dari Thailand.

Sebelum ini, Shabery menjelaskan, kerajaan memohon kelulusan segera daripada Kerajaan China untuk membolehkan durian Musang King segar dibawa ke pasaran republik itu dalam masa terdekat.

Tegasnya, ia secara tidak langsung membolehkan pasaran raja buah itu mampu bersaing dengan buah-buahan tempatan yang sudah berjaya dieks­port ke negara itu sebelum ini.

Jelasnya, setakat ini negara tersebut hanya menerima pasaran eksport musang king sejuk beku sahaja.
- AWANI -